KUALA LUMPUR – Karpal Singh akan terus berdepan pertuduhan mengikut Akta Hasutan selepas Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk meneruskan pertuduhan itu terhadapnya.
Karpal didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak, tiga tahun lalu.
Jagdeep Singh Deo yang mewakili Karpal Singh, memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaaan mengemukakan surat representasi kepada Pejabat Peguam Negara bertarikh 26 Julai.
"Bagaimanapun, pihak pembelaan menerima surat dari Pejabat Peguam Negara bertarikh 26 Julai mengarahkan kami untuk meneruskan pertuduhan itu," beliau memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah, yang mendengar prosiding itu.
Pada prosiding pada Jumaat, mahkamah juga mendengar hujah daripada Karpal Singhuntuk mengetepikan pertuduhan hasutannya.
Dalam permohonannya, antara lain, Karpal Singh mahu mensapina bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad, Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, Anggota Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan Anggota Parlimen Pendang Datuk Osman Abdul, berhubung usahanya mengetepikan pertuduhan itu.
Mahkamah menetapkan 24 Ogos bagi mendengar permohonan Karpal Singh untuk mensapina mereka.
Karpal Singh yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor, berhujah bahawa mengikut Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak kepada perlindungan yang sama.
Katanya, dia dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
"Apabila dengan mengambil kira undang-undang semasa, kerajaan berpindah kepada merampas kekebalan raja-raja dari penyelesaian perundangan dengan penubuhan Mahkamah Khas dan menggubal Rang Undang-undang (Pindaan) Perlembagaan 1993 pada 18 dan 19 Januari 1993 dalam perbahasan di Dewan Rakyat," katanya.
Pada masa perbahasan itu, Dr Mahathir dan Anggota-anggota Parlimen semasa perbahasan itu melakukan hasutan dalam skala yang sangat luas tetapi tidak didakwa oleh Peguam Negara pada masa itu walaupun tiada kekebalan bagi pendakwaan jenayah atas apa sahaja yang dikatakan di Parlimen.
Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi berhujah berdasarkan artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa budi bicara yang amat luas untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.
Beliau berkata, di bawah Artikel 8(1) pula, walaupun ia bermaksud sesuatu undang-undang tidak boleh mendiskriminasikan terhadap kelas atau orang tetapi sekiranya ada asas yang rasional ia boleh dilakukan.
Azlina berkata, hujahan Karpal mengenai apa yang dikatakan Dr Mahathir dan Menteri-Menteri lain semasa perbahasan Akta (pindaan) Perlembagaan 1993 di Dewan Rakyat pada masa itu adalah berbeza dengan keadaan kes pada Jumaat.
"Apa yang diperkatakan di Parlimen pada masa tersebut adalah bagi tujuan perbahasan Akta semata-mata dan tiada tujuan lain. Apa yang diperkatakan oleh mereka hanyalah dizahirkan di dalam Dewan Rakyat sahaja.
"Berbeza dengan kenyataan pemohon (Karpal Singh) sepertimana dilampirkan di dalam pertuduhan, ianya dibuat di dalam satu sidang akhbar yang diadakan oleh pemohon dan dihadiri oleh para wartawan yang dijemput oleh pemohon dan kenyataan pemohon juga diedarkan kepada para wartawan. Di samping itu kenyataan yang dibuat oleh pemohon pada masa itu di dalam keadaan di mana suasana politik yang tidak menentu di Perak," katanya.
Hujahnya, alasan yang diberikan oleh Karpal bukanlah satu bukti yang menunjukkan bahawa telah berlaku ketidaksamarataan perlindungan undang-undang kerana apa yang diperkatakan oleh Karpal Singh dan Dr Mahathir dan Menteri-Menteri lain pada masa itu adalah dua perkara dan tujuan berbeza dan dalam masa dan keadaan yang berbeza.
"Permohonan ini adalah remeh, menyusahkan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah," katanya. – BERNAMA
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment