UMNO Online - “Belanjawan 2013 – Bajet Bertanggungjawab dan Bijaksana” plus 9 more |
- Belanjawan 2013 – Bajet Bertanggungjawab dan Bijaksana
- Belanjawan 2013 Melegakan Rakyat – Mustapa
- 14 Sukarelawan Berlepas Ke Myanmar Untuk Misi Bantuan Kemanusiaan
- Keusahawanan Bistari Kurangkan Kebergantungan Terhadap Sektor Awam – Muhyiddin
- KSN Mahu Penjawat Awam Lipat Gandakan Kecemerlangan Dan Pencapaian
- Kerajaan Mampu Bayar Hutang Negara – Ahmad Husni
- Jangan Tuduh K’jaan Bersifat Populis Hanya Kerana Berjaya Tunai Janji – Najib
- Belanjawan 2013: Pembangkang Tiada Ruang Untuk Mengkritik – Rais
- Raja Muda Saran Universiti Lahirkan Graduan Berkaliber
- FMM Thanks Govt For Extending Green Tech Financing Scheme
Belanjawan 2013 – Bajet Bertanggungjawab dan Bijaksana Posted: 29 Sep 2012 04:15 AM PDT KOTA KINABALU 29 Sept – Belanjawan 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di parlimen semalam adalah suatu bajet yang bertanggungjawab dan bijaksana kerana meliputi semua lapisan masyarakat. Ketua Wanita Barisan Nasional, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan bajet yang dibentang semalam mampu mengimbangi keperluan rakyat dan memastikan kedudukan kewangan negara yang mantap. “Kami dari Wanita BN ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perdana Menteri kerana telah mampu untuk menunjukkan satu bajet akan datang yang betul-betul hebat yang betul-betul menjiwai hasrat dan doa rakyat. “Dalam bajet itu, sehingga ke peringkat gelandangan pun Datuk Seri tak lupa, hingga ke kumpulan yang berkemampuan, golongan pertengahan yang meliputi perumahan dan keperluan harian,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Wanita BN di sini. Menurutnya, berbanding dengan pembangkang, bajet yang dibentangi oleh mereka adalah bajet yang populis tetapi meletakkan negara dalam suatu kedudukan kewangan negara dalam merbahaya. Katanya, walaupun dalam suasana untuk menghadapi pilihan raya, bajet yang dibentangi itu Perdana Menteri itu adalah suatu bajet yang bertanggungjawab dan bijaksana. Ikuti butiran lanjut sidang media itu di umno-online youtube. |
Belanjawan 2013 Melegakan Rakyat – Mustapa Posted: 29 Sep 2012 03:45 AM PDT JELI, 29 Sept – Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen semalam disifatkan sebagai belanjawan yang melegakan rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed. Beliau berkata belanjawan itu juga sebagai bukti hasil kemakmuran negara yang akhirnya dapat dinikmati rakyat secara keseluruhannya. “Bajet ini melegakan rakyat dan harapan rakyat yang tertunai akhirnya. Bajet ini telah meringankan beban dan membela rakyat. “Golongan berpendapatan rendah paling bersyukur kerana memperoleh Bantuan Rakyat 1Malaysia kali kedua dan diperluaskan lagi kepada mereka yang masih bujang,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Jantung Sedunia 2012 peringkat negeri Kelantan dan Jelajah Sihat Bersama Komuniti, di Sekolah Kebangsaan Jeli 1, di sini hari ini. Mustapa berkata belanjawan yang diumumkan semalam itu juga telah menenggelamkan janji palsu belanjawan pembangkang yang diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari lalu. Di SUNGAI PETANI, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K Devamany menyifatkan Belanjawan 2013, sebagai refleksi terhadap denyutan hati pelbagai lapisan rakyat di negara ini. Beliau berkata setiap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak pra-sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi, belia, wanita, bekas perajurit, penjawat awam, pesara dan penduduk luar bandar, diambil kira dalam belanjawan kali ini. Menurutnya, setiap lapisan masyarakat menerima manfaat daripada Belanjawan 2013, malah masyarakat India khususnya, turut mendapat perhatian menerusi tiga fokus utama iaitu pendidikan sekolah Tamil, latihan kemahiran untuk belia serta bantuan belia India yang berminat menceburi bidang perniagaan. Di KOTA KINABALU, Persatuan Rumpun Anak Seni Sabah (PRASS) menyambut baik peruntukan RM6 juta yang bakal diberikan kepada para karyawan dan budayawan menerusi Belanjawan 2013. Penasihat persatuan itu, Jamawi Jaafar berkata peruntukan untuk membantu persatuan karyawan dan seniman yang berdaftar itu diharapkan akan menjadi pemangkin bagi pengiat seni untuk bergerak lebih aktif, di samping menghasilkan karya yang lebih berkualiti sekali gus memartabatkan karya seni negara ke peringkat global. “Kita menyambut baik pengumuman bajet ini yang membuktikan kerajaan peka dan prihatin dengan nasib serta masa depan para karyawan dan seniman di negara ini, sekali gus dapat menyuburkan industri hiburan untuk terus berkembang maju,” katanya. |
14 Sukarelawan Berlepas Ke Myanmar Untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Posted: 29 Sep 2012 03:31 AM PDT KUALA LUMPUR, 29 Sept – Seramai 14 sukarelawan pasukan pertama Misi Bantuan Kemanusiaan Myanmar Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bagi membantu etnik Rohingya berlepas ke negara itu pada 5 petang ini. Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pasukan itu berlepas ke Myanmar sebagai pemberi maklumat berhubung ketenteraman dan memantau 40 kontena yang menggunakan kapal Simar Birma bagi membawa 500 tan metrik bantuan dalam bentuk makanan, perubatan serta beberapa keperluan ke negara tersebut. “Hari Isnin ini, (pasukan sukarelawan ini) akan maklumkan kepada kita waktu yang sesuai untuk kita terbang dan menjadi perantara kedutaan Malaysia dan kerajaan di sana,” katanya kepada pemberita di sini. Abdul Azeez, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata tiga individu dilantik mengetuai misi tersebut iaitu Datuk Dr Alwi Abdul Rahman sebagai ketua kumpulan perubatan, Ahmad Zaini Kamaruzzaman (ketua kumpulan media) dan Md Farid Hassan (ketua kumpulan delegasi sukarelawan). Pasukan Kedua Misi Bantuan Kemanusiaan Myanmar pula dijangka berlepas 3 Okt ini dan pulang ke tanah air pada 10 Okt. Beliau berkata bantuan itu juga tidak terhad kepada golongan masyarakat Islam Rohingya malah akan diberi kepada orang bukan Islam yang memerlukan di Myanmar. |
Keusahawanan Bistari Kurangkan Kebergantungan Terhadap Sektor Awam – Muhyiddin Posted: 29 Sep 2012 03:28 AM PDT PUTRAJAYA, 29 Sept – Program keusahawanan bistari selain menyemai nilai inovatif, kreatif, semangat kerjasama dan berdaya saing, ia juga mampu mengurangkan kebergantungan terhadap sektor awam. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata secara tidak langsung usaha itu turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. “Penyertaan para pelajar dengan bimbingan guru-guru bistari mampu membentuk persepsi yang baik terhadap bidang keusahawanan sekali gus menjadikan bidang itu satu kerjaya,” katanya pada majlis perasmian Karnival Bistari 2012 di sini hari ini. Beliau berkata, program keusahawanan bistari turut mampu membentuk minat kepada bidang tersebut dalam kalangan pelajar, seterusnya berupaya melahirkan lebih ramai usahawan berpotensi dan modal insan berkualiti, pada masa hadapan. “Penganjuran program seumpama itu amat wajar kerana ia merupakan suatu inisiatif berpandangan jauh,” katanya. Karnival sehari anjuran Johor Corporation dan Bistari Johor Berhad itu bertujuan memperkenalkan program tersebut di peringkat kebangsaan dan julung kali diadakan di luar Johor. Pada majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan Kad QU KFC, kad prabayar dengan ciri unik yang memudahkan proses transaksi harian dalam pembelian produk KFC dan transaksi dalam talian. |
KSN Mahu Penjawat Awam Lipat Gandakan Kecemerlangan Dan Pencapaian Posted: 29 Sep 2012 01:31 AM PDT KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mahu penjawat awam meneruskan dan melipatgandakan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan prinsip ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’. “Semua kementerian, jabatan, dan agensi hendaklah melaksanakan dengan segera segala inisiatif dalam Belanjawan 2013 untuk kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. “Bagi pihak penjawat awam saya merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan atas pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji dan bagi pesara kerajaan sebanyak RM500 secara ‘one off’ dan pencen minimum sebanyak RM820. “Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan yang berterusan dalam mengambil berat terhadap kebajikan penjawat awam, baik yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Ali berkata Belanjawan 2013 juga menyediakan insentif khusus bagi memastikan agenda transformasi negara yang bertunjangkan Program Tranformasi Kerajaan dan Program Tranformasi Ekonomi dapat dijayakan. Beliau berkata rakyat secara keseluruhan mendapat faedah dan manfaat yang luas daripada belanjawan kali ini, khususnya melalui program untuk mensejahterakan rakyat. Katanya ini dibuktikan dengan inisiatif yang diberi, antaranya pelepasan cukai bagi pendidikan tinggi anak-anak, elaun bantuan sara hidup kepada nelayan, rebat telefon pintar untuk belia, baucar buku mahasiswa, diskaun penyelesaian pembayaran PTPTN dan insentif kepada golongan nelayan melalui bantuan sara hidup dan hasil tangkapan serta insentif khas kepada anggota tentera dan bekas tentera yang bersara awal. Ali berkata program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 sebanyak RM500 bagi setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah dan RM250 kepada individu bujang yang berkelayakan. Tidak ketinggalan juga inisiatif lain seperti mewujudkan 70 buah Klinik 1Malaysia, pembinaan 80,000 unit rumah di kawasan strategik, menambah baik sektor keselamatan rakyat dengan menambah bilangan perjawatan polis dan unit rondaan serta memastikan kelestarian bekalan makanan dengan subsidi harga padi dan benih padi, kata beliau. Ali berkata Belanjawan 2013 dijangka dapat mensejahterakan rakyat dan seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi. Jelas sekali katanya belanjawan itu telah disediakan berasaskan objektif kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. “Pengagihan dana secara munasabah dibuat mengikut keutamaan serta kemampuan untuk mencapai objektif jangka pendek dan jangka panjang negara,” katanya. Ali turut berkata pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan kerajaan pada 2013 sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus, menunjukkan satu prestasi amat positif berbanding dengan prestasi ekonomi di peringkat global. “Galakan serta insentif juga diberikan untuk meningkatkan lagi pelaburan asing dan domestik, khususnya bagi kumpulan SME dan penyertaan bumiputera. Nilai rizab yang dikekalkan selama 9.5 bulan nilai import adalah satu lagi penanda aras yang menunjukkan kekuatan ekonomi negara yang mampan. “Selain itu, dengan langkah-langkah pengurusan ekonomi yang diambil, negara juga akan mencapai objektif mengurangkan defisit fiskal pada tahap tiga peratus pada 2015,” katanya. |
Kerajaan Mampu Bayar Hutang Negara – Ahmad Husni Posted: 29 Sep 2012 01:22 AM PDT IPOH, 29 Sept – Rakyat tidak perlu bimbang dengan kadar hutang negara kerana kerajaan mampu membayarnya, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Beliau berkata kerajaan membuat pinjaman berdasarkan kemampuannya untuk membayar balik pinjaman berkenaan. “Kita mampu bayar balik. Tidak pernah di dalam sejarah (kita tidak bayar hutang)…. sejak saya Ahli Parlimen, kita tidak pernah hadapi hutang kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Perak di sini hari ini. Beliau mengulas dakwaan pembangkang bahawa Belanjawan 2013 yang dibentangkan semalam tidak mengambi kira situasi ekonomi dengan hutang negara yang semakin meningkat. Ahmad Husni berkata keupayaan membayar hutang itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk jumlah dan tempoh bayaran pinjaman yang dibuat. “Kalau kita buat pinjaman RM1 bilion dan tempoh bayarannya adalah 20 tahun, jumlah yang perlu dibayar adalah rendah berbanding bayaran dalam tempoh lima tahun,” katanya. Beliau berkata hutang negara ketika ini berada pada paras tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ahmad Husni menjelaskan pinjaman yang dibuat oleh kerajaan digunakan untuk tujuan pembangunan yang dapat menghasilkan kesan berganda bagi memangkinkan pertumbuhan ekonomi negara. Beliau berkata kerajaan perlu meminjam bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan. “Kita perlu meminjam. Jika tidak, kita tidak dapat melaksanakan sebarang pembangunan tetapi perlu dilakukan pada tahap keupayaan untuk membayar balik,” katanya. Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan semalam menyebut hutang kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 10.1 peratus kepada RM502.4 bilion disebabkan pinjaman domestik yang lebih tinggi untuk memenuhi keperluan pembiayaan. Menurut laporan itu, jumlah hutang kerajaan Persekutuan dijangka meningkat kepada 53.7 peratus daripada KDNK tahun ini. |
Jangan Tuduh K’jaan Bersifat Populis Hanya Kerana Berjaya Tunai Janji – Najib Posted: 29 Sep 2012 01:11 AM PDT SEREMBAN, 29 Sept – Pembentangan Belanjawan 2013 bukan langkah untuk membeli undi rakyat tetapi merupakan komitmen kerajaan untuk memakmurkan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini. Justeru, Perdana Menteri berkata kerajaan tidak harus dituduh bersifat populis kerana berjaya mencipta pelbagai kejayaan dan menunaikan janji yang diberi kepada rakyat. Katanya pelbagai dasar dan perbelanjaan yang dilaksana untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi sehingga negara mampu mencatat perkembangan memberangsangkan ketika dunia berdepan kemelut ekonomi, merupakan antara kejayaan besar kerajaan selain penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGV) yang mencatat Terbitan Saham Awal (IPO) kedua tertinggi selepas Facebook. “Ini kebanggaan kita, jadi kita tak boleh dituduh sebuah kerajaan yang bersifat populis. “Kerajaan yang bersifat populis adalah kerajaan yang tidak bertanggungjawab, yang menjanjikan perkara-perkara yang tidak mungkin dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis ‘Jelajah Janji Ditepati’ di Stadium Belia dan Sukan Paroi, di sini. Kira-kira 12,000 anggota masyarakat dari seluruh pelusuk negeri memeriahkan majlis itu yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan. Najib berkata pembangkang merasa tercabar apabila kerajaan memilih slogan ‘Janji Ditepati’ kerana sedar janji-janji yang ditabur mereka tidak mungkin dapat ditunaikan. “Bila kita pilih tema Janji Ditepati, mereka melenting sebab tahu janji mereka tidak boleh ditunaikan…BN tidak janji perkara yang tidak boleh ditunaikan, kita berpijak di bumi nyata,” katanya dan disambut dengan tepukan hadirin. Najib berkata pemilihan nama Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang diumum dalam Belanjawan 2013 semalam juga merupakan satu sindiran kepada pembangkang ekoran menganjurkan Bersih 2.0. “Kita namakan BR1M 2.0 sebenarnya satu sindiran sebab pembangkang anjur Bersih 2.0 yang langsung tidak bersih…tetapi kita bagi BR1M untuk kesejahteraan rakyat. “Kalau negara kita makmur, kerajaan akan kongsi kejayaan dengan rakyat…jadi rakyat mesti yakin bahawa kerajaan sentiasa fikir apa yang telah dan yang baru akan dilakukan (untuk rakyat),” katanya. Najib juga mengaku selepas membentangkan Belanjawan 2013 semalam, banyak perkara yang difikirkannya terutama mengenai petikan Surah Al-Baqarah yang beliau baca kerana membawa makna yang sangat mendalam. Surah yang menekankan kepada melakukan kebaikan itu katanya sangat signifikan dengan apa yang dilakukan kerajaan, iaitu berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dan bukannya menabur fitnah, mencerca dan jauh sekali tidak menunaikan janji. Atas dasar itu rakyat terus meletakkan keyakinan dan menyokong kerajaan pimpinan BN walaupun selepas 55 tahun merdeka dan melalui 12 kali pilihan raya umum. “Hubungan yang saya anggap sebagai wa’ad antara kerajaan dan rakyat ini tidak mudah diputuskan dengan fitnah yang dilemparkan kerana rakyat yakin hanya satu kerajaan yang boleh menepati janji iaitu kerajaan BN,” katanya disambut tepukan orang ramai. Pada majlis itu Najib turut melancarkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Seremban yang bakal dibina di empat lokasi strategik membabitkan pembinaan kira-kira 5,000 unit rumah dalam tempoh dua tahun. Melemparkan sindiran kepada kerajaan Selangor yang masih gagal menyelesaikan isu air di negeri itu, Najib berkata kesediaan kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan telah memungkinkan usaha sama melaksanakan projek perumahan berdasarkan keperluan rakyat. “Bukan seperti di Selangor isu air pun tidak boleh ‘settle’, di negeri ini boleh beri kerjasama yang baik,” katanya yang menambah bahawa rumah di bawah PR1MA akan dijual kepada mereka yang layak pada harga 20 peratus lebih rendah berbanding pasaran. Selain itu Najib turut mengumumkan peruntukan RM158 juta untuk Dana Mudah Cara Pembangunan Lebuhraya Lekas-Temiang yang akan memanfaatkan kira-kira 10,000 penduduk di kawasan sekitarnya. |
Belanjawan 2013: Pembangkang Tiada Ruang Untuk Mengkritik – Rais Posted: 29 Sep 2012 01:06 AM PDT SEREMBAN, 29 Sept – Pembangkang dilihat tidak akan mempunyai ruang untuk mengkritik Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam kerana ia memberi kebajikan meliputi semua lapisan masyarakat. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, sebaliknya belanjawan kali ini pastinya akan terus menggerakkan rasa penghargaan rakyat kepada negara dan kerajaan sedia ada. “Saya menyeru rakyat Malaysia, membuka mata, mendengar dan pasang permandangan supaya kita dapat memberi satu pengiktirafan kepada jasa janji ditepati,” katanya. Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata dengan pelbagai peruntukan bagi industri pembinaan dalam belanjawan kali ini, beliau yakin industri itu akan mengalami pertumbuhan yang lebih strategik pada tahun depan. Katanya, bilangan projek-projek baharu dijangka bertambah sekali gus memberi peluang yang lebih luas kepada kontraktor-kontraktor mengambil bahagian. “Industri pembinaan dalam Malaysia ini mempunyai masa depan yang amat cerah, kerana banyak projek-projek terutama dalam Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan pada tahun lepas, tahun ini dan tahun depan,” katanya. Bagi Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pula, Felda akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengenal pasti tanah-tanah untuk membina 20,000 buah rumah untuk generasi baharu Felda seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam Belanjawan itu. “Kita sudah bersedia, memang kita sudah ada tanah, cuma kita mahu lihat dan kenal pasti mana yang sesuai dan kita akan bincang dengan kerajaan negeri dan kita akan bina rumah pasang siap,” katanya. Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz berkata pembinaan 100 pusat internet di kawasan perumahan rakyat akan mengalakkan semua pihak terutamanya generasi muda supaya lebih bermaklumat dan berpengetahuan luas dalam semua aspeknya peruntukan RM150 juta bagi penubuhan pusat tersebut memberi ruang kepada golongan muda untuk mendapat maklumat tanpa sempadan. “Kampung Wifi memang ada seperti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak . Pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam belanjawan semalam adalah penambahan yang akan diberikan kepada setiap lapisan masyarakat. “Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan rebat RM200 telefon pintar 3G kepada belia berusia 21-30 tahun. Ini adalah sokongan kerajaan kepada generasi muda untuk terus berteknologi dan tidak mahu golongan ini ketinggalan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan ke-13 di Stadium Badminton Cheras. Pengarah Teknikal Persatuan Taekwondo Malaysia (TM) R.Dhanaraj berkata seramai 600 peserta dari 31 persatuan dan kelab taekwondo menyertai kejohanan tersebut yang berlangsung dua hari bermula hari ini. Peserta tersebut mengambil bahagian dalam dua kategori iaitu 10-13 tahun dan 14-17 tahun. “TM akan memilih 12 peserta dari kategori 14-17 tahun yang cemerlang untuk mewakili negara dalam Kejohanan Taekwondo Terbuka Remaja Indonesia pada Disember depan, 15 peserta terbaik dalam kategori 10-13 tahun pula akan dipilih untuk menjalani latihan di Thailand,” katanya. |
Raja Muda Saran Universiti Lahirkan Graduan Berkaliber Posted: 28 Sep 2012 10:33 PM PDT KANGAR, 29 Sept – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu universiti di negara ini berupaya melahirkan graduan yang berkaliber dan mampu mengubah senario dunia. Titah baginda peranan unversiti kini tidak lagi sekadar menghasilkan graduan dan penyelidikan untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan, malah dapat bersaing di peringkat global. Bertitah pada istiadat konvokesyen ke-7 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan 2020 di sini hari ini, baginda berharap semua universiti sentiasa responsif dan bersiap siaga menghadapi segala tekanan dan cabaran untuk mencapai hasrat itu. Justeru beliau berharap pihak universiti khususnya UniMAP, berusaha melahirkan graduan dan reka cipta yang lebih berimpak sekali gus mampu mengubah kebiasaan. “Ini adalah kerana untuk kita terus kekal berada di depan, kita mesti berjiwa besar menjadi masyarakat yang berkemampuan dan mahu melakar dan mengubah sejarah,” titah baginda yang juga Canselor UniMAP. Selain itu, baginda bertitah melalui pencapaian cemerlang itu, ia dapat dimanfaatkan demi kesejahteraan serta kelestarian manusia sejagat. Pada majlis konvokesyen itu, seramai 1,830 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing meliputi 12 graduan Doktor Falsafah, 61 graduan Sarjana Sains, 1,230 Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, 284 Sarjana Muda Perniagaan dan 243 menerima Diploma Kejuruteraan. Sementara itu, empat tokoh menerima Ijazah Kehormat iaitu bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan (Hon.D.Mgt.) dan Prof Emeritus Tan Sri Dr Augustine Ong Soon Hock, penyelidik terkemuka dalam bidang kimia lipid dan minyak sawit, menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains (Hon.D.Sc.). Dua lagi penerima ialah Presiden Athlone Institute of Technology (AIT), Ireland, Prof Ciaran O’ Cathain, menerima Hon.D.Mgt. manakala, Naib Presiden Pembangunan Industri dan Penyelidikan Kulim Technologi Park Corporation, Annuar Mohd Saffar menerima Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan. |
FMM Thanks Govt For Extending Green Tech Financing Scheme Posted: 28 Sep 2012 10:30 PM PDT KUALA LUMPUR, Sept 29 – The Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) has thanked the government for extending the Green Tech Financing Scheme for another three years in next year’s budget. It also expressed its appreciation for accepting the proposal to recognise intellectual property rights as collateral for financing to assist in SMEs excess funding as well as the reduction of time bar for raising income tax assessment or additional assessment from six to five years. The FMM welcomed the reduction in individual income tax by one per cent in the Budget 2013 announced by the Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak in Parliament on Friday. “However, the reflection in rate should have been effected across the board to provide relief also to the middle class and knowledge workers with taxable incomes above RM50,000 per annum,” it said in a statement. The FFM also welcomed the government’s review of the Real Property Gains Tax (RPGT)to curb speculative activities in the real property market. “It will have a potential impact on the economy as a whole. The tax incentives to revive housing projects will also bring relief to affected house owners,” it added. The extension of Research and Development (R&D) allowances for commerialisation to the non-resourced based sector was also applauded by the FMM. But it noted that an automatic double deduction incentive on R&D expenses would have been a more direct and effective boost to innovation and R&D activities for companies. |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment