UMNO Online - “Datuk Mah Siew Keong Calon Terbaik Wakili BN – Khairy” plus 3 more

UMNO Online - “Datuk Mah Siew Keong Calon Terbaik Wakili BN – Khairy” plus 3 more

Link to UMNO Online

Datuk Mah Siew Keong Calon Terbaik Wakili BN – Khairy

Posted: 18 May 2014 01:46 AM PDT

GEORGE TOWN, 18 Mei – Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong adalah calon terbaik untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Teluk Intan, 31 Mei ini, kata Khairy Jamaluddin.

Ketua Pemuda Umno itu berkata pengalaman luas Mah sebagai bekas penyandang kerusi itu selama dua penggal dan juga bekas timbalan menteri berupaya untuk BN mendapat semula sokongan pengundi di kawasan itu.

muhyiddin-umum-mah-siew-keong-presiden-gerakan-pgrm-calon-bn-teluk-intan-zambry-perak

“Walaupun nasib tidak menyebelahi beliau (Mah) pada pilihan raya umum lepas, saya yakin bahawa dari segi pemahaman mengenai masalah tempatan di Teluk Intan, beliau adalah calon yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, yakin pengundi di kawasan itu mengenali ahli politik berusia 53 tahun itu sekali gus akan memberi sokongan kepada calon BN itu.

Ditanya mengenai DAP yang mencalonkan Dyana Sofya Mohd Daud iaitu setiausaha politik kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang, Khairy berkata: “Sudah jelas ini adalah taktik DAP dan kami tidak bimbang. Kami rasa kami masih ada sokongan kuat khusus di Changkat Jong.”

“Kami mempunyai jentera kuat di sana dan yakin pengundi Melayu di Changkat Jong akan terus memberi keyakinan dan sokongan kepada calon BN,” katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP pada 1 Mei.

Penamaan calon ditetapkan esok manakala pengundian awal pada 27 Mei dan hari pengundian 31 Mei ini.

Pada pilihan raya umum ke-13 tahun lepas, Seah mengatasi calon BN Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti 7,313 undi dalam pertandingan yang turut disertai calon Bebas K. Moralingam. -MediaUMNO

Dap Gagal Letak Calon Tempatan Di Teluk Intan Kerana Krisis Dalaman – Liow

Posted: 18 May 2014 01:25 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Mei – MCA hari ini berkata tindakan DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calonnya pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan kerana mereka gagal mencari calon tempatan.

Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCA turut melihat tindakan DAP meletakkan calon Melayu itu bagi menyelesaikan pertelingkahan dalam kalangan pemimpin tempatan yang berebut ingin menjadi calon PRK berkenaan.

presiden_mca_liow_tiong_lai

“Dalam parti mereka (sendiri) berpuak-puak dan masing-masing berebut untuk jadi wakil rakyat, akhirnya (Penasihat parti) Lim Kit Siang menggunakan dakyah beliau untuk selesaikan masalah.

“Tapi rakyat Teluk Intan lebih pentingkan perubahan dan pembangunan, tak mahu ambil tahu masalah dalaman DAP yang tak dapat cari satu wakil rakyat yang baik dari Teluk Intan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Ibu Pejabat MCA Bandar Tun Razak dan Pusat Komuniti Masyarakat di sini.

Dyana Sofya, 27, yang juga setiausaha politik Lim, diumum DAP sebagai calonnya untuk mempertahankan kerusi itu dalam PRK yang dijadualkan 31 Mei ini.

Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan 19 Mei, manakala pengundian awal pada 27 Mei.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, pada 1 Mei lepas akibat kanser.

Dalam pilihan raya umum tahun lepas, Seah daripada DAP mengatasi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dengan majoriti 7,313 undi.

Untuk PRK ini, BN sekali lagi mempertaruhkan Mah yang juga Presiden parti Gerakan untuk merampas semula kerusi itu yang pernah diwakilinya selama dua penggal bermula 1999 hingga 2008.

Mengulas lanjut, Liow berharap penduduk Teluk Intan dapat menilai sendiri kejujuran pakatan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat, apabila mereka sentiasa dilihat gagal mencari kesepakatan dalam pelbagai isu.

Mengambil contoh isu hudud, Liow berkata DAP sendiri gagal meyakinkan PAS agar menghentikan agenda pelaksanaan undang-undang itu, sedangkan mereka berada dalam satu pakatan.

“BN lebih mantap, lebih bertanggungjawab, mempunyai agenda transformasi yang cukup jelas, serta mengamalkan sistem konsensus cukup baik untuk jaga perpaduan dan keharmonian sejak sekian lama,” katanya. -MediaUMNO

Polis Perak Tubuhkan Tim Cantas, Pastikan PRK Teluk Intan Aman

Posted: 18 May 2014 12:29 AM PDT

IPOH, 18 Mei – Polis Perak mengambil pelbagai langkah termasuk menubuhkan ‘tim cantas’ bagi memastikan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan berlangsung dalam suasana aman.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata peranan pasukan itu ialah memintas sebarang cubaan menimbulkan kekacauan oleh pihak tertentu.

“Tim-tim cantas ini digerakkan ke semua lokasi yang dikenal pasti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya tim cantas itu juga bertujuan mencegah kejadian jenayah membabitkan kumpulan kongsi gelap.

“Selain itu, pihak risikan Jabatan Siasatan Jenayah juga mendokumentasikan individu yang dikenal pasti terbabit dalam beberapa insiden pergaduhan semasa pilihan raya umum ke-13,” katanya.

Menurut Acryl Sani, polis juga meningkatkan kehadiran dan rondaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

Mengenai proses penamaan calon esok, beliau menasihati parti-parti bertanding agar mengingatkan penyokong masing-masing menjaga kelakuan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Orang ramai juga dinasihati tidak menggunakan Jalan Changkat Jong yang dijangka dijadikan kawasan berhimpun calon dan penyokong parti-parti bertanding, katanya.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Penamaan calon ditetapkan esok, 19 Mei, manakala pengundian awal pada 27 Mei dan hari pengundian 31 Mei. – MediaUMNO

Program Turun Padang Kerajaan BN Tidak Bermusim – Musa

Posted: 17 May 2014 11:17 PM PDT

PITAS, 18 Mei – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menegaskan bahawa program turun padang untuk mendengar keluhan dan menyelesaikan permasalahan rakyat, yang menjadi amalan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, bukan bermusim.

Sebaliknya, beliau berkata program turun padang itu adalah amalan sepanjang masa, tidak kira pada musim pilihan raya atau tidak untuk kerajaan BN menunjukkan penghargaan terhadap rakyat yang menyokong dan memberi mandat kepada BN, terus mentadbir Sabah.

“Kita mesti sedar, kita ini berkuasa atau menjadi wakil rakyat adalah atas sokongan rakyat, atas pilihan rakyat. Oleh itu, kita jangan lupa, jangan sombong, jangan angkuh kepada rakyat. Yang penting, sebagai pemimpin, kita mesti mendekati rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bengkoka dan Kaamatan di Dataran Bengkoka di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Menteri Pertahanan yang juga anggota Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri dan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Bolkiah Ismail.

Musa berkata kerajaan BN merupakan kerajaan yang prihatin dengan akan terus berusaha memenuhi setiap keperluan rakyat meskipun kadang-kala terdapat sesetengah projek yang mungkin memerlukan masa dan kos yang tinggi.

Terdahulu dalam ucapannya, Musa memuji rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, kepercayaan serta keturunan kerana memilih untuk hidup aman dalam kepelbagaian meskipun terdapat cubaan untuk memecahbelahkan keharmonian hidup yang sekian lama dikecapi.

Katanya kemampuan rakyat Sabah untuk hidup aman dalam kepelbagaian dan mendapat pujian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai contoh rakyat 1Malaysia, didasari atas kesediaan rakyat untuk menghormati perbezaan kaum dan agama lain.

Justeru, Musa mengingatkan rakyat supaya tidak mudah dipesongkan pihak tertentu yang ingin memecahbelahkan mereka kerana perbalahan dan pergaduhan tidak akan menguntungkan sesiapa.

“Kalau kita asyik berpecah belah dan bergaduh, sukar untuk kita melaksanakan program pembangunan untuk faedah rakyat. Sebaliknya kalau negeri kita aman, mudah untuk kita membantu rakyat. Di Malaysia ini, kita mesti menghormati sesame kita,” katanya.-MediaUMNO

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...