CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


[PERANG AZMIN-KHALID MAKIN PARAH] Khalid kata Lantikan Saifuddin hak negeri, tak perlu penjelasan termasuk kepada Azmin

Posted: 05 Jun 2013 01:55 AM PDT



SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu memberikan penjelasan berhubung pelantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar kepada mana-mana pihak, seperti mana yang disuarakan oleh Timbalan Presiden PKR, Isnin lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri mempunyai kuasa melantik mana-mana individu yang layak untuk membantu menjayakan program kebajikan dan pembangunan luar bandar seperti mana yang termaktub manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada PRU13, 5 Mei lalu.

"Tak payah bincang (perjelas) apa yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk mencari cari individu yang punyai keupayaan untuk laksnakan manifesto yang telah kita bentangkan dalam PRU13 lalu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco Selangor, di Pejabat Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamed Azmin Ali yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor yang mendesak kerajaan negeri supaya memberikan penjelasan tentang pelantikan jawatan itu yang dikatakan setara dengan jawatan Setiausaha Politik Menteri Besar.

Sinar Harian memetik kenyataan Azmin yang berkata, pelantikan itu juga merupakan satu pembaziran wang rakyat susulan jawatan sama telah dijalankan sebelum ini oleh Faekah Husin.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Saifuddin bersama pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada minggu depan bagi
membincangkan pembangunan luar bandar yang akan diterajui Setiausaha Agung PKR itu.

Selain itu katanya, isu tuntutan Pas dan DAP terhadap jawatan yang setara dengan Saifuddin turut akan dibincangkan dalam pertemuan itu.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai status jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim di negeri itu, katanya beliau masih kekal sebagai Penasihat Ekonomi Selangor.

[[GEMPAR] Penghapusan Etnik Islam Rohingya BERLAKU DI MALAYSIA

Posted: 04 Jun 2013 10:21 AM PDT


KUALA LUMPUR 3 Jun - Polis bimbang berikutan empat kes pembunuhan melibatkan warga Myanmar di ibu negara dalam tempoh lima hari lalu yang disyaki mempunyai kaitan dengan pergaduhan antara penduduk beragama Islam dan Buddha negara itu.

Menurut sumber, sehubungan itu, polis kini sedang menyiasat satu kumpulan dikenali sebagai '969' terdiri daripada warga Myanmar beragama Buddha yang mempunyai misi untuk menghapuskan penganut agama Islam Rohingya yang menetap di negara ini.

Difahamkan, sehingga kini polis telah membuat tangkapan melibatkan 78 orang berhubung kes itu.

"Beberapa kematian membabitkan warga Islam Myanmar di ibu negara sejak beberapa hari lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan penghapusan etnik Rohingya beragama Islam di Myanmar.

"Warga Myanmar di sini didakwa telah dihasut untuk bangkit menghapuskan penganut Islam dari Myanmar yang tinggal di negara ini menerusi beberapa cara seperti pengedaran cakera padat video (VCD) yang mengandungi rakaman pembunuhan umat Islam Rohingya oleh tentera Myanmar," kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut sumber, untuk mengenali kumpulan anti-Islam Myanmar tersebut, mereka kerap memakai kemeja-T yang bertulis 969 dan setiap aktiviti dan pergerakan mereka dikatakan berpusat di tokong sekitar Puchong dan Kepong.

Faktor utama kawasan Selayang sering menjadi lokasi serangan dan pembunuhan warga Myanmar, sumber itu berkata, ia adalah disebabkan kawasan tersebut merupakan penempatan paling ramai warga Islam Myanmar dan Rohingya.

Dalam kejadian terbaharu, dua lelaki warga Myanmar maut dibunuh di Kampung Baru Ampang dekat sini pada pukul 7.40 pagi ini dan di Pasar Borong Kuala Lumpur, kira-kira 3 petang ini

Dalam kejadian di Ampang, mangsa ditetak sekumpulan lelaki yang dipercayai rakyat negara itu di sebuah pusat cucian kereta di Kampung Baru Ampang dekat sini pada pukul 7.40 pagi ini.

Mangsa berusia 20-an mati akibat ditetak di belakang badan serta leher oleh sekumpulan penyerang yang dipercayai lebih daripada 10 orang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Md. Nazri Zawawi berkata, ketika kejadian, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya dikatakan sedang tidur di dalam pusat mencuci kereta tempatnya bekerja sebelum didatangi lebih 10 lelaki lalu menyerangnya.

"Mangsa telah cuba lari untuk menyelamatkan diri namun dia rebah dan meninggal dunia tidak lama kemudian kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian. Dalam kejadian itu, dua rakan mangsa turut cedera di jari dan lengan," katanya di sini hari ini.

Di Pasar Borong Kuala Lumpur pula, mangsa diserang sekumpulan lelaki warga Myanmar dengan senjata tajam dan kayu sehingga cedera parah di perut dan kepala.

Menurut saksi, mangsa yang rebah di tempat kejadian kemudian ditemui orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur seterusnya disahkan mati di hospital berkenaan.

Sementara itu, pada Khamis lalu, seorang peniaga sayur warga Myanmar maut diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang ketika menaiki motosikal bersama seorang rakannya di pekarangan tempat letak kereta di Pasar Borong Selayang Baru dekat sini.

Sehari selepas kejadian itu, mayat seorang lagi warga Myanmar ditemukan dengan kesan kelar di leher di kawasan semak berhampiran Pasar Borong Selayang.

Farid Kamil patah bahu

Posted: 04 Jun 2013 10:03 AM PDT


PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah filem Farid Kamil Zahari, 32, berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan kecil pada bahagian bahu kiri akibat terjatuh daripada motosikal pada Sabtu lalu.

Hantaran Perkahwinan Farid-Diana
Jurucakap pihak pengurusan Metrowealth berkata, pelakon tersebut sudah dibenarkan pulang dan berehat di rumah pada Isnin lalu.

"Alhamdulillah kecederaan yang dialami tidak teruk dan selepas pembedahan kecil semalam (Isnin) dia dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat.

"Kecederaan bahu kiri itu disebabkan kesan luka lama ketika melakukan aksi lagak ngeri dalam filem Anak Jantan tahun lalu," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Tambahnya, Farid turut diberi rehat selama seminggu daripada sebarang penggambaran sementara laporan mengatakan bahunya patah adalah tidak benar.

"Farid kini sedang sibuk dengan drama Jodoh Itu Milik Kita terbitan Astro dan dia terpaksa rehat selama seminggu atas nasihat doktor.

"Insya-Allah dia akan pulih sepenuhnya beberapa hari lagi kerana kemalangan itu tidak terlalu teruk," katanya.

Pelakon Lagenda Budak Setan itu dilaporkan terjatuh ketika sedang menunggang motosikal mini Kawasaki KSR 10 di sebuah litar di Subang Jaya di sini.

Dia mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh sehari selepas kejadian kerana mengalami sakit pada bahu kiri.

TUN M: UMNO DAHULU DAN SEKARANG

Posted: 04 Jun 2013 03:41 AM PDT


1. Pada 11hb. Mei 2013, UMNO merayakan hari penubuhannya yang ke 63 dengan sembahyang dan tahlil, ucapan bersemangat dari Presiden Najib Tun Razak dan majlis makan malam. Tetapi UMNO pada 2013 ini bukanlah sama dengan UMNO 1946.

2. Pada 1946, pengasas UMNO yang berkumpul di Johor Baru bersemangat untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari kehilangan bangsa mereka, dari kehilangan tanahair mereka, dari menjadi rakyat sebuah tanah jajahan British dan hilangnya Melayu di dunia.

3. Perjuangan pemimpin dan ahli pengasas UMNO pada masa itu ialah untuk bangsa, agama dan tanahair. Tidak ada tujuan lain yang menggerakkan mereka, sudah tentu tidak ada kepentingan diri atau niat untuk jadi pembesar negara merdeka dengan upah yang lumayan.

4. Oleh kerana itu mereka dihormati, dialu-alukan dan disokong oleh hampir semua orang Melayu. Mereka adalah pejuang dan jaguh dan orang Melayu datang berduyun-duyun untuk menyertai parti UMNO yang ditubuh oleh mereka.

5. Maka bersatulah Melayu, tanpa mengambilkira pangkat dan darjat, tanpa mempedulikan berpelajaran Melayu, Inggeris atau agama. Mereka semua Melayu samada dari negeri-negeri yang berlainan, dengan raja yang berlainan, atau apa-apa lain yang membezakan mereka.

6. Dan berbaris padat dan rapatlah mereka untuk perjuangan yang suci, perjuangan untuk menyelamatkan bangsa mereka, agama mereka dan negara mereka. Mereka tidak takut, tidak gentar dalam menghadapi kuasa besar British.

7. Dan berjayalah mereka dengan menewaskan Malayan Union, usul satu penjajah terkemuka, satu dari pemenang perang besar dunia. Dan terdirilah negara bangsa Melayu yang merdeka yang dikenali secara rasminya Persekutuan Tanah Melayu. Nama Federation of Malaya ialah terjemahan kepada Bahasa Inggeris dan dianggap oleh orang Melayu sebagai bukan nama rasmi.

8. Itulah UMNO enampuluh lebih tahun dahulu. Mereka disanjung, didukung oleh semua yang berbangsa Melayu di negeri-negeri Melayu dan di mana-mana ada orang Melayu.

9. Tetapi tidak pada hari ini. Sekarang UMNO tidak lagi dipandang tinggi dan tidak lagi disokong seperti dahulu. Sesungguhnya ramai orang Melayu meluat dengan UMNO, anggapnya tidak lagi relevan dan perlu ditolak pun.

10. Kenapa?. Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu hati, untuk poket sendiri.

11. Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar, kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. UMNO adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain, terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO. UMNO adalah untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua bahagian. UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi.
12. Apa itu perjuangan untuk bangsa, agama dan tanahair! Bukankah yang sudah ada dalam UMNO, sebagai pemimpin atau ahli biasa terdiri dari bangsa Melayu, yang beragama Islam. Perjuangan untuk diri mereka bermakna perjuangan untuk bangsa mereka, bangsa Melayu, agama mereka, agama Islam. Oleh itu perjuangan untuk bangsa, agama dan negara sedang diteruskan, tanpa penyertaan Melayu lain.

13. Kesannya ialah hari ini ahli tidak bertambah selaras dengan pertumbuhan jumlah orang Melayu. Dan mereka terutama yang berkebolehan, yang berbakat tidak dibenar masuk UMNO lagi.

14. Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan disbanding dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam UMNO mestilah melalui cawangan, yang boleh masuk UMNO ialah yang kurang berkebolehan dari ketua cawangan.

15. Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya. Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya. Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap kali pengganti mengambil alih.

16. Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti. Semakin lama semakin kurang pemimpin UMNO yang berbakat. Semakin lama semakin kurang ahli yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU. Calon payung terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga akan terdiri dari yang tidak berkebolehan.

17. Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan.

18. Melihat UMNO hanya berjuang untuk diri sendiri semata-mata, dan tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanahair, orang Melayu tidak lagi nampak kenapa mereka harus sokong dan jayakan semasa PRU orang yang utamakan kepentingan diri sendiri sahaja. Jika ada sahaja parti lain, mereka akan sokong parti itu. Hanya jika parti lain lebih buruk baharulah sokongan kepada UMNO diteruskan. Inilah yang berlaku pada PRU 13.

19. Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih menjadi parti yang menang terbanyak dalan PRU 13. Tetapi ini bukan kerana orang Melayu masih sokong UMNO. Sebenarnya kemenangan UMNO dalam PRU 13 disebabkan mereka tidak ada pilihan. Mereka amat takut kalau-kalau Anwar Ibrahim menang bersama dengan DAP. Akan hancurlah harapan orang Melayu sama sekali. Seburuk-buruknya UMNO, ia masih berbau Melayu, masih lebih mungkin memelihara kepentingan orang Melayu. Justeru itu tidak ada pilihan bagi orang Melayu jika tidak sokong UMNO. Namun demikian dalam PRU 14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan. Jika UMNO tidak bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin mencari jaguh yang lain.

20. Demikianlah riwayat dan sejarah sebuah parti politik yang lupakan usul-asal dan sebabnya ia ditubuh. Demikianlah berakhirnya perjuangan yang lari jauh dari matlamat asalnya. Dahulu lain, sekarang lain. Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan selama-lamanya. Dahulu dahulu, sekarang sekarang. Hanya berharap kepada kata-kata hikmat Hang Tuah, "Tak akan Melayu hilang di dunia" tidak mencukupi. Mungkin Melayu tidak akan hilang di dunia, tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini. Apakah mereka terdiri dari pencuci kasut, pemandu kereta, kuli yang terbongkok-bongkok menyembah bangsa lain yang menjadi Tuan mereka. Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi cerita dongeng dalam buku kanak-kanak dizaman akan datang.

21. Inilah masa depan yang menunggu UMNO. Inilah masa depan sebuah parti yang cemerlang tetapi sudah hilang kegemilangannya. Inilah masa depan bagi yang tidak mahu sedar dan tidak mahu membetulkan diri.

22. Kata seorang penulis sajak di zaman dulu, "tidak ada yang lebih menyayat hati dari melihat bangsa ku dihina dan ditindas oleh orang".
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...