IPOH 6 Dis. - Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan mengesahkan pengumuman Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), mengenai baki hutang Talam Corporation Bhd. (Talam), kurang RM121 juta daripada hutang asal RM236 juta menimbulkan banyak persoalan.
Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong berkata, Abdul Khalid sepatutnya memberikan penjelasan berhubung isu hutang itu termasuk menjawab sama ada siasatan lanjut mengenainya masih berjalan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Abdul Khalid seperti cuba mengelak daripada menjawab persoalan berkenaan apabila meminta beliau membuat laporan mengenai perkara tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti.
"Berdasarkan pengumuman itu, siasatan lanjut diteruskan. Ini juga menunjukkan Menteri Besar Selangor tidak sedar apa yang beliau sedang lakukan.
"Sebab itu, beliau tidak mengatakan tiada masalah sedangkan kertas putih Kerajaan Negeri Selangor sudah keluar. Kenapa beliau tidak ada keyakinan untuk menyatakannya, apatah lagi ini bukan melibatkan RM1 atau RM2 juta tetapi RM121 juta," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) Pasar Mini Chop Sing Cheong di Taman Pasir Putih Selatan, di sini hari ini.
Semalam, Abdul Khalid enggan mengesahkan pengumuman KHSB berhubung hutang Talam masih berbaki RM115 juta sebaliknya meminta Tee Yong melaporkan mengenai pengurangan hutang Talam sebanyak RM121 juta itu kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Beliau juga mendakwa Tee Yong mengeluarkan kenyataan tanpa kajian terperinci mengenai pendedahannya itu.
Mengulas lanjut Tee Yong berkata, soalan yang dibangkitkan adalah adakah hutang sebanyak RM121 juta itu telah dilupuskan semasa pengesahan hutang yang perlu dibayar oleh Talam selepas pengambilalihan syarikat itu oleh Kerajaan Negeri Selangor.
"Inilah persoalannya. Mungkin hanya Kerajaan Negeri Selangor atau KHSB tahu apa yang mereka sedang buat sekarang.
"Ini kerana selepas dua tahun, mereka masih perlukan siasatan lanjut walaupun ada kertas putih atau laporan KPMG Transaction & Restructuring Sdn. Bhd. (KPMG), yang mana mereka kata semua jawapan ada di dalamnya," katanya.
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment