Gelombang Rakyat

Gelombang Rakyat


HARI BERSEJARAH - KEJUTAN DI HARI PENAMAAN CALON.

Posted: 19 Apr 2013 05:41 PM PDT




Hari ini, merupakan hari bersejarah, di mana semua calon yang dilantik akan menyerahkan borang penamaan calon di pusat penamaan calon, seluruh negara.

Dijangka terdapat banyak kawasan akan menyaksikan pertarungan tiga penjuru dan mungkin lebih, ini kerana berdasarkan laporan dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lebih 900 borang 4 dan 4A telah dibeli oleh calon Bebas, sejak kelmarin.

Hari ini juga dijangka akan berlaku pertukaran calon di saat-saat akhir oleh Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Rakyat (PR), yang akan memberi sedikit kejutan pada permulaan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pertukaran ini dibuat berkemungkinan akibat desakan oleh ahli dan penyokong di peringkat akar umbi yang mahu calon digantikan dengan pemimpin yang lebih dekat dengan mereka.

Selain itu ia mungkin disebabkan calon yang dilantik menarik diri dari bertanding kerusi dicadangkan parti.

Sebagai contoh, pertukaran yang berlaku bagi kerusi Dun Seri Setia, calon BN Datuk Dr Tengku Rethwan Tengku Mansor dilaporkan menarik diri daripada bertanding PRU13 dan kerusi tersebut akan digantikan oleh Datuk Abdul Halim Samad.

18 April lalu, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob turut mengumumkan tiga pertukaran calon BN di negeri itu membabitkan Parlimen Lipis, Dun Padang Tengku dan Dun Bebar.

Bagi Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad akan menggantikan calon sebelum ini iaitu Datuk Shahrom Osman, manakala tempat Abdul Rahman di Dun Padang Tengku digantikan oleh Datuk Mustapa Long.

Sementara itu, calon asal Dun Bebar Ibrahim Awang Ismail, digantikan oleh Mohd Fakruddin Mohd Arif.

Selain itu, kejutan yang terbesar yang pasti memberi satu sejarah buat PR dalam PRU kali ini adalah isu logo DAP yang dijangka tidak akan digunakan oleh parti itu.

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan calon-calon DAP akan membawa dua watikah lantikan dari DAP dan satu lagi dari rakan komponen PR, iaitu Pas bagi Semenanjung dan PKR bagi Sabah.


ISU SURAT YUSUF AL QARDHAWI - PKR BANTAH KEPUTUSAN MAJLIS SYURA PAS.

Posted: 19 Apr 2013 06:23 AM PDT

K


Tindakan mengheret ulama Yusuf Qardhawi dalam kancah PRU 13 semakin hangat tatkala Pimpinan PKR dilihat tidak mengiktiraf keputusan Majlis Syura PAS yang tidak membenarkan surat tokoh Ulama' Antarabangsa itu dijadikan bahan kempen politik pada PRU13.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah menegaskan PKR akan tetap mengedarkan surat berkenaan kepada rakyat sebagai tiket paling efektif mengembalikan sokongan dari pengundi.

Nurul juga mendakwa surat itu yang dikatakan memberi sokongan mutlak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri pembangkang, dihantar oleh Qardhawi bukan sahaja kepada PKR, tetapi juga kepada PAS.

"Itulah istimewanya dengan Dr Yusuf Qardhawi kerana beliau sebagai pemimpin Islam yang ulung, dia dapat berinteraksi dan memberikan surat tersebut kepada semua pimpinan PAS, Keadilan dan juga DAP untuk menyatakan kepercayaan beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Nurul kepada Antarapos.

Ketika ditanya mengenai kewujudan surat itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini berkata Qardhawi tidak harus diheret dalam kancah politik tanah air.

"Beliau (Yusuf Qardhawi) tidak mengundi di sini, beliau rakyat Qatar, yang berhak ialah pengundi-pengundi," kata Hadi.

Selain Hadi,  pelbagai pihak turut mempersoalkan kesahihan surat berkenaan selain menyifatkan sebarang cubaan untuk meraih sokongan Qardhawi sebagai tindakan terdesak Anwar untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Surat itu juga dilihat sebagai usaha PKR menangkis tindakan PAS enggan memberi sokongan terbuka kepada Anwar untuk dilantik menjadi PM sekiranya pembangkang menang pilihan raya umum.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu mengikut amalan lazim bahawa jawatan PM hanya akan diisi oleh pemimpin daripada parti yang paling banyak memenangi kerusi.
  .
Nurul berkata surat itu adalah bukti keprihatinan Qardhawi terhadap perkembangan dalam Pakatan Rakyat.

"Saya harap pihak media dapat juga menunjuk kepada rakyat versi asal Bahasa Arab dan juga terjermahan (Bahasa Malaysia). Ini penting (untuk) menunjukkan betapa prihatinnya beliau (Qardhawi) terhadap masa depan dan juga kepimpinan dalam Pakatan Rakyat," kata Nurul.

"Beliau (Qardhawi) rasa (kepimpinan Pakatan) harus utuh untuk melawan kebejatan yang sedia ada," katanya.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengesahkan surat Qardhawi itu akan disebarkan, khususnya untuk menarik sokongan pengundi Melayu, meskipun PAS tidak mahu ulama itu diheret dalam isu calon Perdana Menteri pembangkang.

Nurul menzahirkan pendirian tegas PKR itu dan menolak anggapan pihaknya memperalatkan surat berkenaan.

"Bukan isu guna (surat sokongan Qardhawi) tetapi pada saya itu adalah kewajipan kita, setiap seorang rakyat itu ialah kewajipan untuk memaklumkan kepada yang lain tentang surat tersebut, jadi insya-Allah kita teruskan," katanya.

Bulan lalu, Qardhawi turut mengutus surat kepada Najib, memuji beliau di atas lawatannya ke Gaza untuk memberikan sokongan nyata kepada perjuangan rakyat Palestin. Lawatan Perdana Menteri itu telah dicemuh oleh Anwar sebagai gimik politik.

Dalam pembuka kata surat itu, Qardhawi berdoa agar Allah mengurniakan keberkatan serta rahmat kepada Najib dalam melaksanakan tanggungjawab mencapai matlamat kemajuan, kestabilan dan keselamatan rakyat Malaysia dan global.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...