UMNO Online - “Najib Bersyukur Atas Kemenangan BN Di Teluk Intan” plus 9 more

UMNO Online - “Najib Bersyukur Atas Kemenangan BN Di Teluk Intan” plus 9 more

Link to UMNO Online

Najib Bersyukur Atas Kemenangan BN Di Teluk Intan

Posted: 31 May 2014 08:26 AM PDT

BEIJING, 31 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini melahirkan rasa syukur atas kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, hari ini.

Najib, selaku Pengerusi BN, berkata berita tersebut merupakan sesuatu yang manis pada malam terakhir program lawatan enam hari beliau ke China.

“Saya amat bersyukur sekali kepada Allah s.w.t…saya rasa gembira yang amat sangat apabila mendapat tahu BN menang. Walaupun majoritinya nipis tetapi dalam sistem demokrasi, satu undi pun dikira menang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatannya ke China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Berita kemenangan BN itu diterima Najib semasa menghadiri majlis Makan Malam Persahabatan Malaysia-China di sebuah hotel di sini.

Sebaik sahaja menerima khabar itu, beliau terus menelefon Mah untuk mengucapkan tahniah.

Najib juga mengucapkan tahniah kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassan yang mengetuai kempen PRK itu serta seluruh jentera BN yang telah berkerja keras untuk merampas semula kerusi itu daripada DAP.

Dalam pertandingan satu lawan satu, Mah, yang juga Presiden Gerakan, mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.

Najib berkata kemenangan itu juga bermakna kerana BN tewas dengan majoriti lebih 7,000 pada pilihan raya umum 2013 dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di Teluk Intan yang memilih parti kerajaan BN kali ini.

“Ini bererti faktor peralihan sokongan yang besar sekali pada BN. Kita akan kaji punca-punca positif yang menyebabkan faktor peralihan sokongan kepada BN…terlalu awal untuk buat kesimpulan,” katanya lagi.

Ditanya sama ada Mah akan diberi jawatan dalam Kabinet seperti yang diumumkan beliau di sini dua hari lepas, Najib berkata ia akan ditunaikan kerana BN memegang pada slogan ‘Janji Ditepati’.

Apabila seorang wartawan menyatakan akan ada tambahan dua presiden parti komponen lagi dalam Kabinet nanti sambil merujuk kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Najib secara berseloroh berkata: “Mereka tidak boleh melupakan presiden MCA.”

“Tidak boleh lupa Presiden MCA…beliau turut menyumbang atas kemenangan ini. Sekiranya BN bersatu padu dan melakukan kerja-kerja secara bersatu di peringkat akar umbi, anda boleh melihat kesan dan hasil yang lebih kukuh bagi calon BN,” katanya.

BN Menang! Syukur, Syabas, Tahniah, Terima Kasih Jentera – Tengku Adnan

Posted: 31 May 2014 08:15 AM PDT

mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah

TELUK INTAN, 31 Mei – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersyukur atas kemenangan parti tersebut yang mengembalikan kerusi Parlimen Teluk Intan kepada pentadbiran BN setelah calonnya, Datuk Mah Siew Keong menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Katanya, kemenangan BN ini adalah satu pengiktirafan dari rakyat yang mahukan pihak yang benar-benar bertanggungjawab sebagai wakil mereka dan dalam masa yang sama menolak manipulasi, fitnah dan janji-janji pakatan pembangkang.

"Rakyat tahu siapa yang benar-benar mampu dan memahami permasalahan mereka apatah lagi telah terbukti bahawa pakatan pembangkang hanya pandai berjanji tetapi gagal menunaikannya," katanya.

Menurut beliau, kejayaan BN ini adalah sangat bermakna yang membuktikan bahawa rakyat telah sentiasa memberi sepenuh sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN selaku kerajaan.

"Kita sedar bahawa parti-parti pembangkang telah cuba menimbulkan pelbagai spekulasi dan fitnah terhadap kerajaan tetapi dengan kebijaksanaan rakyat khususnya para pengundi, terbukti mereka ditolak."

Dalam hal ini, beliau mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada semua pengundi di kedua-dua tempat tersebut dan yakin bahawa BN akan memberikan perkhidmatan sebagaimana yang diharapkan rakyat iaitu untuk kesejahteraan dan kesinambungan pembangunan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada para pengundi di Teluk Intan yang berbilang kaum dan sokongan yang diberikan oleh para pengundi menjadi bukti bahawa BN tetap menjadi pilihan rakyat iaitu parti yang mewakili pelbagai bangsa dan memahami aspirasi rakyat.

Sokongan yang diberikan oleh masyarakat Teluk Intan yang pelbagai kaum memberi perangsang kepada BN sebagai sebuah kerajaan untuk terus memperbaiki khidmat kepada rakyat.

Beliau berkata demikian dalam mengulas kemenangan calon BN di Parlimen Teluk Intan yang diwakili oleh Presiden Gerakan, Mah Siew Keong.

Dalam masa yang sama, beliau turut melahirkan penghargaan terhadap anggota jentera parti yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan gerak kerja dan calon yang mewakili BN beroleh kemenangan.

Kerusi Teluk Intan kembali kepada BN selepas calonnya mengalahkan calon DAP Dyana Sofya dengan undi majoriti 238. Mah mendapat 20,157 undi berbanding 19,919 undi yang diperolehi Dyana. – MediaUMNO

bn-muhyiddin-syukur-alhamdulillah-menang-teluk-intan-terima-kasih-pengundi-jentera

Kemenangan BN Di Teluk Intan Petanda Penting Keyakinan Dan Sokongan Rakyat Semakin Kukuh

Posted: 31 May 2014 08:08 AM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan merupakan satu petanda penting bahawa keyakinan dan sokongan rakyat terhadap BN semakin kukuh.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau juga percaya pengundi Teluk Intan telah membuat keputusan yang matang dengan menilai prestasi baik dan pengalaman calon BN Datuk Mah Siew Keong yang pernah berkhidmat sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar dan Anggota Parlimen Teluk Intan sebelum ini.

mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah

“Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana pengundi di Teluk Intan telah memilih calon BN, Mah untuk menjadi wakil rakyat mereka kembali.

Kita bersyukur kerana kemenangan ini juga membuktikan BN terus mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum di negara kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada pengundi Teluk Intan kerana membuat pilihan yang bijak dan tepat serta menolak politik jahat, tipu helah dan kebencian.

Mah, 53, yang juga Presiden Gerakan memperoleh sebanyak 20,157 undi mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi dengan undi majoriti sebanyak 238 pada pilihan raya kecil kerusi itu hari ini.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, di Teluk Intan pada kira-kira pukul 9.41 malam ini.

Peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini ialah 67.4 peratus.

Muhyiddin yang mengucapkan tahniah kepada Mah dan seluruh jentera BN berkata walaupun majoriti kecil dan memerlukan lebih banyak kerja dan usaha berterusan, beliau percaya ia adalah detik kebangkitan parti Gerakan.

“Saya juga percaya Mah akan bekerja kuat dan mengambil berat terhadap kebajikan penduduk Teluk Intan. Selain daripada berpengalaman, berdedikasi dan komited, beliau juga merupakan seorang penduduk Teluk Intan yang menjalinkan hubungan erat dengan masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata BN akan menunaikan semua janji yang telah dibuat dan Mah akan membawa arus pembangunan, kemajuan dan kemakmuran kepada negeri Perak dan Teluk Intan.

bn-muhyiddin-syukur-alhamdulillah-menang-teluk-intan-terima-kasih-pengundi-jentera

Kemenangan Satu Titik Perubahan Di Teluk Intan – Mah

Posted: 31 May 2014 08:05 AM PDT

TELUK INTAN, 31 Mei – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong berkata kemenangan beliau pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi Parlimen Teluk Intan akan membawa satu titik perubahan bukan sahaja di kawasan itu malah kepada parti Gerakan.

Presiden Gerakan itu menyifatkan pertandingan kali ini amat sengit namun parti komponen BN membuktikan kemampuan untuk menang jika bersatu.

“Bagi saya, ini juga satu titik perubahan kepada Gerakan. Saya bangga dengan kerjasama antara parti komponen BN yang membawa kejayaan” katanya ketika ditemui pemberita selepas diumum sebagai pemenang dalam PRK itu oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini malam ini.

Mah mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi selepas memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya yang mendapat 19,919 undi.

Beliau juga amat berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang banyak memberi nasihat dan bimbingan dalam perjuangan kali ini.

Mah berkata sebagai tanda terima kasih terhadap sokongan pengundi Teluk Intan, beliau akan berkunjung ke pasar besar untuk menemui sendiri mereka yang menyokongnya.

Sementara itu, Dyana Sofya Mohd Daud semasa berucap di depan kira-kira 200 penyokong dan jentera Pakatan Rakyat di sini malam ini, melahirkan rasa kecewa kerana gagal mempertahan kerusi DAP di Parlimen Teluk Intan.

Bagaimanapun, beliau berikrar akan meneruskan perjuangan parti itu dan berjanji tidak akan menghampakan penyokong.

“Saya tetap akan berada di sini dan memberi fokus kepada masyarakat di sini,” kata setiausaha politik kepada anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, yang juga Penasihat DAP.

Dyana Sofea bagaimanapun enggan menemui pihak media.

mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah

Mah Siew Keong Rampas Semula Kerusi Parlimen Teluk Intan

Posted: 31 May 2014 07:33 AM PDT

mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah

TELUK INTAN, 31 Mei – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan setelah mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti undi sebanyak 238 pada pilihan raya kecil kerusi itu hari ini.

Mah, 53, memperoleh 20,157 undi berbanding Dyana Sofya, 27, yang mendapat 19,919 undi.

Keputusan itu diumum Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ibrahim Ahmad di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini pada kira-kira 9.41 malam.

Sebanyak 66.67 peratus atau 40,236 pengundi daripada 60,349 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Kemenangan Mah itu bukan sahaja menyaksikan kejayaan merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan malah memperkukuh kedudukan beliau sebagai Presiden Gerakan yang dimenanginya pada Oktober tahun lepas, serta kedudukan parti dalam BN.

Dengan kemenangan itu, Mah akan dilantik sebagai Menteri Kabinet berikutan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis lepas.

Najib, yang sedang dalam lawatan enam hari ke China, membuat tawaran itu sambil berkata parti Gerakan merupakan parti pengasas BN dan menjadi amalan untuk presiden parti berkenaan menganggotai Kabinet.

Mah, yang mendakwa kempen pilihan raya kali ini paling kotor sejak bertanding dalam pilihan raya umum 1995 di kawasan itu, berjaya menebus kekalahan di kerusi Parlimen yang pernah dimenanginya pada 1999 dan 2004.

Beliau gagal mempertahankan kerusi itu pada 2008 berikutan tsunami politik apabila dikalahkan calon DAP M. Manogaran dengan majoriti undi 1,470 dalam pertandingan satu lawan satu.

Mah juga gagal memenangi semula kerusi itu pada 2013 setelah dikalahkan calon DAP Seah Leong Peng dalam pertandingan tiga penjuru.

Seah memenangi kerusi itu dengan majoriti undi sebanyak 7,313.

Sebelum dipilih sebagai anggota Parlimen Teluk Intan, Mah adalah bekas anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar, yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1995.

Anak kelahiran Teluk Intan dari keluarga yang terkenal di bandar ini, Mah bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan sebanyak lima kali dengan tiga kali menang dan dua kali kalah.

Semasa menjadi wakil rakyat Teluk Intan pada 2004, beliau dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala pada 2006 hingga 2008, Mah menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau pernah dilantik Pengerusi Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (Matrade) dari 2010 hingga September 2013.

Pada 26 Okt 2013, Mah menerajui Gerakan setelah mengalahkan pencabarnya, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow, pada pemilihan parti itu dengan memperoleh 1,086 undi berbanding Teng, 577 undi.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dari London School of Economic dan Sarjana Dalam Bidang Pembuatan dari City University London serta Ijazah Perundangan (LLB) dengan kepujian dari University of East, London, beliau amat dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan rajin bekerja oleh penduduk Teluk Intan.

BN Menang Majoriti 238 Undi

Posted: 31 May 2014 06:50 AM PDT

TELUK INTAN, 31 Mei – Calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan undi majoriti 238 pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, umum Pengurus Pilihanraya Datuk Ibrahim Ahmad malam ini.

Mah memperolehi 20,157 undi berbanding 19,919 undi yang diperolehi Dyana Sofya.

mah-siew-keong-presiden-pgrm-gerakan-komponen-bn-menang-teluk-intan-prk-perak-tahniah

mah-siew-keong-bn-menang-prk-teluk-intan-dewan-rasmi-spr

mah-siew-keong-bn-menang-prk-teluk-intan

Malaysia Dan China Berkongsi Cita-Cita, Kata Najib

Posted: 31 May 2014 06:05 AM PDT

BEIJING, 31 Mei – Persahabatan Malaysia dan China adalah berteraskan cita-cita bersama dan kedua-dua negara juga berkongsi wawasan dalam matlamat pembangunan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ‘Impian China’ menjurus kepada kemakmuran ekonomi, keamanan dan kebahagiaan; impian bagi merebut peluang bukan ke arah ketidakstabilan.

Sebaliknya, Wawasan 2020 menyaksikan Malaysia mempunyai matlamat untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi dan memainkan peranan utama ke arah pemupukan keamanan global.

“Persamaan ini bermakna kita menikmati hubungan yang sihat berdasarkan prinsip kepercayaan dan menghormati sama sama lain. Ia berupa persahabatan yang cukup kukuh untuk menghadapi ujian, sekalipun yang paling tragik,” kata beliau ketika berucap pada Jamuan Malam Persahabatan Malaysia-China di sini hari ini.

Turut hadir pada jamuan malam untuk memperingati ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan dan Presiden Persatuan China-ASEAN, Gu Xiulian dan Datuk Abdul Majid Khan, Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China.

Najib berkata antara ujian yang membuktikan daya ketahanan kedua-dua negara melalui persahabatan ialah insiden kehilangan pesawat Malatsia Airlines (MAS) MH370 pada 8 Mac lepas.

Beliau berkata Malaysia, berterima kasih atas sokongan kuat daripada kerajaan China dalam menghadapi keadaan yang sukar ini dan atas komitmen mereka bagi menyumbang sumber dan kepakaran untuk membantu dalam misi pencarian.

“Melalui asas yang kukuh berteraskan kerjasama dan kepercayaan bersama, saya percaya kerjasama kita dapat diperkukuhkan dalam menghadapi kesukaran,” tambah beliau.

Oleh kerana kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40, China kekal sebagai sebuah negara sahabatan Malaysia yang paling penting dan rakan yang amat bernilai bagi kemakmuran dan keamanan, kata beliau.

Beliau berkata persahabatan bermula di peringat atasan dengan menarik perhatian kepada lawatan oleh Presiden China Xi Jinping ke Malaysia tahun lepas apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai Program Pembangunan Lima Tahun bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan.

Perdana Menteri berkata beliau juga gembira kerana lebih ramai pelajar Malaysia memilih untuk melanjutkan pengajian di China dan bahawa Universiti Pengajian Bahasa Asing di Beijing terus memberi galakan kepada pengajian Bahasa Melayu dan menyediakan pengajian bahasa Mandarin kepada penuntut Malaysia di bawah Program Pertukaran Khas.

Beliau berkata kerjasama itu akan ditingkatkan lagi dengan cadangan penubuhan Universiti Antarabangsa Xiamen di Malaysia, yang dijangka dibuka tidak lama lagi.

najib-pm-malaysia-tanda-tangan-mou-china-presiden-li-keqiang-hubungan-dua-hala-baharu

najib-pm-malaysia-majlis-mou-presiden-china-terima-cenderahati-li-keqiang-mesra-hubungan-baik

Rakyat Boleh Kemuka Idea Untuk Bajet 2015- Ahmad Husni

Posted: 31 May 2014 06:02 AM PDT

BANGI, 31 Mei – Orang ramai yang ingin menyumbang idea mereka untuk Bajet 2015 boleh berbuat demikian selewat-lewatnya akhir Julai ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata mereka boleh menghantar e-mel kepada Kementerian Kewangan untuk berkongsi idea supaya dapat dipertimbangkan.

“Idea rakyat amat diperlukan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat. Berikan idea yang sesuai dan kita akan lihat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen Muamalah Kewangan Islam 2014 di sini hari ini.

Sehingga kini, kementerian telah menerima 54 memorandum berhubung Bajet 2015 dan antara idea yang diberi adalah isu kos sara hidup, perniagaan, pendidikan dan pertumbuhan ekonomi, katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Bajet 2015 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober depan.

Beliau berkata Bajet 2015 penting memandangkan ia merupakan belanjawan akhir Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), yang menyediakan peruntukan untuk program dan projek berbaki dalam tempoh rancangan pembangunan terbabit.

Ahmad Husni berkata pembentangan bajet akan dipastikan bersifat inklusif supaya rakyat pelbagai peringkat mendapat manfaat.

Katanya pembentangan bajet bukan semata-mata untuk perbelanjaan pengurusan dan pembangunan, ia juga untuk kepentingan rakyat.

“Kita nak bawa semua dari bandar,luar bandar dan semua kaum dalam negara diberi peluang sama dalam proses transformasi ekonomi negara.

Kita mahu semua pihak mendapat kesejahteraan pada masa itu khususnya dalam konteks pendapatan rakyat,” kata beliau.

Suami Ketua Wanita UMNO Bahagian Seremban Meninggal Dunia

Posted: 31 May 2014 05:59 AM PDT

SEREMBAN, 31 Mei – Suami Ketua Wanita Umno Bahagian Seremban Datuk Samsiah Samsudin meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar di sini hari ini.

Allahyarham Saidi Ismail, 70, bekas pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, dimasukkan ke hospital pukul 9 malam semalam dan meninggal dunia pada kira-kira 7.15 pagi akibat kanser usus.

Samsiah berkata jenazah suaminya dimandi dan dikafankan di hospital itu sebelum dibawa bilik ke rumahnya di Taman Bunga Raya, Mantin.

“Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Pekan Mantin untuk disembahyangkan dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mantin Dalam sebelum Zohor (pada kira-kira 12 tengah hari),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata suaminya dikesan menghidap kanser usus dua tahun lepas.

Allahyarham turut meninggalkan dua anak perempuan berusia 36 dan 25 tahun.

Pelan Suara Hati Johor Tumpu Tujuh Fokus Utama Tangani Permasalahan Rakyat

Posted: 31 May 2014 05:58 AM PDT

JOHOR BAHARU, 31 Mei – Pelan Suara Hati Johor yang dilancarkan hari ini, dilihat sebagai pemacu transformasi pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan usahanya menangani segala permasalahan rakyat masa kini.

Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelan itu merupakan satu pelan pencapaian yang berlandaskan permantauan, ukuran dan berstrategi bagi menangani tuntutan semasa rakyat sekaligus menjurus ke arah pembangunan negeri yang mapan.

Beliau berkata pelan itu yang akan dilaksanakan secara berterusan sehingga tahun 2018, turut menggariskan tujuh fokus utama.

Tujuh fokus itu adalah meningkatkan tahap keselamatan, menyediakan perumahan mampu milik, menangani kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat, menyediakan kemudahan awam dan infrastruktur, memartabatkan agama Islam, menyediakan perkhidmatan kesihatan yang cekap dan meningkatkan tahap ekonomi dan pembangunan usahawan.

“Kita buka ruang untuk rakyat Johor menyatakan apa yang mereka perlukan. Kita perhalusi setiap cadangan dengan tekun. Kita bincang bagaimana sesuatu itu boleh dilaksanakan dalam konteks pembangunan mengikut acuan kita,” katanya ketika melancarkan pelan itu di Nusajaya, dekat sini hari ini.

Bagi memastikan tujuh fokus itu akan dicapai, Mohamed Khaled berkata setiap exco yang bertanggungjawab diberikan petunjuk prestasi tahunan sebagai sasaran untuk dicapai.

Mereka kemudiannya akan dipantau dan diukur prestasi masing-masing menggunakan indeks dikenali sebagai Indeks Penilaian Prestasi (INPRES) oleh badan bebas yang dilantik, katanya pada sidang media selepas pelancaran pelan itu.

Beliau berkata budaya dipacu prestasi akan terus menjadi budaya baru dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan semua projek dan program mempunyai sasaran yang boleh diukur.

Pelan Suara Hati Johor merupakan kesinambungan Kajian Suara Hati Johor yang telah dijalankan dari 17 Jun hingga 24 Julai tahun lepas, bagi mendapatkan maklum balas permasalahan pembangunan rakyat di negeri itu.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...