KUALA LUMPUR, 3 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail berkata, kini hanya tinggal 10 hari lagi bagi Pakatan Pembangkang mengemukakan sebarang bukti bagi mengesahkan dakwaan mereka berlakunya penyelewengan dan ketidaktelusan ketika berlangsungnya Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 baru-baru ini.
Menurut beliau, jika benar seperti mana dakwaan Pakatan Pembangkang berlakunya penipuan dan penyelewengan seperti pengundi hantu, 'blackout' dan sebagainya, maka mereka perlulah menampilkan bukti-bukti kukuh bagi menyokong dakwaan tersebut.
"Hari ini sudah terbukti, dakwaan mereka kononnya wujud pengundi hantu dari Bangladesh seramai 40,000 orang itu ternyata tidak benar dan disanggah sendiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh sendiri.
"Malah, dakwaan mereka berlakunya 'blackout' ketika waktu pengiraan undi juga dinafikan oleh calon-calon daripada Pakatan sendiri. Jadi, jika dalam masa terdekat ini, tidak ada sebarang bukti baru bagi menyokong dakwaan mereka, ternyatalah mereka ini memang suka menggembar gemburkan cerita yang tidak ada asasnya," ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Justeru itu, beliau yakin bahawa rakyat juga tertunggu-tunggu sebarang bukti berhubung penyelewengan yang berlaku ketika PRU ke 13 baru-baru ini di mana atas sebab itu, Ketua Pembangkang menghasut rakyat untuk berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan PRU ke 13 ini.
"Apa yang saya lihat, komen-komen dari pemerhati politik dan pemimpin negara luar juga mengiktiraf ketelusan sistem pilihanraya kita. Jadi saya tak tahu apa bukti dan dari mana bukti itu datang yang bakal dijadikan hujah Pakatan bagi menyokong dakwaan mereka itu.
"Mereka telah gagal untuk membuktikan dua perkara, iaitu isu pengundi hantu dari Bangladesh dan juga isu 'blackout' ketika pengiraan undi. Kini dalam tempoh 10 hari lagi, kita akan menunggu bukti dari Pakatan bagi dakwaan lain mereka itu. Saya yakin, rakyat di negara ini juga turut tertunggu-tunggu bukti-bukti tersebut," ujarnya.
Jika Pakatan Pembangkang gagal untuk membuktikan segala dakwaan mereka itu dalam tempoh yang telah diberikan, maka tegas beliau terbuktilah Pakatan Pembangkang hanya sengaja menimbulkan perkara tersebut untuk mengelirukan rakyat.
"Memang pembangkang kerjanya adalah mengelirukan rakyat. Bila rakyat keliru, maka senanglah mereka untuk meracuni pemikiran rakyat dengan memburuk-burukkan imej BN, kononnya tidak telus dan menipu dalam pilihanraya.
"Saya berharap agar rakyat di negara ini tidak menelan bulat-bulat apa yang dikatakan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Siasat dan teliti terlebih dulu. Saya yakin, rakyat akan dapat melihat sejauh mana kebenaran dakwaan mereka itu sekiranya setiap dakwaan pembangkang itu diteliiti dan dikaji dengan pemikiran yang rasional tanpa dipengaruhi emosi," ujarnya. -MediaUMNO
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment