Gelombang Rakyat

Gelombang Rakyat


59% KELUAR MENGUNDI HINGGA TENGAHARI TADI.

Posted: 05 May 2013 12:54 AM PDT



Hampir 59 peratus pengundi telah keluar mengundi sehingga jam 1 tengah hari tadi untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, peratusan ini akan meningkat sehingga jam 3 petang ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sebarang provokasi mengenai pengundi hantu tidak akan menjejaskan proses pengundian yang berjalan di seluruh negara.

"Kita belum dapat jangka statistiknya, tapi kita jangka sehingga pukul 1 tengah hari ini sebanyak 50 peratus pengundi yang keluar mengundi.

"Bagaimanapun yang timbul kata ada pengundi hantu itu, bagaimana mereka tahu itu pengundi hantu, walaupun muka mereka seperti 'bangla' tapi jika mereka warganegara ada kad pengenalan biru, itu hak mereka nak mengundi," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad turut menasihatkan supaya penyokong setiap parti tidak menimbulkan kekacauan yang boleh merosakkan perjalanan undi di seluruh negara.

Sementara itu, peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari ini berbeza mengikut negeri dengan Selangor mencatat 58.96 peratus atau 1.2 juta daripada 2.03 juta pengundi di negeri itu,

Di Negeri Sembilan setakat 1 tengah hari mencatat 58.35 peratus daripada 555,982 pengundi manakala di Melaka setakat 12 tengah hari mencatat 40 peratus daripada keseluruhan 424,519 pengundi berdaftar.

Di Perak, SPR negeri melaporkan sebanyak 30 peratus daripada 1.36 juta pengundi telah keluar mengundi setakat pukul 11 pagi.

Di Pahang, seramai 29.44 peratus atau 216,681 pengundi daripada sejumlah 736,111 pengundi juga telah mengundi sehingga 11 pagi.

Kelantan pula mencatat 13.19 peratus daripada sejumlah 918,573 pengundi sehingga 11.30 pagi.

Sementara itu, pusat pengundian di kawasan terpencil di Sabah iaitu di Kampung Mangkasulap, Beluran dan beberapa tempat di Penampang dan Kudat ditutup pada pukul 11 pagi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kia-kira 58.99 peratus daripada 7.6 juta pengundi di seluruh negara telah mengundi pada pilihan raya umum ke-13 setakat tengah hari ini.

Beliau memberitahu sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini hari ini proses pengundian di seluruh negara berjalan lancar dan berharap masih ramai pengundi yang akan keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebelum pusat
pengundian ditutup pada pukul 5 petang.

"Seramai 12,885,434 pengundi (pengundi biasa) akan mengundi pada hari ini di 8,245 pusat mengundi dengan 25,337 saluran mengundi. Sehingga jam 12 tengah hari, seramai 7,600,499 (58.99 peratus) pengundi biasa telah keluar mengundi.

"Setelah dicampur dengan jumlah pengundi awal dan pengundi pos, jumlah keseluruhan keluar mengundi ialah 7,916,703 (59.67 peratus)," katanya.

Abdul Aziz berkata sepanjang tempoh itu, tiada sebarang laporan insiden tidak diingini yang mengganggu proses pengundian di seluruh negara.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...