UMNO Online - “Proposal For Automatic Voter Registration Being Studied” plus 9 more

UMNO Online - “Proposal For Automatic Voter Registration Being Studied” plus 9 more

Link to UMNO Online

Proposal For Automatic Voter Registration Being Studied

Posted: 30 Jun 2014 01:02 AM PDT

KUALA LUMPUR, June 30  - The government is still studying the proposal for automatic voter registration of citizens who reach 21 years-old, the Dewan Negara heard today.

Minister in the Prime Minister’s Department Datuk Seri Shahidan Kassim said an indepth study should be done as it involves many factors including amending Article 119 (1)(c) of the Federal Constitution which states the need for the  electoral roll.

“If the proposal (automatic voter registration) is to be implemented, it needs an indepth study before any amendments can be made to the existing provisions.

“However, until this study is done, the government has no plans to implement automatic voter registration,” he said in reply to Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader who asked about the government’s stand on the proposal for automatic voter registration of citizens who reach 21 years-old.

Article 119 of the Federal Constitution does not allow Malaysian citizens eligible to register themselves as voters to do so automatically.

It also said eligible voters must apply to register as voters and it is up to them to apply after reaching 21 years old.

Jadikan Formula ‘6K’ Untuk Gerak Kerja Mantapkan UMNO

Posted: 30 Jun 2014 12:57 AM PDT

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Ahli-ahli UMNO khususnya golongan muda perlu mengambil iktibar dan tauladan dengan mengaplikasikan enam formula (6K) yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Ketaatan, Kesetiaan, Keberanian, Kesetiakawan, Kebijaksanaan dan Keikhlasan sebagai azimat dalam meneruskan perjuangan, kata Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO, Haryaty Hamzah.

Katanya, apabila Datuk Seri Najib yang juga Presiden parti menekankan berkaitan enam formula tersebut maka tentunya ia perlu dimanfaatkan sebagai gerak kerja mantap untuk setiap peringkat di akar umbi.

"Sebagai pemimpin parti dan pemimpin negara beliau tahu apa yang terbaik untuk ahli-ahli UMNO apatah lagi beliau telah melalui proses kepimpinan sejak muda lagi yang pastinya kata-kata yang diucapkannya adalah satu garapan dari perjalanan yang telah dialuinya sendiri," katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, formula tersebut bukan hanya perlu difahami tetapi apa yang penting bagaimana cara untuk mengaplikasikannya agar UMNO tetap dalam landasan perjuangannya demia agama, bangsa dan negara.

"Datuk Seri Najib adalah orang yang banyak bergelumang dalam politik. Sebagai anak kepada pemimpin negara maka beliau juga memahami laluan berliku perjuangan bapanya dalam memastikan UMNO kekal kukuh.

"Enam formula ini adalah satu pegangan kepada generasi baru untuk lebih memahami perjuangan yang telah digariskan oleh UMNO iaitu sebagai parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu."

Selaras dengan itu, beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kota Melaka menyambut baik formula tersebut sebagai alternatif terbaik kepada pemimpin bawahan untuk memantapkan gerak kerja.

"Garapan formula Ketaatan, Kesetiaan, Keberanian, Kesetiakawan, Kebijaksanaan dan Keikhlasan ini perlu difahami dengan menjadikan setiap gerak kerja berlandaskan kepada apa yang telah dinyatakan.

"Formula ini lahir daripada pengalaman dan perjalanan politik yang telah dilalui sendiri oleh anak seorang pemimpin yang kemudiannya mewarisi tokoh kepimpinan itu untuk terus menjadi teraju kepada bangsa Melayu di negara ini."

Tambahnya, inilah ketaatan dan kesetiaan yang perlu difahami kepada perjuangan berlandaskan kepada keberanian dan kesetiakawanan.

"Jika mahu dilihat dalam keikhlasan, bagaimana perjuangan UMNO dapat memakmurkan negara dan kita sama-sama berkongsi kesenangan dengan bangsa lain malah berkongsi kuasa dalam Barisan Nasional (BN) dengan bangsa lain. Ini semua wujud atas rasa keikhlasan dalam UMNO."

Dalam hal tersebut beliau turut mengaitkan bagaimana keterbukaan UMNO berkongsi kuasa dengan terbaru melantik wakil MCA dan Gerakan dalam barisan kabinet Malaysia.

Minggu lalu, Najib menyebut berkaitan formula '6K' tersebut sebagai resepi kekuatan UMNO untuk terus kukuh dan kekal relevan dengan memberikan penerangan yang memastikan setiap anggotanya taat kepada Allah dan Rasul selain Ulul Amri iaitu pemimpin mereka manakala kesetiaan bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada negara sementara keberanian dalam perjuangan amat dituntut.

Formula untuk kesetiakawanan pula harus ada setiap masa dengan sifat kebijaksanaan dalam berdepan arus semasa selain sentiasa ikhlas dalam perjuangan. - MediaUMNO

1,000 Program Ihya’ Ramadan Dijalankan Di Melaka Sepanjang Bulan Puasa

Posted: 30 Jun 2014 12:55 AM PDT

MELAKA, 30 Jun  – Seribu Program Ihya’ Ramadan diatur sepanjang bulan puasa di surau dan masjid di seluruh negeri Melaka bermula malam ini sebagai suatu wadah pengisian dan perkongsian maklumat serta ilmu.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata kesemua program tersebut dibiayai melalui peruntukan berjumlah RM240,000 Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) negeri, Bank Islam, Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Program berkenaan akan dijalankan di 187 masjid dan 650 surau di 28 dewan undangan negeri di Melaka, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan di Masjid Nurul Hidayah Batu Berendam yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jasa Datuk Fuad Hassan di sini, malam tadi.

Katanya seramai 40 pegawai dan 56 pendakwah terlibat dalam program tersebut terdiri daripada pegawai JASA, Rumahku Syurgaku, JAIM, Jabatan Pelajaran dan pendakwah bebas.

Negara Huru Hara Jika Akta Hasutan Dimansuh – Dr Mahatihir

Posted: 30 Jun 2014 12:48 AM PDT

KUALA LUMPUR, 30 Jun  - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia boleh menjadi huru-hara sekiranya kerajaan meneruskan cadangan untuk menghapuskan Akta Hasutan 1948.

Beliau berkata ini kerana undang-undang baharu yang dicadang untuk menggantikan akta berkenaan tidak mampu untuk menghalang berbagai-bagai hasutan yang akan berlaku.

“Rakyat akan menerima berbagai-bagai hasutan, termasuk hasutan untuk meminda Perlembagaan Malaysia. Tidaklah mustahil mereka akan menghasut supaya institusi raja juga dihapuskan,” katanya dalam entri terbaharu blog beliau http://chedet.cc, hari ini.

Dr Mahathir turut menyifatkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri telah menyebabkan peningkatan pelbagai jenis jenayah di negara ini.

“Tetapi hasutan walaupun ada dilakukan (sekarang) tetapi tidak melampaui batas,” katanya.

Dr Mahathir berkata tanpa akta seumpamanya, pelampau di kalangan rakyat bebas mengkritik raja dan sistem beraja secara terbuka, dan akhirnya membuat desakan supaya institusi raja dihapuskan.

“Tidak ada undang-undang yang boleh menahan mereka setelah ISA dan Akta Hasutan dimansuh,” katanya sambil menambah bahawa di Malaysia tidak ada undang-undang yang boleh menghalang sebarang cemuhan dilakukan terhadap raja dan institusi raja seperti mana undang-undang ‘Lese Mejeste’ yang wujud di Thailand.

Beliau berkata walaupun ramai mungkin akan marah terhadap hasutan untuk menghapuskan sistem beraja, tetapi kerana hasutan dibenar, mereka yang berminat untuk mendirikan Republik Malaysia berhak dan bebas untuk meneruskan kempen mereka.

“Kemungkinan ialah huru-hara akan berlaku dalam negara. Inilah kesan dari sikap liberal yang kita agungkan sekarang,” kata beliau.

Kerajaan pada 30 Mei lepas mengumumkan cadangan memperkenalkan akta baharu bagi menggantikan Akta Hasutan dan mengesahkan menerima tiga draf rang undang-undang baharu berhubung keharmonian nasional.

Ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012 untuk menghapuskan akta kontroversi itu antaranya untuk meningkatkan kebebasan bersuara di kalangan rakyat.

Tiga rang undang-undang itu ialah Rang Undang-undang Harmoni Nasional, Rang Undang-undang Perpaduan Nasional dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional.

Dr Mahathir sebelum ini mengkritik cadangan memperkenalkan ketiga-tiga undang-undang baharu itu kerana disifat akan terus meminggirkan segelintir kaum selain menghapuskan kelebihan berdasarkan bangsa, agama, keturunan, tempat lahir, jantina atau mereka yang tidak berkemampuan.

Kerajaan Masih Kaji Pelaksanaan Daftar Pemilih Secara Automatik – Shahidan

Posted: 30 Jun 2014 12:12 AM PDT

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Kerajaan masih mengkaji cadangan pendaftaran pengundi secara automatik bagi warganegara yang mencapai umur 21 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya antara yang perkara yang perlu dipertimbang ialah Perkara 119 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan adanya daftar pemilih.

“Sekiranya cadangan (pendaftaran secara automatik) tersebut hendak dilaksanakan, ia memerlukan kajian yang lanjut dan mendalam sebelum sebarang pindaan dibuat pada peruntukan yang sedia ada,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.

Shahidan yang menjawab soalan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader juga berkata selagi kajian itu tidak dijalankan, kerajaan tidak bercadang melaksanakan pendaftaran automatik.

Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan antara lain menyebut seseorang rakyat Malaysia mesti memohon untuk mendaftar sebagai pemilih serta terpulang kepada warganegara itu untuk memohon selepas dia berumur 21 tahun.

Lebih 100,000 Pekebun Kecil Telah Terima Bantuan Khas RM500 – Shafie

Posted: 29 Jun 2014 11:34 PM PDT

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Kira-kira 42 peratus daripada 260,000 pekebun kecil di seluruh negara sudah menerima Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah setakat Jumaat lepas, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata agihan bantuan khas sebanyak RM500 seorang itu dilaksana bermula pertengahan Jun lalu dan dijangka selesai sebelum Aidilfitri ini.

“Kita berharap bantuan ini akan dapat meringankan beban keluarga pekebun kecil di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan pelancaran Laporan Awal Banci Pekebun Kecil Risda 2013 di sini, hari ini.

Menurut Mohd Shafie kerajaan memperuntukkan RM130 juta untuk bantuan khas yang dibayar secara ‘one-off’ itu.

Pekebun kecil yang layak menerima bantuan itu ialah rakyat Malaysia yang memiliki keluasan kebun di bawah 2.5 hektar serta berdaftar dengan Risda.

Kerajaan bagaimanapun memanjangkan bantuan itu kepada 43,000 penoreh getah yang tidak memiliki kebun menerusi peruntukan tambahan yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Mengenai Laporan Awal Banci Pekebun Kecil Risda 2013 itu, Mohd Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata laporan tersebut bertujuan memantapkan lagi pangkalan data Risda dan ia merangkumi maklumat terkini bilangan pekebun kecil getah serta kelapa sawit, pemilikan tanah dan taraf sosioekonomi mereka.

Katanya bancian itu menunjukkan setakat ini terdapat  437,773  pekebun kecil getah dan kelapa sawit di seluruh negara membabitkan kawasan seluas 1.1 juta hektar.

“Laporan bancian ini memberi gambaran jelas mengenai pembangunan industry getah dan kelapa sawit, selain dapat memudahkan kita menyusun atur bantuan dan latihan kepada kumpulan sasar,” katanya.

Laporan bancian tersebut adalah yang pertama melibatkan pekebun kecil getah dan kelapa sawit di Sabah dan Sarawak berbanding sebelum ini hanya dilakukan di semenanjung sahaja, katanya.

KDN Nafi Wujud Kes Culik Kanak-Kanak Untuk Penjualan Organ

Posted: 29 Jun 2014 10:58 PM PDT

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Kementerian Dalam Negeri menafikan laporan yang tersebar di media sosial kononnya terdapat kes penculikan kanak-kanak di Malaysia bagi tujuan penjualan organ manusia di dalam dan luar negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sehingga kini, pihak polis tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung kes penjualan atau pembelian organ berkenaan.

“Dakwaan terdapat kanak-kanak diculik dan organ mereka diambil untuk dijual seperti yang tersebar di laman sosial khususnya di Facebook dan WhatsApp sejak kebelakangan ini merupakan khabar angin semata-mata.

“Risikan mengesahkan tiada maklumat diperoleh sama ada di dalam atau di luar negara berkaitan sindiket penjualan atau pembelian organ oleh mana-mana pihak dari negara ini,” katanya pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Raja Roopiah Raja Abdullah yang ingin tahu mengenai dakwaan berkenaan serta apakah perancangan kerajaan untuk menangani masalah itu.

Wan Junaidi berkata menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, proses perolehan organ melibatkan prosedur klinikal yang perlu dijalankan dengan penuh teliti mengikut garis panduan tertentu dan dilakukan penuh terhormat, tidak seperti yang disebar dan digambarkan di dalam media sosial.

Katanya proses perolehan dan pemindahan organ melibatkan prosedur pembedahan yang kompleks dan ia memerlukan penglibatan pakar perubatan berkemahiran tinggi mengikut bidang kepakaran masing-masing seperti urologi (saluran kencing), pembedahan hepatobiliari (hati), kardiotorasik (jantung) dan anaestesiologi (organ dalaman) serta rawatan rapi.

Jelasnya, proses penyimpanan organ juga rumit iaitu disimpan di dalam cecair pengawet khas pada suhu yang tertentu supaya ia berada dalam keadaan optimum sebelum dipindahkan kepada penerima dengan secepat mungkin.

“Sekiranya tempoh masa untuk penyimpanan dan pemindahan organ tidak dipenuhi, organ yang diperoleh tidak dapat digunakan kerana ia tidak akan berfungsi dengan sepatutnya,” katanya.

Justeru Wan Junaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai maklumat itu yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab untuk menakutkan orang ramai.

Menjawab soalan tambahan Raja Roopiah mengenai jumlah kes culik kanak-kanak di Malaysia setakat ini, Wan Junaidi berkata Jan hingga Jun tahun ini sebanyak lima kes culik dilapor dan tiga daripada kes itu berjaya diselesaikan.

Masih Ramai Pelajar Persendirian Di Luar Negara Tidak Berdaftar – Hamzah Zainuddin

Posted: 29 Jun 2014 10:55 PM PDT

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata masih ramai pelajar persendirian di luar negara tidak mendaftar dengan Jabatan Penuntut Malaysia atau Kedutaan Malaysia.

Beliau berkata hal itu menyebabkan Kementerian Luar sukar mendapatkan jumlah sebenar pelajar persendirian di luar negara seterusnya memberikan perkhidmatan yang sewajarnya.

“Kita memang menyimpan maklumat pelajar kategori tajaan kerana mereka telah berdaftar tapi bagi kategori pelajar persendirian, hanya peratusan kecil yang berdaftar.

“Sebagai contoh di Indonesia, 2,340 daripada 5,082 orang adalah pelajar persendirian. Namun daripada mereka ini, lebih kurang 15 peratus sahaja yang berdaftar.

“Bukan hanya di Indonesia, begitu juga di United Kingdom dan di Amerika Syarikat yang mempunyai ramai pelajar persendirian tidak berdaftar,” katanya di persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Ahamat @ Ahamad Yusof yang ingin tahu sejauh mana kementerian mempunyai maklumat tentang pelajar persendirian di luar negara dan perkhidmatan kepada pelajar berkenaan.

FDI Menjunam… Guan Eng Patut Henti Cakap Besar Puji DAP Lebih Baik Dari BN

Posted: 29 Jun 2014 09:26 PM PDT

BUKIT MERTAJAM, 30 Jun – Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata  Ketua Menteri Pulau Pinang perlu membuktikan bahawa mereka adalah lebih baik, lebih habat daripada Barisan Nasional (BN) ketika BN memerintah Pulau Pinang dahulu.

Tegas beliau, Lim Guan Eng sering bercakap besar dan bermegah diri kononnya pakatan pembangkang adalah yang terbaik manakala BN dan UMNO tidak pandai mentadbir negara.

Justeru tambahnya jika benar DAP  jauh lebih baik daripada BN, mengapa pelaburan langsung asing (FDI) negeri tersebut terus menjunam semenjak bertukar pentadbiran.

"Semasa zaman BN memerintah dahulu, setiap tahun akan dibuat pengumuman mengenai jumlah pelaburan FDI. Rakyat akan mengetahui bahawa banyak pelabur melabur di Pulau Pinang.

"Tetapi Guan Eng tidak berbuat demikian. Mereka hanya membuat pengumuman pada tahun 2010 kononnya mereka berjaya membawa masuk pelaburan sebanyak RM10 bilion sedangkan itu adalah hasil BN.

"Jika benar dakwaan Guan Eng mereka hebat dan berjaya membawa pelaburan yang baik, mengapa ianya tidak berkekalan. Tahun demi tahun jumlah pelaburan FDI terus jatuh menjunam. Ini juga sebenarnya salah satu bukti bahawa kerajaan DAP hanya pandai memutar belit fakta dan menipu rakyat," jelasnya kepada UMNO-Online.

Tambah Musa yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Guan Eng hanya tahu memanipulasikan keadaan untuk mengelirukan rakyat.

Oleh kerana itu jelas beliau lagi, apabila sesuatu perkara itu tidak mendatangkan faedah kepada mereka maka perkara tersebut akan dirahsiakan.

“Pimpinan DAP akan terus mengunci mulut dan tidak akan memberi sebarang komen walaupun didesak berulang kali. Begitu juga yang terjadi terhadap pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Sehingga kini kita masih tidak mengetahui apakah status jawatan Guan Eng di dalam parti tersebut.

"Jawapan terhadap Pemilihan CEC terus menjadi tanda tanya. Tidak kurang juga jawapan terhadap kedudukan rumah mampu milik di Pulau Pinang malah janji manifiesto mereka juga terus menjadi tanda soal.

"Maka tidak hairanlah sekiranya dalam jumlah kutipan pelaburan FDI juga mereka cuba berdolak dalih. Sebab mereka memang pakar dalam mencipta alasan," ujarnya lagi. -MediaUMNO

Fahami Konsep Jihad Supaya Tidak Mudah Terpengaruh

Posted: 29 Jun 2014 09:04 PM PDT

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Umat Islam perlu memahami konsep jihad supaya tidak mudah terpengaruh dan ditipu dalam keterujaan mereka mahu berjuang untuk mendapatkan pahala.

Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata ramai memahami jihad dari pandangan orientalis yang mengaitkannya sebagai ‘The Holy War’, bermaksud menentang musuh bukan beragama Islam.

“Sebab itu jihad tidak sesuai untuk digunakan dalam konteks isu di Syria kerana melibatkan sesama Islam, dan adalah tidak adil untuk kita mengisytiharkan pihak yang ditentang sebagai bukan Islam,” katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Beliau menambah perkara itu juga selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud ‘apabila dua pihak Muslim bertemu (saling berbunuhan) dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh masuk neraka’, memandangkan yang dibunuh turut berniat untuk membunuh, cuma tidak berpeluang terlebih dahulu.

Bagi mereka yang berpegang kepada alasan mahu menentang pemerintah yang zalim untuk berjihad di Syria, Mohamad Shukri berkata perkara itu perlu dilihat dari konteks lebih mendalam pelaksanaannya.

“Jika perbalahan ini berlaku lebih lama, ia akan membawa kemudaratan lebih besar kepada penduduk di sana, khususnya kepada golongan wanita, kanak-kanak dan orang tua.

“Mengambil kira hal ini, kita boleh merujuk kepada pandangan bahawa apabila jika berlaku dua kemudaratan, maka kita perlu pilih yang mana lebih kecil kesannya, apatah lagi jika ulama di Syria sendiri telah meminta orang ramai untuk bersabar,” kata Mohamad Shukri.

Dekan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula berpendapat kekeliruan konsep jihad boleh mempengaruhi individu untuk terjerumus dalam kegiatan ekstremis.

“Umat Islam di negara ini perlu meningkatkan lagi kefahaman mengenai erti jihad untuk mengelakkan keliru sehingga menyebabkan mereka mengaplikasi konsep jihad pada landasan tidak tepat,” katanya.

Menyentuh pembabitan beberapa individu Malaysia di Syria, Mahmood Zuhdi yang juga Pengerusi Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berpendapat terdapat cara lain untuk umat Islam di negara ini berjihad.

Mahmood Zuhdi berkata ini kerana erti jihad adalah sangat meluas dan merangkumi pelbagai aspek termasuk pemikiran, tenaga, harta dan pendidikan.

“Di Malaysia juga boleh berjihad, walaupun caranya berbeza daripada pemahaman orang mengenai jihad di Syria. Sebagai contoh, umat Islam di sini boleh berjihad ekonomi kerana ekonomi kita masih lemah.

“Jihad untuk memupuk penyatuan antara ummah juga harus diberi tumpuan dan boleh dilakukan memandangkan perpaduan ummah di negara ini masih ada ruang untuk diperbaiki bagi melahirkan umat Islam yang mantap dan bersatu padu,” katanya.

Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin secara peribadi juga berpendapat umat Islam tidak seharusnya berjihad hingga ke Syria jika tidak mempunyai pemahaman yang jelas mengenai situasi di sana.

“Mereka mungkin mengalami masalah seperti kekangan bahasa menyebabkan terpaksa bergantung kepada perantara dan jika individu itu berbohong untuk menarik simpati, maka kita sudah terpedaya,” katanya.

Asri juga mengingatkan bahawa ulama di Syria yang menasihatkan umat Islam untuk tidak menyokong kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Levant (ISIL), kerana ia membabitkan peperangan sesama Muslim, yang tidak selari dengan konsep jihad.

“Agama kita juga menyatakan bahawa kita boleh mengkritik, membantah atau berbeza pendapat sesama Islam, tetapi tidak boleh berbunuhan sesama sendiri dan terdapat jalan lain untuk menyelesaikan apa jua perbalahan yang ada,” katanya.

Beliau menambah jika benar umat Islam mahu berjihad, mereka boleh melakukannya dalam isu yang lebih jelas seperti di Palestin, bukan hanya dari sudut tenaga, tetapi juga menghulurkan bantuan kewangan untuk masyarakat Islam di sana.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...