UMNO Online - “MH17: Malaysia Capai Persetujuan Tempatkan Polis Antarabangsa Di Kawasan Nahas” plus 6 more

UMNO Online - “MH17: Malaysia Capai Persetujuan Tempatkan Polis Antarabangsa Di Kawasan Nahas” plus 6 more

Link to UMNO Online

MH17: Malaysia Capai Persetujuan Tempatkan Polis Antarabangsa Di Kawasan Nahas

Posted: 27 Jul 2014 06:51 AM PDT

PUTRAJAYA, 27 Julai – Malaysia telah mencapai persetujuan dengan puak pemisah Ukraine, yang menguasai kawasan sekitar tapak nahas MH17 di timur Ukraine, untuk membenarkan sekumpulan anggota polis antarabangsa memasuki lokasi itu bagi memberi perlindungan kepada penyiasat antarabangsa.

Kenyataan Pejabat Perdana Menteri menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Alexander Borodai, pemimpin puak pemisah, hari ini bersetuju membenarkan anggota polis antarabangsa memasuki kawasan nahas.

Menurut kenyataan itu, Najib telah menghubungi rakan sejawatannya dari Belanda serta Australia dan ketiga-tiga negara bersetuju bekerjasama rapat dalam urusan penempatan anggota polis di kawasan nahas.

Pejabat Perdana Menteri juga menyatakan sejumlah 68 anggota polis Malaysia akan berlepas dari Kuala Lumpur ke kawasan nahas pada Rabu.

Di bawah persetujuan asal tiga perkara yang dicapai antara Najib dan Borodai pada 22 Julai, puak pemisah Ukrainie bersetuju untuk menyerahkan kedua-dua kotak hitam kepada Malaysia; menyerahkan mayat mangsa kepada pegawai antarabangsa; dan memberi akses penuh ke kawasan nahas kepada penyiasat antarabangsa.

Kenyataan itu menyebut sebelum ini penyiasat antarabangsa tidak dapat dihantar ke tapak nahas yang meliputi kawasan yang luas di timur Ukraine dan mengumpul bukti ekoran kebimbangan mengenai keselamatan, termasuk aktiviti ketenteraan yang berterusan.

Oleh itu, Malaysia menggesa agar semua aktiviti ketenteraan di sekitar kawasan nahas dihentikan.

“Malaysia khuatir kebimbangan terhadap aspek keselamatan menghalang akses penuh ke kawasan nahas dan penyiasatan secara bebas tidak dapat dijalankan.

Dalam pada itu, Malaysia bimbang mungkin ada lagi mayat mangsa di kawasan nahas,” katanya.

Kenyataan itu menyebut Najib sebagai berkata amat penting sekumpulan lengkap penyiasat dihantar bagi memastikan semua mayat mangsa dipindah, dikenal pasti dan dihantar pulang ke negara asal kerana penumpang serta anak kapal MH17 perlu diberi penghormatan yang sewajarnya.

“Saya amat bimbang penyiasat antarabangsa tidak dapat dihantar ke kawasan nahas dengan sempurna berikutan keadaan keselamatan yang meruncing.

“Kami juga perlu menghantar penyiasat yang mempunyai akses tidak terhad di kawasan nahas agar kami dapat memahami apa yang berlaku kepada MH17. Saya berharap persetujuan ini dengan Borodai akan menjamin keselamatan di kawasan berkenaan supaya penyiasat antarabangsa dapat menjalankan tugas mereka,” katanya.

Najib juga berkata tiga negara iaitu Belanda, Australia dan Malaysia mewujudkan satu gabungan bagi memperoleh akses ke kawasan nahas serta menjalin kerjasama untuk memberi keadilan kepada mangsa.

Menurut kenyataan itu, pegawai Malaysia sedang membincangkan butiran mengenai penghantaran polis antarabangsa dengan Belanda dan Australia.

“Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman telah menghubungi rakan sejawatannya serta pegawai kerajaan Ukraine mengenai kerangka perundangan dan diplomatik berhubung perkara itu,” katanya.

Selain itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengetuai siasatan MH17 dan bekerjasama rapat dengan ketua penyiasat Belanda.

Pesawat Boeing 777-200 milik MAS, yang membawa 298 orang iaitu 283 penumpang dan 15 anak kapal, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di Donetsk, di timur Ukraine dekat sempadan Rusia pada 17 Julai, dipercayai ditembak jatuh.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Rakyat Perlu Bersyukur Dapat Sambut Syawal Dalam Keadaan Aman – TPM

Posted: 27 Jul 2014 06:44 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana negara ini masih dalam keadaan aman dan damai sehingga boleh meraikan kedatangan Syawal tanpa sebarang rasa takut atau bimbang berkaitan aspek keselamatan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata justeru, pada hari yang mulia ini, rakyat perlu memperingati serta menghargai sumbangan pihak yang menjaga dan memelihara keamanan serta keselamatan negara daripada ancaman.

“Pasukan keselamatan kita adalah cekap dan berdedikasi, bersikap profesional dan sedar akan tanggungjawab mereka. Kita dapat merayakan Hari Raya dengan selamat kerana di sempadan, di laut dan di tempat-tempat tertentu pasukan keselamatan kita sanggup menjalankan tugas mereka dalam apa jua keadaan tanpa rehat atau cuti.

“Kepada anggota pasukan keselamatan, pegawai dan kakitangan awam yang lain kerajaan dan juga rakyat umumnya mengucap berbanyak terima kasih,” katanya dalam perutusan Aidilfitri beliau hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata umat Islam di Malaysia juga perlu menginsafi nasib dan penderitaan saudara seagama di negara lain yang tidak dapat merayakan hari kebesaran ini.

Beliau berkata ada antara mereka yang terpaksa tinggal di kem pelarian yang amat daif, khemah yang koyak-rabak, tidak berselimut, tiada makanan dan ubat-ubatan untuk merawat sakit.

Lebih memilukan, katanya, apabila melihat penderitaan rakyat Palestin yang tidak dapat merayakan Aidilfitri dengan sempurna apabila diserang tentera Israel menyebabkan kemusnahan di bandar-bandar di negara itu.

“Masjid-Masjid dibedil, orang awam menjadi mangsa, jumlah yang terbunuh semakin meningkat. Aidilfitri bagi mereka (rakyat Palestin), sama seperti hari-hari lain di mana mereka tetap tinggal dalam ketakutan lantaran kekejaman Israel yang tidak dapat membezakan antara Hari Raya dan hari biasa,” katanya.

Muhyiddin berkata hari raya bukan sekadar untuk bergembira tetapi masa untuk menginsafi hakikat bahawa tidak semua orang dapat menikmati kemeriahan sambutan itu.

Beliau juga berkata ketika kita meraikan Aidilfitri dengan penuh keriangan, anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang masih hilang dan MH17 yang terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh, tentu sekali menyambutnya dalam keadaan berbeza.

“Tentunya bagi mereka sambutan Hari Raya tahun ini berbeza dan dilalui dengan perasaan sedih lantaran tidak lagi dapat bersama anak, isteri, suami serta cucu yang tiba-tiba ‘hilang’ dalam keadaan amat tragis,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat Malaysia yang pulang ke kampung halaman bersempena perayaan ini dan akan kembali ke kota selepas itu, agar berhati-hati di jalan raya.

Ambil Iktibar Tragedi Yang Melanda Negara – Najib

Posted: 27 Jul 2014 06:39 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu umat Islam di Malaysia mengambil iktibar daripada beberapa tragedi yang melanda Malaysia mutakhir ini, termasuk nasib malang yang menimpa rakyat Palestin.

Najib berkata semua ujian dan rintangan yang kebetulan berlaku dalam bulan Ramadan itu memberi pengajaran berguna tentang keperluan membina kekuatan dan ketahanan umat Islam negara ini dalam menempuh pelbagai cabaran.

Malah, katanya, ia juga penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh yang progresif dan berdaya maju.

Perdana Menteri ketika menyampaikan Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2014 malam ini mengingatkan umat Islam akan kepentingan kesatuan dan sentiasa berpadu dengan mengukuhkan ukhuwah Islamiah yakni persaudaraan yang tulen antara sesama Islam.

“Dengan itu, barulah umat Islam akan disegani, tidak dilihat lemah atau mudah diperkotak-katikkan oleh mereka yang lain,” katanya.

Ucapan Perdana Menteri itu disiarkan secara langsung di televisyen tempatan.

Najib turut melahirkan rasa syukur kerana usul mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas, diluluskan sebulat suara oleh semua wakil rakyat, termasuk pembangkang pada persidangan khas Dewan Rakyat Rabu lepas.

“Keputusan ini merupakan satu permulaan yang baik, untuk kita sebagai umat dan rakyat Malaysia, bertaut hati, dengan mengukuhkan solidariti sebagai satu negara, 1Malaysia,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri juga menyeru umat Islam mengambil iktibar akan ikhtiar yang telah diambil dalam mempertegak dan mempertinggikan syiar agama, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Beliau menarik perhatian bahawa di Malaysia, amalan Islam dipraktikkan dalam kerangka Maqasid Syariah melalui pendekatan wasatiyyah yang sekali gus menolak fahaman ekstremisme dan liberalisme yang tidak selari dengan ajaran Islam.

Beliau mengambil contoh penubuhan Lembaga Tabung Haji, institusi kewangan dan perbankan Islam, selain institusi dan lembaga zakat di negeri-negeri sebagai antara langkah Malaysia menuruti syariat Islam.

Najib dalam pada itu menekankan kepentingan membangunkan ilmu, kemahiran teknologi dan inovasi serta nilai insaniah demi kemaslahatan umat Islam di negara ini.

“Kita dapat saksikan kesungguhan Kerajaan melakukan pengislahan demi pengislahan dalam aspek meningkatkan pendidikan dan modal insan rakyat, supaya mampu bersaing dan setanding dengan negara-negara maju yang lain.

"Antara nilai-nilai kejayaan tersebut seperti itqan yakni tekun, taa'wun iaitu budaya tolong menolong, berhikmah atau bijaksana dan amalan istiqamah serta taqwa. Kesemua nilai ini sangat mustahak, dalam usaha kita mencapai status negara maju menjelang tahun 2020,” katanya.

Justeru, beliau turut menyarankan agar semua umat Islam di negara ini sentiasa bertransformasi, bersiap siaga, melihat jauh ke hadapan dan membina harapan demi kemakmuran bersama.

Sementara itu, perdana menteri sekali lagi merakamkan takziah dan belasungkawa serta kesedihan yang amat mendalam kepada semua mangsa korban tragedi MH17 termasuk anggota keluarga mereka.

“Sudah tentu, saya amat merasai serta tidak sanggup membayangkan, betapa luluhnya hati mereka, apabila bangun di pagi hari raya, tanpa orang yang tersayang.

“Lantaran itu, banyakkanlah bersabar dan reda dengan ketentuan Ilahi. Pastinya, banyak hikmah yang boleh dipelajari daripada peristiwa tragik ini,” katanya.

Bagi pihak kerajaan Malaysia, Najib juga merakamkan penghargaan atas sokongan para pemimpin dan masyarakat dunia yang bersimpati serta menghulur bantuan kepada Malaysia dalam menghadapi insiden malang pesawat MH370 dan MH17.

Selain itu, perdana menteri berkata beliau juga tidak sesekali melupakan segala jasa dan anggota pasukan keselamatan sama ada yang masih bertugas di perbatasan, mahupun yang telah meninggal dunia.

“Mudah-mudahan Allah SWT akan sentiasa merahmati mereka dan ahli keluarga serta memelihara negara ini agar aman dan sentosa sampai bila-bila,” katanya.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menghentikan segala sengketa dan menggalakkan amalan ziarah-menziarahi.

Sebelum mengakhiri perutusannya, Najib mengambil kesempatan memohon ampun bagi pihak diri, isteri dan seisi keluarga atas segala kesalahan dan apa jua kekhilafan, selain mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia supaya dapat menyambut lebaran dengan penuh gembira bersama orang-orang tersayang.

Rayakan Aidilfitri Dengan Penuh Rasa Syukur – Najib

Posted: 27 Jul 2014 03:46 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh umat Islam di negara ini, khususnya ahli-ahli UMNO agar sentiasa mensyukuri nikmat dan rahmat, serta kemakmuran yang telah dikurniakan Allah kepada negara ini dan mesti berusaha untuk mengekalkan kemakmuran dan keamanan yang dikecapi selama ini.

Menurut beliau, rakyat di negara ini, khususnya umat Islam perlu menyatakan rasa  syukur kepada Allah melalui lisan mahupun perbuatan.

"Kita boleh ambil iktibar dengan apa yang berlaku terhadap negara-negara Islam di sekeliling kita. Alhmdulillah, kita umat Islam di negara ini dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan aman dan gembira, sedangkan ada di antara umat Islam yang menyambutnya dengan linangan tangisan air mata dan darah.

"Biarpun dalam kemeriahan dan kegembiraan kita menyambut satu syawal bersama keluarga dan sanak saudara, saya menyeru agar kita tidak melupakan nasib mereka yang malang terutama di Palestin yang hari ini sedang menderita akibat serangan pihak Zionis," ujarnya di dalam perutusan eksklusif Presiden UMNO kepada UMNO-Online bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2014 di Menara Dato Onn di sini.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua ahli UMNO agar tidak melupakan tanggungjawab untuk terus membantu golongan miskin dan gelandangan, khususnya yang berada di sekitar Kuala Lumpur.

'Dalam pada kita bergembira menyambut lebaran, janganlah pula kita, ahli parti keramat ini, melupakan tanggungjawab membantu golongan  yang tidak bernasib baik seperti gelandangan, supaya mereka juga dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana yang meriah.

"Ingin saya tekankan bahawa jika kita mengambil berkat Ramadan untuk membantu golongan ini, maka Syawal tidak pernah mengecualikan kita daripada meneruskan amalan yang mulia itu," ujar beliau.

Najib seterusnya mengajak umat Islam di negara ini, khususnya kepada semua ahli UMNO untuk  meraikan hari kemenangan ini dengan mengukuhkan ukhwah sesama umat Islam dan rakyat berbilang agama di negara ini.

"Jika semasa Ramadan kita berbuka, bertarawih dan bertadarus bersama, maka Syawal pula membuka pintu untuk kita saling kunjung mengunjungi dan bermaaf-maafan. Amalan yang sememangnya digalakkan oleh agama kita itu dapat merapatkan silaturahim sesama ahli parti yang kelak dapat membawa kejituan serta kekuatan perjuangan kita dalam menegakkan agama, bangsa dan negara.

"Akhir kata, saya mengambil kesempatan serta peluang ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli parti dan rakyat Malaysia. Saya juga menyusun sepuluh jari memohon maaf jika terdapat salah dan silap sepanjang kita sama-sama berjuang di dalam parti yang kita sayangi.

"Berhati-hati memandu pulang ke kampung menyambut lebaran dan berusahalah menjadikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini adalah yang terbaik untuk kita terutamanya dalam mensyukuri nikmat yang Allah swt kurniakan," akhiri beliau.-MediaUMNO

Najib Ucap Tahniah Kejayaan Mohd Hafifi Raih Emas Komanwel

Posted: 26 Jul 2014 11:59 PM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada atlet angkat berat kebangsaan, Mohd Hafifi Mansor atas kejayaan meraih pingat emas pertama buat negara pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland.

Perdana Menteri berharap kejayaan Mohd Hafifi itu menjadi pembakar semangat buat kontinjen Malaysia.

“Syabas @keteng77 atas pingat emas pertama Malaysia di #Glasgow2014!. Moga-moga beri lebih semangat untuk pasukan kita,” kata Najib dalam catatan di laman Twitter beliau.

Mohd Hafifi, 24, peserta kategori 69 kg, menampilkan aksi cemerlang dengan jumlah angkatan 305 kg menerusi snatch 135 kg dan clean & jerk 170 kg pada final di Scottish Exhibition and Conference Centre.

Slow Traffic Flow Along Northern Stretches Of North-South Expressway

Posted: 26 Jul 2014 11:55 PM PDT

KUALA LUMPUR, July 27 – Traffic was reported to be moving slowly in several stretches of the North- South Expressway this morning as city folk continued to travel to their hometowns and villages to celebrate Aidilfitri, which is likely to fall tomorrow.

A spokesman for the Plus Expressways Traffic Control Centre said traffic was moving slowly between Slim River and Tapah and at the incline at Gua Tempurung.

“There was some traffic congestion between Jelapang and the Sungai Perak Rest and Recreation area,” he told Bernama.

The spokesman said traffic was flowing smoothly south of the city, including at the usually busy stretch from Nilai to Seremban.

Meanwhile, a spokesman of the Malaysian Highway Authority (LLM) said traffic was flowing smoothly along the Karak Highway leading to the east coast.

The public can obtain information on the traffic situation via the toll-free Plusline 1800-88-0000 and Twitter account at www.twitter.com/plustrafik or the LLM toll-free line 1800-88-7752 and Twitter account at www.twitter.com/llminfotrafik.

Terus Eratkan Silaturahim, Cabaran Besar Menanti – Muhyiddin

Posted: 26 Jul 2014 04:29 PM PDT

KUALA LUMPUR 27 Julai – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan seluruh umat Islam agar terus mengeratkan silaturahim antara satu sama selain meningkatkan semangat permuafakatan sempena hari raya Aidilfitri yang menjelang tiba.

Dalam perutusannya bersama UMNO-Online, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO seterusnya mengajak ahli-ahli parti agar terus mengukuhkan semangat kekeluargaan dan saf yang kukuh untuk memastikan UMNO terus padu.

"Mudah-mudahan segala amal ibadat dan puasa kita diterima Allah swt. Saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada seluruh ahli parti dan seluruh umat Islam.

"Mudah-mudahan sambutan kali ini turut mengingatkan kita betapa pentingnya untuk eratkan silaturahim sesama kita dan secara langsung mewujudkan semangat kekeluargaan yang erat dan saf UMNO yang kukuh.

"Sebagai sebuah parti yang mempunyai bilangan ahli yang ramai, maka kita tentunya mengingatkan ahli teruskan semangat permuafakatan dan berbincang…dengan cara itu kita boleh menyumbang untuk kukuhkan parti dan kerajaan kita.

"Kita berdepan dengan pelbagai cabaran yang lebih besar dan saya yakin dengan semangat Aidilfitri yang membara serta usaha yang gigih, insyaallah tugas kita akan dipermudahkan," katanya.

Beliau seterusnya menambah walau apa pun rintangan yang datang yang penting adalah untuk melihat masa depan dan perjuangan parti terus terplihara.

"Akhir kata selamat hari raya aidilfitri mudah-mudah dapat kita rayakan dengan riang gembira dan ingatkan tugas kita terhadap agama, bangsa dan negara kita.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, walillahhilhamd

(Rakaman ucapan ini boleh ditonton menerusi UMNO youtube)

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...