UMNO Online - “Muhyiddin Tidak Tolak Kemungkinan Langat 2 Diteruskan Walau Tanpa Persetujuan Selangor” plus 4 more

UMNO Online - “Muhyiddin Tidak Tolak Kemungkinan Langat 2 Diteruskan Walau Tanpa Persetujuan Selangor” plus 4 more

Link to UMNO Online

Muhyiddin Tidak Tolak Kemungkinan Langat 2 Diteruskan Walau Tanpa Persetujuan Selangor

Posted: 13 Oct 2012 03:49 AM PDT

JOHOR BAHARU, 13 Okt — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan projek loji rawatan Air Langat 2 (Langat 2) diteruskan walaupun tanpa persetujuan kerajaan negeri Selangor.

Katanya, pandangan daripada Peguam Negara telah diminta untuk menentuka sama ada terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan kerajaan pusat meneruskan pembinaan Langat 2 walaupun kerajaan negeri Selangor tidak menyetujuinya.

“Kita minta pandangan Peguam Negara jikalau ada mana-mana peruntukan dalam Kanun Tanah Negara atau Akta Pengambilan Balik Tanah ada bab-bab sebegitu yang mana kita fikir projek ini ada kepentingan awam dan negara, jikalau tidak diberi kebenaran akan menjadi satu masalah besar, mungkin boleh kita teruskan,” katanya.

Menurutnya, pihak Peguam Negara masih belum memberi maklum balas kepadanya dan oleh kerana itu rundingan masih dijalankan dengan kerajaan Selangor supaya mereka mengeluarkan arahan pembangunan (DO) bagi pembinaan Langat 2.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan Guru Muda 1 Malaysia peringkat negeri Johor di Pusat KoKurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Johor, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, jika loji Langat 2 tidak dilaksanakan, Lembah Klang dijangka akan mengalami krisis air paling buruk dalam sejarah pada 2015-2016.

“Isu ini adalah serius dan kini semakin serius,” katanya dan menambah, di antara enam dan tujuh loji rawatan air di Selangor daripada 34 keseluruhannya, kini beroperasi 24 jam tanpa henti.

Apa yang dibimbangi, kata beliau, jika loji rawatan air yang beroperasi 24 jam tanpa henti itu mengalami masalah, ia akan menyebabkan bekalan air ke kawasan persekitaran terjejas.

Menurutnya, kerajaan pusat mahu menyelesaikan masalah ini, tetapi tanpa persetujuan kerajaan negeri Selangor untuk membina Langat 2, masalah tidak akan dapat diatasi.

Muhyiddin berkata, beliau telah mengutus surat kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memintanya meluluskan permohonan bagi pembinaan Langat 2, tetapi sehingga kini perkara itu menemui jalan buntu.

“Dia (Abdul Khalid) masih berdolak-dalik dan memberikan beberapa sebab, hendak menyelesaikan isu rasionalisasi industri air di negeri itu dengan mengambil alih kesemua syarikat konsesi bekalan air Selangor,” katanya.

Beliau berkata, Abdul Khalid perlu mengasingkan isu rasionalisasi industri air Selangor daripada isu pembinaan Langat 2, dan memberikan kebenaran terhadap usaha kerajaan pusat untuk mengatasi masalah air di negeri itu.

Keangkuhah, Kedangkalan Kerajaan Negeri Bakal “Bunuh” Rakyat Selangor

Posted: 12 Oct 2012 11:23 PM PDT

SHAH ALAM, 13 Okt – "Angkuh" – itu perkataan paling sesuai untuk mengambarkan pendirian Menteri Besar Selangor tentang kemelut isu air yang nampaknya tidak berkesudahan.

Jika dilihat dari sikap yang sebegini memang pentadbiran Negeri Selangor diperintah secara emosi, bukan dengan pemikiran sebuah kerajaan yang berwibawa.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, jika Exco Selangor, Dr Xavier sebelum ini "sangat gembira" dengan pendirian Kerajaan Pahang untuk membatalkan perjanjian pembekalan air mentah ke Selangor dan begitu bangga mendabik dada yang bekalan air mentah di Selangor mencukupi, mungkin sekarang beliau akan berfikir sebelum bercakap.

"Sejak kebelakangan ini paras penyusutan paras air di empangan telah menjadi kritikal akibat cuaca kering dan panas yang dialami. Tentulah sekali fenomena ini tidak dijangka oleh seorang ahli politik seperti Dr. Xavier, sebab itu beliau main bercakap sedap mulut saja.

“Tan Sri Khalid pula baru-baru ini telah memaklumkan di dalam media bahawa Selangor punya masa 75-90 hari lagi sebelum empangan kering sepenuhnya. Kerajaan Negeri juga akan menjalankan pembenihan awan sekiranya tiada hujan turun dalam tempoh 22 hari.

“Persoalannya, kenapa seringkali Kerajaan Selangor mengambil pendekatan ‘mengubati’ bukannya ‘mencegah’ yang jelas menunjukkan yang Kerajaan Selangor tidak membuat persediaan sebelum ini," ujarnya di sini hari ini.

Tambahnya, bukankah fenomena cuaca ini sesuatu yang biasa terjadi dan bukannya kejadian yang tidak dijangka seperti tsunami.

“Bukankah pentadbiran Kerajaan Negeri disokong oleh jabatan-jabatan seperti meteorologi dan sebagainya? Takkan satu fenomena cuaca yang begitu lazim seperti ini pun tidak dapat dijangka?

"Dulu syarikat pembekal air telah awal-awal memberikan amaran, namun tidak diendahkan, malah dituduh sebagai memulakan propaganda. Kerajaan Negeri menolak sama sekali bahawa krisis air akan terjadi dengan alasan-alasan yang tidak disokong oleh fakta.

“Jika dahulu MB Selangor berkata krisis air tidak akan berlaku kerana paras empangan masih penuh. Apakah sekarang ini kenyataan tu masih relevan?”, soal beliau.

Tegasnya lagi ada alternatif jangka panjang, dan lebih efisyen dan telah dilaksanakan kerja-kerjanya hanya menanti kelulusan Kerajaan Negeri untuk diteruskan pembinaannya.

“Tidak dapat dinafikan, pembinaan Loji Langat 2 adalah satu keputusan yang bertanggungjawab, dan pilihan yang muktamad.

“Tambahan pula infrastruktur untuk projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang (PPAMP) telah siap 50% dan menelan belanja RM2.41 billion. Takkan infrastruktur yang terbina untuk masa depan rakyat Selangor akan dibiarkan menjadi sia-sia sahaja”, ujarnya.

Sebelum ini tegas beliau, Dr. Xavier menolak sekeras-kerasnya PPAMP dengan memberikan hujah tentang ekologi, kerosakan alam semula jadi dan penempatan orang asli, tetapi tidak menyedari pula keputusan untuk tidak membina Loji Langat 2 bakal "membunuh" rakyat di negeri sendiri.

Yang menjadi persoalannya tambahnya lagi adalah cara Kerajaan Negeri berfikir dan bertindak, tidak tahu apa yang patut diberikan keutamaan.

“ Jika isu air mentah yang begitu asas tidak dapat diuruskan dengan baik dan berkesan, bagaimana hendak menguruskan pembekalan air terawat yang jauh lebih teknikal.

“Dalam pada itu, perlu ada kepakaran dan pengetahuan teknikal yang mendalam beserta pengalaman, bukan boleh dicapai secara ‘overnight success’”, katanya.

Soal beliau lagi kenapakah Kerajaan Negeri yang begitu yakin bahawa mereka mempunyai kepakaran untuk menguruskan industri air di Selangor ini tidak dapat melihat ke hadapan dan membuat persiapan awal bagi sesuatu yang bermusim seperti ini?

"Ini baru air mentah, belum masuk bab-bab proses merawat air lagi, dan proses pengagihan.

“Bagaimana hendak menguruskan penstrukturan dan mengambil-alih syarikat-syarikat konsesi sedangkan perkara yang paling asas pun tak lepas. Pendek kata, jangan buang masa! ," ujarnya yang juga mantan Ketua AMK Negeri Selangor. -MediaUMNO

Orang Melayu Diminta Bersatu Hadapi Golongan Cauvinis

Posted: 12 Oct 2012 09:20 PM PDT

Kuala Nerang, 13 Okt — Golongan cauvinis di negara ini tidak akan berhenti memecahbelahkan orang Melayu bagi melemahkan mereka dalam usaha golongan tersebut menguasai negara ini, kata Ketua Umno bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkata oleh itu orang Melayu tidak boleh membuat percaturan salah pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita kena sedar ada sekelompok manusia cauvinis yang terang-terang berusaha memecahbelahkan orang Melayu. Mereka mahu menguasai negara ini.

Sebarang kesilapan akan membawa padah dan bangsa Melayu akan kehilangan kuasa.

“Orang Melayu tiada pilihan, kita perlu bersatu menentang golongan cauvinis bagi menjamin survival bangsa,” katanya sewaktu berucap pada program ‘Selamatkan Bangsa dan Negara: Amanat Pemimpin Bersama Rakyat’ di Kampung Barokhas di sini malam tadi.

Ia dihadiri lebih 1,000 orang termasuk Naib Ketua Umno bahagian Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang juga Anggota DUN Kuala Nerang.

Mahdzir yang juga Anggota DUN Pedu berkata orang Melayu perlu berhenti bersengketa sesama sendiri serta mengikis sifat dendam kesumat dalam diri mereka.

Katanya golongan cauvinis turut mengancam keselamatan negara dengan menganjurkan penentangan secara terbuka terhadap kerajaan yang dipilih rakyat melalui demonstrasi jalanan.

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff pula mengingatkan orang Melayu supaya mengkaji sejarah kebebasan negara dari belenggu penjajahan sehingga menjadi sebuah negara membangun.

“Nikmat yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan bangsa Melayu sendiri yang ditunjangi Umno dan ia perlu dipertahankan.

“Sekali kita hilang kuasa, tidak mudah untuk kita dapat balik. Jadi belajarlah dari sejarah supaya kita akan lebih sedar nasib kita,” katanya.

80 penyokong Dan Anggota Parti Pembangkang Sertai UMNO

Posted: 12 Oct 2012 09:15 PM PDT

BERA, 13 Okt — Seramai 80 penyokong tegar dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP cawangan Felda Bukit Mendi dan Pucong menyertai UMNO selepas kecewa dengan sikap pemimpin pakatan pembangkang yang cuma mementingkan diri.

Mereka mengisi borang menyertai Umno dan menyerahkannya kepada Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob pada majlis ‘Pemimpin Turun Padang dan Kenduri Rakyat’ di Felda Bukit Mendi, Bera, semalam.

Ia turut disaksikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bera Mohd Fadzil Othman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan dan ADUN Guai, Norol Azali Sulaiman.

Wakil kumpulan tersebut Ismail Yusoff berkata, walaupun ada di antara mereka merupakan penyokong tegar dan anggota parti pembangkang sejak lebih 20 tahun lalu namun tiada apa yang dilakukan pembangkang bagi membela mereka.

“Contohnya saya sendiri sebagai penyokong tegar DAP, tetapi tiada apa yang dilakukan parti tersebut untuk membela nasib orang Melayu.

"Setelah memikir dan melihat kerajaan Barisan Nasional (BN) bersungguh-sungguh membela dan membantu rakyat membuatkan hati saya terpanggil
Untuk menyertai UMNO,” katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Beliau dan rakan-rakan yang kini menyertai Umno berikrar akan memberikan sokongan kepada pimpinan dan akan memastikan UMNO dan BN menang pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

Katanya, pemimpin pembangkang bukan sahaja tidak sekata, malah lebih mementingkan diri daripada membela nasib rakyat.

Dalam pada itu, Ismail menyeru mereka yang masih menyokong pembangkang terutamanya parti DAP kembali ke landasan asal dan menyokong UMNO dan BN.

"Hanya BN yang berjaya dan terbukti membela rakyat di mana segala kenikmatan dan kemewahan yang dirasai terutamanya bagi peneroka Felda ini adalah hasil daripada perjuangan UMNO dan kerajaan BN," katanya.

Soros Yang Minta Untuk Bertemu Dengan Saya – Najib

Posted: 12 Oct 2012 06:24 PM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan  memang benar beliau telah  mengadakan pertemuan dengan penyangak matawang,  George Soros kira-kira dua tahun lepas ketika berada di New York seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah portal berita pembangkang baru-baru ini, namun ia hanyalah satu pertemuan biasa.

Menurut beliau, pertemuan itu dibuat adalah di atas permintaan George Soros sendiri yang ketika itu ingin mengambil kesempatan untuk bertemu dan berbual dengan beliau.

"Saya anggap pertemuan itu tidak jadi satu masalah. Saya jumpa Soros selepas Tun Mahathir bertemu dengan beliau. Ia bukan satu masalah besar, apa yang penting ialah apa yang kita bincangkan. Dan kita bukan berbincang untuk gulingkan kerajaan atau untuk meminta bantuan kewangan.

"Ianya hanya satu perbincangan biasa. Lagipun, beliau (Soros) yang minta untuk bertemu dengan saya dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan dengan pertemuan itu," jelas beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Majlis Tertinggi Barisan Nasional di PWTC di sini, Jumaat malam.

Sebelum itu, Najib turut menjelaskan bahawa bajet 2013 yang dibentangkan oleh kerajaan baru-baru ini mendapat respon yang positif daripada rakyat berbanding dengan bajet Pakatan Pembangkang yang dibentangkan dua hari sebelum itu.

"Bajet yang dibentangkan oleh Pakatan Pembangkang tidak mendapat tumpuan, terutamanya daripada penilaian penganalisa ekonomi, yang merasakan bajet itu tidak dapat dipertahankan kredibilitinya,  termasuk dari segi kemampanan untuk melaksanakan segala janji-janji yang telah dimuatkan, sebab ianya boleh membawa kesan dan mudarat yang besar terhadap kewangan kerajaan dan keyakinan kepada ekonomi negara. Perkara ini telah pun dijelaskan oleh pemimpin-pemimpin kita," tegas beliau.

Justeru itu menurut beliau lagi, kerajaan akan terus menjelaskan kepada rakyat mengenai apa itu 111 cadangan atau touchpoint yang tersebut di dalam bajet 2013   satu persatu dan kerajaan beriltizam untuk melaksanakan segala janji-janji yang telah dibuat.

Selain itu, Najib turut menyentuh isu kabinet bayangan Pakatan Pembangkang yang menurutnya, merupakan satu helah pembangkang untuk mengelirukan rakyat.

"Dalam isu kabinet bayangan ini pun, mereka (pembangkang) bagi kenyataan yang bertentangan. Ada yang mendakwa itu adalah kabinet bayangan mereka dan masukkan di dalam blog.

“Dalam pada itu, ada pula diantara mereka yang kata itu bukan kabinet bayangan mereka. Ada yang kata kabinet bayangan ini tidak perlu dan hanya akan didedahkan kepada rakyat hanya sekiranya mereka memenangi PRU yang akan datang ini.

"Sebenarnya, ini adalah permainan pihak Pakatan Pembangkang untuk mengelirukan rakyat.Pada asasnya, kalau mereka tak boleh buat sesuatu yang memberi keuntungan politik kepada mereka, mereka akan cari pelbagai helah untuk kelirukan rakyat.

Dalam hal ini,  menurut Najib, menubuhkan kabinet bayangan merupakan satu keperluan dalam sistem supaya kabinet bayangan ini boleh menjadi satu punca atau asas untuk rakyat menilai pasukan pembangkang itu samada ianya berwibawa atau tidak.

"Namun dalam hal ini mereka tidak berbuat demikian, biarpun kabinet bayangan itu didedahkan namun ia boleh dipertikaikan dari pelbagai sudut antaranya jelas bahawa kabinet bayangan tersebut tidak menunjukkan penyertaan yang seimbang dan menyeluruh.

“ Ini termasuk  juga penentuan mengikut keluarga yang selalu dikatakan pada kita seperti nepotisme dan kronisme, namun apabila mereka melakukan perkara tersebut, mereka cuba pertahankan pula, " ujarnya. -MediaUMNO

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...