CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


MB TERENGGANU puji sikap profesional pembangkang

Posted: 16 Jun 2013 02:56 AM PDT


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said memuji sikap wakil rakyat pembangkang yang profesional dan menghormati Dewan Undangan Negeri (Dun) pada majlis angkat sumpah Yang Dipertua Dewan dan persidangan pertama bagi penggal ke-13 hari ini.
  
Ahmad berkata berdasarkan sikap pembangkang itu, beliau yakin dan percaya segala urusan persidangan dewan akan berjalan lancar.
  
"Pembangkang pada hari pertama ini telah menunjukkan kerjasama yang baik dan saya harap ia berkekalan hingga ke akhir sidang nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah itu.
  
Seramai 15 wakil pembangkang iaitu 14 dari Pas diketuai Adun Wakaf Mempelam Mohd Abdul Wahid Endut dan seorang lagi dari PKR, Azan Ismail (Dun Bandar)
mengikut tertib serta peraturan dewan.
  
Ahmad berkata pada 2008, wakil Adun Pas pernah mencetus kontroversi apabila membuat tambahan kepada skrip angkat sumpah ketika majlis berlangsung.
  
"Alhamdulillah, hari ini perkara seumpama itu tidak berlaku, sekali gus membolehkan majlis angkat sumpah pada hari pertama dewan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah," katanya. 
  
Esok, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka berangkat merasmikan persidangan pertama Dewan ke-13.

[SAHAM AKHIRAT] AHLI KORPORAT 'MISTERI' TAJA 120 Orang Termasuk 35 Artis Tunai UMRAH

Posted: 15 Jun 2013 11:41 PM PDT

ROMBONGAN artis jemaah umrah mendengar penerangan sebelum berlepas.

Kuala Lumpur: Bukan dua atau tiga tetapi 120 orang, termasuk 35 artis, mendapat 'rezeki terpijak' apabila ditaja seorang ahli korporat 'misteri' untuk menunaikan umrah secara percuma.

Turut mendapat habuan ialah penduduk dan pelajar kurang kemampuan sekitar Pulau Indah, Klang, yang berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang ke Jeddah, Arab Saudi pada pagi Selasa lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 22 Jun ini.

Rombongan artis diketuai Datuk Zulkifli Zain. Ini julung kali ada pihak sanggup melabur sejumlah wang begitu banyak untuk menaja artis.

Jika mengambil kira kos satu kepala jemaah RM7,000, bermakna RM840,000 dibelanjakan untuk rombongan umrah ini.

 Lebih menarik, ahli korporat berkenaan tidak mahu menonjolkan diri dengan kerja amal itu, bagaikan mahu melabur saham ke syurga.

PEMBUNUHAN NGERI di Felda Sahabat 10, Lahad Datu, pagi semalam TIADA KAITAN DENGAN SULU

Posted: 15 Jun 2013 08:27 PM PDT


SHAH ALAM - "Saya menafikan sekeras-kerasnya pembunuhan lelaki ini ada kaitan dengan dendam yang dibuat oleh kaum Sulu."

Itulah kenyataan yang dibuat Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Shamsudin Mat mengenai kes kematian seorang lelaki di Felda Sahabat 10 di Lahad Datu, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berumur 27 tahun ditemui mati oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Fajering di atas jalan raya, kira-kira 1.5 kilometer daripada Balai Polis Cenderawasih.

Katanya, daripada laporan tersebut, sepasukan anggota forensik daripada Balai Polis Cenderawasih bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, berdasarkan siasatan forensik mendapati kepala mangsa pecah dan terdapat kesan lubang di bahagian perut sebelah kanan.

"Kami percaya bahawa mangsa ditikam di perut dengan senjata tajam," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Harian.

Susulan kes tersebut, seorang lelaki yang berumur 39 tahun dipercayai suspek kes ini ditahan bagi membantu siasatan.

"Suspek dipercayai orang terakhir bersama mangsa kerana suspek dipercayai datang ke rumah suspek di Felda Sahabat 42 untuk mengajak suspek keluar ke kedai untuk minum.

"Selain itu, terdapat kesan darah di bawah kenderaan suspek dan pihak polis merampas kenderaan milik suspek," katanya.

Shamsudin berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Katanya, pihak polis masih lagi menyiasat motif kes ini dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

[ADUHAI SELANGOR] Lelaki CURI PASIR Untung RM300,000 SEHARI

Posted: 15 Jun 2013 07:04 PM PDT


HULU LANGAT 15 Jun - Hanya berbekalkan jentera pengorek terpakai tanpa mengeluarkan sebarang modal, seorang lelaki yang menjalankan kegiatan mencuri pasir di kawasan rekreasi Sungai Batang Si, Kampung Pasir Baru, Semenyih di sini mampu memperoleh keuntungan mencecah kira-kira RM300,000 sehari.

Keuntungan lumayan tersebut menyebabkan lelaki terbabit tidak serik melakukan kegiatan haram berkenaan walaupun pernah dikenakan tindakan kompaun oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat baru-baru ini.

Lelaki berusia 54 tahun itu dipercayai berani meneruskan kegiatan mencuri pasir di kawasan tersebut kerana perbuatannya dilindungi kumpulan samseng dan pihak tertentu yang dipercayai penyokong sebuah parti setelah dibayar sejumlah sogokan.

Perbuatan mengorek pasir tanpa permit yang berterusan dilakukan oleh lelaki berkenaan terbongkar apabila dia sekali lagi disoal siasat dan sebuah jentera pengorek bernilai kira-kira RM60,000 miliknya disita semalam.

Tindakan itu dilakukan oleh pegawai penguat kuasa dari Pejabat Tanah dan Galian Selangor bersama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan laporan polis yang dibuat oleh sekumpulan penduduk dari Kampung Pasir Baru kelmarin.

Seorang penduduk, Mohd. Azmer Shah, 21, mendakwa, perbuatan mengorek pasir tanpa permit di kawasan sungai tersebut mendedahkan kira-kira 1,000 rumah penduduk kampung dan lebih 100 penghuni rumah murah di Kampung Pasir Baru diancam banjir.

"Lelaki terbabit yang menjalankan kegiatan mengorek pasir bersendirian dan menjual pasir yang belum diproses kepada syarikat pengusaha pasir dengan harga RM400 satu lori di sungai ini sejak seminggu lalu.

"Disebabkan mahu mengorek pasir, dia telah memecahkan benteng penghalang banjir yang dibina penduduk kampung mengakibatkan berlaku kejadian banjir apabila hujan lebat selepas itu," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui semalam.

Seorang lagi penduduk, Fakhrul Alma, 29, berkata, kegiatan mengorek pasir secara haram itu bukan sahaja mengakibatkan banjir tetapi memusnahkan alam sekitar apabila sungai yang menjadi tumpuan penduduk kampung dan pengunjung luar untuk mandi-manda serta memancing tercemar.

Katanya, kehadiran berpuluh-puluh lori mengangkut pasir setiap hari melalui kawasan perkampungan tersebut juga membahayakan murid di Sekolah Rendah Agama Kampung Pasir Baru.

Fakhrul berkata, kebimbangan itu menyebabkan mereka nekad menemui lelaki terbabit semalam bagi mendesaknya menghentikan kegiatan mengorek pasir di situ, namun malangnya dia berdegil dan bersikap kasar sehingga memaksa penduduk kampung membuat laporan di Balai Polis Semenyih.

Seorang pemilik ladang lembu dan kolam ikan, Remy Adnan, 48, memberitahu, Sungai Batang Si bukanlah lokasi pertama dijadikan sasaran mencuri pasir oleh lelaki berkenaan kerana kegiatan haram itu turut dijalankan di tempat lain di sekitar Semenyih.

"Saya difahamkan lelaki terbabit baru sahaja mendapatkan semula jentera pengorek pasir yang disita oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat pada tiga bulan lalu tetapi tidak serik apabila menukar lokasi mencuri pasir di Sungai Batang Si.

"Dalam tempoh seminggu dia mengorek pasir di situ, saya ditimpa masalah apabila berlaku dua kali kejadian banjir yang menghanyutkan ikan ternakan manakala gerai makanan diusahakan saya turut terjejas," katanya.

Tambah Remy, dia turut menanggung kerugian apabila jambatan yang dibina dengan wang sendiri bagi menghubungkan ladangnya ke jalan besar rosak dilalui oleh lori pengangkut pasir.

Sementara itu, suspek dilihat menangis dan merayu kepada pegawai penguat kuasa meminta agar jenteranya tidak disita semasa ditahan dan disoal siasat.

Dia akhirnya terpaksa akur apabila jentera pengoreknya dirampas dan disiasat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang membawa hukuman denda maksimum RM25,000 sekiranya didapati bersalah mengeluarkan pasir secara tidak sah.


[KERJA GILA] Akmal Fizani 10 Tahun Turut di Tahan Bersama Keluarganya dalam 'Flashmob' Depan Sogo Petang Tadi

Posted: 15 Jun 2013 05:44 AM PDT


Akmal Fizani 10 Tahan Yang Di Tahan Bersama Keluarganya 'Flashmob' Depan Sogo Sebentar Tadi... Kini Berada Di Balai Polis Dang Wangi...

 KUALA LUMPUR - Lima belas individu termasuk kanak-kanak lelaki 10 tahun ditahan selepas ingkar arahan bersurai dalam perhimpunan di hadapan pusat membeli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata 13 lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak itu ditahan dalam perhimpunan bermula pukul 2 petang.
 
"Kita tahan mereka kerana tidak mahu bersurai bila diarahkan dan membuat gangguan awam di hadapan pusat membeli belah itu. Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman," katanya.
 
Difahamkan, perhimpunan tersebut diadakan bagi menggesa orang ramai menyertai satu lagi perhimpunan di Padang Merbok, di sini 22 Jun depan untuk membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
 
Sementara itu, Zainuddin berkata seorang wanita yang memberi keterangan berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, akan dibebas dengan jaminan petang ini.
 
Wanita itu tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pukul 1.15 petang tadi bersama peguamnya.
 
Beberapa laporan polis dibuat selepas komen yang dikatakan menghina titah ucapan Tuanku Abdul Halim sempena hari keputeraan Seri Paduka pada 1 Jun lepas tersiar di laman sosial.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...