UMNO Online - “Rahmat Bulan Ramadan Menyatukan Umat Islam Perlu Dimanfaatkan – Najib” plus 1 more

UMNO Online - “Rahmat Bulan Ramadan Menyatukan Umat Islam Perlu Dimanfaatkan – Najib” plus 1 more

Link to UMNO Online

Rahmat Bulan Ramadan Menyatukan Umat Islam Perlu Dimanfaatkan – Najib

Posted: 28 Jun 2014 03:16 AM PDT

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Umat Islam perlu memanfaatkan bulan Ramadan untuk memupuk semangat penyatuan dalam kalangan umatnya dalam satu agenda ibadah yang murni, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri dalam perutusan Ramadannya berkata selain itu, bulan Ramadan juga adalah bagi umat Islam memperteguhkan hubungan dengan Allah swt, serta hubungan silaturrahim dengan anggota keluarga dan masyarakat.

“Alhamdulillah, kita mengungkapkan rasa syukur ke hadrat Allah swt, dengan ihsanNya dapat kita bertemu lagi dengan Ramadan al-Mubarak yang penuh kemuliaan ini.

“Sesungguhnya, kehadiran Ramadan 1435 Hijrah ini sentiasa kita nanti-nantikan. Inilah masanya, kita mengambil peluang yang sangat bernilai untuk menghayati kemanisan beribadah mengabdikan diri kepada Allah swt,” katanya dalam perutusan yang dimuat naik di laman blognya www.1malaysia.com.my.

Perdana menteri berkata komitmen kesatuan itu juga perlu dikekalkan dengan penuh kepasrahan kepada Allah swt dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah Negara Islam moden yang progresif serta berstatus negara maju.

Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bahasa dan agama agar menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai penyatu dan pemandu keharmonian, sebagaimana ‘Sahifah Madinah’ menjadi pengikat dan penyatu kepada warga majmuk Kota Madinah dahulu.

“Ramadan adalah bulan kesabaran dan ketenangan. Bulan yang dipenuhi keberkatan dan keampunan daripada Allah swt. Semoga rahmat Ramadan yang hadir ini menjadi pemangkin perpaduan dan kemakmuran bagi meneruskan misi transformasi negara,” katanya.

Sempena bulan Ramadan ini, Najib mengajak umat Islam di Malaysia untuk menghiasinya dengan ibadah puasa, tilawah Al-Quran, berzakat, beriktikaf dan solat tarawih, selain tidak lupa untuk saling mendoakan kesihatan satu sama lain.

“Semoga Ramadan tetap menjadi bulan untuk kita mencipta kejayaan demi kejayaan pada masa mendatang. Diakhiri perutusan ini dengan harapan, semoga Ramadan kali ini akan memperkukuh kesatuan hati sesama kita dalam meninggikan kalimah Allah di bumi tercinta ini.

“Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa,” kata Najib.

Tingkatkan Amalan Kebaikan, Perkukuh Ukhuwwah Sempena Ramadan – Muhyiddin

Posted: 28 Jun 2014 03:11 AM PDT

PUTRAJAYA, 28 Jun – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh umat Islam di Malaysia supaya sentiasa meningkatkan amalan kebaikan dan memperkukuh ukhuwah antara satu sama lain sempena bulan Ramadan ini.

“Marilah kita bersama-sama mengimarahkan bulan yang penuh kemuliaan ini dengan pengisian yang bermakna dalam mengembangkan syiar Islam.

“Hidupkan bulan Ramadan dengan amalan-amalan mulia dan jauhi sengketa sesame kita,” katanya dalam perutusan sempena Ramadan di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata Ramadan membawa cabaran kepada semua umat Islam untuk ‘berperang’ dengan anasir-anasir yang boleh meruntuhkan kekuatan hati sehingga akhirnya memberi kesan kepada pembentukan ummah yang sejati.

“Kekuatan jiwa yang diuji sepanjang Ramadan hakikatnya adalah landasan untuk umat Islam di negara ini bersatu hati mengetepikan segala sifat mazmumah yang akhirnya membuka laluan untuk umat Islam menjadi umat terbaik atau khayra ummah seperti yang dituntut dalam al-Quran,” katanya.

Muhyiddin berkata Ramadan merupakan bulan untuk umat Islam meningkatkan amalan serta bermuhasabah diri dengan menginsafi penderitaan yang dialami oleh umat Islam khususnya di negara-negara yang sedang bergolak.

“Kehidupan yang dikurniakan Allah swt kepada umat Islam di negara ini adalah suatu rahmat serta nikmat yang amat besar nilainya kepada kita,” katanya.

Beliau menambah kehadiran Ramadan, bulan yang penuh berkat dan dilimpahi pelbagai rahmat-Nya menimbulkan rasa insaf serta dapat menambah sifat tawaduk, keimanan dan ketakwaan dalam kalangan umat Islam.

Muhyiddin berkata ia adalah tanggungjawab bersama untuk terus bersyukur kerana dikurniakan keamanan dan keharmonian untuk terus menjalani kehidupan lebih baik berbanding saudara seagama yang terpaksa mengharungi Ramadan dalam suasana negara yang tidak aman, berdepan masalah kekurangan makanan dan sekatan untuk mendapat bekalan.

Beliau turut mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

1 comment:

  1. Islam di mana mana di dunia ini memang tak pernah bersatu...lihatlah di Syria , Mesir , Iraq dan Malaysia sendiri...lebih lebih lagi dengan UMNO....mana Melayu/Islam boleh bersatu dengan UMNO....!!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...