UMNO Online - “UMNO Bahagian Temerloh Gunakan Pendekatan ‘Man To Man Marking’” plus 9 more

UMNO Online - “UMNO Bahagian Temerloh Gunakan Pendekatan ‘Man To Man Marking’” plus 9 more

Link to UMNO Online

UMNO Bahagian Temerloh Gunakan Pendekatan ‘Man To Man Marking’

Posted: 22 Oct 2012 04:32 AM PDT

TEMERLOH, 22 Okt –Dalam menghadapi PRU 13 yang  bakal menjelang tidak lama lagi,  UMNO Bahagian Temerloh memastikan setiap cawangan dan Bahagian UMNO di bawah Parlimen Temerloh mengenal pasti setiap seorang pengundi di kawasan masing-masing bagi memastikan sejauh mana kekuatan dan jumlah pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, setiap cawangan dan bahagian di Parlimen Temerloh kini memiliki rekod pengundi bagi mengenal pasti setiap pengundi yang ada di kawasan masing-masing.

"Kami gunakan pendekatan 'Man to Man Marking'. Setakat ini, kita mempunyai lebih 80 peratus rekod pengundi di kawasan ini. Pendekatan ini untuk  memastikan kita dapat mengenali setiap pengundi itu secara peribadi bagi memastikan undi-undi mereka tetap kepada Barisan Nasional.

"Pendekatan seperti ini juga turut dilakukan oleh parti-parti komponen lain seperti MIC, MCA, PPP dan parti komponen BN yang lain di sini. Kami akan memastikan setiap informasi pengundi seperti alamat dan nombor telefon dikemas kini bagi memastikan mereka dapat dihubungi pada bila-bila masa," jelas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Selain itu menurut beliau, BN Temerloh juga mengambil pendekatan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada setiap pengundi bagi memberitahu sebarang informasi dan program yang dilakukan oleh BN.

"Pendekatan menggunakan SMS ini sudah lama kami lakukan. Ini untuk memastikan hubungan kepimpinan BN dan para pengundi di sekitar Parlimen Temerloh sentiasa terjalin dan para pengundi di sini sentiasa di maklumkan dengan sebarang program dan perkembangan terbaru yang kami adakan di sini," ujarnya.

Beliau juga turut mengadakan lawatan berkala ke setiap cawangan dan juga PDM bagi memastikan jentera-jentera BN dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi pilihanraya yang boleh diadakan pada bila-bila masa saja.

"Di Temerloh, kita mempunyai 95 Cawangan UMNO dan 42 PDM. Tumpuan kami kini adalah untuk menyelesaikan setiap permasalahan masyarakat yang wujud di setiap PDM.

“Kita sedaya upaya untuk menyelami dan membantu rakyat di sekitar kawasan ini dalam usaha untuk menyelesaikan masalah-masalah berbangkit yang ada. Alhamdulillah setakat ini, usaha yang kita lakukan mendapat respon yang positif dari pengundi di sekitar kawasan ini," jelasnya. -MediaUMNO

Dulu Tak Boleh Selam, Sekarang Bicara Di Perancis – Pembangkang Pakar Tipu

Posted: 22 Oct 2012 04:16 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 Okt – Sudah menjadi resam kepada pembangkang untuk memberi maklumat tidak benar serta mengelirukan rakyat dan memperbesar-besarkan sesuatu isu berkenaana yang dianggap boleh memberi kelebihan kepada mereka .

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata tindakan pembangkang itu bukan perkara baru dalam politik tanah air, sejak dahulu mereka sering membuat isu yang mengelirukan dengan niat untuk menimbulkan persepsi negatif kepada rakyat termasuk isu lama yang dibangkitkan semula membabitkan pembelian kapal selam Scorpene.

"Sudah menjadi tabiat pembangkang, apa sahaja yang kita lakukan untuk kebaikan rakyat dan negara tidak pernah diterima oleh mereka, malah isu membabitkan keselamatan mereka turut dipolitikkan dengan memberi maklumat  mengelirukan rakyat.

"Seharusnya, isu membabitkan pertahanan negara tidak harus dipolitikkan kerana boleh memberi impak kepada keselamatan negara, jika isu sebegitu juga turut dipolitikkan dan didedahkan kepada umum ia adalah suatu merbahaya dan perlu dihentikan," katanya kepada UMNO-Online di sini.

Menurutnya, jika dahulu pembangkang melaporkan bahawa kapal selam Scorpene berada di bawah keupayaan termasuk tidak boleh menyelam namun perkara itu terjawab apabila pemimpin pembangkang termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berpeluang manaiki dan menyelam bersama kapal selam berkenaan pada pameran LIMA di Langkawi tahun lalu.

Hamidah berkata, kini pembangkang cuba mengelirukan rakyat sekali lagi berhubung kapal selam berkenaan dengan membabitkan isu pembeliannya yang dikatakan tidak telus sehingga ada kes perbicaraan mengenai perkara itu di Perancis.

"Setelah gagal dalam percubaan mereka berhubung keupayaan kapal selam itu, kini mereka cuba mengalih isu berkenaan berhubung pembeliannya pula, sedangkan perkara itu sudah pun dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di parlimen berhubung pembelian kapal berkenaan.

"Mereka juga nampaknya cuba mengelirukan rakyat dengan mengatakan adanya perbicaraan berhubung kes berkenaan di Perancis seperti yang dilaporkan oleh Suaram namun perkara itu disangkal oleh pendakwaraya di sana.

"Jelas dari apa yang berlaku itu menunjukkan pembangkang dengan sengaja mengelirukan rakyat dengan memberikan laporan tidak benar termasuk mengguna NGO," katanya.

Menurutnya, rakyat sudah muak dengan apa yang dilakukan oleh pembangkang yang memang sengaja membuat laporan tidak benar untuk mengelirukan rakyat. -MediaUMNO

Iskandar Malaysia Wujudkan Hampir 54,000 Peluang Pekerjaan Sehingga Jun 2012

Posted: 22 Oct 2012 04:12 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Aktiviti ekonomi projek Iskandar Malaysia yang rancak telah mewujudkan hampir 54,000 peluang pekerjaan dalam sector ekonomi yang disasarkan bagi tempoh sehingga akhir Jun lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.Devamany berkata setakat ini subsektor elektrik dan elektronik mencatat bilangan peluang tertinggi dengan sejumlah 20,037 pekerjaan ditawarkan.

“Ini diikuti bidang pendidikan dengan 5,910, riadah dan pelancongan dengan 3,965 serta pemprosesan agro dan makanan sebanyak 3,872,” katanya ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) berhubung limpahan manfaat langsung projek itu kepada rakyat berpendapatan rendah pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Devamany berkata bilangan pekerjaan yang diwujudkan akan bertambah selaras dengan beberapa projek pemangkin utama yang dijangka beroperasi dalam tempoh lima tahun akan datang seperti Pinewood Iskandar Malaysia Studios, MSC Cyberport City dan Urban and Resort Wellness.

Beliau menarik perhatian bahawa kerajaan telah menubuhkan agensi penyelaras pembangunan Iskandar Malaysia iaitu Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk memastikan kelancarannya.

"Langkah kedua adalah mewujudkan Pelan Komprehensif Pembangunan Iskandar Malaysia 2006-2025 sebagai panduan pelaksanaan pembangunan Iskandar Malaysia yang membolehkan pemantauan dilaksanakan secara sistematik berdasarkan visi pembangunan projek itu,” kata Devamany.

Selain itu, beliau berkata pemantauan projek secara berkala mengikut program akan turut dilaksanakan dengan kerjasama agensi pelaksana dan pihak berkuasa tempatan Iskandar Malaysia.

Penilaian dijalankan melalui pencapaian sasaran pelaburan masuk ke Iskandar Malaysia serta pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur dan pembangunan sosial yang dirangka bagi menyokong pembangunan di wilayah itu, jelasnya.

Surat Qaradawi Dedahkan Tembelang Pembangkang Berpolitik

Posted: 22 Oct 2012 03:55 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Okt. – Pujian banyak pihak termasuk Pengerusi Al-Quds International Institution, Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah membuktikan bahawa kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) diiktiraf di samping menolak peranan pembangkang yang seringkali menggunapakai nama mereka.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ir. Idris Haron melihat pujian dari pembesar ulung tersebut sebagai bukti bahawa Malaysia berada dalam landasan yang betul dan memberikan pendedahan sebenar berkaitan penipuan pembangkang.

"Saya melihat apa yang berlaku hari ini adalah lebih kepada realiti sebenar pemimpin pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim yang sebelum ini gemar menggunakan kenyataan-kenyataan pemimpin besar seperti Yusuf Qardawi, Tantawi dan nama-nama orang-orang yang memberi pengaruh sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya," katanya kepada UMNO-Online.

Dilaporkan, dalam surat Sheikh Yusuf al-Qaradawi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau melahirkan penghargaan dan terima kasih terhadap dedikasi dan komitmen Malaysia yang menyokong perjuangan di Baitulmaqdis.

"Kita tahu sebenarnya pemimpin ulung tersebut memberikan kenyataan berdasarkan kedudukan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kerajaannya telah pun berupaya membuktikan kejayaan sehingga 12 kali pilihan raya yang telah kita lalui dengan baik dan selama 55 tahun merdeka rakyatnya hidup dengan selamat dan sejahtera," katanya kepada UMNO-Online di sini.

Dalam hal ini beliau menyelar tingkah Anwar yang gemar mengunakan nama-nama besar sebagai kononnya menyebelahinya dan bersama dalam perjuangan.

"Apabila kita membuat sedikit 'homework' maka kita dapati bahawa nama-nama besar sebagaimana Sheikh Yusuf al-Qaradawi ini tidak pun bersekongkol dan menyokong beliau.

"Ini adalah pembohongan besar oleh pembangkang, seolah-olah menidakkan kebijaksanaan pendengar-pendengar, memperkecilkan pengetahuan rakyat kononnya terdiri dari kumpulan yang tidak membaca, tidak memahami apa yang dibaca, kalau faham pun tak buat dan kalau buat pun tidak sepenuh hati," katanya.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, sifat Anwar adalah setanding dengan pemimpin-pemimpin negara-negara lain yang membenci Malaysia dan enggan melihat kemajuannya.

"Perlakuan Anwar ini telah menunjukkan kepada kita yang mana satu kaca dan yang mana satu permata, berjanji manis dan telah terbukti pelbagai kelemahan dibuat apabila diberikan kuasa serta banyak dikaitkan dengan isu-isu yang masih lagi tidak terjawab, malah pernah merendahkan peraturan dan perundangan Malaysia," selarnya.

Jelasnya lagi, keangkuhan dan sikap angkuh kepimpinan pakatan pembangkang ini telah terserlah sehinggakan dalam kabinet bayangan yang dilakarkan pun meletakkan anggota keluarga dalam kedudukan yang penting.

"Pakatan pembangkang menggunakan nama-nama besar untuk mengambil kesempatan atas kepentingan mereka dalam masyarakat malah hari ini andaian dapat dilihat sekiranya dalam persaingan Presiden Amerika Syarikat, tentunya Anwar akan menyokong Romney jika ia melebihi Obama dan begitulah sebaliknya," ujarnya. - MediaUMNO

Mahu Bertanding Itu Hak Nik Aziz Tapi Nik Aziz Umpama Meludah Ke Langit

Posted: 22 Oct 2012 03:24 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 Okt – Alangkah elok dan manisnya jika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berfikir sejenak mengenangkan kembali bagaimana kata-katanya terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada satu ketika dahulu.

Pada dan saat Tun Dr Mahathir berada di tampuk jawatan tertinggi negara, pelbagai ungkapan dilontarkan, namun hari ini apa yang diungkapkan itu seolah-olah terpalit ke muka Nik Aziz sendiri, kata Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Dali Hussein.

Bagi beliau persoalan sama ada Nik Aziz bertanding atau tidak pada pilihan raya umum nanti bukanlah pokok persoalan utama, cumanya itulah yang ingin diungkapkan terhadap Mursyidul Am Pas itu.

"Nak bertanding atau tidak itu adalah hak Nik Aziz dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, semua boleh bertanding dan itu juga adalah hak Nik Aziz. Alasan parti mahukan beliau bertanding bukanlah persoalan utama.

"Cumanya kalau bolehlah Nik Aziz ingat bagaimana pada satu masa dahulu Tun Dr Mahathir menerima pelbagai cemuhan dan sebagainya kononnya terlalu lama memegang jawatan dan sebagainya. Alih-alih hari ini Nik Aziz pula yang berada di tempat dan situasi Tun Dr Mahathir. Bagi saya secara peribadi, terpulanglah kepada batang tubuh beliau sendiri," katanya kepada UMNO-Online di sini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membayangkan untubertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Menerusi temu bual eksklusif bersama portal berita AntaraPos.com, Menteri Besar Kelantan itu menyatakan sedemikian kerana ia disyorkan oleh parti.

Beliau turut menyatakan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka jika dikehendaki pucuk pimpinan parti.

Dali yang juga Ketua UMNO Pengkalan Chepa seterusnya menimbulkan perseoalan setelah 22 tahun menerajui negeri berkenaan, apakah  tahap pencapaian yang boleh dibanggakan oleh Menteri Besar terbabit.

Katanya dengan masalah air yang sehingga kini belum lagi mencapai titik noktahnya lagi, apakah Nik Aziz masih lagi berminat untuk berada pada kedudukan berkenaan.

"Bukan hasrat kita untuk mencampuri urusan parti mereka cumanya ingin melontarkan apa yang dinyatakan di peringkat bawah hari ini. Bertanding atau tidak itu adalah hak beliau dan biarlah rakyat yang menentukan.

"Cumanya lagi satu persoalan yang timbul apakah Pas Kelantan tidak ada pemimpin pelapis yang boleh menggantikan beliau. Dengar katanya ramai yang berkebolehan dan berwibawa. Apa pun terserahlah kepada Nik Aziz untuk membuat keputusan," katanya. -MediaUMNO

Empangan Sungai Selangor Hanya Mampu Bertahan 130 Hari Lagi – Isa

Posted: 22 Oct 2012 03:16 AM PDT

HULU SELANGOR, 22 Okt – Tinjauan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini ke Empangan Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu merungkai segala helah yang dimainkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid selama ini yang masih menegakkan benang yang basah bahawa Selangor tidak mengalami masalah air sehinggakan memerlukan pembinaan Loji Langat 2.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kassim berkata, inilah hakikat sebenar yang rakyat harus tahu, bahawa Rizab air di Empangan Sungai Selangor yang membekalkan air bersih kepada 60 peratus rakyat Selangor hari ini kini tinggal 56 peratus dan mengikut kajian pihak Splash, jika keadaan penyusutan air berterusan, tidak mustahil Empangan Sungai Selangor ini akan kering kontang dalam masa 130 hari lagi bermula hari ini.

"Adakah ini fakta yang mahu disembunyikan oleh pihak Tan Sri Khalid dan pihak kerajaan negeri. Kenapa Khalid mahu menyembunyikan fakta isu air ini, sedangkan dia sebenar tahu apa yang berlaku namun kerana kepentingan politik sempat pihak kerajaan negeri, mereka lebih suka mengeluarkan kenyataan-kenyataan bodoh demi menutup isu sebenar di Selangor hari ini.

“Sehubungan dengan itu, Khalid Ibrahim atau mana-mana Exconya harus tampil memberikan kenyataan sebenar, tahap kritikal isu air ini dan apakah perancangan jangka masa panjang dalam menangani masalah ini," ujarnya selepas bersama-sama dalam lawatan dan tinjauan Tan Sri Muhyiddin ke Empangan Sungai Selangor, pagi tadi.

Terdahulu, kerajaan negeri Selangor telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pilihan rawatan air yang lebih murah tanpa keperluan untuk menaikkan tarif untuk pembinaan Langat 2, kaedah rawatan air yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah kekurangan bekalan air yang diramalkan akan berlaku.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa telah menemui satu kaedah alternatif yang berdaya maju daripada sebuah syarikat Kanada dengan menggunakan teknologi membran bagi mengeluarkan air daripada loji sedia ada dan menjadikan ia sesuai untuk kegunaan isi rumah.

Namun cadangan kerajaan Selangor menggunakan teknologi membran bagi meningkatkan penjanaan air di loji terawat sedia ada tidak praktikal dan membabitkan kos lebih tinggi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ia bukan penyelesaiannya dan apa yang perlu dilakukan adalah meneruskan projek pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) seperti dirancang.

“Saya sudah mendapatkan pendapat pakar berhubung teknologi membran dan dimaklumkan ia adalah langkah yang tidak praktikal dan kosnya juga akan bertambah,” ujarnya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak LRAL 2 di sini, hari ini. -MediaUMNO

BN Tidak Kisah Nik Aziz Bertanding Atau Tidak – Muhyiddin

Posted: 22 Oct 2012 02:59 AM PDT

KAJANG, 22 Okt – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) tidak kisah sama ada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Itu hak dia, saya tiada hak nak komen terpulang kepada kepimpinan Pas jika fikir beliau (Datuk Nik Aziz Nik Mat)) masih bertenaga dan tajam fikiran, saya tak nak komen lebih terserah kepada rakyat untuk menilai,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO berkata BN telah pun bersiap sedia dengan jentera pilihan raya dan menawarkan kepimpinan yang berwibawa untuk bertanding di negeri tersebut.

Muhyiddin diminta mengulas laporan yang membayangkan Mursyidul Am Pas itu akan bertanding dalam PRU ke-13.

Apa yang pasti BN akan menawarkan kepimpinan berwibawa untuk bertanding termasuk calon yang bakal dinamakan menjadi Menteri Besar sekiranya diberi mandat untuk mentadbir Kelantan, katanya kepada pemberita di Batu 14, Hulu Langat dekat sini.

Beliau berharap rakyat Kelantan memberi perhatian terhadap perkara ini dan dapat membuat perbandingan berhubung siapa yang lebih layak memimpin negeri itu dan ia bukan terhad atas tokoh agama sahaja bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit di negeri itu.

“..dari segi pentadbiran, pengurusan menyelesaikan masalah isu-isu berbangkit di negeri itu termasuk soal air yang tidak dapat diselesaikan, kemiskinan tegar masih banyak dan isu-isu sosial…itu juga perlu diberi perhatian,” katanya.

“Harap rakyat Kelantan dapat buat perbandingan siapa yang lebih bersesuaian dan layak bukan atas tokoh agama sahaja,” katanya.

Muhyiddin berkata hanya rakyat Kelantan yang mempunyai jawapan berhubung apa yang akan berlaku ke atas negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya Nik Abdul Aziz bertanding pada pilihan raya akan datang dan sekali lagi menjadi menteri besar.

“Saya tidak boleh jawab hanya orang di Kelantan yang boleh menjawabnya,” katanya.

Kedah Gerakan Youth Lodges Police Report Over State Govt’s PNG Project

Posted: 22 Oct 2012 01:26 AM PDT

ALOR SETAR, Oct 22 – Kedah Gerakan Youth today lodged a police report against the PAS-led Kedah government over the latter’s plantation and logging project in Papua New Guinea which suffered losses as revealed in the 2011 Auditor-General’s Report.

Its chief, Tan Keng Liang, said the report was made to enable police to investigate the matter to determine the truth in safeguarding the good name of the country.

“I hope the police can reveal the truth because the project caused a big loss to the Kedah government,” he told reporters after lodging the report at the Kota Setar Police district headquarters, here.

He said the issue of the Kedah government having obtained a loan to undertake the project in Papua New Guinea was a serious matter.

Tan expressed disappointment over the attitude of the Kedah government for having remained silent even a week after the matter was raised by various quarters.

Lagi 100 Penghuni Pangsapuri Tunjuk Perasaan Minta PKNS Ambil Alih Hutang

Posted: 22 Oct 2012 01:22 AM PDT

SHAH ALAM, 22 Okt – Hampir 100 penghuni pangsapuri di Kayu Ara dan Kota Damansara hari ini mengadakan tunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini bagi meminta PKNS mengambil alih tunggakan hutang rumah mereka yang berjumlah RM700,000.

Wakil penduduk Kota Damansara, Ahmad Fuad bin Pandak Ahmad, 60, yang mengetuai perhimpunan aman itu dan wakil penduduk Kayu Ara, Mohd Yusop bin Mohd, 57, bersama-sama menyerahkan memorandum kepada Pengurus Perhubungan Awam PKNS Ishak Hashim pada  11.10 pagi.

Ahmad Fuad, yang juga pemandu teksi, berkata mereka menuntut keadilan sama rata daripada kerajaan Selangor di bawah pakatan pembangkang yang menggunakan PKNS untuk mengambil alih hutang Talam Corporation Berhad.

Justeru, mereka meminta PKNS supaya turut membantu melangsaikan pinjaman unit pangsapuri masing-masing yang dibina PKNS kerana mereka berpendapatan rendah dan miskin.

Sebelum ini, beberapa siri tunjuk perasaan yang sama diadakan oleh penghuni pangsapuri PKNS menuntut anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu membayar pinjaman membeli rumah mereka.

Teknologi Penapis Air Membran Tidak Praktikal – Muhyiddin

Posted: 22 Oct 2012 01:17 AM PDT

HULU LANGAT, 22 Okt – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk menggunakan teknologi penapis air membran adalah tidak praktikal kerana ia tidak dapat menambah bekalan air malah melibatkan kos yang lebih tinggi.

Timbalan Perdana Menteri yang merujuk perkara itu kepada pakar-pakar air Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata penggunaan teknologi tersebut yang dijangka menjangkau lebih RM3bilion di 34 loji di Selangor itu tidak dapat menjamin kualiti air.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan negeri Selangor memberi kelulusan untuk melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) untuk menampung keperluan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan yang dijangka meningkat sebanyak 3.5 peratus hingga 4.0 peratus setiap tahun.

"Saya tidak faham kenapa perlu menggunakan teknologi itu untuk menyelesaikan masalah air. Kalau kerajaan negeri yang bijaksana, mereka harus melihat penggunaan teknologi itu bukan jalan penyelesaiannya. Kalau kaji dari segi daya maju, ia tidak berdaya maju kerana daripada segi kosnya menurut pakar, ia adalah lebih tinggi.

"Saya hairan dan takjub kerajaan negeri mahu membincangkan (dengan saya) kerana ia bukan penyelesaiannya," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata bekalan air yang disalurkan melalui 34 loji air di Selangor boleh lagi menampung keperluan industri dan penggunaan domestik namun Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka menghadapi krisis air menjelang tahun 2015.

Beliau dimaklumkan bahawa beberapa pemaju perumahan tidak memperoleh sijil layak menduduki (CF) kerana pembekal utiliti tidak bersedia membekalkan air kerana ketiadaan sumber air baru.

"Ini kenyataan dan fakta, sesuatu yang serius. Menteri Besar harus menyelesaikannya secepat mungkin," katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan pusat tidak pernah mempolitikkan isu air seperti yang didakwa Khalid kerana ia membabitkan soal keperluan asas manusia.

"Ini soal hidup mati dan soal keperluan asas manusia. Ia tidak harus dipolitikkan. Saya menjelaskan berdasarkan fakta daripada pakar-pakar jurutera air dan ia bukan daripada saya, bahawa situasi adalah kritikal dan ia perlu diselesaikan dengan segera.

"Kerajaan negeri Selangor tidak boleh melengah-lengahkan dan mesti member kebenaran agar tiga majlis perbandaran boleh mengeluarkan perintah pembangunan  bagi pembinaan Langat 2 demi kepentingan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Peguam Negera yang diminta untuk menentukan jika ada mana-mana peruntukan dalam Kanun Tanah Negara atau Akta Pengambilan Balik Tanah yang membenarkan kerajaan pusat meneruskan pembinaan Langat 2 demi kepentingan rakyat, masih belum memberi maklum balas kepada beliau.

"Walau apapun, saya keluarkan arahan dan kabinet telah setuju tawaran untuk projek ini dikeluarkan kerana kerajaan pusat serius untuk mengatasi krisis air.  Kalau ia tidak diatasi sekarang, satu krisis air serius akan berlaku," katanya.

Muhyiddin berkata 20 syarikat yang berminat telah mengambil borang tawaran tawaran tender bagi membina Langat 2 yang dikeluarkan dan proses pemberian tawaran dijangka diketahui selewat-lewatnya pada Jun tahun depan.

"Kalau projek pembinaan Langat 2 dapat bermula pada tahun depan, ia dijangka akan siap pada 2016 atau 2017 untuk menampung permintaan air yang semakin meningkat," katanya sambil menambah bahawa projek tersebut dilaporkan sudah lewat kira-kira dua tahun.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...