UMNO Online - “UMNO Proaktif Dekati Rakyat, Bantu Golongan Gelandangan” plus 9 more

UMNO Online - “UMNO Proaktif Dekati Rakyat, Bantu Golongan Gelandangan” plus 9 more

Link to UMNO Online

UMNO Proaktif Dekati Rakyat, Bantu Golongan Gelandangan

Posted: 26 Jun 2012 07:17 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Jun – UMNO sentiasa berusaha mendekati masyarakat dalam pelbagai cara khususnya turun padang dan memberi bantuan sama ada dalam bentuk penerangan, memahami permasalahan dan meringankan beban rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

"Kita tak tunggu orang datang kepada kita tapi kita datang kepada orang kerana kita melaksanakan sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri iaitu turun padang dan mendekati orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan mesra sempena Program 'Food For Life' yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Malaysia menerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

"Pelbagai rakyat dari pelbagai tempat berpusat di sini dan Jalan Majid India ini adalah antara pusat tumpuan di Kuala Lumpur yang mana ia menjadi lokasi SHEB yang dilaksanakan setiap minggu selama 120 minggu tanpa gagal sejak dilancarkan pada awal 2010," katanya.

Jelasnya, SHEB mengambil inisiatif dengan memberi makan secara percuma kepada golongan gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal pada setiap hari Selasa di perkarangan Masjid India.

Turut serta dalam program tersebut ialah Pengerusi SHEB, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin yang memaklumkan bahawa program seumpama ini bertujuan untuk membantu golongan kurang bernasib baik terutama penghijrah baru yang datang ke Ibu Kota untuk mencari peluang pekerjaaan tetapi akhirnya terpaksa hidup dalam gelandangan.

"Ini adalah usaha-usaha berterusan dan kita telah membawanya ke bandar-bandar besar di seluruh negara misalnya di Pulau Pinang, Perak dan Johor Bahru tetapi ia tidak cukup besar sebagaimana di Kuala Lumpur," katanya.

Selain dari memberi makanan percuma SHEB juga menyediakan kaunter pemeriksaan kesihatan percuma, kaunter semakan daftar pemilih (SPR) dan perkhidmatan penghantaran percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ke hospital bagi menjalani kesihatan.

Dalam masa yang sama, SHEB juga telah membantu masyarakat termasuklah menghantar pulang sejumlah 2,745 orang ke pangkuan keluarga masing-masing selain sejumlah 4,320 orang telah mendapat pekerjaan hasil kerjasama daripada pihak SHEB. – MediaUMNO

Kaum Cina Ada Sebab Kenapa Mesti Tolak Anwar…

Posted: 26 Jun 2012 04:52 AM PDT

Kaum Cina, dikatakan kaum yang praktikal dan bukan emosional dalam menentukan matlamat hidup mereka.  Praktikaliti bagi mereka, dinilai dari sudut keuntungan ekonomi dalam jangka masa panjang.  Mereka sabar, tekun dan kekal fokus untuk mencapai apa yang diidamkan.

Dalam menentukan kerajaan yang memerintah juga, kaum Cina mengambil sikap yang sama dan bergerak sebagai satu kumpulan bagi memastikan keuntungan maksima kepada kaum mereka.

Barisan Nasional telah menjadi pilihan kaum Cina sejak sekian lama kerana mereka yakin bahawa parti ini mampu menyediakan persekitaran dan lanskap yang sesuai untuk mereka 'berkembang'.

Walaupun terdapat puak-puak ekstremis Cina yang cuba menafikan keupayaan BN serta menghasut kaum Cina agar berprasangka, malah membenci BN dengan membangkitkan soal Hak-hak Istimewa Bumiputera tetapi tiada seorang pun manusia di dunia ini yang mampu menolak hakikat bahawa kaum Cina di Malaysia adalah antara yang paling makmur sekali di dunia di bawah pemerintahan BN.

Sekolah-sekolah Cina, dahulunya dibuka sebagai persediaan untuk kaum Cina kembali ke tanahair mereka selepas puas mencari kekayaan di negara ini.  Namun, majoriti  kaum Cina terus kekal di sini, menjadi warganegara yang setia kerana mereka tahu kerajaan Perikatan ketika itu, dan BN hari ini, akan tetap membela mereka.

Namun begitu, sokongan kaum Cina terhadap BN hari ini dikatakan merosot secara drastik dan apa saja yang dilakukan oleh BN tidak akan mampu lagi untuk memulihkan keadaan ini.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna yang mereka menyokong Pakatan Rakyat.  Mungkin mereka tersasar sekejap pada tahun 2008 akibat terpedaya dengan janji-janji manis Anwar Ibrahim dan faktor-faktor lain, tetapi seperti yang dikatakan tadi, kaum Cina bukan bertindak berdasarkan emosi, tetapi praktikaliti.

Akhir-akhir ini, Anwar mula dipandang serong oleh kaum Cina apabila beliau membangkitkan idea untuk menghapuskan PTPTN yang mana akan merugikan para pelajar, termasuk anak-anak bangsa Cina yang majoritinya memilih pusat pengajian tinggi swasta yang jauh lebih mahal harganya.

Kemudian, Anwar sekali lagi menggusarkan kaum Cina apabila bertindak 'mengambil alih' perhimpunan BERSIH 3.0 dan menonjolkan warna sebenarnya sebagai seorang pemberontak yang ingin membuat huru-hara.   Sudah tentu kaum Cina tidak inginkan huru-hara kerana ia akan bermakna kerugian bagi perniagaan mereka.

Maka, dua insiden ini menjadi titik penting untuk kaum Cina kembali mengimbas sejarah lama dalam menjustifikasi undi mereka dalam pilihanraya kali ini.

Ternyata sejarah tidak pernah berbohong dan sejarah telah memaparkan siapa Anwar yang sebenarnya.

Setelah membaca sejarah Anwar ramai anak-anak muda Cina kembali berpijak di bumi nyata dari terus bermimpi diperintah oleh Pakatan Rakyat yang kononnya bakal memberi mereka kesamarataan total bagi membolehkan mereka berkembang ke tahap maksima dan menelan kaum-kaum lain di Malaysia.

Anwar Ibrahim adalah manusia dengan begitu banyak personaliti jika tidak, takkanlah beliau digelar 'sesumpah' oleh wartawan barat.

Anwar Ibrahim adalah manusia dengan begitu banyak personaliti jika tidak, takkanlah beliau digelar 'sesumpah' oleh wartawan barat.

Mengikut pendedahan buku The 'I' Files, pada satu masa, Anwar adalah seorang Muslim fanatik yang mengimpikan negara Islam 'sempurna' ala Iran, berkiblatkan Saudi, berfahaman Wahhabi dan tiada tolak ansur dalam menangani kemungkaran.

Bagi Anwar, kaum Cina dan barat semuanya adalah ancaman kepada Islam.  Sehinggakan, kata penulis buku tersebut, Hasan Ali juga tidak dapat menyaingi 'mimpi' Anwar pada waktu itu!

Pendedahan ini boleh dibuktikan dengan sikap dan tindakan yang diambil oleh Anwar ketika menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986-1990.  Beliau mula melantik Guru Besar yang tiada latarbelakang pendidikan Cina di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina.

Anwar juga tidak pernah membela sekolah Cina malah beliaulah yang begitu giat membawa semangat nasionalis sepertimana Indonesia di mana identiti kaum-kaum lain dihapuskan sama sekali bagi membentuk sebuah bangsa yang bersatu padu.

Hanya pada tahun 1996, kerajaan BN telah meminda Akta Pendidikan 1961 seksyen 21 (2) untuk menarik balik kuasa Menteri Pendidikan menukar kedudukan sekolah Cina kepada sekolah kebangsaan selepas bantahan DAP dan Dong Jiao Zong.

Selain pendirian Anwar mengenai kedudukan kaum Cina di Malaysia yang sukar dijangka kerana asyik berubah-ubah mengikut keadaan politik semasa dan kepentingan peribadinya, Anwar juga dikhuatiri oleh kaum Cina sebagai tidak mempunyai kelayakan dan kebolehan untuk mentadbir ekonomi.

Ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, dan kebetulannya pada tahun-tahun akhir sebelum dipecat iaitu 1997/98, negara telah mengalami serangan ekonomi yang buruk.   Kebolehan Anwar sebagai Menteri Kewangan telah teruji dan ternyata Anwar gagal sama sekali.

Dalam kebuntuan, Anwar telah mengambil keputusan yang mudah tetapi salah, iaitu menurut sahaja telunjuk IMF.   Kadar faedah pinjaman dinaikkan secara drastik menyebabkan perniagaan tidak mampu membayar pinjaman dan bank-bank pula terbeban dengan 'Non-Performing-Loan' (NPL).

Akibatnya, ekonomi Malaysia hampir lumpuh sepenuhnya apabila perniagaan ditutup, bank-bank pula mengalami kerugian dan pengangguran meningkat sehingga menyekat kadar dayabeli rakyat.

Malaysia bertuah kerana diselamatkan oleh kebijaksanaan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berani mengambil langkah tidak popular dan menelan segala kritikan demi menyelamatkan negara yang hampir bankrap.

Tindakan ini menyebabkan BN berjaya memenangi PRU 1999 apabila kaum Cina menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan Barisan Nasional sekali gus menjauhkan mereka dari pembangkang pada ketika itu, Barisan Alternatif yang diterajui oleh Anwar Ibrahim.

Justeru, kita percaya kaum Cina cukup bijak untuk belajar dari sejarah dan tidak mudah terpengaruh oleh emosi yang kurang tenteram akibat dihasut oleh puak ekstremis, chauvinis, rasis dan pentingkan diri sendiri.

Selama ini, negara ini berdiri teguh atas kerjasama semua kaum.  Dan kerjasama ini menjadi teguh kerana wujudnya perlembagaan yang mengambil kira keadilan mengikut struktur ekonomi dan sosial kaum-kaum di Malaysia dan bukannya kesamarataan secara buta tuli.

Formula di dalam perlembagaan inilah yang menjadi kunci keamanan, keteguhan dan kemakmuran negara ini.  Maka semua kaum wajar terus menjulang perlembagaan negara bagi memastikan apa yang dikecapi hari ini akan terus bercambah dan kukuh selama-lamanya.

Di masa yanga sama, kita melihat apa yang dimomokkan oleh Anwar hanyalah ilusi, mimpi dan fantasi seorang manusia yang gila kuasa.

Kemungkinan besar Anwar sendiri tidak tahu apa yang diperkatakan dan dijanjikannya kerana kemungkinan besar Anwar sendiri tidak kenal lagi siapa dirinya iaitu sama ada beliau seorang fanatik, ektremis, liberal ataupun plural.

Oleh itu, jalan terbaik bagi rakyat ialah memilih kepimpinan BN yang 'moderate' dan kekal konsisten dengan prinsip dan pendirian ini.

Imran Heng Abdullah

Sejarah Buktikan Pakatan Pembangkang Tidak Kekal Lama

Posted: 26 Jun 2012 04:33 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Di sebalik keghairahan pakatan pembangkang untuk meneraju negara sebagai satu entiti, sejarah membuktikan pakatan itu tidak mampu kekal lama, kata seorang pemerhati politik hari ini.

Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata tidak seperti kerjasama Barisan Nasional (BN) yang kekal utuh selepas lima dekad, pakatan parti pesaing gagal mempertahankan muafakat kerana tidak menepati kerangka politik pelbagai kaum negara ini.

“Rekod baik dan pengalaman permuafakatan BN yang panjang serta teruji tidak dimiliki oleh parti-parti pesaing. Menyusur sejarah, permuafakatan parti-parti pesaing tidak kekal lama.

“Kerjasama berlangsung ketika pilihan raya umum sahaja seperti Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif. Seterusnya, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang memerintah Kelantan bertahan untuk satu penggal sahaja,” katanya dalam kertas kerja bertajuk ‘Kepentingan Kekuatan Politik Umat Islam Dalam Konteks Masyarakat Majmuk Di Malaysia: Satu Analisa’.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia itu adalah antara pembentang kertas kerja pada seminar ‘Dilema Politik Umat Islam Di Malaysia: Memahami Realiti dan Cabaran Semasa’, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia, di sini.

Samsul Adabi juga berkata hakikat bahawa pakatan pembangkang tidak disertai parti politik dari Sabah dan Sarawak turut menyumbang kepada kelonggaran kerjasama mereka.

Mereka juga tidak memiliki organisasi berstruktur sekali gus tidak meletakkan mana-mana parti sebagai dominan dan ini menyebabkan sukar bagi mereka bersatu, katanya.

BN sebaliknya bukan sekadar perkongsian kuasa politik tetapi member gambaran sebenar dalam masyarakat majmuk Malaysia yang membolehkan pakatan itu terus diyakini rakyat untuk memerintah, kata beliau.

“Rekod ini belum dapat disaingi oleh permuafakatan longgar parti-parti lain. Yang jelas, permuafakatan BN selari dengan kontrak sosial penubuhan negara itu sendiri.

“Ia menyebabkan BN terus dominan dalam politik Malaysia,” katanya.

Ketika ditemui pemberita sebelum itu, Samsul Adabi berkata Malaysia mempunyai kekuatan yang berbeza berbanding negara lain untuk meraih kemajuan daripada sistem demokrasi.

Malaysia katanya berjaya mencapai kemajuan sejak merdeka hasil kebijaksanaan pemimpin yang mentadbir negara untuk kesejahteraan rakyatnya.

“Banyak negara mendapat kemerdekaan daripada zaman penjajahan pada awal abad ke-20 hingga 70-an termasuk Malaysia sendiri yang merdeka pada tahun 1957.

“Kebanyakan negara yang mencapai kemerdekaan ini, apabila mempraktikkan sistem demokrasi, didapati gagal mencapai kemajuan yang sepatutnya. Dan kita tengok, tidak banyak negara yang mencapai kemajuan hasil daripada system demokrasi seperti Malaysia,” katanya.

Patut Sokong Palestin Bina Institusi Pendidikan Bukan Sokong Keselamatan Israel

Posted: 26 Jun 2012 04:28 AM PDT

KUALA LUMPUR 26 Jun – Komitmen Malaysia untuk  membiayai pembinaan sebuah bangunan kolej sains kesihatan bernilai RM15.8 juta (AS$5 juta) di Al-Quds, Baitulmaqdis membuktikan konsistensi pentadbiran negara untuk membantu rakyat Palestin dan sekaligus menujukkan ianya bukanlah sebuah kerajaan yang hipokrit.

Pengerusi Biro Pendidikan Politik Pemuda UMNO, Ali Mazat Salleh berkata berbanding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan khususnya jauh lebih komited dalam  membantu rakyat Palestin yang ditindas Israel itu.

Menurut beliau gaya retorik dan kesungguhan Anwar yang kononnya untuk membantu rakyat Palestin sudah dikethaui umum dan tentunya ramai masih ingat bagaimana kenyataan beliau yang disiarkan di dalam Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

"Inilah bezanya antara pemimpin yang hanya sekadar bercakap dan pemimpin yang buat kerja…Datuk Seri Najib telah membuktikan komitmen sebagai sebuah wakil kepada kerajaan Malaysia untuk membantu membiayai intitusi pendidikan itu.

"Bandingkan pula apakah jasa dan pengorbanan Anwar..Sekadar cakap dan penuh dengan gaya retorik kosong semata-mata. Inilah bezanya. Sesungguhnya bantuan pembiayaan itu cukup besar untuk rakyat yang hari ini ditindas oleh rejim Isrel," katanya kepada UMNO-Online.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan delegasi Yayasan Institusi Antarabangsa Al-Quds menyatakan komitmen Malaysia untuk  membiayai pembinaan sebuah bangunan kolej sains kesihatan bernilai RM15.8 juta (AS$5 juta) di Al-Quds, Baitulmaqdis.

Ali Mazat yang juga Ketua Pemuda UMNO Kulai seterusnya menambah apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib itu adalah sesuatu yang cukup mulia dan amat baik untuk pembangunan anak-anak muda untuk mendapat pembelajaran di negara berkenaan.

Namun menurut beliau negara khususnya tidak pernah bongkak dan tidak riak menyatakan perkara berkenaan tetapi  membantu atas dasar sesama umat Islam dan apa yang penting konsistensi Malaysia terhadap Palestin dibuktikan dengan jelas.

"Jadi kepada mana-mana pihak yang sebelum ini menabur pelbagai fitnah terhadap kepimpinan negara khususnya, jenguk-jenguklah perkara berkenaan…Dan saya pun bukannya untuk mewar-warkan perkara tersebut cumanya sekadar untuk berkongsi maklumat agar apa yang ditohmah oleh pelbagai pihak dapat diperbetulkan.

"Paling penting apa yang saya harapkan adalah rakyat khususnya dapat menilai bagaimana pemimpin yang penuh retorik kosong dengan pemimpin yang melaksanakan tanggungjawab bukan sahaja terhadap negara tetapi sesama umat Islam yang lain. Najib dah buktikan tetapi kita tunggu apa pula yang Anwar mahu buktikan. Apa pun kenyataan Anwar menyokong sepenuh keselamatan negara Israel akan terus jadi ingatan rakyat di negara ini," katanya. -MediaUMNO 

Pertikaian Geran Selangorku RM300 Juta Antara Punca Perang Dalam PKR Selangor

Posted: 26 Jun 2012 03:40 AM PDT

SHAH ALAM, 26 Jun – Perang dan kemelut yang kini sedang kuat bergoncang di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor bukan saja membabit pergelutan kuasa antara Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali namun ia mempunyai hubungkait tentang isu Geran Selangorku yang bernilai RM300 juta.

Umpama bangkai gajah walaupun cuba ditutup ia tetap berbau juga.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed berkata pergelutan kuasa antara Khalid dan Azmin bukan lagi satu rahsia dan ia bertambah buruk apabila membabitkan wang RM300 juta yang kini menjadi pertikaian bukan saja di kalangan pemimpin PKR malah rakyat di Selangor.

Sehingga kini tegas beliau Menteri Besar masih lagi berdolak dalih dalam menyatakan sumber sebenar wang RM300 juta itu.

"Mereka mengaku ianya adalah dari hutang yang dikutip namun dalam kenyataan lain, Menteri Besar sendiri mengaku bahawa RM300 juta ini tidak termasuk hutang Talam yang dikutip oleh kerajaan negeri. Persoalannya kenapa berdolak dalih?," ujarnya dalam sidang media isu-isu semasa Selangor di Ibu Pejabat BN Selangor di sini, hari ini.

Tambahnya, tiada sebarang data terperinci yang menjelaskan mengenai sumber kewangan RM 300 juta ini.

"Tambah menghairankan, kelulusan sejumlah besar wang ini langsung tidak melibatkan pegawai Kewangan Negeri tetapi hanya melalui beberapa individu dalam Menteri Besar Incoperated (MBI), termasuk Faekah Husin (Setaiusaha Politik Menteri Besar) sendiri", katanya.

Jelas beliau lagi perbelanjaan wang yang kononnya dikatakan akan dibuat secara tender terbuka tidak berlaku seperti yang dinyatakan.

"Berdasarkan maklumat dalaman yang kami terima, pengagihan RM300 juta ini adalah untuk tujuan infrastruktur yang akan dibuat dalam empat fasa.

"Kami percaya, ini sebenarnya merupakan dana khas Pilihanraya ke-13 yang cuba disembunyikan oleh Kerajaan Negeri dan Menteri Besar sendiri.", ujarnya.

Tambah menghairankan kata beliau, kenapa perlunya kuasa mutlak Menteri Besar untuk menentukan kepada siapa peruntukan ini disalurkan jika kaedah tender terbuka digunapakai.

"Berdasarkan makluman dalaman, Faekah Husin sebenarnya yang mengawal pengagihan wang ini. Perkara ini berlaku diluar pengetahuan Menteri Besar sendiri", katanya..

Beliau seterusnya memberitahu persoalan yang ditimbulkan dalam Dewan Undangan Negeri mengenai ke mana wang itu sebenarnya dibelanjakan tidak dijawab dengan baik oleh Menteri Besar Selangor.

"Sehingga kini, masih belum ada sebarang maklumat rasmi mengenai angka-angka ini selain hanya pengumuman demi pengumuman yang dibuat sekadar untuk mengaburi mata rakyat.

"Strategi Kerajaan Negeri membentangkan bajet kononnya secara seimbang kerana mengamalkan perbelanjaan berhemah hanyalah wayang semata-mata kerana setiap kali Sidang DUN diadakan, kerajaan negeri akan memohon bajet tambahan. Adakah ini sikap berhemah kerajaan negeri?," tambahnya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Dalam masa yang sama, beliau turut mempertikaikan tindakan Menteri Besar mendedahkan butiran sumber wang ini kepada Exco sahaja menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan Geran Selangorku ini.

"Apa yang cuba disembunyikan? Adakah geran ini sebenarnya untuk menampung perbelanjaan pilihanraya Pakatan Rakyat dalam kempen PRU akan datang?

"Contoh lain yang menunjukkan bahawa Faekah sebenarnya merupakan duri dalam daging yang mengucarkacirkan pentadbiran Kerajaan Negeri ialah tindakan beliau menggunakan kepala surat pejabat Menteri Besar untuk memberikan surat sokongan untuk syarikat guaman keluarga beliau kepada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebuah GLC milik kerajaan Negeri", katanya.

Tindakan Faekah ini diakui sendiri oleh Menteri Besar malah Menteri Besar dengan bersahaja mengatakan ianya tidak menjadi satu kesalahan. Ini merupakan satu percanggahan amalan paling terang dilakukan oleh MB.

"Kita jangan lupa pada tahun 2008, Khalid Ibrahim menggantung tugas Pegawai Khas beliau, Mohd Yahya Sahri kerana menyalahguna kepala surat Pejabat MB Selangor untuk tujuan mengutip derma dari syarikat swasta bagi sambutan 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Saya mencabar Khalid Ibrahim supaya mengambil tindakan ke atas Faekah seperti yang pernah dilakukan ke atas Yahya Sahri sebelum ini. Kita sama-sama nantikan apakah yang akan dilakukan oleh MB Selangor kepada Setiausaha Politik kesayangan beliau itu", ujarnya. -MediaUMNO

BN Selangor Bakal Adakan Program Untuk Dengar Masalah Rakyat Selangor

Posted: 26 Jun 2012 03:14 AM PDT

SHAH ALAM, 26 Jun – Barisan Nasional (BN) Selangor bakal melaksanakan program bertemu rakyat khusus bagi mendengar aduan serta rintihan yang dihadapi rakyat Selangor ekoran masalah yang tidak dapat ditangani kepimpinan kerajaan negeri itu.

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata program itu dirangka supaya anggota BN Selangor dapat turun padang untuk bersemuka dengan rakyat bagi menyelesaikan masalah yang sekian lama dihadapi mereka.

“Antara masalah yang sering menjadi rungutan rakyat Selangor ialah isu sampah yang tidak dikutip, longkang yang tersumbat dan banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini.

“Sehingga kini, program yang ingin kami laksanakan masih di peringkat perbincangan dan masih dirangka, namun ia dijangka diadakan sebelum Ramadan ini” katanya dalam pada sidang akhbar di Bangunan UMNO di sini hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata BN Selangor akan mengumpul aduan daripada orang ramai yang menetap di seluruh Selangor untuk diteliti sebelum sebarang langkah penyelesaian diambil.

Mohd Zin berkata BN Selangor turut mengambil langkah melanjutkan waktu operasi talian Pusat Khidmat Rakyat (Pakar) BN Selangor dari pukul 9 pagi hingga 9 malam bagi mengumpul maklumat berhubung masalah yang dihadapi rakyat.

Selain menerima aduan dan masalah setempat daripada orang ramai, Pakar juga merupakan medium perantara bagi rakyat Selangor untuk mendapatkan maklumat mengenai produk-produk kerajaan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Sejak diwujudkan pada April lepas, Pakar menerima 5,550 panggilan daripada orang ramai dan 20 peratus daripada panggilan yang diterima merupakan aduan dan selebihnya adalah bagi mendapatkan maklumat serta perkhidmatan termasuk mengenai BR1M.

“Saya pasti jika BN yang memerintah Selangor pasti masalah rakyat akan cepat diselesaikan…persoalannya kenapa rakyat meminta bantuan dari BN jika benar kerajaan Selangor mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.

EC Wants More Sarawak NGO As Election Observers

Posted: 26 Jun 2012 02:38 AM PDT

KUCHING, June 26  - The Election Commission (EC) plans to appoint several non-governmental organisations (NGOs) in Sarawak as observers  during 13th general election.

Deputy chairman Datuk Wan Ahmad Wan Omar said four NGOs in Sarawak have been identified for appointment as observers to monitor the election process for Kuching zone.

The four NGOs are Sarawak Malay Association, Orang Ulu Association, Muslim Youth Association (Sarawak branch) and Sarawak Youth Association.

“EC will meet with several NGOs in Sibu and Miri to appoint them as observers,” he told a press conference after a briefing for election campaign enforcement teams here today.

Wan Ahmad said the organisations selected for appointment as observers have proven to be apolitical.

Three Sabah organisations offered for appointment as election observers are Sabah Youth Council, Sabah Historical Society and Human Rights Association (Sabah branch).

Five NGOs picked for appointment as observers are Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Merdeka Centre, Asian Strategy and Leadership Institute (Asli), Transparency International Malaysia (TI-M) and Human Rights Association.

Wan Ahmad said 64 election campaign enforcement teams had been formed in Sarawak and will be added on the request of returning officers for each constituency.

Each team consists of an EC officer, police inspector, local authority officer and a representative for each election candidate.

Their task is to ensure that contesting political parties observe the election regulations.

Pas Semakin Letih Jadi Rakan Tukang Cuci Pakatan Pembangkang

Posted: 26 Jun 2012 02:26 AM PDT

KOTA BHARU 26 Jun – Sampai bilakah Pas akan terus menjadi tukang jawab serta 'tukang sapu' kepada isu-isu serta dakwaan yang melibatkan pemimpin pakatan terutama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saban waktu ada sahaja isu dan dakwaan yang melibatkan tokoh pembangkang dan seperti biasa pimpinan Pas akan terus bertungkus lumus untuk menjawab atau memainkan peranan sebagai tukang cuci kepada setiap kekotoran yang dilakukan rakan pakatan mereka.

Mengulas perkara tersebut Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Ustaz Hj Mohd Afandi Yusof  percaya Pas sebenarnya sudah semakin bosan dan letih untuk terus menjadi rakan pakatan yang peranannya hanya sebagai tukang cuci dari isu wakil rakyat bogel, sokong Israel, skandal jamban, liwat, akaun RM3 bilion dan macam-macam lagi.

"Sebab itu kita lihat sejak akhir-akhir ini Pas seperti seperti habis gas untuk bersungguh mempertahankan rakan pakatan mereka… ini kerana Pas juga semakin terhimpit dengan pelbagai isu dalaman mereka.

"Saya percaya rata-rata penyokong Pas sendiri pun sedar perkara ini di mana Pas seolah-olah dipergunakan semata-mata kepentingan politik rakan pakatan mereka saja di mana peranan utama hanya sebagai tukang cuci," katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Ustaz Afandi seterusnya percaya selagi Pas terus bersama pakatan pembangkang maka selagi itulah Pas akan menjadi tukang cuci kepada najis yang ditinggalkan pemimpin rakan pakatannya terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Seperti yang sebutkan di atas, dari isu wakil rakyat bergambar bogel, isu liwat, video seks termasuklah yang dikatakan derhaka kepada ibu kandung dan isu RM3 bilion yang dikatkan dengan Anwar, Pas nampaknya dilihat memainkan peranan untuk menyucikan mana-mana pemimpin pakatan pembangkang yang terlibat.

"Jadi kepada rakan-rakan saya yang masih setia bersama Pas, eloklah bermuhasabah sementara masih berkesempatan," katanya. -MediaUMNO 

Bayaran Durian Runtuh Felda Dibiayai Dana Dalaman, Wang Imbuhan FGVH

Posted: 26 Jun 2012 02:15 AM PDT

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pembayaran ‘durian runtuh’ sebanyak RM15,000 kepada warga Felda dibiayai menggunakan dana dalaman dan wang imbuhan yang akan diterima melalui penjualan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH), kata Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pembayaran durian runtuh fasa pertama sebanyak RM5,000 yang dibiayai Felda menggunakan dana dalaman, telah selesai pada Mei lepas.

“Manakala baki pembayaran fasa seterusnya akan menggunakan wang imbuhan yang akan diterima daripada penjualan saham FGVH dan dijangka mula dibayar pada Julai 2012,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) yang diedarkan kepada media di Dewan Rakyat, di sini, Selasa.

Mohd Nasir bertanya daripada sumber mana kerajaan membayar ‘durian runtuh’ sebanyak RM15,000 kepada warga peneroka Felda sedangkan penyenaraian FGVH belum dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei lepas mengumumkan durian runtuh kepada peneroka berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 kepada ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Ahmad berkata penasihat utama dan Penyelaras Global Bersama untuk penyenaraian FGVH ialah CIMB Investment Bank, Maybank Investment Bank dan Morgan Stanley & Co International.

“Jenis bayaran kepada penasihat-penasihat tersebut adalah yuran pembrokeran, yuran penempatan dan komisen Penyelaras Global Bersama. Kadar yuran dan komisen yang dibayar oleh FGVH kepada penasihat-penasihat tersebut adalah sejajar dengan kadar yang diguna pakai dalam Penawaran Awam Umum (IPO) tempatan,” katanya.

Mahfuz meminta penjelasan kerajaan mengenai nama syarikat perunding yang dilantik bagi tujuan menasihati Felda dalam hal penyenaraian FGVH dan berapa jumlah bayaran yang perlu dibayar kepada perunding tersebut.

Malaysia Diiktiraf Negara Paling Selamat

Posted: 26 Jun 2012 02:14 AM PDT

JOHOR BAHARU, 26 Jun – Malaysia diiktiraf oleh badan antarabangsa World Justice Project sebagai negara yang paling selamat di kalangan 19 buah negara berpendapatan sederhana tinggi di dunia.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata, malah Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang ke-12 paling selamat secara keseluruhan mengatasi Amerika Syarikat dan Britain.

“Program GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Mengurangkan Jenayah telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, contohnya Global Peace index telah menempatkan Malaysia di tempat pertama selamat dan aman di Asia Tenggara serta keempat aman di kawasan Asia  Pasifik,” katanya.

Katanya, sehubungan itu rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana tinggal dalam sebuah negara yang aman dan selamat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup taklimat isu-isu semasa keselamatan di sini, hari ini’.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha KDN Bahagian Pendaftaran dan Imigresen Datuk Wan Ali Besar.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mendapati, hasil tindakan yang dilakukan oleh kerajaan itu juga, kadar ketakutan rakyat negara ini terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun 2010 kepada 21 peratus pada tahun lepas.

“Mungkin ramai yang bertanya apakah kesan semua ini kepada negara. Sebenarnya kesannya amat besar sekali, sebagai contoh pelaburan langsung asing  (FDI) Malaysia telah melonjak kepada kedudukan ke-10 tahun lepas berbanding kedudukan ke-21 pada tahun 2010.

“Ini membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap iklim politik, keselamatan serta kestabilan negara ini,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu memberikan gambaran bahawa apa yang dirancang oleh KDN selama ini dalam mengurangkan kadar jenayah telah menampakkan hasil.

Kementerian itu, katanya, akan meneruskan usaha untuk mencari jalan dan kaedah bagi memastikan peratusan penurunan kadar jenayah indeks dan jenayah jalanan lebih besar daripada apa yang disasarkan.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...