UMNO Online - “BN Tidak Akan Beri Laluan Mudah Dalam PRK Kajang – Muhyiddin” plus 2 more |
- BN Tidak Akan Beri Laluan Mudah Dalam PRK Kajang – Muhyiddin
- Kerajaan Kedah Tumpu Usaha Tambah Terusan Tingkatkan Pengeluaran Padi
- Sultan Azlan Shah Mahu Rakyat Terus Bersatu
BN Tidak Akan Beri Laluan Mudah Dalam PRK Kajang – Muhyiddin Posted: 03 Feb 2014 04:54 AM PST BANGI, 3 Feb – Barisan Nasional (BN) tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana calon lawan dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata walaupun ada pihak memberikan pandangan supaya BN tidak payah bertanding andai PRK DUN Kajang diadakan, amalan biasa BN ialah menawarkan peluang kepada pengundi untuk memilih calon. “Saya tak fikir kita (BN) nak bagi laluan mudah untuk pihak pembangkang bertanding sama ada (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim atau sesiapa sahaja (yang bertanding),” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan mengejut harga barang di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, di sini hari ini. Beliau berkata walaupun kerusi itu dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lalu, namun pengundi kawasan itu diberikan pilihan sekali lagi untuk memilih wakil rakyat mereka. Kerusi DUN Kajang kosong selepas anggota DUN itu Lee Chin Cheh dari PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas, dan pakatan pembangkang menamakan Anwar yang juga Penasihat PKR sebagai calon mereka jika pilihan raya kecil diadakan. Mengenai calon BN, Muhyiddin berkata ia akan diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tub Razak selaku pengerusi BN dengan mendapat pandangan daripada pemimpin parti komponen BN selepas pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). “Secara peribadi (tradisi) kawasan itu adalah kawasan MCA, ada yang berpandangan dengan kepimpinan baharu MCA, kemungkinan kita nak bagi peluang, nak menguji penerimaan pengundi disitu tentang kepimpinan baharu MCA,” katanya. Sementara itu, mengenai persekolahan empat anak pasangan Malaysia yang sedang ditahan di Sweden, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan hari ini telah mengeluarkan surat membolehkan mereka meneruskan pelajaran mereka. “Isu ini tidak jadi masalah bagi kita. Kita bagi segala tempat bagi mereka belajar di sekolah yang dekat dengan tempat kediaman mereka. “Kalau mereka kurang fasih Bahasa Melayu (BM), dalam tempoh pembelajaran nanti kita bagi sedikit penekanan supaya mereka boleh tumpu pada penguasaan BM,” katanya. Empat beradik itu, Aishah Azizul Raheem, 14, dan tiga adiknya Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba di tanah air Sabtu lepas. Mereka kini dijaga ibu saudara mereka di Kampung Bukit Tanah di Peringat, Kelantan. Bapa dan ibu mereka, Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman pihak berkuasa Sweden sejak 18 Dis lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.-MediaUMNO |
Kerajaan Kedah Tumpu Usaha Tambah Terusan Tingkatkan Pengeluaran Padi Posted: 03 Feb 2014 04:42 AM PST ALOR SETAR, 3 Feb – Kerajaan Negeri Kedah memberi tumpuan kepada usaha membina terusan baharu dan saluran air tambahan untuk kegunaan pengairan sawah bagi memastikan pengeluaran padi dan beras di negeri ini dapat ditingkatkan. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata sasaran kerajaan adalah untuk menambah 30 meter saluran air bagi setiap hektar, dan usaha itu dijangka memberi kesan positif kepada usaha penanaman padi. Katanya pelbagai pihak di Kedah telah mengesyorkan supaya dibina terusan baharu dan ia telah mendapat persetujuan dan bantuan kerajaan pusat. “Saya lihat ini (pembinaan terusan baharu) satu perkembangan positif untuk Kedah. Saya yakin hasil padi dari Kedah akan meningkat,” katanya kepada pemberita sewaktu lawatannya ke ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di sini hari ini. Mada merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang bertanggungjawab terhadap aktiviti penanaman padi di Kedah dan Perlis. Ia mempunyai empat wilayah dengan tiga daripadanya di Kedah. Mukhriz berkata selain itu, kerja penyelidikan dan pembangunan bagi penanaman padi perlu diteruskan bagi memastikan ia mampu meningkatkan pengeluaran padi secara berterusan. “Ia perlu berterusan (penyelidikan dan pembangunan). Ada pelbagai pihak, swasta, Mardi…kita terima pelbagai cadangan. Kita perhalusi setiap satu, macam teruskan padi hibrid dan macam-macam lagi. Hampir semua beri jaminan, benih-benih padi ini dikatakan mempunyai daya tahan daripada pelbagai penyakit,” katanya. Beliau berkata peranan Mada juga perlu dikembangkan lagi kerana Mada adalah agensi yang banyak menyumbang kepada jaminan bekalan padi dan beras di negara ini. “Melalui Mada, Kedah menjadi pengeluar terbesar (beras). Bagaimanapun, kini kita sudah terpaksa mengimport beras untuk keperluan kita sendiri,” katanya. Mukhriz berkata dalam usaha mengurangkan tindakan membakar jerami yang boleh mencemarkan udara setiap kali selepas musim menuai padi, kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang pendekatan yang lebih moden seperti yang dilakukan di Eropah dan Jepun untuk menangani masalah jerami. “Saya dikunjungi pelbagai usahawan yang ada teknologi bagi menggunakan jerami untuk dibuat ‘pallet’ dan bahan bakar. Ini dapat kurangkan kes kebakaran yang cemarkan udara. “Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa pembeli jerami dan sekam, demand menurun. Pembuat jerami dan sekam padi tak boleh cari pembeli. Ini kita akan beri perhatian untuk temukan pembeli dan pembekal,” katanya.-MediaUMNO |
Sultan Azlan Shah Mahu Rakyat Terus Bersatu Posted: 03 Feb 2014 04:35 AM PST KUALA KANGSAR, 3 Feb – Sultan Perak Sultan Azlan Shah mengingatkan rakyat supaya terus bersatu, hidup dalam muhibbah, rukun dan harmoni bagi membantu membina sebuah negara yang maju dan makmur. Pesanan itu disampaikan oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dalam titah ucapan baginda pada Majlis Kesyukuran 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini, hari ini. “Meskipun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika ini masih dinasihatkan oleh pakar-pakar perubatan untuk beristirahat, namun baginda mengikuti perkembangan yang sedang berlaku, malah keadaan rakyat jelata sentiasa berada dalam pemikiran baginda. “Sempena ulang tahun 30 tahun pemerintahan, baginda menitahkan dizahirkan tujuh peringatan,” titah Raja Nazrin. Baginda bertitah Sultan Azlan Shah mengingatkan tentang kepentingan berpegang kepada prinsip ketuhanan, menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta dengan memperlihatkan sifat kemanusiaan, kasih sayang sesama insan di samping tidak melakukan kemusnahan alam dan kezaliman sesama makhluk. Raja Nazrin bertitah peringatan kedua ialah keperluan mengamalkan sifat bersyukur dengan setiap nikmat anugerah Ilahi agar dikurniakan nikmat lebih besar, di samping menerima ujian dengan penuh ketabahan. Baginda bertitah Sultan Azlan Shah turut memberi peringatan bahawa setiap pangkat dan jawatan hendaklah dipenuhi dengan amanah serta sentiasa mengingati setiap akauntabiliti kepada rakyat. Sultan Azlan Shah turut mengingatkan supaya nikmat kekayaan sumber negeri dan negara diurus dengan cekap, jujur, telus dan berintegriti dengan menjauhi amalan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran agar negara dapat dimakmurkan dan kehidupan majoriti rakyat dapat disejahterakan. Peringatan baginda juga merangkumi aspek kepentingan mengutamakan perpaduan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai agama, berlatarbelakangkan pelbagai budaya dan bahasa. Raja Nazrin bertitah Sultan Azlan Shah turut memberi peringatan tentang kepentingan mengamalkan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang kerana undang-undang tidak sahaja perlu digubal tetapi lebih penting untuk dihormati, dikuatkuasakan secara adil tanpa diskriminasi atau prejudis. Dalam peringatan baginda, Sultan Azlan Shah turut menggariskan kepentingan pemerintah menyempurnakan amanah berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan yang berfungsi sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan. Raja Nazrin bertitah Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun menzahirkan terima kasih di atas perutusan ucap selamat serta doa berterusan daripada rakyat jelata ke atas kesejahteraan baginda berdua. “Majlis kesyukuran yang dilangsungkan hari ini, adalah atas titah baginda supaya dapat dizahirkan apresiasi baginda kepada seluruh rakyat yang telah membuktikan kesetiaan dalam tempoh tiga puluh tahun pemerintahan baginda,” titah Pemangku Raja Perak. Sultan Azlan Shah yang merupakan Sultan Perak ke-34 mula bersemayam di takhta pemerintahan pada 3 Feb 1984. Baginda adalah Sultan Perak kedua paling lama berada di takhta pemerintahan.-MediaUMNO |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment