Gelombang Rakyat

Gelombang Rakyat


AL FATIHAH - SENARAI NAMA PEJUANG TERKORBAN DI SEMPORNA.

Posted: 04 Mar 2013 12:21 AM PST



Jenazah dua pegawai dan empat anggota polis yang terkorban dalam kejadian tembakan di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna kelmarin, akan dihantar balik ke kampung masing-masing hari ini.

"Jenazah akan diterbangkan bermula pukul 1 petang ini dari Lapangan Terbang Tawau," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pada taklimat media di Felda Sahabat, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu, pagi ini.

Mereka yang terkorban ialah :-

  1. Supt Ibrahim Lebar dari Bukit Aman 
  2. ASP Michael Fadil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna
  3. Sarjan Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah
  4. Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau
  5. Kpl Salam Tongiran (IPD Tawau) 
  6. L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau)

 
Hamza berkata senarai penuh nama pegawai dan anggota yang terkorban akan dipapar pada laman sesawang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua mereka terkorban selepas diserang hendap ketika melakukan siasatan di kampung itu susulan maklumat mengatakan ada kumpulan bersenjata bersembunyi di situ.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, enam lelaki daripada kumpulan penceroboh bersenjata tersebut turut maut.  

Menurut Hamza, polis masih melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Beliau turut menegaskan keadaan keselamatan di  Lahad Datu, Semporna dan Kunak adalah keadaan terkawal.

Mengenai kerjasama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hamza berkata polis hanya menggunakan aspek teknikal ATM dalam operasi kawalan keselamatan itu.


SYARAT RUNDING - SULTAN SULU TUNTUT NEGERI SABAH..!!

Posted: 03 Mar 2013 06:38 PM PST



Insiden keganasan di Sabah yang telah menyebabkan 22 kematian hanya akan tamat secara aman sekiranya Manila bersetuju dengan tuntutan pengikut Kiram yang mendakwa negeri utara Borneo itu adalah milik keturunan Sultan Sulu.

Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III berkata kepada Philippine Daily Inquirer/ beliau masih lagi membuka pintu rundingan dengan pentadbiran Aquino walaupun kerajaan Filipina itu menyebelahi kerajaan Malaysia.

"Rundingan masih belum terlambat kerana saya mengatakan semuanya masih terbuka," kata Jamalul dipetik media Filipina di kediamannya di sana petang semalam.

Jamalul yang mendakwa beliau merupakan keturunan diraja Sulu yang memiliki negeri Borneo itu dilaporkan berkata keluarganya hanya menuntut tanah mereka di Sabah.

Adik kepada Jamalul, Agbimuddin Kiram, dilaporkan mengetuai sekumpulan lelaki bersenjata sekitar 100 hingga 200 orang telah menceroboh Lahad Datu, Sabah, pada 9 Februari dan berakhir dengan pertempuran dengan pihak berkuasa Malaysia di tiga kawasan.

Portal Borneo Insider pula dilaporkan berkata Agbimuddin pernah berkhidmat sebagai pembantu Pegawai Daerah Kudat ketika Tun Mustapha Harun menjadi Ketua Menteri Sabah.

Jamalul berkata kepada pemberita beliau pelik kenapa Filipina menyebelahi Malaysia.

"Kenapa tidak menyokong kami? Kami rakyat Filipina tetapi mereka menyokong Malaysia," katanya.

Dia dilaporkan berkata penyokongnya menyeludup ke Sabah hanya mahukan penyelesaian terhadap tanah yang didakwa menjadi milik mereka.

"Ini bukan bahan jenaka. Ini masalah besar," katanya kepada pemberita.

Jamalul berkata lagi bangsa Tausugs dan Filipina juga sedia mati untuk tujuan itu.

Sementara itu, anak perempuan Kiram, Jacel Kiram, dilaporkan berkata keluarganya mahu berjumpa dengan wakil dari Presiden Filipina, Presiden Benigno Aquino III, yang menjadi jurucakap kerajaan.

"Jika mereka serius, mereka patut duduk dan berbincang dengan kami tanpa melalui orang tengah.

"Ini isu nasional, malah isu antarabangsa. Kenapa tidak kerajaan berjumpa kami?," katanya.

Jacel turut menadikan laporan Filipina bahawa pentadbiran Aquino telah menghantar wakil untuk berbincang dengan keluarga berkenaan dan mereka bercakap dengan Mujiv Hataman, yang menjadi pegawai bertugas dalam Wilayah Autonomi Muslim Mindanao.

Dia turut menggesa pengikut keluarga berkenaan untuk bertenang dan tidak melepaskan kemarahan mereka kepada kerajaan Malaysia yang menganggap mereka di Sabah sebagai "musuh".

Dia turut mengingatkan Muslim Filipina bahawa rakyat Malaysia di negara berkenaan juga bukan musuh.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...