CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


[MUSLIM MALAYSIA DAYUS?] 3 RUU berkaitan ISLAM di TARIK BALIK di Parlimen

Posted: 07 Jul 2013 09:41 PM PDT



KUALA LUMPUR - Tiga rang undang-undang yang dijadual dibacakan untuk kali kedua ditarik balik daripada Aturan Urusan Mesyuarat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tiga rang undang-undang itu ialah Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013, Rang Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.

Usul itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ismail Mohamed Said.

Pada Jumaat lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013.

Rang Undang-Rang tersebut dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Jun lepas oleh Jamil Khir.

Muhyiddin berkata isu status agama anak dalam kes ibu atau bapa memeluk agama Islam telah dibincangkan secara mendalam oleh Kabinet dengan mengambil kira pandangan dan kebimbangan pelbagai pihak termasuk parti komponen Barisan Nasional. - Bernama

Dr M 'tak percaya' amalan meritokrasi di Malaysia

Posted: 07 Jul 2013 06:55 PM PDT


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed meluahkan rasa "kurang percayanya" kepada amalan meritrokrasi dan mahu mereka yang kurang bernasib baik turut diberi peluang memperbaiki diri.

Beliau berkata sistem meritokrasi yang diamalkan sekarang lebih memberi peluang kepada mereka yang bernasib baik untuk menjadi lebih kaya manakala yang kurang bernasib baik tidak boleh memperbaiki diri atau kekal miskin.

"Saya kurang percaya kepada meritokrasi iaitu semua peluang mestilah diberi kepada orang yang terkenal kerana kecekapan mereka saja. Kalau kita amalkan meritokrasi, maka orang yang tidak mendapat merit yang sama, mereka tidak akan dapat peluang sama sekali.

"Kita akan lihat yang kaya menjadi lebih kaya dan yang miskin akan jadi lebih miskin. Saya berpendapat yang kurang merit juga perlu diberi peluang," katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku autobiografi 'Mata-mata Kini Permata', di sini hari ini.

Mengambil contoh pemberian biasiswa kepada pelajar, Dr Mahathir berkata bagi keluarga yang berkemampuan, mereka berpeluang mencatat keputusan cemerlang kerana berupaya membayar yuran tuisyen dan sebagainya namun bagi yang kurang berkemampuan adalah sebaliknya.

Akhirnya, keputusan yang dicapai kurang baik sedangkan kegagalan itu adalah disebabkan oleh keadaan mereka yang daif, katanya. Selain itu, beliau berkata pemberian permit import (AP) kepada golongan tertentu berdasarkan merit juga perlu diteliti supaya golongan tertentu tidak menyalahgunakan peluang yang diberi kepada mereka.

"Kalau bagi peluang kepada yang tidak minat langsung, jadi peluang itu akan disalah guna, sebaliknya orang yang berkebolehan...kalau kita bagi peluang, dia lebih maju. Apa salahnya bagi supaya orang lain pun dapat peluang," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir juga melahirkan rasa bangga beliau terhadap pencapaian yang ditunjukkan oleh beberapa tokoh bumiputera yang berjaya dalam bidang perniagaan termasuk bekas mata-mata, Datuk Abdul Rahman Ibrahim yang kini merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rahman Brothers Sdn Bhd.

"Saya berbangga dengan kejayaan Abdul Rahman, bekas mata-mata yang sudah jadi permata.

"Saya memang menggalakkan ramai dari orang kita untuk menulis tentang pengalaman mereka kerana orang lain dapat menumpang (belajar daripada pengalaman itu)," katanya. 

Buku 'Mata-mata Kini Permata' menceritakan kisah hidup Abdul Rahman yang pernah berkhidmat sebagai anggota polis Cawangan Khas di Rompin, Pahang sebelum terlibat dalam perniagaan sepenuh masa dengan menubuhkan Syarikat Baiduri pada 1976 yang kemudian ditukar nama kepada Syarikat Rahman Brothers Motor pada 1980.

Syarikat itu berkembang menerusi penubuhan beberapa cawangan di sekitar Semenanjung Malaysia dan cabang perniagaan diperluas meliputi agensi pelancongan iaitu Brothers Travel and Tours, Rahman Brothers Perumahan dan Kumpulan Rahman Brothers International Co Ltd serta 22 anak syarikat yang lain.

Buku 'Mata-mata kini Permata' diterbitkan sebanyak 1,000 naskhah dan boleh didapati di ibu pejabat Kumpulan Rahman Brothers Sdn Bhd di sini pada harga RM40. - Bernama
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...