UMNO Online - “Kerajaan Lakukan Apa Sahaja Demi Pertahankan Kedaulatan, Keselamatan Negara – Abdul Rahim” plus 2 more

UMNO Online - “Kerajaan Lakukan Apa Sahaja Demi Pertahankan Kedaulatan, Keselamatan Negara – Abdul Rahim” plus 2 more

Link to UMNO Online

Kerajaan Lakukan Apa Sahaja Demi Pertahankan Kedaulatan, Keselamatan Negara – Abdul Rahim

Posted: 19 Jul 2014 10:12 PM PDT

KUDAT, 20 Julai – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata kerajaan akan berusaha melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Abdul Rahim berkata semua lapisan rakyat juga perlu bersatu hati dan memberi penuh kepercayaan dan sokongan kepada pasukan keselamatan yang bertanggungjawap menegakkan undang-undang, keselamatan dan kenteraman awam.

“Kita tidak boleh membenarkan anasir subversif luar dan dalam negara mengganggu gugat negara kita,” katanya ketika membuat lawatan ke kawasan operasi tentera di Pulau Mandidarah dan Balambangan di sini malan tadi.

Abdul Rahim yang juga Anggota Parlimen Kudat turut mengingatkan semua anggota tentera berkawal di pulau-pulau, khususnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), supaya tidak leka sebaliknya terus mempertingkat tahap
kesiapsiagaan bagi mengelak ancaman terhadap kedaulatan dan keselamatan negara.

Sempena lawatan itu, Abdul Rahim turut meluangkan masa menemui rakyat dan pengundi Parlimen Kudat di Pulau Balambangan, Tigabu dan Mandidarah serta menasihatkan penduduk agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai sebarang pergerakan mencurigakan.

“Jangan beri perlindungan kepada penjenayah rentas sempadan yang disyaki kerana tindakan cuai tersebut akan membahayakan rakyat dan negara,” katanya.

Pada majlis berkenaan Abdul Rahim turut menyampaikan bantuan sempena  Ramadan kepada 200 orang penerima.
Beliau juga menyampaikan bungkusan kuih raya kepada anggota tentera di sempadan yang bertugas di medan semasa Aidilfitri bagi mengawasi keselamatan negara.-MediaUMNO

Raja Muda Perlis Ingatkan Rakyat Tidak Gunakan Tragedi MH17 Untuk Gugat Perpaduan

Posted: 19 Jul 2014 10:08 PM PDT

KANGAR, 20 Julai – Rakyat diingatkan supaya mengetepikan segala anasir yang boleh menggugat perpaduan dalam menghadapi tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines (MAS) yang terhempas dan mengorbankan 298 nyawa di Ukraine, Khamis lepas.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah insiden tersebut adalah satu tragedi nasional yang merentasi sempadan agama, kaum dan kepentingan politik.

“Justeru, rakyat hendaklah mengetepikan segala anasir yang mengganggu kebersamaan kita sebagai rakyat Malaysia dalam menghadapi suasana seperti ini,” titah baginda.

Syed Faizuddin bertitah demikian pada majlis menzahirkan tandatangan pada kad ucapan takziah tragedi penerbangan MH17 dan penyerahan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Gaza di majlis berbuka puasa di Wisma Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kangar malam tadi.

Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Pengurus Besar TNB Perlis, Abdul Aziz Yaacob.

Baginda bertitah agama Islam mengajar umatnya mengucapkan perkataan yang baik dan mampu memberikan ketenangan kepada pihak yang berdukacita dan menerima musibah termasuk semasa menziarahi orang sakit, kematian dan lain-lain.

Pengguna laman sosial juga hendaklah lebih sensitif dengan perasaan pihak lain yang terbabit agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan, dalam keghairahan mereka hendak menjadi juara berita, titah baginda.

“Tragedi MH17 adalah takdir dan tidak dapat dielakkan selain menjadi isu antarabangsa dengan geopolitik yang agak kompleks. Kita perlu bijaksana dalam menghadapinya. Sebagai rakyat kita hendaklah bersabar dan berdoa agar para pemimpin berjaya menangani isu ini dengan baik agar hak dan kepentingan rakyat Malaysia khususnya
terbela,” titah baginda.

Syed Faizuddin berharap agar dalam saat seperti ini tiada mana-mana pihak memburukkan imej negara seperti menuding jari kepada MAS atau pihak lain yang berkewajipan.

Raja Muda Perlis bertitah baginda pernah berkhidmat sebagai Eksekutif di ibu pejabat MAS di Kuala Lumpur dari 1990 hingga 1995 dan kemudian sebagai Pengurus Kawasan di Eropah, iaitu Sepanyol dan kemudiannya di Switzerland dari 1995 hingga 2002.

Banyak rakan baginda yang masih berkhidmat dengan MAS dan diharap mereka terus komited, bersatu padu dengan semangat kekeluargaan dan setiakawan supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam mengharungi cabaran getir ini, titah baginda.-MediaUMNO

Sidang Parlimen Tergempar : Solidariti Demi MH17

Posted: 19 Jul 2014 05:39 PM PDT

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Sidang Parlimen tergempar Rabu ini bakal menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia yang pastinya terkesan dengan tragedi malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine, pada Khamis.

Bukan hanya Malaysia, malah seluruh dunia mengutuk keras tindakan ganas dan tidak berhati perut yang telah meragut nyawa 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan yang terdiri daripada pelbagai warganegara.

Kesatuan serupa dijangka ditunjukkan 222 anggota Dewan Rakyat untuk mengetepikan perbezaan politik dan menzahirkan solidariti rakyat Malaysia untuk mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas pesawat malang itu.

Menurut Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah, ini merupakan kali pertama sidang Parlimen tergempar dipanggil untuk membincangkan isu kemanusiaan membabitkan Malaysia dan kali kedua selepas usul mengecam serangan Rejim Zionis Israel di Gaza, diadakan pada 12 Jan 2009.

Roosme berkata semua anggota Parlimen telahpun dimaklumkan mengenai sidang tergempar itu melalui pelbagai medium komunikasi.
Bagaimanapun, setakat ini Majlis belum menerima usul rasmi yang akan dikemukakan kerajaan, katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan khas mengenai nahas MH17 yang disiarkan secara langsung di RTM1 pada Jumaat, mengumumkan untukmemanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas pesawat itu dan bagi menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap tragedi malang berkenaan.

Najib turut membayangkan tiga usul utama akan dibahaskan antaranya menuntut pihak terbabit menjamin keselamatan pasukan penyelamat dan penyiasat sepanjang operasi dijalankan selain memastikan urusan pengurusan mangsa berjalan lancar.

Kerajaan juga katanya mendesak pihak-pihak berkenaan agar tidak mengganggu dan mencemari bukti-bukti di tempat kejadian supaya kerja-kerja penyiasatan dapat dilakukan secara telus dan berkesan.

“Ketiga, jika siasatan membuktikan pesawat MH17 ditembak jatuh, Malaysia menuntut agar pihak yang bertanggungjawab dibawa terus ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam pada itu beberapa anggota Parlimen menyambut baik keputusan mengadakan sidang Parlimen khas itu, malah menyifatkannya sebagai langkah perlu.

Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) Sekijang, Annuar Abdul Manaf berharap pendirian dan ketegasan Malaysia yang akan disampaikan melalui sidang khas itu akan mendapat perhatian dunia.

“Kita mahu mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaku badan yang bertanggungjawab untuk keselamatan dunia memberi komitmen jitu untuk mencari jalan penyelesaian dan dalang di sebalik tragedi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga tidak mahu isu itu diambil kesempatan oleh negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Rusia untuk kepentingan masing-masing.

“Kita tidak mahu ada pihak yang sengaja menggunakan isu ini untuk mengalihkan perhatian dunia daripada isu Palestin dan Israel,” katanya yang berharap anggota Parlimen menunjukkan kata sepakat dalam isu itu.

Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata parti itu telah mengarahkan semua anggota Parlimennya untuk hadir.

“Kita harap untuk turut memberi pendapat dan pandangan mengenai langkah-langkah yang harus dilakukan,” katanya.

Katanya kerajaan diharap berlapang dada untuk mendengar pendapat anggota Parlimen daripada pelbagai latar belakang parti yang dipercayai ingin turut sama berkongsi pendapat.

Selain itu, PAS katanya turut menyambut baik keputusan kerajaan agar bendera negara dikibar separuh tiang di seluruh negara mulai malam ini sehingga Isnin depan (21 Julai) berikutan tragedi itu.

Anggota Parlimen DAP Dr Tan Seng Giaw pula berkata Malaysia perlu tahu punca sebenar tragedi dan menyifatkan pasukan siasatan antarabangsa yang bebas perlu dibenar membuat siasatan terperinci tanpa sebarang sekatan.

Sidang Parlimen tergempar itu akan bermula 10 pagi.- MediaUMNO

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...