CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


[TERKINI] Dr. Juanda AKAN undi BN PRU13 kerana konsisten tegakkan Islam

Posted: 22 Apr 2013 08:20 PM PDT


KUALA LUMPUR 23 April - Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang sebelum ini dikaitkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi secara terbuka mengaku telah mengundi Barisan Nasional (BN) dan akan terus mengundi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Katanya, BN secara konsisten memperjuangkan Islam termasuk perundangan syariah di negara ini.
Tegas beliau lagi, Pas walaupun mengaku memperjuangkan Islam tetapi tidak mempunyai rekod kejayaan untuk dibuktikan.

Sebaliknya, ujar beliau, kerajaan BN yang selalu dimomokkan sebagai tidak tahu agama oleh pemimpin Pas, telah mengangkat martabat Islam.

"Pada saya undi adalah rahsia. Tapi saya dari dahulu mengundi BN kerana parti inilah yang sebenarnya memperjuangkan Islam.

"Puak sana yang kata nak buat hudud tapi sampai sekarang belum. Rotan apa yang akan digunakan untuk laksana hudud pun belum diputuskan," katanya sinis dalam satu majlis di Flat Sri Melaka di Bandar Tun Razak di sini malam tadi.


Mat Taib: 'Umno sudah buat baik, beri Pas peluang'

Posted: 22 Apr 2013 07:19 PM PDT


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, Pas, Umno dan PKR harus bersatu di bawah satu lambang yang bertunjangkan Islam supaya perpecahan di kalangan umat Melayu-Islam dapat dihentikan segera.

Disebabkan itulah beliau memilih untuk menyertai Pas yang pada hemat beliau sebagai sebuah parti yang boleh menambah baik apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) selama ini ke arah Malaysia yang lebih baik.

"Saya tengok bangsa saya berpecah belah. Pecah belah teruk ini, tidak nampak asasnya untuk bersatu. 

Ramai cerdik pandai, semua menyeru kepada kesatuan.

"Saya juga cuba menyumbangkan sekarang ini, mungkin saya gagal, tak apa.  Tetapi lebih baik saya bercakap dan menyampaikan daripada saya diam. Ini pada saya satu usaha," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Muhammad, yang juga bekas Naib Presiden Umno dan bekas menteri Kabinet, semalam menyerahkan borang menyertai Pas sekali gus menjawab desas-desus seorang menteri besar akan menyertai Pas dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Sinar Harian, Muhammad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib berkata, hanya dengan penyatuan, Pas, Umno dan PKR, syiar Islam dapat dikembangkan dan kepimpinan berteraskan al-Quran dapat diterjemahkan.

"Itu saya kata, kalau kita serius hendak menzahirkan kepimpinan Islam yang bersatu, kita kena menguatkan kepimpinan Islam," tegas Mat Taib.

Oleh itu katanya, beliau memilih menyertai Pas bagi tujuan penyatuan itu.

"Kalau di sini carca marba punya cara, sambutan merdeka pun boleh menari pakai seluar dalam pun nampak, saya lebih berminat kalau sambutan merdeka, sambutan ini baca doa. Sekarang ini pun radio Ikim, ratingnya tinggi. Minat orang sudah ada ke situ," katanya.

Ditanya adakah hasrat beliau itu diajukan kepada Umno, Mat Taib berkata, "saya tengok kumpulan yang berminat dalam bidang ini ialah Pas" dan tambahnya "saya tidak mahu serang Umno kerana saya lama dalam Umno."

"Itu tidak adil. Umno sudah buat baik. Saya fikir Pas perlu diberi peluang. Bagi dia peluang," katanya.


Mat Taib: Saya tak pernah kecewa dengan Umno

SHAH ALAM - Menafikan hasratnya menyertai Pas kerana didorong perasaan kecewa, mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, hajatnya untuk menyertai Pas sudah lama wujud.

"Tidak betul itu," jawab beliau dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.

"Saya sudah jumpa Datuk (Seri) Hadi (Awang) setahun lepas di rumah Datuk dengan Mohamad Sabu, dua-dua sekali. (Mereka kata) masuklah-masuklah (Pas)," jelas Muhammad lagi.

Namun ujarnya, beliau mengambil masa yang agak lama untuk memutuskan menyertai Pas kerana mahu menambahkan ilmunya dahulu.

"Saya kata nanti dulu, saya pun tak cukup ilmu saya lagi.

"Jadi saya fikir, semua (Pas, Umno dan PKR) bergabung tapi mesti menggunakan lambang Islam. Kita mati nanti,  kita ditanya balik, anda pasti dengan apa yang anda perjuangkan? Saya amat pasti dengan apa yang saya perjuangkan sekarang," kataya.

Muhammad atau lebih mesra dengan panggilan Mat Taib menambah, kini beliau yakin perjuangannya pada hari ini adalah perjuangan yang sebenar-benarnya demi agama, bangsa dan negara.

"Saya bukan hendak jawatan, saya tak mahu jawatan. Saya tak mahu bertanding sebab itu kita umumkan dua hari selepas penamaan calon," ujar beliau.

[HATI KOTOR] Nizar gelar Zambry 'HARAM JADAH"

Posted: 22 Apr 2013 06:33 PM PDT


KUALA KANGSAR, 22 April (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan tindakan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menggelarnya "haram jadah" sebagai tidak bermaruah sebagai seorang Islam.

Beliau berkata perkataan kotor seperti itu hanya akan keluar daripada seseorang yang berhati kotor.

"Saya tak sanggup (keluarkan perkataan kotor sebegitu) untuk anak-anak saya dengar. Inikah wajah ahli politik yang kononnya memperjuangkan rakyat atas nama agama.

"Apakah agama Islam (membenarkan) menemplak, mencaci dan menghina orang," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Manifesto BN Perak bagi pilihan raya umum ke-13 di sini, hari ini.

Calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering itu dalam ceramahnya di Kampung Batu Sembilan, dekat Changkat Jering, semalam dilaporkan menggelarkan Zambry "haram jadah" dan mendakwa kononnya Pengerusi BN negeri itu memberi tanah kepada syarikat kroni dan orang tertentu.

Sebelum ini, Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming, didakwa pernah menggelar Zambry sebagai ''hitam metalik''.

-- BERNAMA

[Ex-Timb. Wanita UMNO] Kamilia Kata Beliau TIDAK DITAWARKAN Kerusi bagi PRU13

Posted: 22 Apr 2013 05:11 AM PDT



Posting Facebook beliau menyatakan :
"Datuk Kamilia Ibrahim tidak ditawarkan mana-mana kerusi untuk bertanding dalam PRU13. Beliau menerima keputusan UMNO beliau tidak diperlukan. Beliau mengucapkan terima kasih kepada UMNO kerana memberi peluang untuk berkhidmat kepada parti selama 30 tahun.

Beliau membuat keputusan untuk berhenti sebagai ahli UMNO dan bertanding sebagai calon bebas untuk terus mempelopori suara wanita dan rakyat Kuala Kangsar.

Kita hanya boleh merancang, Allah yang menentukan. Tiba masanya untuk membuka BUKU baru.

Salam ukhuwah."

[CALON BEBAS] Tim. Setiausaha PKR Pahang RAYU JANGAN UNDI BELIAU

Posted: 22 Apr 2013 03:52 AM PDT

Kamarzaman (tengah) bersama Fauzi (kanan) dan Arman dalam sidang media khas mengumumkan keputusannya menarik diri dalam persaingan calon kerusi Dun Lepar.

KUANTAN - Timbalan Setiausaha PKR Negeri, Kamarzaman Mohd Yunus, yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dun Lepar membuat pengumuman memeranjatkan apabila meminta pengundi supaya tidak memilih beliau, sebaliknya mengundi calon PKR, Jefri Jaafar Tukemin.

Menurutnya, keputusan beliau untuk bertanding atas tiket Bebas merupakan satu strategi menghadapi kemungkinan jika calon PKR dipilih menghadapi kesulitan atau halangan semasa proses penamaan calon.

Beliau, bagaimanapun, tidak mendedahkan halangan dihadapi calon PKR itu, sebaliknya memberitahu ia bersifat peribadi.

"Tujuan saya menyerahkan borang pencalonan sebagai calon Bebas semalam (kelmarin) atas faktor menyelamat dan bukan untuk sabotaj calon tersebut.

"Perkara ini jelas dan berlaku atas arahan kepimpinan parti bagi memastikan semua calon PKR layak bertanding," katanya pada sidang media di pejabat PKR negeri, semalam.

Kamarzaman berkata, apabila calon PKR disah layak bertanding, beliau dengan rela hati menarik diri daripada persaingan di kerusi itu dan akan beri sokongan kepada calon tersebut.

"Disebabkan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak benar calon menarik diri selepas pencalonan disahkan, kertas undi atas nama saya tetap diedar pada hari mengundi, justeru saya minta pengundi abaikannya dan beri undi calon PKR sahaja.

"Sebenarnya selepas pengumuman calon semalam, saya ke pejabat SPR untuk serah surat penarikan pencalonan itu. Bagaimanapun, seperti yang ditetapkan, kertas undi saya tetap diedarkan," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu atas kepentingan dan menjaga nama baik parti dan bukan kerana kecewa seperti yang difikirkan sesetengah pihak.

"Saya mungkin calon pertama hilang wang deposit, namun semua itu tidak penting. Kemenangan parti lebih diutamakan," katanya.

Menurutnya, beliau akan turun padang membantu calon PKR termasuk calon Parlimen Paya Besar, Murnie Hidayah Anuar.

"Saya akan bantu calon ini. bagaimanapun, tumpuan untuk kerusi Parlimen Indera Mahkota yang jadi medan pertarungan Pengerusi PKR Negeri, Datuk Fauzi Abdul Rahman dengan Ketua Umno Kuantan, Datuk Wan Adnan Wan Mamat," katanya.

Pada sidang media sama, Fauzi berkata, tidak timbul isu Kamarzaman berdepan tindakan dipecat daripada PKR kerana tindakannya sebahagian strategi demi kepentingan parti.

Dalam majlis itu, Fauzi mengumumkan jawatan Ketua Cabang PKR Paya Besar yang kosong berikutan pemecatan Zahari Mamat yang bertanding sebagai calon Bebas dipangku muka baru, Arman Abdul Rashid.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...