UMNO Online - “Scorpene – Isu Terdesak Untuk Pilihan Raya” plus 6 more |
- Scorpene – Isu Terdesak Untuk Pilihan Raya
- Manifesto BN Terengganu Utamakan Rakyat Dan Tepati Janji
- Peranan Malaysia Memperjuangkan Keamanan Di Dunia Islam Dipuji
- PBS Terus Bersatu Di Bawah Kerajaan BN – Pairin
- Pelan Pembangunan Semula Kampung Bharu Dibentang Di Kabinet Bulan Depan
- Rakyat Nikmati Akses Lebih Luas Miliki Rumah Dengan Penglibatan Kerajaan, Kata Ahmad Husni
- UMNO Telah Sedia Panduan Definisi Perbuatan Sabotaj Parti – Muhyiddin
Scorpene – Isu Terdesak Untuk Pilihan Raya Posted: 20 Oct 2012 04:15 AM PDT KEHADIRAN kapal selam Scorpene dalam senarai aset pertahanan negara seharusnya dilihat secara positif dan menjadi kebanggaan kepada semua rakyat Malaysia dan tidak harus dijadikan modal politik oleh segelintir pemimpin yang sebenarnya cuba meraih simpati dan sokongan demi kepentingan politik bagi memenuhi cita-cita peribadi. Tindakan tidak bertanggungjawab pemimpin politik yang menjadikan isu pembelian kapal selam itu sebagai modal politik sebenarnya membuka ruang kepada orang luar mengetahui kedudukan aset pertahanan negara dan mereka ini bolehlah dianggap sebagai `duri dalam daging' dalam isu keselamatan negara apabila mensensasikan isu berkenaan sehingga diketahui di seluruh dunia. Apa yang dilakukan boleh dianggap sebagai pengkhianat kerana secara tidak langsung mereka telah memberi ruang kepada orang luar untuk mengetahui kemampuan pertahanan negara sedangkan perkara itu seharusnya menjadi rahsia. Sememangnya jika dilihat dari mata kasar tidak menjadi masalah untuk mendedahkan perkara itu kepada umum tetapi jika dilihat lebih mendalam, sebenarnya apa yang dilakukan itu lebih banyak membawa keburukkan daripada kebaika, ada di antara negara luar yang cuba sedaya upaya tidak mahu orang ruang mengetahui kemampuan pertahanan mereka kerana ia membabitkan keselamatan. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa hairan dengan sikap pembangkang yang sengaja menjadikan isu berkenaan sebagai modal politik sedangkan perkara itu tidak seharusnya berlaku, malah apa yang dibangkitkan oleh pembangkang semua tidak benar terutama membabitkan kemampuan kapal selanm berkenanan yang menjadi aset pertahanan negara. "Tidak tahu mengapa pembangkang sengaja mereka-reka cerita mengenai kapal selam, malah ada pemimpin pembangkang yang sudah pun melawat kapal selam ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama rombongannya bukan sahaja berada di dalam malah turut sama menyelam dengan kapal selam ini dan mereka memperakui kemampuannya," katanya. Zahid menyifatkan tindakan pembangkang yang cuba membangkitkan semula isu kapal selam ini adalah lebih kepada tujuan politik untuk mendapat perhatian rakyat ketika negara bakal mengahadapi pilihan raya umum tidak lama lagi. Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh pembangkang boleh dibaratkan ketandusan idea untuk menutup kelemahan serta kepincangan yang dihadapi oleh mereka dan dengan itu cuba membangkitkan cerita lama yang diversikan baru dengan menggunakan pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan seperti apa yang cuba dilakuklan oleh Suaram. Menurutnya, jika dahulu mereka cuba mempergunakan isu berhubung kemampuan kapal selam berkenaan namun perkara itu sudah terjawab termasuk diperakui di kalangan pemimpin pembangkang yang berpeluang untuk menaiki kapal selama berkenaan. Mereka ini cuba mengembalikan isu berkenaan dengan membabitkan negara luar yang kononnya ada perbicaraan membabitkan isu pembelian kapal selam berkenaan sedangkan perkara itu tidak berlaku malah diperakui oleh pihak di negara terbabit. Sementara itu, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menyanggahkan dakwaan pembangkang dengan menyatakan bahawa kapal selam Scorpene beroperasi dengan baik dan membantu mengawal keselamatan negara . Adalah adalah tidak benar dakwaan pembangkang bahawa kapal selam berkenaan tidak mampu beroperasi seperti yang digembar-gemburkan. "Sesuatu yang mengecewakan apabila mereka membuat tuduhan sebegitu, perkara itu tidak benar seperti yang didakwa, mereka seharusnya menghentikan dakwaan dan fitanah yang dibuat, ini semua adalah untuk keselamatan negara," katanya. Menurutnya, tuduhan serta fitnah yang dibuat oleh pembangkang tidak melemahkan semangat anggota Tentera Laut terutama di kalangan krew kapal selam, malah mereka lebih bersemangat untuk membuktikan kemampuan kapal selam berkenaan sebagai antara aset penting dalam pertahanan negara. Seperti yang diketahui, itu sikap pembangkang akan cuba mensensasikan sesuatu perkara tanpa memperakui kebenarannnya hanya untuk tujuan politik, walau perkara itu baik sekali pun namun bagi mereka semuanya adalah buruk dan tetap tidak akan memperakuinya kerana adalah satu kekalahan jika mereka menerimanya. Rakyat tidak harus terpedaya dengan apa sahaja yang cuba dilakukan oleh pembangkang kerana sudah pasti semakin hampir menjelang pilihan raya, sedah pasti semakin banyak isu yang cuba dimainkan oleh pembangkang untuk memancing undi. |
Manifesto BN Terengganu Utamakan Rakyat Dan Tepati Janji Posted: 20 Oct 2012 03:29 AM PDT KUALA TERENGGANU, 20 Okt – Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kini menerajui Terengganu akan memfokuskan pembangunan yang menguntungkan dan memberi kesenangan kepada rakyat, kata Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Said. Ahmad yang juga Menteri Besar berkata bagi merealisasikan hasrat itu kerajaan akan menumpukan pembangunan menerusi empat sumber utama negeri iaitu petroleum dan gas asli, industri polimer di Kerteh, bijih besi dan sector pelancongan. “Kesemua ini adalah antara manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) dan berdasarkan kemampuan yang kita ada, kita yakin ia dapat ditunaikan dalam usaha ‘merakyatkan pembangunan’,” katanya ketika merasmikan Bengkel Sub Manisfesto BN di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman. Selain itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan merancakkan perkembangan sektor pendidikan agama dengan menambah bilangan Sekolah Imtiaz (sekolah agama berasrama) dan memastikan rakyat negeri ini mendapat pendidikan hingga peringkat tertinggi. Katanya BN tidak sesekali akan menabur janji kosong yang tidak dapat ditepati demi menarik perhatian rakyat kerana manifesto adalah janji yang perlu ditunaikan sekiranya, rakyat memberi mandat kepada BN. “Kita tidak mahu berjanji yang bukan-bukan yang tidak mampu kita tunaikan, jangan sebab pembangkang yang cuba mengkhayalkan rakyat dengan menjanjikan bulan dan bintang, kita pun nak ikut sama,” katanya. Katanya rakyat perlu berhati-hati dengan janji yang ditabur pembangkang, terutama menjelang PRU 13 ini kerana mereka akan menjanjikan apa sahaja walaupun ia mustahil untuk dilaksanakan. “Contohnya, pembangkang (PAS) yang kononnya akan menghapuskan cukai pintu di negeri ini jika mereka menang pada PRU 13 akan datang, ia adalah mustahil untuk dilaksanakan. “Ini kerana cukai pintu adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, dan undang-undang negeri yang melampaui Perlembagaan akan terbatal secara langsung,” katanya.
|
Peranan Malaysia Memperjuangkan Keamanan Di Dunia Islam Dipuji Posted: 20 Oct 2012 03:25 AM PDT KUALA LUMPUR, 20 Okt – Peranan Malaysia dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan kemanusiaan di dunia Islam mendapat pujian banyak pihak termasuk Sheikh Yusuf al-Qaradawi, pengerusi Al-Quds International Institution. Dalam perjuangan rakyat Palestin tatkala ini, peranan Malaysia yang menyokong perjuangan adil dan kemanusiaan telah mendapat pujian daripada Al-Quds International Institution (QII) menerusi dua pucuk surat daripada al-Qaradawi. Dalam surat beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, al-Qaradawi melahirkan penghargaan dan terima kasih beliau terhadap dedikasi dan komitmen Malaysia yang menyokong perjuangan penduduk di Baitulmaqdis. “Tidak memeranjatkan, kami sentiasa mendapati anda antara yang pertama dan terawal dalam menyokong perjuangan adil dan kemanusiaan, isu Palestin dan Baitulmaqdis adalah antaranya,” katanya dalam surat kepada Najib. Beliau menambah kata: “Kami amat tersentuh dengan keprihatinan anda dalam konteks ini, khususnya berhubung keperluan segera bagi inisiatif seumpamanya.” Pencapaian terbaharu hasil daripada usaha tanpa mengenal jemu Malaysia itu ialah perjanjian damai yang dimeterai kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi pewujudan wilayah autonomi Bangsamoro di selatan Filipina. Al-Qaradawi berkata: “Lebih penting lagi, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara negara Islam yang mempunyai strategi pembangunan mengagumkan dan terbuka, kini menjadi pusat rujukan dan contoh bagi dunia Islam. “Malah lebih membanggakan kami ialah pencapaian dan kejayaan mewujudkan cawangan QII di Malaysia, pencapaian yang mungkin tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan dan naungan anda”. Beliau merujuk kepada pelancaran Al-Quds Foundation Malaysia, sebuah yayasan kebajikan untuk rakyat Palestin, yang antara lain mendidik masyarakat mengenai isu di negara berkonflik itu di samping membantu rakyat Palestin. Sementara itu, kalangan rakyat Malaysia turut memuji kerajaan berhubung peranan strategiknya dalam menamatkan konflik dan penderitaan selama kira-kira 40 tahun di selatan Filipina dan dalam mewujudkan prospek bagi keamanan dan pembangunan di Mindanao. Mereka berkata sewajarnya bagi Malaysia, sebagai jiran terdekat dan prihatin, untuk memainkan peranan berterusan dalam membantu kerajaan Filipina dan Bangsamoro melaksanakan pembangunan semula di kawasan itu demi manfaat rakyat. Memuji usaha jitu kerajaan Malaysia dalam membantu umat Islam di seluruh dunia, Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata banyak negara khususnya negara Islam mempercayai dan menerima Malaysia untuk memainkan peranan sebagai pengantara ekoran pencapaiannya sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan dinamik. “Pujian Sheikh Yusuf Al Qaradawi merupakan satu pengiktirafan dunia kepada Malaysia (dalam memperjuangkan isu Palestin) dan kejayaan kerajaan Malaysia bertindak sebagai mediator bagi mengakhiri konflik antara Manila dan Bangsamoro pastinya suatu pencapaian membanggakan,” katanya. Beliau berkata kejayaan Malaysia dalam mentadbir sebuah negara berbilang kaum dan kepelbagaian juga telah membolehkan negara dijadikan sebagai rujukan dalam penyelesaian konflik Bangsamoro. Mengiktiraf usaha berterusan Malaysia sejak sekian lama dalam menyuarakan kebimbangan berhubung penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin dan umat Islam lainnya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pendidikan Sultan Idris Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata dalam soal konflik di selatan Filipina, Malaysia merupakan negara jiran paling hampir berbanding dengan negara atau badan Islam yang lain. “Malaysia tidak pernah berganjak apabila menyuarakan isu yang membabitkan penganiayaan terhadap etnik dan umat Islam seperti dalam isu Palestin dan bagi isu Bangsamoro ini, kita merupakan jiran paling hampir yang boleh diharapkan oleh Manila dan Bangsamoro sendiri untuk dirujuk sebagai orang tengah dan diberi kepercayaan,” katanya. Sebagai anggota perkumpulan serantau Asean, persefahaman dan kerjasama rapat antara Kuala Lumpur dan Manila banyak membantu dalam kejayaan rundingan damai antara MILF dan kerajaan Filipina. “Sebenarnya peranan Malaysia dalam membantu Bangsamoro sudah lama berlangsung sejak zaman bapa Perdana Menteri, Tun (Abdul) Razak (Hussein) lagi… memang kita memperjuangkan pasal Bangsamoro dan membantu mereka dalam pelbagai sudut dan sebagai contoh banyak warga Filipina yang menjadi warganegara Malaysia khususnya di Sabah. “Kita memang dikenali sebagai mediator yang berjaya menyelesaikan konflik yang berlaku di sesebuah negara dan disebabkan itu kita dipandang tinggi oleh dunia dan peranan yang kita galas adalah besar,” kata Junaidi. Pendirian sederhana kerajaan Malaysia dan kestabilan politik negara turut diperakui oleh dunia dan diterima baik oleh banyak pihak, dengan itu memudahkan Malaysia untuk mendapat kepercayaan, katanya. Penekanan Perdana Menteri terhadap pergerakan kesederhanaan dengan penubuhan Pergerakan Kesederhanaan Global memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar sebagai pengantara untuk membantu menyelesaikanmasalah dan salah faham di negara-negara yang berdepan masalah. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia Fathul Bari Mat Jahaya berpendapat proses pembinaan semula Bangsamoro patut menggunakan pendekatan Islam sederhana bagi pembangunan, pendidikan, ekonomi dan social menerusi penubuhan agensi-agensi Islamik sepertimana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Institut Kefahaman Islam Malaysia. “Jadi pada saya dengan membawa Islam seperti yang kita amalkan di Negara ini, ia akan membantu membangunkan masyarakat Bangsamoro daripada segi rohani dan juga materialistik,” katanya. Pesuruhjaya Suhakam (Pendidikan dan Perhubungan Awam) Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula berkata kerajaan Malaysia boleh memainkan peranan dan membantu kerajaan Filipina dalam bidang ekonomi dan pendidikan kerana ia merupakan elemen penting dalam kemajuan sesebuah negara. “Bidang ekonomi dan pendidikan merupakan aspek penting dalam memastikan kerajaan Filipina dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya. Ini termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat agar dapat mengatasi masalah kemiskinan,” katanya. Menyokong pendirian dan pendekatan sederhana kerajaan Malaysia, Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia A. Prakash berkata setiap komuniti perlu saling membantu demi faedah bersama dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan. “Malah agama Hindu juga tidak sama sekali mengalakkan fanatisme dipratikkan dan sebaliknya membantu semua umat manusia tidak mengira agama dan taraf hidup seseorang. “Saya rasa apa yang telah kita capai adalah sesuatu yang cukup besar kerana kalau kita lihat, Filipina adalah sebuah negara yang besar dan kita (Malaysia) sebuah negara yang kecil tapi saiz itu tidak menjadi penghalang untuk kita membantu negara besar yang mempunyai konflik,” katanya. |
PBS Terus Bersatu Di Bawah Kerajaan BN – Pairin Posted: 20 Oct 2012 03:18 AM PDT TAMBUNAN, 20 Okt – Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menegaskan pucuk pimpinan parti itu kekal bersatu di bawah perjuangan bersama Barisan Nasional (BN). Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata parti itu percaya hanya BN yang terus memperjuangkan kepentingan rakyat berbilang kaum di Negara ini tanpa meminggirkan parti komponen lain. “Bagi pucuk pimpinan PBS, kita ingin tekankan perjalanan perjuangan berterusan harus dalam kerajaan BN. Ini yang ingin kita bawa kepada penduduk di kawasan pedalaman,” katanya di sini, hari ini. Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian mesyuarat Agung PBS Bahagian Tambunan di Tambunan Resort and Country Club di sini hari ini. Pairin yang Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata penduduk Sabah, khususnya di daerah Tambunan harus terus menyokong dan yakin dengan program dan dasar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang giat mentransformasikan negara menjadi sebuah negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi menjelang 2020 menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Beliau turut mengajak rakyat menolak dakyah pembangkang yang mendakwa BN gagal membawa sebarang pembangunan untuk rakyat dan negeri Sabah sejak 49 tahun lepas. “Itu adalah satu pembohongan besar pembangkang sebagai usaha untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang,” katanya. Beliau berkata rakyat boleh melihat sendiri pelbagai pembangunan yang berlaku di negeri ini dari pelbagai aspek seperti kemudahan asas, infrastruktur, pendidikan, pelancongan, pertanian selain bekalan elektrik dan air. Beliau juga menegaskan PBS yang ditubuhkan kira-kira 27 tahun lepas, masih relevan dan konsisten dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah. Terdahulu, Pengerusi Penganjur mesyuarat yang juga Timbalan Ketua Bahagian Datuk Daniel Kinsik ketika berucap, berkata Pairin banyak menabur jasa kepada penduduk Tambunan kerana sejak mewakili daerah itu pada 2006, sejumlah RM403 juta telah disalurkan bagi pelbagai projek pembangunan infrastruktur di Tambunan. |
Pelan Pembangunan Semula Kampung Bharu Dibentang Di Kabinet Bulan Depan Posted: 20 Oct 2012 03:12 AM PDT KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pelan pembangunan semula Kampung Bharu di sini akan dibentangkan di Kabinet November ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Beliau berkata pelan tersebut adalah hasil daripada sesi perbincangan bengkel selama tiga hari melibatkan 20 pemegang kepentingan serta wakil penduduk kampung tersebut bermula Khamis lepas. “Bengkel ini umpama program bersama rakyat yang bertujuan mendapatkan maklum balas semua pihak terbabit yang membuktikan kerajaan sentiasa bersama dengan rakyat. “Rumusan serta pandangan ini akan diguna pakai kerajaan sebagai garis panduan untuk menggerakkan pembangunan Kampung Bharu meliputi kepentingan semua kaum selaras dengan konsep Gagasan 1Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup Lab Pelan Induk/Pelan Struktur dan Garis Panduan Pembangunan Kampung Bharu hari ini. Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib. Nong Chik berkata antara rumusan pelan pembangunan semula yang akan dibentang di Kabinet adalah cadangan proses pembangunan tanah, isu sewa serta tapak. “Kita harap kerajaan meneliti segala rumusan yang dicapai daripada bengkel ini dan kita akan umumkan keputusan yang dibuat kerajaan kelak,” katanya. Menurutnya, ini merupakan peringkat permulaan dalam mencari asas kukuh bagi membangunkan Kampung Bharu secara komprehensif yang mengambil kira kepentingan kira-kira 4,000 tuan tanah. “Walaupun pelbagai tohmahan diterima kerajaan terutamanya daripada pihak pembangkang, namun usaha akan diteruskan melalui Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu yang berfungsi memaju, menyelaras dan menyelia pembangunan di situ,” katanya sambil menekankan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat. Kawasan Kampung Bharu meliputi tujuh buah kampung dengan keluasan 90.2 hektar berusia 110 tahun dan kini mempunyai 35,000 penduduk. Mengenai pembangunan semula Pasar Jalan Bot, Nong Chik berkata cadangan itu dicetuskan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat kawasan itu pada 17 Julai tahun lepas bagi menjadikannya lebih menarik dan bersih serta dapat memberi keselesaan kepada penjaja dan pengunjung. “Ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan komprehensif Kampung Bharu bersifat ‘futuristic’ bagi menggandakan serta mengukuhkan kegiatan ekonomi peniaga dan penjaja yang sudah lama bertapak di situ,” katanya. Beliau berkata projek yang dijangka siap pada 2017 itu akan dibangunkan secara berperingkat di mana semua peniaga dan penjaja tidak akan dipindah keluar daripada kawasan itu semasa proses pembangunan dijalankan. “Kita akan menambah 350 lot menjadikan jumlah lot perniagaan di pasar tersebut kepada 1,877 lot yang kelak akan memenuhi keperluan peniaga-peniaga serta pengunjung,” katanya. Nong Chik juga yakin pembangunan semula pasar tersebut membuktikan kerajaan sentiasa peka dengan kepentingan rakyat khususnya golongan peniaga serta penjaja selain menjadikan pasar itu sebagai antara destinasi pelancongan di Kuala Lumpur. Pasar Raja Bot yang memulakan beroperasi pada 1955 menempatkan kira-kira 1,527 peniaga pelbagai keperluan harian termasuk barang-barang basah dan kering seperti sayur, buah-buahan, pelbagai jenis daging selain menjual pakaian dan makanan.
|
Rakyat Nikmati Akses Lebih Luas Miliki Rumah Dengan Penglibatan Kerajaan, Kata Ahmad Husni Posted: 20 Oct 2012 03:08 AM PDT IPOH, 20 Okt – Penglibatan kerajaan melalui kementerian serta beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah bertujuan supaya rakyat dapat mencapai akses yang lebih luas untuk memiliki rumah di samping agensi berkenaan akan menambah kapasiti bagi memajukan sektor perumahan. Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata selain itu ia juga bertujuan menurunkan harga pasaran rumah pada jangka masa panjang. “Ada faktor yang perlu dilihat untuk pemilikan sesebuah rumah iaitu pertama pinjaman dan kedua adalah harga rumah yang ingin dimiliki. Aspek pinjaman itu adalah di bawah tanggungjawab Bank Negara Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu daerah Kinta anjuran Biro Pengaduan Awam di Chemor dekat sini, hari ini. Bagaimanapun pemilikan rumah oleh rakyat adalah antara keutamaan kerajaan dan sehubungan itu kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) serta memperuntukkan jumlah dana yang besar di bawah Belanjawan 2013, katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan supaya bank perdagangan melonggarkan syarat pinjaman perumahan terutamanya kepada bakal pembeli di bawah Skim Rumah Pertamaku (SRP) dengan mengambil kira keupayaan peminjam untuk membayar balik. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata bahawa pihaknya banyak menerima aduan daripada pemaju perumahan yang mendakwa sukar untuk menjual rumah disebabkan pembeli sukar mendapat pinjaman bank. Ahmad Husni berkata di bawah Belanjawan 2013 kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi membina 123,000 unit rumah pada harga berpatutan di kawasan strategik yang akan dilaksanakan oleh PR1MA, SPNB dan Jabatan Perumahan Negara. Katanya PR1MA diperuntukkan sebanyak RM1 bilion iaitu RM500 juta bagi membina 50,000 rumah mampu milik dengan harga antara RM100,000 dan RM400,000 yang akan membuka akses lebih luas dan banyak kepada golongan berpendapatan rendah berbanding harga antara RM300,000 dan RM400,000 sebelum ini. “Selain itu RM500 juta pula merupakan ‘dana pemudahan’ di mana PR1MA dan pihak swasta boleh memajukan perumahan secara usaha sama. “PR1MA perlu mengenal pasti syarikat swasta yang telah mendapatkan kelulusan untuk majukan perumahan serta merta atau yang telah mencapai 50 peratus proses projek itu. PR1MA akan sediakan dana itu mungkin sebanyak 10 peratus daripada kos projek dengan syarat pemaju perlu mengurangkan harga pasaran rumah,” katanya. Beliau berkata SPNB pula diminta untuk melaksanakan projek rumah mampu milik seperti yang dilakukan oleh pihak swasta iaitu secara berskala besar melibatkan 40 hingga 80 hektar tanah serta menambah jumlah rumah yang berekabentuk bangle seperti rumah mesra rakyat. Rumah-rumah berkualiti seperti itu boleh dibina oleh SPNB dan ditawarkan pada harga yang berpatutan seperti RM150,000, katanya.
|
UMNO Telah Sedia Panduan Definisi Perbuatan Sabotaj Parti – Muhyiddin Posted: 20 Oct 2012 03:04 AM PDT PAGOH, 20 Okt – UMNO telah menyediakan panduan mengenai definisi terperinci perbuatan mensabotaj parti untuk digunakan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana anggota parti yang mengkhianati atau mensabotaj calon Barisan Nasional (BN). Timbalan Presiden UMNOTan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun panduan itu akan diperhalusi terlebih dahulu oleh jawatankuasa khas itu yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin parti sebelum diedarkan kepada kesemua bahagian. “Semua ini akan diperhalusi oleh jawatankuasa yang dibentuk dan dibantu oleh urus setia ibu pejabat UMNO untuk menggariskan perkara-perkara salah laku tadi dan akan kita edarkan kepada semua bahagian untuk dijadikan panduan. “Umpamanya kalau seseorang itu bertanding menentang calon Barisan Nasional, itu sudah lebih daripada sabotaj dan pada masa yang lepas kita tidak ambil tindakan pecat serta merta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Johor di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini. Muhyiddin berkata pada masa lalu tindakan hanya diambil apabila laporan diserahkan kepada Majlis Tertinggi selepas pilihan raya. Menurutnya, kuasa sudah diturunkan semalam kepada jawatankuasa tersebut untuk bertindak dan memecat anggota parti yang melakukan salah laku itu dan jika panduan itu digunakan, tindakan segera dapat diambil tanpa menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan. “Kali ini kita maklumkan awal bahawa sekarang jangan lakukan hal sebegini. Ini langkah-langkah pencegahan…apa yang penting ialah setiap ahli parti sedar bahawa mereka harus sentiasa setia pada parti, setia pada perjuangan dan sentiasa mahu menentukan BN dalam keadaan baik dan mencapai kemenangan,” katanya. Majlis Tertinggi UMNO semalam bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas itu yang akan dianggotai beberapa anggota Majlis Tertinggi yang tidak ada kepentingan selain anggota Lembaga Disiplin dan pihak tertentu selaras dengan Fasal 10.15 yang dibaca bersama Fasal 20.3 Perlembagaan Umno. Anggota yang dilantik boleh memberi laporan kepada jawatankuasa itu dan di samping itu laporan dibuat terus kepada ibu pejabat dan secara online. |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment