UMNO Online - “Tindakan Tidak Islamik Pas Akan Musnahkan Kredibilitinya- Najib” plus 7 more

UMNO Online - “Tindakan Tidak Islamik Pas Akan Musnahkan Kredibilitinya- Najib” plus 7 more

Link to UMNO Online

Tindakan Tidak Islamik Pas Akan Musnahkan Kredibilitinya- Najib

Posted: 18 Nov 2012 06:37 AM PST

PHNOM PENH, 18 Nov — Tindakan PAS mengadakan solat hajat dan mendoakan kejatuhan Barisan Nasional dan Umno pada pilihan raya umum akan datangcakan memusnahkan kredibilitinya sebagai parti Islam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno itu berkata tindakan seumpama itu amat tidak Islamik dan bertentangan dengan prinsip Islam.

“Doa biasanya untuk kebaikan, mohon orang dipanjangkan umur, negara selamat dan negara sejahtera.

“Tak pernah doa dibuat untuk membinasakan parti. Ia bertentangan dengan prinsip Islam. Umno tak pernah pun berdoa untuk PAS dibinasakan,” katanya kepada media Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta menggulas laporan akhbar mengenai tindakan parti pembangkang itu mengadakan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu semalam serta berdoa agar BN dan Umno dihancurkan untuk memudahkan laluan PAS ke Putrajaya.

Najib berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-21 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari bermula hari ini.

Kerajaan Bentang Usul Tergempar Berhubung Isu Palestin Di Parlimen Esok

Posted: 18 Nov 2012 04:16 AM PST

PHNOM PENH, 18 Nov – Kerajaan akan membentangkan usul tergempar di Dewan Rakyat esok bagi mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Perdana Menteri berkata usul itu akan menggesa Dewan Rakyat untuk mengambil ketetapan, antaranya:

* Mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestine di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.

* Menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata.

* Menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung PBB di bawah Resolusi 377A(V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya.

* Menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat; dan

* Mengambil keputusan untuk menyampaikan resolusi ini kepada semua Dewan/ Perundangan dan Parlimen yang berkenaan, khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

“Bagi menzahirkan sokongan dan keprihatinan kerajaan dan rakyat Malaysia berhubung isu ini, saya telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk membentangkan satu usul tergempar di Dewan Rakyat pada Isnin, 19 Nov 2012,” kata Najib.

Najib berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-21 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari mulai hari ini hingga Selasa.

Israel melancarkan serangan terbaharu yang dinamakan operasi “Pillar of Defence” ke atas wilayah Palestin di Gaza yang setakat ini mengorbankan 40 orang termasuk seorang pemimpin Hamas Ahmed Jaberi, enam kanak-kanak, seorang wanita hamil dan seorang guru United Nations Relief and Works Agency (UNRWA) dan lebih 345 orang cedera.

Tiga rakyat Israel terkorban dan 18 orang lagi cedera akibat serangan balas pihak Hamas.

Najib berkata serangan tentera Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza jelas merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Mengenai Perlindungan Orang-Orang Awam Semasa Perang.

“Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin di Gaza dan dengan itu menolak tindakan hukuman kolektif yang diambil ke atas rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Malaysia, kata Najib juga berasa amat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan dengan serta-merta keganasan Israel yang dilakukan ke atas wilayah Palesstin di Gaza.

Pada 15 Nov 2012, Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar ke-39 Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) di Djibouti mengeluarkan suatu kenyataan bersama mengutuk serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza dan menyeru campurtangan Majlis Keselamatan PBB bagi mencari jalan penyelesaian untuk menamatkan konflik.

Semasa mesyuarat itu, Malaysia mengecam serangan tentera Israel dan menggesa Majlis Keselamatan mengambil tindakan segera bagi menghentikan kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin.

“Saya juga akan membangkitkan perkara ini semasa Sidang Kemuncak Asean ke-21 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja mulai hari ini sehingga 20 Nov 2012,” kata Najib.

 

UPKO Minta Anggota Fokus Pada Strategi Untuk Pastikan Kemenangan BN

Posted: 18 Nov 2012 01:50 AM PST

KOTA KINABALU, 18 Nov — Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok mahu semua anggota parti memberi fokus kepada strategi untuk memastikan calon Barisan Nasional (BN) dan Upko mencapai kemenangan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau berkata semua anggota parti komponen seharusnya sentiasa mengamalkan prinsip perpaduan kerana hanya semangat itu dapat membina sebuah pasukan yang kukuh untuk menentang parti pembangkang.

Upko akan tetap mempertahankan kerusi yang ada di dalam ‘poket’ mereka bagi mewakili BN pada pilihan raya umum akan datang, katanya ketika berucap merasmikan konvensyen Upko Sepanggar di Institut Latihan Perindustrian Sepanggar dekat sini, hari ini.

Mengenai hasrat parti yang ingin mencalonkan namanya bertanding di Parlimen Sepanggar mahupun Putatan, Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata:

“Saya ingin suarakan itu (Sepanggar) adalah tidak kena pada tempatnya sebab saya sudah milik orang (Penampang). Saya memerlukan rehat yang cukup dan untuk Putatan itu tidak boleh jugak”.

Dalam pada itu, beliau berkata Upko menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat pemilihan bakal calon yang akan dikemukakan untuk bertanding mana-mana kawasan pada pilihan raya umum ke-13.

Katanya semua pihak boleh menuntut mana-mana kerusi untuk bertanding atas semangat demokrasi termasuk Sepanggar yang disandang Parti Maju Sabah (SAPP) yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 atas tiket BN.

Parti itu keluar daripada gabungan itu selepas itu dan Anggota Parlimennya Datuk Eric Majimbun, kini adalah wakil pembangkang.

“Anggota parti tidak salah tuntut kerusi (Sepanggar) tetapi harus bersabar dan patuh kepada keputusan pucuk pimpinan serta bersedia untuk menghormati keputusan yang akan dibuat,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dompok yang juga anggota Parlimen Penampang berkata pihaknya akan mengadakan karnival kerjaya di Penampang pada 14 Dis depan bagi membantu belia tempatan untuk memperoleh pekerjaan dengan kerjasama pelbagai sektor awam dan swasta.

Muhyiddin: Pemimpin BN Tidak Gentar Hadapi Mana-Mana Tokoh Pada PRU

Posted: 18 Nov 2012 12:40 AM PST

GOLD COAST (Australia), 18 Nov — Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana tokoh atau calon pada pilihan raya umum kerana pengundi yang menjadi penentu tentang kesesuaian tokoh di kawasan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Umno itu berkata Umno dan BN bukan bersikap takbur tetapi bersifat “gentlemen” memandangkan dalam demokrasi sesiapa sahaja warga Malaysia boleh bertanding di mana-mana kawasan yang disukai.

Mengulas laporan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz dicadang bertanding di kawasan Parlimen Pagoh yang kini disandang beliau, Muhyiddin berkata cabaran itu akan disahut sekiranya ia berlaku.

“Lagi ramai lagi meriah,” katanya pada wartawan Malaysia pada akhir lawatan sembilan harinya ke Australia di sini Ahad.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berhasrat bertanding di Parlimen Pekan, yang kini disandang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin berkata tidak ada yang luar biasa tentang strategi tokoh pemimpin tertentu mahu mencabar pemimpin BN pada pilihan raya.

“Kita dalam BN tidak akan gentar hadapi sesiapa sahaja, baik tokoh-tokoh dikenali atau tidak berhadapan dengan kita di Parlimen atau negeri , harap rakyat akan beri penilaian terbaik,” katanya.

Mengulas laporan PAS mengadakan solat hajat dan berdoa Umno dihancurkan ketika umat Islam di seluruh dunia mengutuk kekejaman rejim Israel dan mendoakan keamanan serta keselamatan rakyat Palestin, Muhyiddin berkata ia bukan amalan yang baik.

Beliau berkata orang Islam sepatutnya berdoa supaya penganut seagama mendapat hidayah dan kebaikan.

Beliau berkata Umno tidak pernah mendoakan PAS dijahanamkan.

“Kita dididik dengan betul, apa yang dipohon, sesuatu itu perlulah bersandar hukum syariah,” katanya.

Beliau berkata masyarakat Islam mungkin berbeza pertubuhan politik tetapi apabila umat Islam berhadapan dengan cabaran yang besar seperti apabila Israel menyerang Gaza, seluruh dunia Islam merasa terseksa dan simpati.

“Kita tidak tanya sama ada umat di sana (Gaza) sokong Umno atau sokong PAS. Sebagai seorang umat (Islam), kita hendak umat Islam hidup dalam keadaan baik.

“Perbezaan politik atau parti berbeza tidak mengapa. Kita di Malaysia mengamalkan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam Umno ada, PAS pun ada.

“Kalau seorang yang mendoakan menjahanamkan, itu bukan Islam sejati,” katanya lagi.

Dilaporkan doa dalam solat hajat di Stadium Muhamad Ke-IV sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kota Baharu itu antara lain memohon Allah SWT menjahanamkan Umno dan BN seperti Allah memusnahkan Firaun, Qarun, Namrud serta Abu Lahab.

Mengulas laporan Ketua Pemuda Umno Perlis Mohsin Yusoff, yang menyatakan hasrat untuk meletak jawatan menerusi laman sosial ‘Facebook’ (FB), Muhyiddin berkata beliau mendapat laporan bahawa Mohsin telah menarik balik keputusan itu.

“Saya dengar dia tarik balik. Baiklah begitu,” katanya.

Muhyiddin menasihatkan anggota parti agar bersabar dan rasional serta memberi keutamaan kepada parti ketika berhadapan dengan cabaran dalam politik.

“Kita hendak hadapi pilihan raya, kalau ada perubahan-perubahan sebegini ia boleh membawa kesan negatif.

“Seorang berhenti… (orang lain) kena mengambil alih menjalan tugas, sudah menjejaskan jentera kita dan menimbulkan masalah dalam parti. Hal-hal begini kena elak,” katanya.

Raptai Perhimpunan Agung UMNO 2012 Berjalan Lancar

Posted: 17 Nov 2012 10:27 PM PST

KUALA LUMPUR 18 Nov – Seramai 150 anggota sayap yang terdiri daripada Pergerakan Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO serta urusetia ibu pejabat parti dan pelbagai pihak lain hari ini terlibat mengadakan raptai penuh acara luar dewan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang akan diadakan minggu depan.

Raptai berkenaan yang bermula pada pukul 7.30 pagi itu adalah sebagai persediaan untuk melicinkan perjalanan acara luar dewan seperti menaikkan bendera Sang Saka Bangsa, pemeriksaan perbarisan dan  pelbagai acara lain.

Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusof berkata raptai tersebut adalah acara kebiasaaan yang diadakan pada setiap tahun sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO.

"Alhamdulillah raptai hari ini berjalan lancar dan perjalanannya adalah seprti biasa pada tahun-tahun lepas. Cumanya pada perhimpunan tahun ini ianya akan menarik perhatian ramai.

"Dan kita juga menjangkakan kehadiran yang lebih ramai berbanding pada tahun lepas dari sudut aliran trafiknya dan dijangkakan mencecah 600,000 orang," katanya kepada wartawan sejurus raptai di Plaza Merdeka, PWTC, di sini, hari ini.

Datuk Ab Rauf seterusnya menambah perhimpunan pada kali ini tentunya para pembahas akan menyentuh kepada pilihan raya umum akan datang.

PRU ke-13 Penentu Jatuh Bangun Bangsa Melayu- Dr Hassan Ali

Posted: 17 Nov 2012 09:16 PM PST

GEORGE TOWN, 18 Nov — Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan menjadi penentu kepada jatuh bangun bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini, kata Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali.

Justeru, beliau berkata bagi memastikan agama Islam terus diagungkan, bangsa Melayu terus dimartabatkan dan institusi raja terus diperkasakan, rakyat perlu menolak daripada mengundi calon pakatan pembangkang pada pilihan raya akan datang.

“Pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang menjadi penentu untuk bangsa Melayu, agama Islam di bumi Malaysia.

“Bayangkan tuan-tuan kalau pakatan pembangkang menang kita diberitahu bahawa mereka nak menjadikan Malaysia ini satu republik dan ini kemungkinan akan berlaku kalau saudara mengundi pakatan pembangkang, memenangkan mereka,” katanya pada ceramah perdana di Kampung Suluk, Teluk Kumbar dekat sini malam tadi.

Hasan yang merupakan bekas naib presiden PAS berkata negara memerlukan sokongan daripada rakyat untuk turut serta menggerakkan jentera dalam usaha menggagalkan hasrat pakatan pembangkang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik.

Beliau berkata kajian menunjukkan penganjuran ceramah seumpamanya yang berterusan dilihat mampu menyampaikan mesej kepada rakyat sekaligus memberikan impak kepada pola pengundian rakyat pada PRU-13 akan datang.

Dalam perkembangan lain, Hasan mengkritik kepimpinan tertinggi PAS yang tidak membincangkan isu kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar mengenai kebebasan beragama, pada Muktamar Tahunan PAS ke-58.

“…saya sedih dalam Muktamar PAS yang menghimpunkan pimpinan hampir 2,000 perwakilan…sebut tentang DAP, sebut tentang PKR, sebut tentang (nak tawan) Putrajaya tetapi tidak sebut mengenai kenyataan Nurul Izzah…Parti Islam SeMalaysia, apa nak jadi ni?,” katanya.

50 Penyokong PAS Kampung Pak Mali Sertai UMNO

Posted: 17 Nov 2012 07:01 PM PST

BACHOK, 18 Nov — Sekumpulan 50 penyokong PAS di Kampung Pak Mali, Bakong di sini menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Umno di sini malam tadi.

Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin menerima boring daripada kumpulan terbabit diketuai Syed Zain Syed Hassan, 48, dengan disaksikan lebih 300 penduduk kampung.

“Ini bermakna Umno berjaya menembusi kubu kuat PAS yang sukar dimasuki sejak 20 tahun lepas,” kata Awang Adek kepada pemberita selepas menerima borang-borang itu pada majlis bongkar isu semasa di kampung berkenaan.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata tindakan mereka akan membantu Umno dalam usaha menawan Parlimen Bachok dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan iaitu Jelawat, Perupuk dan Tawang pada pilihan raya umum akan datang.

Mat Usof Mat Junoh, 57, berkata kegagalan PAS membangunkan Kelantan mendorongnya mengambil keputusan meninggalkan parti yang disertainya sejak 20 tahun lepas.

Katanya, usaha akan dibuat untuk menarik kira-kira 60 lagi penyokong dan anggota PAS di kawasan itu untuk menyertai Umno.

Mahathir Mahu PAS Perjelas Undang-Undang Hudud

Posted: 17 Nov 2012 06:19 PM PST

KOTA KINABALU, 18 Nov — Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu PAS perjelas tafsirannya mengenai pelaksanaan hukum hudud.

Beliau berkata pelaksanaannya harus berlandaskan keadilan sepertimana yang terkandung dalam ajaran Islam.

Dr Mahathir berkata parti itu seharusnya melaksanakan hukum yang dapat diterima pakai oleh semua golongan termasuk bukan Islam sesuai dengan kedudukan negara ini yang mempunyai penduduk berbilang agama.

“Saya hendak tahu hudud yang dikenakan oleh orang Islam dan bukan Islam itu sebagai adil seperti yang dikehendaki oleh agama Islam.

“Terdapat 43 ayat dalam Al-Quran iaitu kalau mahu hukum, hukumlah dengan adil dan tidak adil itu bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

“Hukum orang Islam potong tangan manakala bukan Islam dikenakan penjara dua bulan akibat kesalahan mencuri.

“Itu dilihat tidak adil dan bertentangan dengan agama Islam,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dr Mahathir mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merestui orang Melayu menyertai DAP memandangkan sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh menyatakan tentangannya terhadap pelaksanaan hukum Hudud.

Terdahulu, Mahathir menyampaikan ucaptama pada kongres tahunan ke-22 Persatuan Pakar Bedah Torasik dan Kardiovaskular Asia (ATCSA) di sini.

Kongres itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...