CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


[AJARAN KUTUK] Artis Nurul Wahab pula JADI MANGSA KUTUKAN Bekas Artis Ostazah confirm SYOR GA

Posted: 19 Apr 2013 03:18 AM PDT


Dalam kehangatan serta kesibukan menanti hari mengundi, pastinya pelbagai isu bakal timbul tambah-tambah lagi bagi mereka yang aktif berpolitik.

Terbaru menerusi blog Nurul Wahab, penyanyi tersebut telah berkongsi sedikit cerita mengenai seorang artis yang dikatakan terlalu taksub dengan parti politik sehingga mengutuk dirinya dengan kata-kata yang tidak enak didengar.

"Ada berita datang ke telinga aku ni tentang seorang artis yang berubah – masuk politik dan namanya memang hot lah! Orangnya pun hot. *peace.* Cerita yang seronok aku dengar apabila si hot ni datang ke Baling Kedah – tak jauh pun dengan kampung asal arwah atuk & nenek serta arwah abah.
Kata sepupu aku  yang berpangkat Dato ini, nama aku disebut oleh si artis yang hot ni. Katanya dia berubah kerana industry muzik dan dunia artis ni tak betul. Lepas tu ada la nama artis yang dia sebut. Dalam banyak-banyak tu dia sebutlah Nurul Wahab. Katanya aku tak sedar diri, seksi lah apa lah.. (aku tak tahu detail yang lain) Wah!! Hebat juga aku ini! Terima kasih politician yang hijau. Awak mengata tu tentang Nurul Wahab di kawasan arwah atuknya dan abahnya… ehhehe… orang akan sampaikan pada si tuan punya nama juga.. hehehe.. Baik atau buruk, pada aku ianya publisiti! Kena lah berterima kasih, kan.. . Hahahhaa.." ujar Nurul Wahab menerusi laman blognya beberapa jam yang lalu.

Menerusi entry yang sama, Nurul turut melahirkan rasa pelik dan terkejut apabila artis tersebut menyatakan bahawa dirinya berubah kerana Allah dan mengaku pernah mimpi berjumpa dengan Allah S.W.T. Wow, sungguh hebat bukan?
Si hot ni tadi, selepas dah puas mengutuk aku yang tidak ada kena mengena dengan parti politiknya tu; – dengan bangganya menceritakan bahawa dia berubah kerana Allah datang ke dalam mimpinya! Wow! Itu macam dah berpangkat maksum! Setahu aku (dalam pada kejahilan aku ni) hanya Nabi Muhammad SAW yang boleh bertemu Allah. Bermimpi Nabi Muhammad itu mungkin. Tetapi tidak Allah untuk kita manusia biasa ini. Itu setahu aku lah.. Selepas dia sebutkan cerita mimpinya tu, habislah kena boo dan ada yang bangun pulang. Aku tak ada di situ. Ini cerita sepupu aku yang sampaikan. Ada video katanya. Nak juga aku tengok video tu! Aku ketawa sahaja mendengarkan cerita yang disampaikam. Biasalah tu.. dunia sekarang berpolitik kena kutuk dan menjatuhkan orang lain… ooopppsss!"
Sumber: Ohbulan!

[TERKINI] Mahasiswa UM Tarik Diri Tanding Di Pekan

Posted: 19 Apr 2013 12:52 AM PDT


PETALING JAYA: Pelajar jurusan sains politik Universiti Malaya (UM), Mohamed Bukhairy Sofian, 23, menarik diri daripada menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Pekan.

Bukhairy yang mewakili Gerakan Mahasiswa PRU-13 (GM13) mengumumkan keputusan itu awal pagi Jumaat dengan memberitahu pemimpin Pakatan Rakyat telah meluluskan manifesto Mahasiswa.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Safwan Anang berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjanji untuk melaksanakan manifesto itu sekiranya Pakatan berjaya membentuk kerajaan Persekutuan.

"Bukhairy ingin bertanding di Pekan kerana pada awalnya Pakatan tidak memberi maklum balas mengenai manifesto itu," kata Safwan.

Kumpulan mahasiswa itu kini akan memberikan sokongan kepada Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa yang akan bertanding di Pekan.

Dayangku Intan 'lawan' Azalina di Pengerang

Posted: 18 Apr 2013 11:21 PM PDT


PENGERANG - Bukan di Pontian, tetapi penyanyi popular era 80-an Dayangku Intan, disahkan menjadi calon di Parlimen Pengerang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengesahan itu dibuat Ketua Cabang PKR Pengerang, Mat Daud sekaligus, penyanyi dengan nama sebenarnya Dayangku Intan Tengku Abdul Hamid bakal bertemu dengan calon dari Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya, Dayangku Intan yang sudah mula menetap di Pengerang menerima surat watikah pencalonan daripada pucuk kepimpinan bagi kerusi Parlimen Pengerang di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah melakukan kempen bersama-sama Dayangku Intan bagi memperkenalkan calon Parlimen itu kepada penduduk di sekitar Sungai Rengit.

"Dalam tempoh seminggu ini kita sudah giat bergerak mengedarkan risalah, dalam masa sama kita berkempen sekali untuk memperkenalkan Dayangku Intan kepada penduduk sekitar sini.

"Setakat ini penduduk sama ada Melayu ataupun Cina menerima baik kehadiran beliau, malah kita juga menerima respons yang positif daripada masyarakat setempat.

"Malah bagi memperkenalkan lagi beliau kepada penduduk, kita juga telah menggunakan poster gambar beliau yang ditampal pada kenderaan bagi berkempen," katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan Dayangku Intan juga telah mula menetap di sebuah chalet di Pengerang sejak 14 April lalu.


Ketika mengulas mengenai calon bagi kerusi Dun Tanjung Surat, Mat Daud berkata, hingga kini masih belum ada nama rasmi yang dipilih oleh pihak kepimpinan.

Bagaimanapun katanya, Ketua Ranting PKR Sungai Rengit, Hasnul Ahmad adalah antara nama yang dikhabarkan akan bertanding bagi kerusi tersebut.

"Kita berharap pada kali ini kita dapat mengubah kepada sebuah kerajaan yang baru," katanya.

[SENARAI RASMI] Dr. Juanda BUKAN Calon PKR Kangar, TAMPARAN Buat PKR

Posted: 18 Apr 2013 09:37 PM PDT


 
KANGAR - Spekulasi Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya bertanding sebagai calon PKR di Parlimen Kangar meleset apabila namanya tidak berada dalam senarai akhir diumum Pengerusi PKR Perlis, Mohamad Faisol Abdul Rahman, semalam.

Ketiadaan Juanda memberi tamparan hebat kepada Pakatan Rakyat yang mengimpikan merampas Perlis dari Barisan Nasional (BN).

Faisol mengesahkan PKR bertanding enam kerusi Dun setelah dipersetujui Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (MPPR).

Mereka dicalonkan adalah Timbalan Ketua Wanita PKR Perlis, Tuan Marja Tuan Mat (Sena), Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Perlis, Azhar Amier (Tambun Tulang) dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Perlis, Ammar Ghazali (Mata Ayer).

Turut disenarai Setiausaha PKR Padang Besar, Wan Mohamad Fishaal Wan Daud (Chuping), Anggota Majlis Kepimpinan PKR Perlis, Chai Ming Khai (Indera Kayangan) dan Exco Majlis Kepimpinan PKR Perlis, Noor Amin Ahmad (Kuala Perlis).

Mohamad Faisol berkata, semua calon itu adalah yang terbaik bagi menggalas harapan rakyat negeri ini.

"Mereka dipilih memiliki kredibiliti, bijak, mempunyai tahap kesihatan baik selain layak mentadbir negeri jika dipilih menjadi Exco," katanya.

Ditanya sama ada akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara PKR, DAP dan BN di Dun Indera Kayangan selepas PKR menamakan Chai Ming Khai, Mohamad Faisol yakin ia tidak akan berlaku.

"Meskipun DAP letak Wong Boon Beng di Indera Kayangan, atas semangat setiakawan, kita tidak bertanding sesama sendiri," katanya.

Karpal & Kit Siang tanding atas tiket Pas

Posted: 18 Apr 2013 09:28 PM PDT


SHAH ALAM - Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Penasihatnya, Lim Kit Siang akan bertanding atas tiket Pas berikutan keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dipilih Disember lalu.

Kesal dengan keputusan itu, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, pengumuman mengenai keputusan itu hanya dibuat 48 jam sebelum hari penamaan calon Sabtu ini.

"Selepas ini tidak ada sesiapa lagi boleh mendakwa sama ada Pas ataupun PKR dipergunakan oleh DAP lagi kerana DAP akan masuk Pas.

"Saudara boleh panggil saya ustazah selepas ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuan Calon dan Pelancaran Manifesto Pakatan Rakyat (PR), di sini, sebentar tadi.

Semalam, RoS memaklumkan kepada DAP bahawa ia tidak mengiktiraf barisan baru CEC parti itu yang dipilih akhir tahun lalu ekoran kesilapan teknikal dalam penjadualan (tabulation) undi.

Berikutan itu, RoS telah mengarahkan jawatankuasa pusat parti itu dibekukan sehingga siasatan selesai dan satu salinan surat RoS kepada DAP telah dihantar kepada SPR.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan DAP boleh menggunakan lambangnya pada pilihan raya umum kali ini kerana siasatan RoS itu tidak akan memberi kesan kepada parti itu dalam meletakkan calon mereka untuk bertanding pada PRU13.

Dalam perkembangan berkaitan, Kok menambah, berikutan keputusan itu, beberapa pimpinanan DAP tidak dapat hadir pada malam ini kerana masih bermesyuarat dengan dengan pihak peguam untuk membincangkan mengenai langkah undang-undang yang boleh diambil.

Menurut beliau, DAP telah mengadakan mesyuarat khas bersama CEC parti itu untuk menentukan keputusan seterusnya berhubung isu ini.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Selangor juga menambah, implikasi daripada keputusan ini, DAP tidak mempunyai pilihan lain daripada tetap terus bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) atas tiket Pas.

"DAP tidak ada pilihan lagi kerana sudah tidak boleh bertanding atas tiket roket.

"Namun, di pihak DAP kami tetap ingin mengucapkan terima kasih kepada Pas dan PKR kerana sentiasa memberikan sokongan," katanya lagi.

[APA MUSLIHAT SEBENAR?] Kamilia (Wanita UMNO) tolak tawaran tanding Dun Bukit Chandan, kata Najib

Posted: 18 Apr 2013 09:06 AM PDT

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim telah menolak tawaran menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kawasan Bukit Chandan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri tidak timbul sama sekali soal beliau tidak diberi tempat dalam PRU13 atau tidak dihargai oleh BN.

Beliau menjelaskan tawaran kepada Kamilia adalah termasuk jawatan Exco, jika BN menubuhkan kerajaan, tetapi beliau turut menolaknya.

"Itu merupakan keputusan yang beliau telah buat dan tidak ada timbul sama sekali Naib Ketua Wanita (Umno) tidak diberi tempat atau tidak dihargai oleh BN. Beliau hendak (bertanding kerusi) Parlimen tetapi kita fikir, lebih sesuai Datuk Kamilia bertanding DUN dan (menjadi) Exco.

"Lagipun, mendiang Tun Lim Keng Yaik dulu sewaktu jadi presiden parti Gerakan, telah menerima jawatan Exco kerajaan negeri. Jadi, tidaklah merupakan jawatan tak penting sebenarnya sebagai Exco kerajaan negeri.

"Kalau diterima tawaran itu, Datuk Kamilia boleh memainkan peranan bukan sahaja dalam negeri tetapi juga dalam konteks negara," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan dan pelancaran Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal Malaysia (JUWITA)-Wanita BN di sini, hari ini.
  
Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang menyatakan Kamilia mendakwa tindakan BN tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13 mengecewakan dan dianggap penghinaan kepada wanita.
  
Naib Ketua Wanita Umno itu berkata ia menunjukkan BN tidak memberi pengiktirafan sewajarnya kepada pemimpin wanita yang berada dalam hierarki tertinggi organisasi wanita untuk bersama-sama saf kepimpinan parti bertanding pada PRU13.
  
Najib yang juga Pengerusi BN berkata dalam barisan calon wanita, terdapat peningkatan permintaan untuk bertanding di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum kali ini berbanding pilihan raya umum lepas.
  
Mengenai mereka yang tidak dicalonkan, Najib berkata mereka tenang tetapi bukan mudah untuk memberi kepuasan kepada semua pihak.
  
Jika tidak ada di antara mereka yang mahu memberi laluan, katanya tidak akan ada perubahan.

"Oleh itu, pada mereka yang rasa sedikit kekecewaan, saya harap tidak memendam perasaan dan fikirlah tentang masa depan parti.
  
"Pilihan raya ini, kita memerlukan kesetiaan dan sokongan daripada setiap anggota parti dan yang paling penting, kita nak tubuh kerajaan, bila tubuh kerajaan, kita boleh bantu mereka dengan banyak cara, tetapi kalau kita tak ada kuasa, kita tak boleh bantu," katanya.
  
Mengenai pihak yang meminta BN mempertimbangkan semula calon-calon yang disenaraikan, Najib berkata: "Kita tidak boleh memberi kepuasan kepada semua pihak.
  
"Dalam saat-saat akhir kalau kita ubah, boleh timbul masalah lain, tetapi kita cuba tangani dengan cara lain. Itu tengok pada keadaan, tetapi kita anggap itu barisan yang dapat diterima oleh rakyat," jelasnya

Video - Khas Buat Calon Dan Mereka yang Kecewa Mencari Ketenangan

[TIDAK DICALONKAN] Wanita UMNO kata PENGHINAAN Kepada Wanita, Jika Pintu DItUTUP Pertimbang Calon BEBAS?

Posted: 18 Apr 2013 06:36 AM PDT


SHAH ALAM – Tindakan Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mengecewakan dan dianggap penghinaan kepada wanita, kata Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim.

Menurutnya, ia menunjukkan BN tidak beri pengiktirafan sewajarnya kepada pemimpin wanita yang berada dalam hierarki tertinggi organisasi wanita untuk bersama-sama saf kepimpinan parti bertanding pada PRU13.

Beliau, yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata, beliau sebagai orang nombor dua dalam Pergerakan Wanita Umno dan BN sepatutnya diberikan peluang bertanding di Parlimen supaya dapat terlibat sebagai pembuat dasar dan keputusan politik.

"Tindakan kepimpinan BN memeranjatkan saya dan wanita lain. Saya kecewa kerana tidak ada pengiktirafan sewajarnya diberi kepada pemimpin Wanita Umno dan BN yang mewakili seluruh wanita Umno dan BN," katanya kepada Sinar Harian.

Kamilia berkata, beberapa ketua Wanita Umno negeri tidak diberikan tempat dalam PRU13, antaranya di Kedah, Johor dan Terengganu, termasuk Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

"Kami banyak berjasa, tetapi tidak diberikan tempat. Adakah kepimpinan tertinggi tidak mengiktiraf kelayakan yang kami ada. Kebanyakan kami golongan profesional," katanya.

"Pucuk pimpinan parti jangan menganggap wanita tidak kisah dengan pencalonan yang diumumkan baru-baru ini. Jangan ingat wanita tidak ada perasaan," katanya.

Kamilia, seorang peguam, berkata, hakikatnya, wanita membuat kerja bersungguh-sungguh untuk membantu parti sejak tiga tahun lalu.

Beliau, bagaimanapun berkata akan 'berjuang habis-habisan' walaupun tidak terpilih di saat akhir.

"Jika permintaan tidak diberi, wanita mempunyai pelbagai pilihan lain kerana perjuangan saya berpandukan negara, agama dan bangsa. Sekiranya pintu tidak dibuka kepada saya, saya akan perjuangkan di tempat lain.

"Pintu ditutup, mungkin ada pintu lain sama ada saya akan pecahkan atau membuat sendiri. Saya mungkin pertimbangkan pilihan lain kerana perjuangan saya tidak perlu berakhir di tahap ini sahaja," katanya.

Beliau juga tidak menafikan, rata-rata wanita di seluruh negara mempersoalkan calon-calon yang ditampilkan.

"Saya akan mencabar sehingga ke akhir untuk membantah kerana saya merasakan ini tidak adil. Selama ini saya bersabar, saya berjuang bersama-sama selama enam penggal dan melalui enam kali pilihan raya.

"Tunggu dan lihat, Saya tidak mengugut, tetapi saya menunggu keputusan parti.

"Saya ada perjuangan dan tidak akan berputus asa. Dunia ini luas, mesti teruskan perjuangan demi bangsa, agama dan negara. Terpulang apa yang akan ditafsirkan," katanya ketika ditanya adakah beliau akan menjadi calon Bebas sekiranya tidak dicalonkan oleh BN dalam PRU13.

Kamilia disebut-sebut untuk bertanding di Parlimen Kuala Kangsar, tetapi pada Selasa lepas, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan Adun Bukit Chandan, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad bertanding untuk Parlimen tersebut.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...