UMNO Online - “Jangan Ditipu Berkali-kali Oleh Orang Yang Sama…” plus 9 more |
- Jangan Ditipu Berkali-kali Oleh Orang Yang Sama…
- Resam Politik PKR… Kokok Berderai-derai, Ekor Sendiri Penuh Tahi
- 40 NGO Sokong Usaha Najib Tangani Pelbagai Isu Semasa
- PRK Sahaja Tiga Kali Rakyat Ditipu Anwar…
- Biarpun Ditikam Belakang, Pas Terperangkap Dalam Kedangkalan Sendiri
- Tolak Ugutan, Keganasan Atau Tindakan Ekstrem – Najib
- Peniaga Tidak Boleh Mengenakan Cukai GST Sebelum Tahun Depan
- Eighteen Highways Give Discounts During CNY Festival, Beginning Today
- Pemimpin Bertaraf Dunia?? Silalah Datang Ke Permatang Pauh
- Kemelut Dalaman Serius PKR Paksa Pembangkang Pertaruhkan DUN Kajang
Jangan Ditipu Berkali-kali Oleh Orang Yang Sama… Posted: 30 Jan 2014 02:18 AM PST Tidak ada angin, tidak ada ribut, tup-tup kecoh satu negara apabila ADUN Kajang, Lee Chin Cheh dari parti PKR meletakkan jawatannya sebagai ADUN di kawasan tersebut. Lebih ribut, apabila keesokkan harinya, tanpa berlengah sesaat Anwar Ibrahim muncul di sisi bakal mantan MB Selangor, Khalid Ibrahim mengumumkan beliau akan bertanding bagi jawatan yang telah dikosongkan itu. Inilah permainan politik Anwar. Tanpa mengira masa, tanpa mengira kos, tanpa mempedulikan apa perasaan rakan-rakan sekutu di dalam pakatan, suara rakyat apatah lagi, hanya picisan baginya, namun jika survival politiknya sudah mula terasa tergugat, maka beliau akan berbuat sesuatu tanpa mempedulikan risiko dan beban khususnya kepada rakyat, untuk menyelamatkan nyawa politiknya. Dalam menyelami tindakan Anwar ini, kita boleh melihat rasionalnya Anwar secara tiba-tiba mengarahkan Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi DUN di Kajang, untuk memberikan laluan terhadap beliau untuk bertanding. Apa yang dapat kita lihat hari ini ialah PRK DUN Kajang merupakan helah-usaha-benteng Anwar untuk bersedia menghadapi kes liwatnya yang bakal bermula pada bulan Februari ini. PRK Dun Kajang ini merupakan benteng pertahanan awal di mana sekiranya berlaku apa-apa yang mengancam survival politiknya, atau boleh memecahkan tembelangnya, maka Anwar akan menggunakan ia sebagai momokan dengan mendakwa segalanya adalah perancangan UMNO untuk membunuh karier politiknya. Penulis yakin, bahawa percaturan di DUN Kajang ini bukanlah berlaku dalam masa sehari dua, tetapi ianya telah dirancang dan diatur dengan lebih awal tanpa pengetahuan rakan-rakan sekutu PKR di dalam pakatan pembangkang. Ia juga merupakan satu strategi pengalihan isu untuk menutup isu-isu yang boleh menggoncangkan kepercayaan rakyat terhadap PKR dan juga dirinya, umpamanya kemelut Azmin dan Khalid, serta isu rumahtangga Nurul Izzah yang sudah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya. Dan perancangan dan strategi pengalihan isu Anwar seperti biasa, berjaya. Hari ini, tidak ada lagi cerita tentang Khalid dan Azmin, tidak ada lagi cerita tentang penceraian Nurul Izzah, tetapi masyarakat alam maya dan realiti lebih fokus kepada isu di DUN Kajang. Sememangnya, inilah cara Anwar berpolitik. Licik dan penuh muslihat. Anwar sememangnya pakar dalam usaha mengalihkan isu. Mencipta persepsi bagi Anwar adalah jalan terbaik untuk mendoktrin pemikiran rakyat dan penyokong yang taksub kepadanya. Dari isu pengundi hantu, kemudian kepada isu rakyat Bangladesh mengundi, isu blackout, merupakan persepsi yang dicipta hasil daripada perbincangan pakar-pakar strategi di dalam PKR. Anwar tetap dengan cara berpolitiknya. Mulutnya berkata peduli tentang rakyat, tetapi tindak tanduknya dalam membuat keputusan politik, hakikatnya adalah untuk survival dirinya dan keluarganya dalam arena politik negara. Beliau tetap mendapat keuntungan, hasil strategi dan persepsi yang diciptanya. Namun yang rugi sebenarnya adalah rakyat, khususnya rakyat di DUN Kajang. Rakyat menjadi mangsa permainan politik Anwar yang begitu desperado untuk diselamatkan. Lebih malang lagi, apabila ada diantara kita yang terus percayakan Anwar, biarpun satu demi satu tembelang dan pembohongannya terbongkar. Kepada rakyat dan penyokong tegar Anwar, cukuplah sekali ditipu, jangan biarkan diri kita ditipu berkali-kali oleh orang yang sama kerana jika demikian, maka itu bodoh namanya… Jaiman Anuar |
Resam Politik PKR… Kokok Berderai-derai, Ekor Sendiri Penuh Tahi Posted: 30 Jan 2014 02:08 AM PST KUALA LUMPUR, 30 Jan – Bagi menutup kesilapan dan tindakan mengosongkan kerusi DUN N25 Kajang tanpa sebarang alasan yang kukuh, Rafizi Ramli yang diangkat kononnya selaku Pakar Strategik PKR terpaksa membuat tuduhan tanpa asas dengan meletakkan kesalahan tersebut kepada UMNO. Bagi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin tindakan memainkan politik melalui persepsi ini sememangnya menjadi strategi utama PKR sejak dahulu lagi bagi melahirkan perasaan benci rakyat kepada kerajaan dan UMNO. Jelas beliau lagi tidak cukup sekadar itu sahaja, Rafizi turut mengheret Tun Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri dalam menutup krisis kepimpinan PKR terutamanya di negeri Selangor. Sekiranya benar telahan Rafizi yang mana Tun Mahathir merancang percaturan untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, pastinya waktu yang paling tepat adalah dalam Pemilihan UMNO baru-baru ini, ulas Nazir. "Agenda meracuni fikiran rakyat yang dilakukan oleh PKR selama ini sememangnya telah menampakkan hasil khususnya kepada pengundi-pengundi berbangsa Cina dalam PRU 13 baru-baru ini. Rafizi terlalu yakin bahawa apa sahaja fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan dan UMNO akan diterima oleh rakyat tanpa ada persoalan. “Rafizi perlu sedar bahawa agenda peribadi Anwar Ibrahim dan PKR yang cuba menutup kelemahan dan kecelaruan kepimpinan di negeri Selangor sehingga perlu mengorbankan DUN Kajang adalah kerana kesilapan sendiri. Dalam mereka sentiasa menghiburkan telinga rakyat terhadap pembaziran duit rakyat yang akhirnya mereka sendiri lakukan seperti 'meludah ke langit'," katanya kepada UMNO-Online di sini. Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa seterusnya berkata Rafizi seharusnya perlu mengakui kelemahan parti sendiri dalam soal kepimpinan dan ketidakmampuan pentadbiran di negeri Selangor tanpa memperjudikan harapan pengundi di DUN Kajang serta jauh sekali menuding jari kepada pihak lain. “Pendirian dan tindakan PKR Selangor ini juga turut dipertikai oleh PAS sendiri. Kenapa perlu Anwar Ibrahim sanggup menjadi kuda tunggangan Azmin Ali bagi menangani Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar. “Adakah ketandusan atau ketidaklayakan barisan kepimpinan PKR yang ada pada hari ini sebagai penyebab utama, melihat kepada kebijaksanaan Rafizi dalam memutarbelitkan isu dan mencelarukan fikiran rakyat adalah lebih baik dia sendiri bertanding di DUN Kajang tersebut untuk mengambilalih jawatan Menteri Besar. "Rafizi diingatkan jangan meletakkan kelemahan sendiri di atas bahu orang lain seperti kenyataan yang dibuat. Jangan sampai kerosakan rumahtangga sendiri, orang lain yang dituduh. Kerana amalan politik kotor seperti ini tidak akan mampu mematangkan fikiran rakyat," ujarnya lagi. -MediaUMNO |
40 NGO Sokong Usaha Najib Tangani Pelbagai Isu Semasa Posted: 30 Jan 2014 01:38 AM PST PUTRAJAYA, 30 Jan – Sejumlah 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum Melayu dan Islam menyatakan sokongan dan kerjasama padu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menangani pelbagai isu semasa. Presiden Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Dr Asyraf Wajidi Dusuki berkata NGO juga akan berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan maklumat sebenar berkaitan tindakan kerajaan mengurangkan bebanan rakyat. Beliau berkata antara isu utama yang dibincang dalam pertemuan antara NGO dengan Perdana Menteri hari ini ialah kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, kalimah Allah dan pendirian kerajaan. “Kita sebagai pemimpin NGO amat berpuas hati dan bersetuju membuat pertemuan sebegini secara berskala,” katanya selepas bertemu Najib di pejabat Perdana Menteri bersama-sama pemimpin NGO lain, yang berlangsung selama 40 minit. Menyentuh isu kalimah Allah, Dr Asyraf Wajidi berkata Najib meminta semua pihak bertenang dan mencari penyelesaian terbaik. “Najib minta kita (NGO) bertenang, rakyat perlu pertahankan kestabilan, keharmonian dan perpaduan sedia ada, sebab isu ini kadangkala dimainkan pihak tertentu yang kemaruk kuasa serta mengambil kesempatan daripada perpecahan umat Islam,” katanya. Beliau juga berkata pelbagai usaha kerajaan membela nasib rakyat selama ini dipesongkan pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan sendiri. |
PRK Sahaja Tiga Kali Rakyat Ditipu Anwar… Posted: 30 Jan 2014 01:36 AM PST Pilihanraya bukanlah sesuatu yang boleh dibuat sesuka hati dan pada bila-bila masa. Pilihanraya adalah simbol 'kepercayaan rakyat', 'integriti' dan 'keadilan'. Justeru, sesebuah pilihanraya memakan kos yang begitu tinggi untuk memastikan perjalanannya lancar dan tepat. Bagi sesebuah pilihanraya kecil juga, SPR dan PDRM memerlukan jumlah jutaan ringgit. Contohnya, bagi PRK Kuala Besut yang lalu, perbelanjaan dari SPR sahaja memakan jumlah RM750,000 dan PDRM pula sebanyak RM10.4 juta. Jumlah ini sudah cukup untuk menunjukkan yang ia bukan sesuatu yang boleh dipermudahkan. Berdasarkan hakikat ini, seseorang wakil rakyat tidak boleh berundur diri dan meletak jawtan sesuka hati, tanpa sebab musabab yang konkrit walaupun atas nama kepentingan parti. Ini kerana tugas utama seorang wakil rakyat adalah untuk mewakili rakyat, bukan parti. Bagaimanapun, pembangkang nampaknya tidak mampu memahami perkara ini. Bagi pembangkang, tugas wakil rakyat adalah untuk memastikan kemenangan parti atau kepentingan pemimpin tertentu semata-mata. Manakala, berkhidmat kepada rakyat merupakan tugas tetap kerajaan pusat atau wakil rakyat Barisan Nasional. Justeru itu, Ketua Pembangkang, iaitu Anwar Ibrahim langsung tidak merasa bersalah mempermainkan rakyat dengan 'menukar' wakil rakyat dari partinya sesuka hati beberapa kali demi keuntungan politik kepada partinya, atau lebih tepat, dirinya. Perletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh baru-baru ini, bukanlah kes pertama di mana seorang wakil rakyat PKR perlu berkorban bagi memenuhi serakah Ketua Pembangkang. Sebelum ini, perkara yang sama berlaku di Penanti di mana bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Muhammad Fairus Khairuddin telah dikaitkan dengan skandal rasuah seubah kuari dan terpaksa meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Bekas Setiausaha Politik Anwar, iaitu Dr. Mansor Othman mengambil-alih jawatannya. Dalam isu Penanti, Anwar dilaporkan berulang kali menafikan yang Fairus akan meletak jawatan sehinggalah ke saat akhir. Fairus, dalam kenyataan mengenai perletakan jawatannya kepada Nanyang Siang Pau, mengesahkan andaian 'ada yang tidak kena' dengan pertuduhan rasuah ke atasnya. Malah, beliau memberi tempoh dua minggu kepada PKR untuk membersihkan namanya serta mengugut akan mendedahkan skandal kerajaan negeri dan PKR. Nama beliau kemudiannya dibersihkan, namun jawatan beliau juga telah digantikan oleh Dr. Mansor melalui PRK Penanti, sepertimana yang dirancang oleh kepimpinan PKR. Dalam Pilihanraya 2008, Anwar menyuruh Wan Azizah meletak jawatan sebagai wakil rakyat Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada dirinya. Ia dilihat berpunca dari ketidakyakinan Anwar untuk bertanding di kawasan lain lalu memilih kawasan paling selamat bagi memastikan kesinambungan hayat politiknya. Nampaknya, Anwar menyifatkan pilihanraya sebagai padang permainan dengan beliau perlu terus menjadi pemenang. Anwar tidak melihat pilihan rakyat sebagai sesuatu yang serius. Dalam fikiran Anwar, rakyat bukan memilih calon, tetapi memilih dirinya dan partinya. Oleh itu, beliau boleh bertanding di mana-mana saja dan menyuruh mana-mana calon meletak jawatan bila-bila masa, bagi menjayakan agendanya. Ini membuktikan bahawa Anwar bukan sahaja tidak menghormati rakyat, tetapi juga tidak menghormati pemimpin PKR termasuk Presiden parti yang juga isterinya sendiri. Keadilan, integriti dan kepercayaan rakyat adalah sesuatu yang tidak ada kena mengena dalam perjuangannya. Bagi Anwar, pembaziran yang berlaku bagi memenuhi agendanya bukanlah isu, walaupun beliau sering menghentam kerajaan atas tuduhan membazir. Pengundi Kajang wajar mengambil pengajaran dari siri PRK ciptaan Anwar ini. Jika Anwar mampu mempermainkan kepercayaan dan membazir wang rakyat untuk mengadakan PRK yang tidak perlu, maka apakah Anwar seorang pemimpin yang baik? Pemimpin jenis apa yang mengadakan pilihanraya 'sesuka-hati-mak-bapaknya'? Mr Beruang Biru
|
Biarpun Ditikam Belakang, Pas Terperangkap Dalam Kedangkalan Sendiri Posted: 30 Jan 2014 01:21 AM PST KUALA LUMPUR, 30 Jan- Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi berkata beliau yakin bahawa perasaan tidak puas hati kini sedang membuak-buak di kalangan kepimpinan Pas pusat, negeri dan juga di peringkat akar umbi berhubung isu peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh dan juga pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri untuk bertanding bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut. Bagaimanapun, Pas seperti biasa menurut beliau, tidak akan berani untuk bertindak lebih dari hanya sekadar menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, biarpun kepimpinan Pas tahu bahawa ini merupakan satu konspirasi politik PKR yang ternyata membelakangi Pakatan Pembangkang demi agenda politik Ketua Pembangkang. "Saya yakin bahawa kepimpinan Pas tahu bahawa ini semua merupakan konspirasi politik Anwar untuk menyelamatkan karier politiknya. Kita tahu bahawa hari ini Anwar berdepan dengan begitu banyak isu seperti kes liwatnya yang akan bermula pada bulan Februari ini, kes yang melibatkan anaknya dan beberapa lagi. "Namun sikap kepimpinan Pas sepertimana yang sebelum ini, tidak ada sebarang tindakan drastik yang mampu mereka lakukan. Biarpun ada kepimpinan Pas yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, pendapat saya itu sekadar satu wayang mereka. "Saya yakin, kepimpinan Pas pasti akan tunduk akur dengan keputusan Anwar biarpun rasa tidak puas hati membuak-buak diperingkat kepimpinan dan akar umbi parti tersebut," tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini. Perkara ini berlaku disebabkan Pas hari ini terlalu bergantung kepada DAP dan PKR dalam survival politik mereka dan terikat dengan perjanjian antara parti di dalam Pakatan di mana akhirnya apa saja kata dan keputusan Anwar Ibrahim mereka akan turuti, jelas Puad. "Di peringkat kepimpinan Pas dan akar umbi merasakan bahawa mereka ditikam dari belakang, apabila Anwar tidak berbincang terlebih dulu dalam membuat keputusan dalam isu ini. Namun saya yakin, Pas tidak mampu berbuat apa-apa, apatah lagi untuk keluar dari Pakatan dan akhirnya hanya akan menurut saja kehendak Anwar dan juga DAP," jelasnya. Puad juga menyifatkan bahawa tindakan Anwar yang membuat keputusan tanpa berbincang dengan kepimpinan pakatan merupakan cerminan kepada sikap kuku besinya. "Saya yakin, sekiranya Anwar berjaya dengan perancangannya untuk menjadi MB Selangor, maka sikap kuku besinya akan lebih terserlah, berbanding Khalid yang dilihat sebagai pemimpin yang pasif dan lemah dalam membuat keputusan. "Namun dalam hal ini, kerugian pasti akan memihak kepada Pas kerana sekiranya Anwar duduk dikerusi MB Selangor, maka suara kepimpinan Pas dalam soal Islam dan Melayu pastinya tidak diambil peduli oleh Anwar. Apa yang pasti, jika Anwar menjadi MB Selangor, Pas akan lebih terpinggir dalam acuan pentadbiran negeri selepas ini," ujarnya. Sementara itu, beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap ADUN Kajang, Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan di mana kemungkinan ada wujudnya unsur-unsur rasuah di situ. "Bagi saya, tidak semudah itu seseorang ADUN mahu meletakkan jawatan sekiranya tidak ada sebarang imbuhan balik kepada dirinya. Apatah lagi beliau pun tidak sampai setahun menjadi ADUN di kawasan tersebut. "Jadi saya mendesak agar SPRM menyiasat isu ini kerana dibimbangi wujudnya unsur-unsur rasuah yang akhirnya membuatkan ADUN Kajang tersebut bersetuju untuk melepaskan jawatannya dan memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ,"tegasnya. -MediaUMNO |
Tolak Ugutan, Keganasan Atau Tindakan Ekstrem – Najib Posted: 30 Jan 2014 01:01 AM PST KUALA LUMPUR, 30 Jan – Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia supaya menolak sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan ekstrem yang boleh menggugat keharmonian yang dikongsi dan dinikmati pelbagai kaum di negara ini. Dalam perutusan Tahun Baharu Cina beliau, Perdana Menteri berkata ketika rakyat bergembira menyambut ketibaan tahun kuda, mereka juga haruslah mendukung perpaduan dan keharmonian antara kaum yang telah dinikmati sejak sekian lama. “Saya pasti kita sepatutnya percaya kepada suara kebenaran. Tergalas di bahu kita untuk bertindak dengan wajar dan sentiasa mendengar pandangan satu sama lain. “Dalam rumpun kebudayaan Malaysia, kita mestilah menjunjung kedaulatan undang-undang dan sentiasa menghormati sensitiviti anutan lain,” katanya dalam blog www.1Malaysia.com.my. Beliau menarik perhatian bahawa walaupun banyak kemajuan dicapai dalam program transformasi, perjalanannya masih jauh dan banyak lagi yang perlu dicapai. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata program transformasi memerlukan sokongan daripada segenap lapisan masyarakat – terutamanya komuniti kaum Cina yang terkenal mahir dalam bidang keusahawanan. Beliau berkata banyak inisiatif sedang diusahakan demi meningkatkan taraf kehidupan rakyat termasuk program berterusan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Ops Harga bagi membendung kenaikan harga dan banyak lagi untuk membantu mengurangkan kesan tekanan inflasi global. Selain itu, katanya mesyuarat perundingan dan perbincangan yang member fokus kepada menangani isu mengurangkan beban yang ditanggung rakyat juga dijalankan. “Segala usaha kita akan berkecai sekiranya tidak ditunjangi dengan sokongan dari anda semua. “Kita mesti kekal berdaya tahan dalam menempuhi cabaran ekonomi untuk mengekalkan kestabilan dan kemajuan demi generasi masa akan datang,” kata beliau. Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Cina Malaysia, Najib menyatakan penghargaannya terhadap peranan yang dimainkan mereka dalam membina negara sejak zaman merdeka lagi. |
Peniaga Tidak Boleh Mengenakan Cukai GST Sebelum Tahun Depan Posted: 30 Jan 2014 12:29 AM PST KUALA LUMPUR, 30 Jan - Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini mengeluarkan arahan melarang restoran atau hotel daripada mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas pelanggan mereka sebelum 1 April 2015. Beliau berkata sudah ada restoran atau peniaga yang mengenakan GST, dan meletakkan cukai itu dalam resit pelanggan sebelum tarikh yang diumumkan dalam bajet baru-baru ini. “Apabila ditanya, mereka ini memberitahu bahawa GST ialah ‘Government Service Tax’ (Cukai Perkhidmatan Kerajaan). “Perbuatan ini patut dihentikan… saya keluarkan arahan ini supaya tidak ada mana-mana kedai menggunakan perkataan GST. Tidak ada perkara yang disebut sebagai ‘Government Service Tax’. Yang wujud cuma cukai perkhidmatan dan cukai jualan sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini. GST yang ditetapkan pada kadar 6 peratus akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus, yang pada masa ini dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan tertentu, seperti makanan dan minuman dalam perkhidmatan restoran serta hotel. |
Eighteen Highways Give Discounts During CNY Festival, Beginning Today Posted: 30 Jan 2014 12:21 AM PST KUALA LUMPUR, Jan 30 – Motorists travelling along 18 highways during the Chinese New Year period will enjoy cheaper travel as tolls have been discounted by about five to 37.5 per cent for class 1 vehicles, beginning today until Sunday. According to a statement by the Malaysian Highway Authority (MHA) issued here today, these include the SMART, Ampang-Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH), Guthrie (GUTHRIE), Kemuning Shah Alam (LKSA), Shah Alam (KESAS), Duta-Ulu Kelang (DUKE), Klang Selatan (SKVE) and Kuala Lumpur-Karak (KLK) Highways. The other highways are the East Coast Phase 1 (LPT 1), New Pantai Expressway (NPE), Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB), Sungai Besi (BESRAYA), Senai Desaru (SDE), Damansara Puchong (LDP), SPRINT, Kajang-Seremban (LEKAS) and the Butterworth Outer Ring Road (BORR). Meanwhile, beginning yesterday until next Tuesday, five PLUS highways also offered rebates of up to 20 per cent to class 1 vehicle owners who pay their tolls electronically. These are the Lebuhraya PLUS Highway (except at the Bukit Kayu Hitam and Bangunan Sultan Iskandar, Seremban-Port Dickson (SPDH) toll plaza, the ELITE, Kulim-Butterworth (KLBK) highways and Malaysia-Singapore Second Link (LINKEDUA) except at the Tanjung Kupang toll plaza. According to the statement, the discounts and rebates will benefit 3.62 million motorists during the Chinese New Year period. The discounts and rebates are part of the corporate social responsibility programme of highway concession companies to show their appreciation to road users. |
Pemimpin Bertaraf Dunia?? Silalah Datang Ke Permatang Pauh Posted: 29 Jan 2014 11:42 PM PST KUALA LUMPUR 30 Jan – “Kalau nak tahu dia (Anwar Ibrahim) bertaraf dunia atau tidak datanglah ke Permatang Pauh dan nilaikan sendiri. Malah boleh tanya kepada penduduk di Permatang Pauh di sini sejauh mana kehebatan dia menjaga kawasan di sini”, demikian menurut Ketua UMNO Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said. Justeru, beliau menggesa agar dikemukakan bukti yang boleh menyokong untuk mengangkatkan Anwar Ibrahim kononnya pemimpin bertaraf dunia kerana penduduk di Permatang Pauh lebih kenal dan arif siapakah Ahli Parlimen mereka itu. Jelasnya lagi dengan pelbagai masalah yang menghantui penduduk di beberapa kawasan seperti kemudahan asas yang belum lagi diselesaikan serta permasalahan banjir di beberapa tempat, nafsu besar Anwar untuk bertanding di PRK DUN Kajang menimbulkan tanda tanya. "Penduduk di Permatang Pauh ini sebenarnya masih banyak memerlukan pembelaan daripada Anwar dan apa yang berlaku hari ini menunjukkan kepada umum bahawa beliau sekadar Ahli Parlimen atas kertas semata-mata. "Apa makna nak letak dia pemimpin pemimpin bertaraf dunia jika kawasan sendiri masih lagi tidak terjaga sepenuhnya. Rakyat khususnya pengundi di kawasan ini memerlukan tumpuan terutama dalam menyelesaikan beberapa masalah seperti yang saya katakan tadi dan bukan sekadar balik jenguk sekali sekala sahaja. "Sebab itu apa yang saya nampak dari segi khidmat bakti di kawasan ini, beliau hanya sekadar pemimpin biasa sahaja dan bukannnya bertaraf dunia. Saya bukannya merendah-rendahkan beliau tetapi itulah realitinya di Permatang Pauh ini," katanya kepada UMNO-Online di sini. Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata, penduduk Kajang patut bersyukur kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang yang disifatkannya pemimpin bertaraf dunia, bertanding dalam pilihan raya kecil itu. Katanya, semua pihak sedia maklum tentang kepimpinan Anwar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara-negara Islam seperti di Timur Tengah serta negara-negara membangun. Mengulas lebih lanjut, Zaidi yang lebih dikenali sebagai Cikgu Zaidi seterusnya menambah memang betul jika dikatakan Anwar pemimpin bertaraf dunial tetapi dari sudut gimik politiknya sahaja. "Bab itu kita akuilah tetapi hebatnya beliau dari segi gimik politik sahaja….Sebab itu daripada satu sudut langkahnya untuk bertanding di Kajang itu juga ada tersiratnya. "Mungkin itu cara beliau mengalihkan tumpuan terhadap kemelut dalaman PKR serta dakwaaan yang menimpanya seperti yang diperkatakan oleh rakan-rakan rapat beliau hari ini. Itulah Anwar Ibrahim," katanya. -MediaUMNO |
Kemelut Dalaman Serius PKR Paksa Pembangkang Pertaruhkan DUN Kajang Posted: 29 Jan 2014 10:52 PM PST PUTRAJAYA, 30 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata disebabkan kemelut yang serius dalam PKR telah memaksa pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri kawasan Kajang untuk diadakan. Disebabkan parti itu hendak menyelesaikan kemelut dalaman yang melanda, mereka mengambil tindakan yang membebankan pengundi di Kajang yang rata-rata tidak senang hati dengan perkembangan itu, katanya. Ditanya mengenai cabaran PKR agar beliau bertanding pada pilihan raya berkenaan, Najib berkata PKR tidak patut mengaitkan pilihan raya itu dengan dirinya, kerana beliau bukan punca masalah itu. “Ini bukan masalah saya, ini masalah mereka. Saya tidak ada masalah apa-apa pun. Masalahnya ialah dalam PKR, masalah mereka yang mencetuskan pilihan raya kecil ini. Ini semua masalah dalaman mereka, kenapa pula mereka pesongkan masalah itu dan kaitkan dengan saya?” tegas beliau. “Kalau kita tengok reaksi sekarang ini kebanyakannya negatif daripada positif, itu masalah dia. Jadi pesan saya, jangan heret saya sekali, (sedangkan) ini masalah dalaman mereka,” katanya. Perdana menteri berkata demikian dalam persidangan media selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum Melayu dan Islam di bilik mesyuarat pejabatnya di sini. Selasa lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding kerusi DUN Kajang ekoran peletakan jawatan penyandangnya Lee Chin Cheh yang menghangatkan lagi spekulasi bahawa Anwar akan menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. Pilihan raya umum 2013 menyaksikan Lee memenangi kerusi DUN Kajang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru membabitkan calon MCA dari BN, Berjasa dan tiga calon bebas. Sementara itu menjawab satu lagi soalan, Najib berkata banyak pandangan diutarakan pelbagai pihak mengenai langkah selanjutnya yang akan diambil Barisan Nasional berhubung PRK itu, termasuk berkaitan pemilihan calon, namun menurutnya ia akan hanya diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN nanti. Katanya beliau belum memutuskan tarikh mesyuarat yang akan diadakan selepas Tahun Baharu Cina nanti, dan ia bergantung kepada tarikh penamaan calon yang dijangka akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu depan. “Apapun biar MT BN buat keputusan. Saya belum tetapkan tarikh (mesyuarat) saya nak tahu bila hari penamaan calon dulu…biar saya teliti dulu,” kata Najib. Sementara itu merujuk kepada perjumpaan dengan NGO berkenaan, perdana menteri berkata beliau telah memberikan penerangan mengenai pelbagai isu semasa, dan mereka pula telah menyuarakan sokongan kepada kerajaan. Katanya beliau memberi penjelasan mengenai isu seperti harga barang dan bagaimana kerajaan menanganinya, masalah berkaitan media sosial, kalimah Allah dan sebagainya. “Matlamatnya ialah untuk mencari satu bentuk kefahaman yang lebih jelas dan menentukan hala tuju masa depan negara, sebab apapun kita tidak boleh benarkan isu-isu ini memecah-belahkan kita, “Kita mungkin ada perbezaan pendapat, tapi ia tidak seharusnya melebarkan lagi jurang perpecahan sesama kita,” katanya. |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment