UMNO Online - “China Puas Hati Usaha Malaysia Kendali Operasi Mencari MH370” plus 9 more |
- China Puas Hati Usaha Malaysia Kendali Operasi Mencari MH370
- Calon BN Pertaruhkan Rekod Perkhidmatan – Zahid
- Tentukan Kaedah Terbaik Beri Penerangan Mengenai GST
- Tragedi Kehilangan MH370 Melahirkan Puluhan Ribu ‘Cerdik Pandai’
- Lima Negeri Belum Muktamad Migrasi Air Dengan PAAB – Mahadzir
- MH370 : Masih Tiada Penunjuk Ditemui – Hishammuddin
- Tuduh Badan Kehakiman Diperalatkan, Anwar Buat Dakwaan Terpilih
- Penyokong BN Saran Hukum Anggota Parlimen Pembangkang Tidak Hadir Sesi
- Polis Kenal Pasti Warga Iran Guna Pasport Palsu Naik Pesawat MH370
- Pemuda BN Isytihar Perang Habis-habisan… Tolak Calon Boneka Anwar
China Puas Hati Usaha Malaysia Kendali Operasi Mencari MH370 Posted: 11 Mar 2014 06:34 AM PDT KUALA LUMPUR, 11 Mac - Kerajaan China setakat ini berpuas hati dengan usaha dilakukan kerajaan Malaysia dalam operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dari radar ketika dalam penerbangan ke Beijing Sabtu lepas. Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Hukiang berkata walaupun terdapat laporan mengenai kritikan oleh pihak berkuasa China dan waris penumpang mengenai cara Malaysia mengendalikan operasi yang didakwa perlahan, namun perkara itu telah dijelaskan. “Terdapat banyak kritikan tetapi bagi saya setakat ini kerajaan Malaysia telah berusaha keras dalam menjalankan operasi mencari dengan kerjasama kerajaan China berikutan desakan daripada anggota keluarga penumpang. “Saya telah bercakap dengan wakil media China, saya katakan bahawa kerjasama mencari dan menyelamat setakat ini dijalankan dengan teratur. “Saya mengikutinya sejak dari hari pertama, saya saksikan kelancaran operasi mencari dan menyelamat dan menerima semua laporan daripada jabatan yang terlibat,” katanya kepada pemberita semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Bangunan Parlimen di sini, Selasa. Huang berkata kerajaan China juga amat menghargai usaha dilakukan oleh kerajaan Malaysia termasuk bantuan kepada waris penumpang yang berada di sini dan juga Beijing. Terdapat 152 penumpang warganegara China termasuk seorang bayi dalam pesawat berkenaan yang sehingga kini masih belum diketahui nasibnya. Dalam pada itu, Huang juga berharap pihak terlibat terutama waris penumpang terus bersabar dan berdoa agar pesawat berkenaan dapat ditemui. “Dalam waktu sukar ini kita patut berkongsi beban ini, kami menghargai usaha kerajaan Malaysia setakat ini dan kami akan memberikan kerjasama mungkin sehingga semua ini selesai. “Kita perlu tenang, sabar kerana terdapat banyak perkara di luar pengetahuan manusia. Apa juga kemungkinannya, kita perlu tunggu dan berdoa,” katanya. |
Calon BN Pertaruhkan Rekod Perkhidmatan – Zahid Posted: 11 Mar 2014 05:48 AM PDT ) KUALA LUMPUR, 11 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi berkeyakinan bahawa calon Barisan Nasional(BN), Datin Paduka Chew Mei Fun mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di DUN Kajang sekiranya terpilih dalam pilihanraya kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini, berdasarkan rekod cemerlang perkhidmatan beliau yang telah terbukti selama ini. Menurut beliau, ini amat berbeza dengan jika mahu dibandingkan dengan Dr. Wan Azizah yang mana selama ini umum mengetahui bahawa beliau hanyalah menjadi boneka kepada suaminya di mana selama ini kepimpinan beliau di dalam PKR sering dipertikaikan. "Apa yang jelas, Datin Paduka Chew Mei Fun mempunyai rekod yang cemerlang sepanjang penglibatan beliau di dalam bidang politik. Beliau juga telah membuktikan komitmennya yang tidak berbelah bahagi dalam usaha membantu rakyat ketika menjadi ahli parlimen Petaling Jaya Utara dan juga Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. "Jika mahu dibandingkan kecemerlangan beliau dan Wan Azizah, ianya bagaikan langit dan bumi. Ketika beliau menjadi Ahli Parlimen di Permatang Pauh, tidak ada sebarang pembaharuan dan pembangunan yang beliau bawa di kawasan tersebut. Lebih malang lagi, beliau kemudiannya meletakkan jawatan untuk member laluan kepada suaminya bertanding di situ," tegasnya. Zahid berkata demikian di hadapan pemberita ketika diminta mengulas berhubung perkembangan PRK Dun Kajang selepas mengadakan program bertemu penduduk di Flat Taman Kota Cheras, Kajang hari ini. Zahid juga menaruh keyakinan sekiranya Datin Chew Mei Fun terpilih sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut, maka rakyat di situ boleh bergantung harap dengan beliau untuk membantu rakyat di kawasan tersebut bagi menyelesaikan sebarang permasalahan mereka. "Walaupun jika terpilih, beliau akan tetap menjadi ADUN di pihak pembangkang untuk negeri Selangor tetapi saya yakin rakyat di Kajang dapat dibantu memandangkan beliau merupakan wakil kepada MCA dan boleh memohon peruntukan dari pusat untuk disalurkan bagi pengundi di Kajang bagi membangunkan lagi kawasan tersebut. "Sekiranya kita melihat track record Chew Mei Fun sebelum ini, di mana beliau sememangnya seorang yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat," ujarnya. Justeru itu, beliau menyeru agar pengundi di DUN Kajang memberikan peluang kepada calon BN untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu. "Apa lagi yang kita nak harapkan kepada calon pembangkang? Dulu ADUN di sini merupakan calon dari parti PKR, namun kerana agenda peribadi dan mahu menyelesaikan kemelut dalam parti, beliau akhirnya meletakkan jawatan apabila diminta oleh Anwar untuk berbuat demikian, tanpa mempedulikan perasaan pengundi yang mengundinya sebelum ini. "Dan sekiranya Wan Azizah terpillih, maka ada kemungkinan besar bahawa perkara seperti itu akan berulang semula, kerana sebelum ini Wan Azizah pernah meletakkan jawatannya sebagai ahli parlimen bagi memberi laluan kepada suaminya. "Namun, saya yakin sekiranya Chew Mei Fun terpilih sebagai wakil rakyat di DUN kajang, beliau akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di sana," ujar beliau. -MediaUMNO |
Tentukan Kaedah Terbaik Beri Penerangan Mengenai GST Posted: 11 Mar 2014 05:42 AM PDT KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kerajaan perlu menentukan kaedah terbaik dan berkesan dalam memberi penerangan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan April tahun depan, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Baharu). Beliau berkata ini bagi memastikan rakyat dan golongan peniaga benar-benar faham mengenai cukai itu dan impaknya kepada kehidupan seharian mereka. “Bukan sahaja buat majlis penerangan tetapi kena tentukan kaedahnya difahami, pendekatan penerangan perlu dipantau, barulah kita boleh tahu sama ada penerangan mudah difahami atau tidak,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Shahrir berkata kerajaan juga mungkin boleh membuat sesi penerangan yang berbeza khusus untuk golongan peniaga yang akan melaksanakan cukai itu terhadap barangan mereka. “Bila maklumat daripada penerangan kepada ahli perniagaan disampaikan kepada pengguna atau pemimpin masyarakat, ia akan timbulkan salah faham dan cara penyampaiannya tidak berkesan, kita yang dengar pun tak faham,” katanya. Beliau berkata bancian juga boleh dibuat untuk menentukan sama ada mereka yang diberi penerangan itu benar-benar jelas mengenai GST. “Tanya (dalam) bancian adakah anda faham tentang soal GST, setelah diberi penerangan masih tidak faham juga, panggillah pegawai daerah atau ketua kampong yang dah dengar penerangan cuba terangkan balik,” katanya. Persidangan Dewan bersambung esok. |
Tragedi Kehilangan MH370 Melahirkan Puluhan Ribu ‘Cerdik Pandai’ Posted: 11 Mar 2014 04:23 AM PDT Ada sesuatu yang barangkali ramai daripada kita yang tidak sedar, media sosial telah mendedahkan sebahagian besar tembelang rakyat Malaysia, terutama sekali yang sentiasa beranggapan mereka lebih pandai dari orang lain. Dalam sebarang isu, golongan ini yang pertama-tama akan muncul dan seterusnya cuba membuktikan, mereka jauh lebih bijak memandangkan mereka adalah penyokong Pakatan Rakyat. Antara medium yang paling banyak menampilkan 'cerdik pandai' yang muncul secara tiba-tiba membabitkan bidang crime scene, aviation, strategic, maritim dan seribu satu macam bidang yang lain adalah Facebook dan Twitter. Anda cuma perlu menjengah dan anda akan dapati pelbagai teori diberikan sehingga ada yang langsung tidak masuk akal. Di Twitter pula, golongan berkenaan cuba menjadi news-breaker dengan pelbagai pertanyaan atau kenyataan-kenyataan yang kononnya hanya mereka yang dapat maklumat. Walaupun pelbagai nasihat dan peringatan telah diberikan tentang adab dan etika yang perlu digunakan memandangkan kes ini mungkin membabitnya nyawa dan keselamatan mangsa, namun nampaknya segala usaha tersebut bagaikan mencurah air ke daun keladi. Barangkali itu merupakan perkara normal memandangkan setiap manusia sentiasa berasa mereka lebih istimewa berbanding orang lain. Dek kerana itulah, terlalu ramai yang cuba mengambil jalan mudah untuk menghiburkan hati sendiri dengan memberikan pelbagai andaian dan spekulasi. Malah ada yang tercari-cari teori untuk bergurau senda tanpa menghiraukan sensitiviti ahli keluarga mangsa. Paling menarik apabila mereka cuba pula menyalahkan kerajaan dan mempersoalkan kelambatan, ketidakcekapan, ketidakpedulian malah menyalahkan keengganan kerajaan menggunakan aset-aset seperti kapal selam, jet pejuang dan kapal perang untuk operasi menyelamat. Sedangkan penjelasan sudah dibagi, gagal difahami dan dihadami kerana masing-masing berasakan, inilah masanya untuk mereka membantu parti dan pemimpin mereka yang kehausan perhatian dan sokongan. Malangnya perbuatan yang mereka lakukan sebenarnya merencatkan banyak pihak terutama sekali anggota-anggota keluarga dan petugas-petugas penyelamat yang sedang bertungkus lumus menjalankan operasi mencari, mengesan dan menyelamat. Mereka sekadar menjadi keyboard warrior yang cuba berlagak pandai, sedangkan mereka yang berada di lapangan, meninggalkan kaum keluarga bahkan bekerja di luar bidang masa yang sepatutnya. Matlamat mereka hanya satu, mengesan, mencari dan menyelamatkan MH370 bersama-sama penumpang dan anak kapalnya. Sedangkan golongan 'cendekiawan' yang cukup aktif dalam Facebook dan Twitter pula, sesetengahnya, naik kapal terbang pun tak pernah! Ada sesuatu yang tidak kena dengan mentaliti rakyat Malaysia, khususnya yang cenderung menyokong Pakatan pembangkang. Mereka tidak dapat berfikir secara rasional. Mereka sentiasa berfikir bahawa segala-galanya adalah mudah dan yang membuatkan sesuatu yang mudah itu menjadi payah adalah UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Itu sahaja yang ada dalam otak mereka. Siang malam, ratib dan zikir mereka adalah SEMUA SALAH UMNO, SEMUA SALAH BARISAN NASIONAL. Tidak keterlaluan kalau kita katakan, ajaran songsang yang diterapkan oleh Anwar Ibrahim sudah melekat dan berjaya sepenuhnya. Kalau tidak, masakan masih ada yang bertanya, SALAHKAH LIWAT SUKA SAMA SUKA demi membenarkan dan memenangkan Anwar Ibrahim apabila berhujah. Ternyata bahaya elemen yang ada kaitan dengan sokongan kepada Anwar Ibrahim dan pasukannya, tidak hanya melibatkan perjuangan membebaskan segala-galanya, termasuklah norma-norma serta batas hidup dan adab selaku manusia yang beragama, tetapi juga membuatkan otak golongan tersebut mengecil sehinggakan mereka hanya memikirkan… SEMUA SALAH UMNO-BN! Tragedi MH370 sudah pun menyerlahkan 'kebijaksanaan' mereka yang benar-benar melampaui tahap atau penanda aras kebongokan bagi seseorang yang bergelar manusia! mykmu.net |
Lima Negeri Belum Muktamad Migrasi Air Dengan PAAB – Mahadzir Posted: 11 Mar 2014 03:14 AM PDT KUALA LUMPUR, 11 Mac – Lima negeri masih belum memuktamadkan pelan migrasi pengurusan bekalan air dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), kata Timbalan Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid. Beliau berkata negeri berkenaan ialah Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah. Katanya migrasi itu akan membolehkan lima negeri berkenaan membuat pinjaman kewangan dengan kerajaan persekutuan bagi menambah baik infrastruktur pengurusan dan bekalan air di negeri masing-masing. “Sekarang ini dari segi pengurusan (air) masih dibuat kerajaan negeri tetapi dari segi lesen dan pengawasan dibuat kerajaan persekutuan melalui kementerian dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). “Dalam persetujuan antara kerajaan persekutuan dan negeri, saya kira air adalah antara milik negeri berserta dengan tanah dan hasil negeri dan sehingga hari ini air itu masih di bawah kawalan kerajaan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) mengenai pelaksanaan migrasi pengurusan bekalan air di persidangan Dewan Rakyat hari ini. Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai langkah kerajaan mengatasi kemerosotan paras air di empangan sekitar Lembah Klang, beliau berkata selain melaksanakan pengagigahan air secara berjadual, pelaksanaan Skim Bekalan Air dari Pahang ke Selangor merupakan langkah jangka panjang yang diambil bagi menangani masalah ini. |
MH370 : Masih Tiada Penunjuk Ditemui – Hishammuddin Posted: 11 Mar 2014 02:33 AM PDT PETALING JAYA, 11 Mac - Operasi mencari yang dilakukan bagi mengesan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang memasuki hari ketiga hari ini, masih gagal mengesan sebarang penunjuk. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata usaha itu bagaimanapun akan terus diperhebat dengan memperluaskan kawasan carian selain penglibatan pelbagai pihak termasuk nelayan. “Saya mahu nyatakan di sini bahawa kawasan yang kita mahu cari pesawat terbabit merupakan kawasan yang cukup luas dan ini menginsafkan saya kerana memang sukar untuk mengesan. “Tetapi kita tidak akan putus asa dan saya gembira kerana ramai yang tampil untuk membantu dengan yang terbaharu dari negara Brunei yang turut menyertai usaha pencarian,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Trafik Udara, Jabatan Penerbangan Awam di Subang hari ini. Katanya sehingga kini jumlah aset yang dikerahkan untuk operasi itu meningkat kepada 42 kapal dan 35 pesawat yang merangkumi pencarian di kawasan perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka. Katanya pada masa ini sebanyak 16 buah kapal dan 14 pesawat sedang melaksanakan operasi mencari pesawat MH370 itu di Selat Melaka, sementara di Laut China Selatan membabitkan 26 buah kapal dan 21 pesawat. Dalam pada itu Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO turut mengalu-alukan penyertaan pihak lain seperti nelayan yang dikatakan mampu menjadi mata dan telinga bagi mencari atau mengesan sebarang penunjuk mengenai pesawat MH370. “Tadi sewaktu saya meninjau operasi pencarian di Selat Melaka dengan menaiki pesawat, saya dapati banyak kapal-kapal nelayan beroperasi di sana dan saya yakin mereka boleh membantu,” katanya. Beliau berkata dengan penyertaan pelbagai pihak diharapkan akan dapat mengesan penunjuk yang boleh membawa kepada perkembangan yang lebih bermakna terhadap operasi mencari pesawat itu. Pada Sabtu lepas, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal itu hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA. Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia. |
Tuduh Badan Kehakiman Diperalatkan, Anwar Buat Dakwaan Terpilih Posted: 11 Mar 2014 02:29 AM PDT KUALA LUMPUR, 11 Mac – Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa badan kehakiman negara diperalatkan apabila keputusan mahkamah memutuskan beliau dipenjara lima tahun setelah didapati bersalah kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari bukanlah sesuatu yang menghairankan. Penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr Abdul Halim Sidek melihat, dakwaan Anwar yang memandang negatif terhadap sistem kehakiman negara apabila tidak berpihak kepadanya adalah sebagai tidak rasional kerana Anwar sendiri pernah menang beberapa kes dalam mahkamah. "Kalau dia menang dalam kes yang membabitkan pakatan pembangkang, tidak ada pula pujian terhadap badan kehakiman sebaliknya jika tewas dan didapati bersalah maka pelbagai hinaan dan kejian dilontarkan kepada badan terbabit," katanya kepada UMNO-Online. Tegas beliau yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Anwar sebagai seorang warganegara Malaysia, menjawat Ahli Parlimen yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, maka tentunya beliau amat memahami perjalanan sistem perundangan dan kehakiman negara yang bergerak bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak termasuklah kerajaan. "Sekiranya benar Anwar tidak mempunyai keyakinan dan kepercayaan kepada sistem kehakiman dan perundangan negara ini maka kenapa beliau menerima pembebasannya pada tahun 2004 yang dibuat Mahkamah Persekutuan selepas mengugurkan sabitan kesalahan liwat atas alasan pihak pendakwa raya gagal mengemukakan bukti yang kukuh. "Jika dia sendiri tidak mempercayai sistem kehakiman negara mengapa dia tidak menolak sahaja tawaran pembebasannya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh pejuang kebebasan Afrika, Nelson Mandela yang menolak tawaran pengurangan hukumannya pada tahun 1970-an dan tawaran pembebasannya pada tahun 1980-an." Bidas beliau lagi, jika benar Anwar tidak percaya kepada sistem perundangan negara ini maka sewajarnya dia lakukan tindakan boikot untuk semua perkara yang membabitkan undang-undang tanpa memilih ada perkara yang boleh dan ada pula yang tidak. "Kalau nak boikot, maka boikotlah semua yang membabitkan hal-hal perundangan dan bukannya menganggap tidak apa apabila berpihak kepadanya sebaliknya dihina dan dipertikai apabila beliau sendiri didapati bersalah. "Katanya, dia tidak bersetuju dengan sistem demokrasi di Malaysia namun mengapa masih bertanding dalam pilihan raya malah memilih sistem tersebut untuk DUN Kajang dan jika beliau tidak percaya dengan badan kehakiman mengapa pula beliau yang banyak memfailkan saman terhadap pelbagai pihak yang tidak menyebelahinya?" Tegasnya yang juga Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, tindakan Anwar ini bersifat petualang negara yang akan mengelirukan orang ramai dengan sikapnya yang suka menegakkan benang yang basah. "Bukan semua kes mahkamah yang membabitkan kerajaan akan menang dan begitu juga dengan Anwar yang tidak semua kes mahkamahnya berakhir dengan kekalahan kerana ada banyak juga kes yang dia menang." Terbaru, dilaporkan, Anwar berjaya dalam kes saman fitnah terhadap pengendali dan pemilik blog Papagomo, berhubung penyiaran artikel dan video seks yang mengaitkan pemimpin itu dengan seorang lelaki, tahun lalu dengan mendapat RM800,000 sebagai ganti rugi selain awal tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan memihak kepadanya dalam kes saman fitnah RM50 juta ke atas Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan ketua pengarangnya berhubung artikel berkaitan temu bualnya yang disiarkan oleh BBC pada tahun sebelumnya. Sebelum itu, pada Jun 2012, Anwar turut menang kes saman fitnah yang dibawa ke atas bekas rakan sukan tenisnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung kenyataan kononnya menerima wang sebanyak RM60 juta. "Dengan banyak kes yang telah Anwar menang adakah itu bermakna badan kehakiman masih tidak adil sedangkan realitinya Anwar yang enggan berpijak di bumi nyata dan cuba menafikan asas dalam sistem kehakiman iaitu yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar." Ujarnya lagi, badan kehakiman adalah badan yang bebas tanpa ada pengaruh dari mana-mana pihak sekalipun kerajaan yang memerintah malah kedudukan hakim itu sendiri ditentukan oleh Perlembagaan negara yang hanya boleh terlucut melalui tiga cara iaitu meninggal dunia, tidak sihat atau tidak boleh menjalankan fungsi dan telah melakukan jenayah atau melanggar undang-undang. "Struktur kehakiman di negara kita menjamin bahawa hakim itu kebal untuk laksanakan tanggungjawabnya yang mesti menegakkan keadilan without fear or favor sementara tuduhan Anwar adalah berasaskan agenda peribadinya sendiri." Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Anwar dihukum penjara lima tahun setelah didapati bersalah kerana meliwat Mohd. Saiful Bukhari. - MediaUMNO |
Penyokong BN Saran Hukum Anggota Parlimen Pembangkang Tidak Hadir Sesi Posted: 11 Mar 2014 01:46 AM PDT KUALA LUMPUR, 11 Mac – Seorang penyokong kerajaan mencadangkan agar semua wakil rakyat pembangkang yang tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat hari ini dihukum dan didenda. Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata langkah itu sebagai memberi pengajaran kepada mereka kerana tidak bersikap profesional dan hanya mementingkan diri. “Ini bukan wakil rakyat mithali. Konon tidak puas hati dengan keputusan mahkamah. Ini umpama marahkan nyamuk kelambu dibakar,” katanya semasa membuat celahan pembentangan usul menjunjung kasih titah diraja oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad (BN-Johor Baharu), di Dewan Rakyat di sini. Semua 89 anggota parlimen pembangkang tidak menghadiri sesi hari ini. Sebelum ini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dilapor meminta semua wakil rakyat pembangkang memboikot sesi Parlimen pada 11 Mac dan sebaliknya turun ke Kajang bagi menyatakan sokongan kepada calon PKR pada hari pencalonan pilihan raya kecil dewan undangan negeri itu. Boikot itu sebagai membantah hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Mahkamah Rayuan terhadap beliau selepas mendapati Anwar bersalah dalam pertuduhan liwat pada Jumaat lepas. Sementara itu, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang turut membuat celahan berkata ketidakhadiran anggota pembangkang tersebut satu pemerkosaan demokrasi kerana tidak mengendahkan mandat yang diberi oleh rakyat. “Kalau betul mereka boikot sidang hari ini kerana ingin ke Kajang, kita minta rakyat Kajang pula boikot mereka kerana gagal jalan tugas sebagai wakil rakyat yang dipilih,” katanya. Seorang lagi penyokong kerajaan, Mas Ermieyati Samsuddin (BN-Masjid Tanah) terkejut dengan ketidakhadiran anggota parlimen pembangkang dan menyifatkannya “memalukan” serta memberi contoh buruk kepada golongan muda khususnya. “Kalau mereka bagi alasan hadir ke penamaan calon di Kajang, saya ada tadi. Tapi tidak ramai pun mereka di sana. Jadi di manakah mereka sebenarnya? Mungkin masih berselimut,” katanya. Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kes mahkamah tersebut hanya membabitkan Anwar dan individu yang menuduh beliau. “…mengapa perlu boikot sidang? Apa relevannya? Nyata mereka tidak menghormati peraturan dan undang-undang,” kata Anggota Parlimen Tambun itu. Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Mutalib berkata pula tindakan pembangkang itu bukan sahaja tidak menghormati Dewan, tetapi juga tidak sensitif dengan keadaan semasa ketika negara ditimpa musibah kehilangan pesawat MH370. Bagaimanapun kata Anggota Parlimen Maran itu ketiadaan anggota parlimen pembangkang memberi peluang kepada lebih ramai penyokong kerajaan mengemukakan soalan dalam sesi soal jawab lisan, terutama apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri hadir bagi menjawab soalan yang dikemukakan kepada beliau. Dalam sesi itu pembangkang sepatutnya mengemukakan empat soalan kepada kementerian yang berkaitan termasuk oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) yang bertanyakan tentang Pelan Perdamaian Kebangsaan kepada Perdana Menteri. |
Polis Kenal Pasti Warga Iran Guna Pasport Palsu Naik Pesawat MH370 Posted: 11 Mar 2014 01:30 AM PDT SEPANG, 11 Mac - Polis mengenal pasti warganegara Iran, Pouria Nour Mohd Mehdad, 19, sebagai seorang daripada dua penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 menggunakan pasport palsu. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki itu menggunakan pasport warga Austria yang sebelum ini dilapor hilang di Thailand oleh pemiliknya. Lelaki warga Iran ini dipercayai akan berpindah ke Jerman dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas, katanya dalam sidang media, di sini hari ini. Khalid berkata identiti seorang lagi penumpang yang menggunakan passport warga Itali masih disiasat. Polis kini menyiasat latar belakang semua 239 orang yang menaiki pesawat tersebut dan siasatan diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Abdul Hadi Ho Abdullah, katanya. Menurut Khalid siasatan menyentuh empat aspek iaitu pesawat itu dirampas, disabotaj, keadaan psikologi penumpang dan masalah peribadi antara penumpang pesawat. Penerbangan MH370 yang dikendalikan oleh pesawat Boeing 777-200 dari Kuala Lumpur ke Beijing dilapor hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi Sabtu. Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal, sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Media kemudian melaporkan dua daripada penumpang MH370 didapati menggunakan pasport palsu. Kedua-dua pasport itu sebelum ini dilapor hilang di Thailand, setelah kedua-dua pemiliknya disahkan masih hidup dan tidak menaiki pesawat tersebut. |
Pemuda BN Isytihar Perang Habis-habisan… Tolak Calon Boneka Anwar Posted: 11 Mar 2014 12:44 AM PDT KAJANG, 11 Mac – Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin hari ini mengajak jentera Pemuda BN untuk mengempur habis-habisan kawasan pilihan raya DUN Kajang khususnya menemui kira-kira 14,000 pengundi muda menjelang 23 Mac ini. Tambahnya, kekuatan jentera Pemuda telah dibuktikan pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Kajang di Komplek Sukan Majlis Perbandaran Kajang, Bandar Baru Bangi, yang mana kekuatan dan gerak kerja Pemuda BN jauh lebih hebat berbanding jentera pakatan pembangkang “Pilihan Raya Kecil Kajang ini, kita menampilkan satu pasukan baru iaitu Briged Kesatria Muda yang akan menjadi barisan hadapan Pemuda BN untuk mengempur DUN Kajang bermula hari ini sehingga ke hari pengundian, 23 Mac ini. “PRK Kajang ini merupakan satu medan perang, perang yang bukan dicipta oleh Barisan Nasional sebaliknya perang yang dicipta oleh PKR dan Anwar Ibrahim sendiri semata-mata untuk memenuhi nafsu peribadinya untuk menjadi Menteri Besar Selangor. “Perang ini dicipta Anwar Ibrahim dan PKR yang telah mengkhiati amanah rakyat khususnya pengundi di DUN Kajang, 9 bulan ketika Pilihan Raya Umum ke 13 yang lalu,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pelancaran Pemuda BN di sini, hari ini. Jelas beliau lagi Pemuda BN akan digerakkan untuk mencipta sejarah untuk mengajak rakyat dan pengundi DUN Kajang untuk menolak manusia rakus bernama Anwar Ibrahim yang sering menjadikan rakyat sebagai benteng dan alat untuk memenuhi kepentingan peribadinya. “Manusia rakus ini nak sangat nak jadi Menteri Besar Selangor, sehingga memaksa terjadinya PRK di DUN Kajang ini. Tanggungjawab dan peranan Pemuda BN ialah menemui 14,000 pengundi muda, yakinkan mereka dengan dasar kerajaan BN selain mengajak mereka untuk mengelak dari dijadikan mangsa kepada kerasukan Anwar Ibrahim. “Jangan terperangkap dengan perancangan mereka, dengan meletak calon Wan Aziziah yang juga isteri kepada Anwar Ibrahim, beliau hanyalah boneka kepada dalang sebenar kerosakan politik tanahair ini, Anwar Ibrahim. Ini medan perang yang mereka pilih, walaupun bagaimana sengit sekalipun persaingan yang akan ditempuh, Pemuda BN pantang beruntur, kita takkan benarkan Anwar Ibrahim khianati amanah yang diberikan rakyat,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia. -MediaUMNO |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment