UMNO Online - “Kerajaan BN Menjanjikan Sesuatu Yang Mampu Ditepatinya- Najib” plus 3 more

UMNO Online - “Kerajaan BN Menjanjikan Sesuatu Yang Mampu Ditepatinya- Najib” plus 3 more

Link to UMNO Online

Kerajaan BN Menjanjikan Sesuatu Yang Mampu Ditepatinya- Najib

Posted: 14 Oct 2012 06:12 AM PDT

KUDAT, 14 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan hari ini yang diterajui Barisan Nasional (BN) menjanjikan sesuatu perkara yang mampu dilaksanakan untuk faedah rakyat kerana jika tidak menepati janji, ia tergolong dalam kalangan munafik.

Menurut Najib kegagalan menepati janji yang diberikan kepada rakyat bukan sahaja menyalahi perintah agama dan berdosa besar malah dianggap sebagai berbohong dan pihak yang suka menabur janji kosong berkenaan akan dihukum oleh rakyat.

“Jangan sekali-sekali kita menjadi orang munafik. Sebab itulah kita menggunakan ungkapan janji ditepati supaya sebagai sebuah kerajaan, bila kita bercakap, kita bercakap yang benar dan bukan kita bohong. Bila kita janji, kita jangan mungkir janji sebab peribahasa menyebut ‘binatang dipegang pada ekornya manusia dipegang pada janjinya.

“Kalau kita menggalas amanah, jangan kita khianati amanah. Sebab itulah saya bagi jaminan (kepada) tuan-tuan, setiap ayat, setiap perkataan yang kita luahkan kepada rakyat, kita dasarkan kepada kemampuan kita. Kalau kita tak mampu, kita tidak akan sebut kerana kalau berjanji kita tidak tunaikan, dosa itu adalah amat besar.

“Tuhan akan laknat kita, rakyat akan hukum kita, mereka (rakyat) akan hokum pemimpin yang tidak melakukan apa yang dia janjikan ataupun dia menipu rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Sukan Kudat di sini, hari ini.

Program yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman itu dibanjiri kira-kira 50,000 rakyat yang datang dari pelbagai kawasan berhampiran Kudat seperti Pitas, Matunggong, Kota Belud, Tandek dan Pulau Banggi.

Najib juga berkata sambutan rakyat di Sabah dalam beberapa siri lawatannya ke negeri ini seperti di Sandakan, Sipitang, Kota Belud, Penampang dan Kudat yang mendapat sambutan cukup menggalakkan, menggambarkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN.

Katanya kehadiran beramai-ramai rakyat juga menggambarkan keyakinan bahawa rakyat hanya boleh menyandarkan harapan masa depan mereka kepada kerajaan BN dan bukan kepada orang lain, sekaligus melambangkan sokongan padu rakyat kepada kerajaan sekarang.

Najib juga memberi jaminan bahawa semua yang dijanjikan kerajaan BN akan ditunaikan tanpa mengambil kira bila pilihan raya umum akan diadakan.

Perdana Menteri juga menyifatkan Sabah sebagai cerminan masa depan rakyat 1Malaysia kerana di samping kepelbagaian kaum dan kepercayaan, rakyat negeri ini masih mampu bersatu padu dan hidup dalam suasana harmoni sejak kemerdekaan Sabah 49 tahun lalu menerusi pembentukan Persekutuan Malaysia.

Mengenai pemilihan Kudat sebagai lokasi program Jelajah Janji Depati, Najib berkata ia bukan semata-mata disebabkan sentimen nostalgia Kudat sebagai bekas ibu negeri Sabah serta tempat kelahiran pemimpin agung Tun Datu Mustapha Datu Harun tetapi ia melambangkan iltizam kerajaan BN untuk terus membawa pembangunan kepada daerah itu.

Najib berkata sebagai seorang pemimpin, beliau perlu memahami keluh-kesah rakyat serta memahami denyut nadi mereka dan mesti mampu dan sanggup memenuhi aspirasi atau kehendak rakyat.

“Salah satu aspirasi rakyat, khususnya di Kudat ialah supaya bertitik tolak daripada pelancaran Jelajah Janji Ditepati ini, Kudat akan melalui zaman pemulihannya, Kudat dapat kembali kepada suatu ketika ianya merupakan ibu negeri Sabah dan kalau kita tidak boleh kembalikan ibu negeri Sabah kepada Kudat, sekurang-kurangnya kita dapat terus membangunkan Kudat ini seperti mana kehendak masyarakat di sini,” katanya.

Selepas pelancaran Jekajah Janji Ditepati, Najib melawat kediaman bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun. Sebelum itu, Najib turut mengadakan tinjauan rakyat di sekitar Kampung Air dekat sini sejurus tiba dari Kundasang.

BN Terus Terima Sokongan Rakyat Sabah- Musa

Posted: 14 Oct 2012 06:06 AM PDT

KUDAT, 14 Okt — Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata puluhan ribu rakyat Sabah membanjiri program turun padang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negeri ini menunjukkan sokongan padu rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Musa berkata program turun padang pemimpin itu bukan sekadar berhujah, berceramah dan “tidak dengan tangan kosong” berbanding sikap pembangkang.

“Beribu-ribu rakyat hadir membanjiri program turun padang dan kita harus bersyukur, berterima kasih ada pemimpin yang mendokong semangat janji ditepati dan prihatin nasib rakyat di seluruh pelusuk negara termasuk di Sabah,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Program Jelajah Janji Ditepati oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Sukan Kudat di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata Sabah akan terus menjadi sebuah negeri yang maju di bawah kerajaan BN berdasarkan pelbagai pelaksanaan program pembangunan di negeri ini.

Menurutnya, Belanjawan 2013 yang memperuntukkan RM386 juta untuk penyeragaman harga di Sabah dan Sarawak dan Jelapang Padi di Kota Belud membuktikan kerajaan prihatin dan dapat merasai denyutan nadi rakyat.

Kerajaan Persekutuan Ada Rancangan Besar Untuk Rakyat Sabah, Kata Najib

Posted: 13 Oct 2012 08:00 PM PDT

Kundasang, 14 Okt — Kerajaan Persekutuan mempunyai rancangan besar untuk rakyat Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata seandainya Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru pada pilihan raya akan datang, kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri akan bekerja lebih kuat lagi untuk memajukan lagi negeri Sabah yang begitu besar potensinya.

"Saya senang hati melihat sambutan dan sokongan padu kepada saya dan Barisan Nasional," katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas sempena program tinjauan mesra di Pekan Kundasang, di sini, hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun.

Oleh itu, beliau yang juga Pengerusi BN mengajak rakyat Sabah supaya meneruskan sokongan kepada BN demi kesinambungan pembangunan dan masa depan yang cerah.

Pada pilihan raya lepas, BN Sabah hampir menyapu bersih kesemua 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya kalah kepada DAP di kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan kerusi DUN Sri Tanjung (Tawau).

Menyentuh tinjauan mesra itu, Najib berkata beliau gembira kerana dapat bersalaman dan beramah mesra dengan penduduk kampung di sini.

"Saya melihat kawasan Kundasang ini memang Tuhan kurniakan alam semula jadi yang kita boleh manfaatkan … tanam apa sahaja jenis tanaman terutama jenis tanaman makanan, semua menjadi dan memberi kita pendapatan yang begitu baik sekali.

"Kalau kita berusaha dengan rajin, Insya-Allah kita dapat rezeki yang baik," katanya.

Sementara itu, seorang penjual sayur dari kampung Cinta Mata, Wasli Kandung, 74, berkata beliau begitu gembira dapat bertemu pemimpin besar yang beliau sanjungi selama ini.

"Saya tidak pernah melihat Perdana Menteri kita secara bersemuka. Saya hanya nampak melalui televisyen. Semua Perdana Menteri kita bagus tetapi Najib ada sedikit keistimewaan sebab "obintulung" (suka menolong) dan beliau adalah seorang yang benar-benar menepati janji dan tidak suka menabur janji kosong.

"Ada pemimpin yang berjanji tapi sampai sekarang rakyat menunggu tapi tiada.

Tapi saya lihat Perdana Menteri kita sekarang, apabila dia berjanji, dia benar-benar menunaikan apa yang dia cakap. Misalnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.

Wasli berkata tidak terlintas di fikirannya akan menerima BR1M dan bantuan-bantuan rakyat yang lain.

Beliau berharap dengan kehadiran Perdana Menteri ke Kundasang, salah satu destinasi pelancongan terkenal di Sabah, dan juga terkenal sebagai pengeluar kobis terbesar di Sabah, akan mendapat lebih perhatian oleh kerajaan dan muncul antara kawasan yang maju terutama dalam sektor pertanian.

Ditanya kenapa beliau sanggup datang ke Pekan Kundasang untuk bertemu Perdana Menteri, beliau berkata "saya kepingin bersalaman dengan Perdana Menteri".

"Saya lihat beliau begitu jujur untuk memajukan negeri kita dan juga Malaysia dan saya harap Tuhan panjangkan umur beliau dan memerintah sehingga 70 tahun.

"Sebab itu, saya sanggup berjalan kaki sejauh tiga kilometer semata-mata untuk berjumpa dan bersalam dengan Perdana Menteri," katanya.
Seorang lagi penduduk Kundasang, Sagin Belinsai, 72, dari kampong Kouluan berkata beliau amat berbesar hati kerana berpeluang berjumpa dengan Perdana Menteri.

"Setelah saya mengetahui Perdana Menteri akan datang ke Kundasang pagi ini, saya bangun awal, seawal 5.30 pagi semata-mata mahu memastikan saya sampai ke Pekan Kundasang lebih awal untuk berjabat tangan dengan Perdana Menteri," katanya ketika ditemui di barisan hadapan orang ramai untuk menyambut ketibaan Perdana Menteri di pekan itu.

Beliau berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk berjumpa dengan pemimpin negara itu kerana bukan mudah untuk berjumpa dengan pemimpin terutama Perdana Menteri.

Sagin berkata Malaysia beruntung kerana mempunyai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan sanggup "turun padang" untuk melihat dan mendengar sendiri permasalahan rakyat seterusnya mencari jalan untuk menolong rakyat “macam kami”.

BN Sabah Jelaskan isu Tanah Adat Pada Sidang DUN 22 Okt Ini

Posted: 13 Oct 2012 05:09 PM PDT

Penampang, 14 Okt — Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah akan memperjelaskan secara terperinci isu berkaitan orang asal dan tanah adat dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada 22 Okt ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata penjelasan itu penting supaya pembangkang tidak sewenang-wenangnya dapat menggunakan isu itu untuk memutar-belit, mengelirukan dan mengaburi mata rakyat.

Misalnya, katanya, kerajaan negeri telah memberhentikan persempadanan semula hutan simpanan kerana didapati wujud percanggahan dengan tuntutan tanah adat tersebut.

Musa berkata kerajaan negeri telah mengambil pendekatan menukar status tanah hutan simpanan kepada tanah milik kerajaan supaya penduduk pribumi yang tinggal di kawasan itu untuk sekian lama diberi geran komunal.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah Bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri dan perasmian jambatan Inobong berharga RM9.05 juta di Padang Pagansakan, Inobong, dekat sini, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Oleh itu, beliau berkata isu merampas tanah adat tidak wujud sama sekali.

Musa berkata terdapat golongan tertentu yang suka mensensasikan isu berkaitan orang asal dan tanah adat semata-mata meraih sokongan rakyat.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata daerah Penampang tidak pernah ketinggalan daripada menerima peruntukan pembangunan sama ada dari kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat.

“Berjuta-juta ringgit diperuntukkan untuk daerah Penampang antara lain bagi menaik taraf kemudahan awam serta pembinaan rumah rakyat termiskin iaitu Program Bantuan Rumah (PBR),” katanya.

Beliau berkata Penampang juga bakal mempunyai sebuah kompleks membeli-belah dengan kemudahan pusat konvensyen iaitu sebuah projek komersial bernilai RM300 juta yang dinamakan Pusat Komersial dan Teknoloji Antarabangsa (ITCC).

Selain itu, katanya, pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan kos RM550 juta di bandaraya Kota Kinabalu bakal menjadi negeri itu sebagai pusat mesyuarat, insentif, kovensyen dan pameran (MICE) terkemuka di rantau itu.

“Ia dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan dan ekonomi rakyat Sabah,” tambahnya.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...