tun faisal dot com

tun faisal dot com


@HishammuddinH2O tangguh ke hospital kerana tugas... #PAU2013

Posted: 04 Dec 2013 03:30 PM PST


Hishammuddin tangguh ke hospital sebab utamakan PRU13, pemilihan parti, tugas-tugas di DUA buah kementerian dan mesyuarat agung UMNO... Sama-samalah kita doakan beliau segera pulih seperti sedia kala. Terima kasih Azharri Jentayu Abaka di atas tulisan ini...


KISAH SARJAN POLIS - DS HISHAMMUDDIN
Abu Syifa on Wednesday, December 4

DS HISHAMMUDDIN TERLALU KUAT BEKERJA,KURANG REHAT

Kita semua sudah mengetahui bahawa DS Hishammuddin telah dirawat di hospital dan masih meneruskan prosedur rawatan selepas menjalani prosedur angioplasti. 

Secara peribadi, saya berpendapat DS Hishammuddin mesti mengambil peluang ini untuk mendapatkan rehat yang secukupnya kerana kita semua boleh melihat bahawa beliau tidak pernah mengambil rehat yang betul selepas melalui pelbagai urusan parti dan kerajaan sejak setahun dua ini.

Contohnya, sebagai Naib Presiden UMNO dan Pengerusi  Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung UMNO 2013, beliau telah bekerja keras 24 jam memastikan usul-usul yang dibawa oleh bahagian-bahagian disusun dengan tertib dan tersusun. 

Hari ini, ahli-ahli UMNO bersidang di PWTC dan mereka barangkali tidak tahu bahawa usul-usul yang dibahaskan sepanjang persidangan nanti telah diuruskan oleh DS Hishammuddin sebelum beliau dirawat di hospital.

Sebelum itu juga, DS Hishammuddin adalah pengerusi yang diberi tanggugjawab oleh Presiden UMNO untuk mengetuai Pindaan Perlembagaan UMNO dalam sistem pemilihan parti baru-baru ini. Jika dahulu, hanya wakil-wakil dari bahagian sahaja yang akan memilih dan mengundi calon-calon Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Ahli Majlis Tertinggi di PWTC. 

Tetapi bermula Pemilihan UMNO tahun 2013, ahli-ahli di peringkat akar umbi di seluruh negara terbabit memilih dan mengundi calon-calon yang mereka fikirkan boleh membawa tanggungjawab. Inilah pengorbanan yang telah dibawa oleh DS Hishammuddin yang perlu disedari khususnya oleh ahli-ahli UMNO.

Di dalam kerajaan pula, Perdana Menteri DS Najib Tun Razak turut meminta DS Hishammuddin memangku jawatan Menteri Pengangkutan di samping menjawat Menteri Pengangkutan.

TERLALU KUAT BEKERJA, TIDAK DIDENDANG

Satu perkara yang saya sedari tentang DS Hishammuddin ialah, beliau terlalu kuat bekerja untuk parti, kerajaan dan negara ini. Satu perkara yang saya sedari ialah DS Hishammuddin tidak begitu mengambil berat tentang promosi dirinya di media perdana mahupun media siber. 

Beliau mempunyai kepercayaan yang tinggi kepada semua orang media. Beliau tidak seperti orang lain yang menubuhkan pasukan khas media untuk menjaga reputasi beliau di alam media perdana dan di alam maya.

Jika orang lain akan memanggil team media, baik team bloggers, team akhbar perdana malah pasukan media antarabangsa untuk mewar-warkan reputasi diri mereka. Saya tidak nampak itu kepada DS Hishammuddin, yang saya nampak ialah DS Hishammuddin percaya kepada semua pengamal media baik Berita Harian, Utusan, Malaysiakini, The Malaysian Insider, Harakah Daily, Keadilan Daily, RoketKini, The Star, Nanyang Siang Pau, NST, dan sesiapa sahaja. 

Beliau merelakan berita beliau ditulis dalam bentuk apa sahaja. Tanyalah kepada sesiapa sahaja wartawan, pernahkah mereka dihalau, diterjah atau dimarahi oleh Menteri yang sabar ini?

SARJAN POLIS

Saya teringat kisah datuknya iaitu Dato' Onn Jaafar ketika berucap buat pertama kali semasa proses penubuhan UMNO di Kelab Sultan Sulaiman (1 Mac 1946). 

Ketika beliau berdiri di atas pentas, tetiba datang seorang sarjan polis dari kerajaan penjajah British berdiri di sebelahnya dan beliau bertanya kepadanya, "Apakah kamu datang hendak menangkap saya, jika ya tangkaplah saya!"

Kata sarjan polis itu, "Tidak, saya datang mahu mendengar ucapan tuan, saya mahu bersama-sama dengan perjuangan tuan".

Sebab itu, saya sendiri, saya mahu membantu orang yang ikhlas perjuangannya seperti ini. Mengapa tidak !



@KhairyKJ - Pemuda UMNO, antara realiti dan persepsi #PAU13

Posted: 04 Dec 2013 02:52 AM PST


Banyak lagi program yang kita berjaya anjurkan pada penggal lepas. Tun Faisal Ismail Aziz yang menggerakkan Unit Media Baharu. Mereka telah mencorakkan nama sendiri dalam sejarah dan legasi Pemuda UMNO. Cuma, mungkin kurang menyerlah sebab ada lagi persepsi bahawa 'Pemuda itu KJ dan KJ itu Pemuda' - Khairy Jamaluddin


Memantapkan pemimpin pelapis

MENTERI Belia dan Sukan, KHAIRY JAMALUDDIN yang lebih dikenali dengan gelaran 'KJ' berjaya mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk penggal kedua pada pemilihan parti Oktober lalu.

Seperti yang dibayangkan Khairy kepada wartawan Utusan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dalam wawancara eksklusif di Ibu Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur baru-baru ini, penggal 2013-2016 mungkin yang terakhir menyaksikan beliau sebagai pemimpin nombor satu sayap berkenaan.

Bagi penggal baharu ini, Khairy ingin memberi tumpuan kepada usaha mempersiapkan dan memantapkan pemimpin pelapis Pemuda UMNO segenap peringkat agar mereka boleh diketengahkan sebagai pewaris kepimpinan parti dan negara.

UTUSAN: Terlebih dahulu, boleh Yang Berhormat jelaskan tentang hala tuju Pemuda UMNO bagi penggal 2013-2016?

KHAIRY: Kita akan teruskan dengan usaha untuk mendekati dan mendaftarkan pengundi muda. Kita menjangka hampir 2.5 juta pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum Ke -14 dan kita akui pada Pilihan Raya Umum Ke-13, kelompok ini memainkan peranan amat penting sekali dalam menentukan kemenangan di kebanyakan kawasan.

Kita melihat bahawa usaha kita selama empat tahun lepas telah membuahkan hasil sebab dalam kalangan pengundi muda Melayu kita dapati memihak kepada Barisan Nasional (BN). Yang tidak memihak kepada kita adalah pengundi muda bukan Melayu.

Jadi kita nak kekalkan momentum untuk mendekati pengundi muda terutamanya mereka yang ketika ini bukan pengundi yang masih lagi di sekolah, masih menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan menjadi pengundi pada empat hingga lima tahun akan datang.

Selain itu, kita akan memulakan satu proses pengkaderan politik. Ini adalah pembaharuan untuk penggal kedua ini di mana kita ada satu akademi khusus untuk melatih pemimpin-pemimpin parti pada masa hadapan.

Akademi ini adalah di bawah pengendalian Pemuda UMNO dan juga melibatkan Puteri UMNO. Ideanya datang dari Pemuda UMNO dan kita akan menggunakan akademi ini sepenuhnya untuk melatih kader-kader kita. Jadi, ini adalah lebih kepada latihan untuk bakal pemimpin, bukan latihan massa. Latihan massa kita sentiasa buat untuk cawangan, ahli kita. Tetapi itu berbentuk penyertaan umum. Ini lebih kepada kita pilih.

Kita akan kenal pasti beberapa pemimpin yang kita rasa adalah pemimpin masa depan parti. Contohnya, daripada lima lantikan Exco Pemuda UMNO yang saya buat, dua daripada mereka adalah dalam lingkungan 20-an. Profesional muda yang datang dari luar struktur tradisi Pemuda UMNO. Mereka tidak memegang sebarang jawatan di dalam sayap Pemuda UMNO bahagian. Itu satu kelainan yang kita bawa supaya nampak ada orang muda yang di luar kelompok biasa menyertai Pemuda UMNO.

Yang Berhormat akan berganding dengan Naib Ketua yang baharu, Khairul Azwan Harun. Bagaimana YB melihat gandingan ini terutama dari segi keserasian?

Memang amat serasi. Kami sudah lama mengenali antara satu sama lain. Kami pernah bekerjasama untuk menarik profesional muda menyertai Pemuda UMNO. Beliau telah bersama dengan saya dalam Exco sebagai Ketua Pemuda Perak dan menjaga Akademi Pemuda sebelum ini. Saya percaya beliau memahami corak kepemimpinan dan pemikiran saya. Saya yakin beliau dapat menjadi seorang Naib Ketua yang efektif.

Hampir keseluruhan barisan Exco Pemuda UMNO pada penggal ini terdiri daripada muka-muka baharu. Mungkin ada yang kurang pengalaman. Bagaimana Yang Berhormat melihat keupayaan mereka?

Tidak juga, sebab ada di antara mereka yang pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO bahagian. Jadi, di peringkat akar umbi, mereka sudah ada pengalaman. Bagus juga sebab ada pembaharuan. Ini adalah satu tanda bahawa ada peralihan generasi di mana hampir 95 peratus Exco kali ini adalah baharu. Muka lama adalah saya, Khairul Azwan dan Nazir Hussin Akhtar Hussin sahaja selain Jamawi Jaafar yang dilantik. Ini saya anggap positif sebab ia satu pembaharuan.

Saya anggap bahawa soal pengalaman itu bukan masalah sebab dahulu pun yang membarisi Exco ramai muka baharu. Exco Pemuda UMNO bukan seperti Majlis Tertinggi (MT). MT kita mungkin lihat dari segi pengalaman tetapi yang ini adalah lebih dari segi mereka yang ada idea untuk disumbangkan bagi menarik minat orang muda kepada UMNO.

Ada juga pihak yang berpandangan barisan Exco sebelum ini kurang menyerlah. Hanya beberapa Exco sahaja yang dikenali ramai.

Saya tidak berapa bersetuju jika dikatakan mereka kurang menyerlah sebab ramai juga yang ke hadapan. Kita melihat, contohnya, Nazir Hussin yang banyak terlibat dengan Karnival Kerjaya Pemuda BN, Lokman Noor Adam yang sentiasa menganjurkan ceramah dan ramai lagi termasuk Tengku Azman Tengku Zainal Abidin yang mengendalikan Sekretariat Hal Ehwal Bandar, Datuk Muhammad Khairun Aseh yang menguruskan Biro Aduan Komuniti.

Banyak lagi program yang kita berjaya anjurkan pada penggal lepas. Tun Faisal Ismail Aziz yang menggerakkan Unit Media Baharu. Mereka telah mencorakkan nama sendiri dalam sejarah dan legasi Pemuda UMNO. Cuma, mungkin kurang menyerlah sebab ada lagi persepsi bahawa 'Pemuda itu KJ dan KJ itu Pemuda'.

Sebab itu, dalam penggal kedua ini, saya hendak memastikan bahawa saya bukan sekadar 'take the back seat' tetapi saya hendak minta mereka yang lain ke hadapan seperti Khairul Azwan dan Fathul Bari Mat Jahya. Kita ada ramai bakat dan saya tak mahu bakat itu tenggelam disebabkan persepsi 'Pemuda itu KJ dan KJ itu Pemuda'.

Banyak pihak melihat Pemuda UMNO kurang lantang bersuara dalam isu-isu berkaitan Islam berbanding Pemuda Pas. Contohnya, dalam isu tuntutan Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) di Geneva, Switzerland pada 24 Oktober lalu. Apakah dengan adanya Fathul Bari yang dikenali sebagai tokoh ulama muda, persepsi itu akan berubah?

Ini juga saya rasa persepsi. Kita telah mengeluarkan banyak kenyataan termasuk berhubung isu tuntutan Comango yang dibuat oleh Khairul Azwan. Isu 'Alvivi' kita buat kenyataan. Isu penghinaan terhadap Rasulullah yang disiarkan dalam bentuk kartun, kita buat demonstrasi di hadapan kedutaan. Isu kalimah Allah pun kita buat demonstrasi di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kita masih lagi buat tetapi mungkin kita juga ada pendekatan yang progresif, orang tidak nampak. Kita tetap dengan perjuangan mempertahankan agama. Itu adalah perkara asas dalam perjuangan kita. Tetapi mungkin disebabkan kita lebih dikenali dengan karnival kerjaya, pendidikan, perumahan dan banyak lagi. Jadi, perkara itu bukan tenggelam tetapi salah satu daripada banyak aktiviti yang dilakukan Pemuda UMNO.

Namun, saya rasa dengan adanya Fathul Bari dan seorang lagi ulama muda yang dilantik dalam Exco, isu ini akan kita ambil serius sebagai perkara yang penting untuk dipertahankan. Dalam hal ini memang tidak ada kompromi dan kita akan terus memastikan agenda mempertahankan agama sebagai keutamaan kita.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131204/re_05/Memantapkan-pemimpin-pelapis#ixzz2mV70CHzV 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...