CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


KPN: Polis percaya masih ada musuh bersembunyi di Kampung Tanduo

Posted: 05 Mar 2013 03:03 AM PST

TAWAU: Anggota Polis membuat pemeriksaan dan mengawal ketat di jalan masuk ke Bandar Tawau, Sabah, Selasa
LAHAD DATU - Polis masih menjalankan operasi susulan dan penggeledahan di Kampung Tanduo, Lahad Datu kerana percaya masih ada musuh di kawasan seluas empat kilometer persegi itu.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata tindakan susulan selepas serangan ofensif terhadap kumpulan pengganas itu dijalankan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota polis dan tentera.
 
"Saya tidak mahu melihat anggota pasukan keselamatan menjadi mangsa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
 
Pasukan keselamatan terdiri daripada polis dan tentera melakukan serangan ofensif terhadap pengganas dari Sulu di Kampung Tanduo pada pukul 7 pagi.
 
Sementara itu, Ismail menafikan laporan media Filipina yang mendakwa kumpulan daripada keluarga Kiram menemui mayat anggota pasukan keselamatan Malaysia dan dakwaan keluarga itu bahawa mayat penceroboh diperlakukan tanpa perikemanusiaan.
 
"(Kenyataan) itu tidak tepat sama sekali. Saya dukacita dengan laporan itu, sepatutnya mereka merujuk kepada pihak rasmi," katanya.
 
Beliau berkata laporan seumpama itu adalah satu dakyah yang boleh menggugat ketenteraman awam di Sabah.

Tiada Anggota Keselamatan Cedera Dalam Serangan Ofensif Lahad Datu - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tiada anggota keselamatan yang terbunuh atau cedera dalam serangan ofensif terhadap pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah awal Selasa.

"Alhamdulillah jelas tiada kecederaan langsung (di pihak anggota keselamatan).

"Tapi dalam konteks pihak musuh, itu kita kena tunggu kerana sekarang ini masih dalam operasi," katanya pada sidang media bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Lahad Datu pada Selasa.

Tinjauan Bernama di pekan Chenderawasih yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Felda Sahabat 16 tengah hari Selasa mendapati beberapa ambulans bergerak di sekitar kawasan itu.

Selepas serangan ofensif pada pukul 7 pagi ini, sekitar kawasan itu kini tenang dan terdapat banyak sekatan jalan raya di sepanjang jalan ke pekan dan menuju ke Kampung Tanduo.

Bagaimanapun, bunyi deruan helikopter masih kedengaran di ruang udara kawasan itu dan di perairan pula kelihatan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membuat rondaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pasukan tentera menggunakan tiga jet pejuang F18 dan lima Hawk dalam serangan ofensif terhadap perkampungan yang menjadi kawasan pihak penceroboh.

Beliau berkata, inilah adalah kali pertama operasi bersama antara ATM dan PDRM dan pihaknya sedang menjalankan usaha untuk menambah kekuatan anggota di kawasan itu.

"Apa yang ingin kami khabarkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kepercayaan yang diberi kepada ATM untuk lakukan operasi sebaik ini dan untuk pertahankan negara telah memberi keberhasilan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) akanmemberikan bantuan kemanusiaan, antaranya keperluan bekalan makanan kepada penduduk di Kampung Tanduo bagi memastikan mereka tidak menghadapi kesulitan.

Beliau berkata, hubungan antara Malaysia dan Filipina tidak terjejas berikutan insiden itu kerana ia hanya membabitkan sekelompok rakyat Filipina yang tidak mendapat restu daripada kerajaan negara itu.

"Apa yang penting hubungan yang baik antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina tetap dipertahankan," katanya.

Sementara itu, orang ramai boleh menghubungi Hotline di Ibu Pejabat PolisKontinjen Sabah melalui talian 088-318555, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu (089-881255) atau IPD Semporna (089-782020) untuk sebarang pertanyaan.

Fakta Kesultanan Sulu

Posted: 04 Mar 2013 07:10 PM PST

Jamalul Kiram III
KESULTANAN Sulu adalah sistem monarki tradisional Islam orang-orang Tausug yang meliputi wilayah Basilan, Palawan, Sulu dan Tawi-Tawi di Filipina iaitu Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan bahagian timur Sabah.

Ia diasaskan pada tahun 1457 oleh ulamak bernama Sharif Abu Bakar, yang menyandang gelaran Sultan Shariful Hashim selepas mengahwini Paramisuli iaitu seorang puteri tempatan.

Beliau kemudiannya memperkenalkan Kod Undang-undang Sulu (Diwan) pertama berdasarkan
al-Quran, dan memperkenalkan institusi politik Islam serta penyatuan Islam sebagai agama rasmi negara.

Pada 1675, setelah tentera Sulu berjaya menyelesaikan perang saudara di Brunei, Sultan Sulu dihadiahkan dengan Borneo Utara (kini timur Sabah).

Bagaimanapun pada 1878, Sultan Sulu memajak Borneo Utara kepada Eropah.

Perjanjian itu menyatakan bahawa pajakan adalah kehendak sendiri dan ia sah sehingga akhir zaman.

Kesultanan Sulu kemudiannya berada di bawah kawalan Sepanyol tetapi pada 1885 mereka menandatangani Protokol Madrid dengan Britain dan Jerman bagi melepaskan apa-apa tuntutan ke atas Borneo Utara.

Kesultanan Sulu menerima pembayaran serahan tahunan bersamaan dengan 5,000 dolar Malaya, yang kemudiannya meningkat kepada 5,300 dolar Malaya pada 1903.

Kesultanan itu berakhir apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915, di mana dia menyerahkan semua kuasa politik kepada Amerika Syarikat.

Filipina, bagaimanapun terus mengiktiraf Kesultanan Sulu sebagai sebuah entiti berdaulat sehingga kematian Sultan Mohd Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.

Borneo Utara berada di bawah naungan British dari akhir abad ke-19.

Kawasan berkenaan mendapat tempoh singkat kemerdekaan sebelum menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Sejak itu Malaysia membayar RM5,300 sebagai bayaran serahan setiap tahun kepada Kesultanan Sulu.

Keturunan bekas Sultan Sulu tidak merebut kembali wilayah berkenaan, sebaliknya bersetuju untuk menerima pembayaran serahan berdasarkan perkiraan sebelumnya.

Keadaan ini berlanjutan sehingga beberapa minggu yang lalu.

Kini terdapat sekurang-kurangnya 11 pihak menuntut gelaran Sultan Sulu, termasuk Sultan Jamalul Kiram III

[BUSUK] Penduduk PINDAHKAN Mayat Penceroboh TERBIAR

Posted: 04 Mar 2013 06:36 AM PST

Penduduk kampung mengusung mayat salah seorang penceroboh yang ditembak mati untuk dibawa keluar dari Kampung Seri Jaya, Simunul di sini, Isnin. Dalam kejadian Sabtu lepas enam anggota polis maut dan enam anggota kumpulan bersenjata turut terbunuh. -fotoBERNAMA

SEMPORNA: Kira-kira 30 penduduk Kampung Simunul mengambil inisiatif mengangkat tiga mayat penceroboh dari kampung itu untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.

Ketua kampung, Ramli Saraman berkata tindakan mengangkat mayat itu dilakukan bagi mengelak bau busuk berterusan yang terpaksa dihadapi para penduduk sejak semalam.

Sabtu lepas, enam anggota pasukan keselamatan negara terkorban dalam insiden berbalas tembakan yang turut mengorbankan tiga penceroboh.


Dalam pada itu, Ramli turut menasihati penduduk di situ agar tidak mempercayai khabar angin yang
disebarkan pihak tidak bertanggungjawab kerana ia dapat mengeruhkan keadaan.

"Saya diberitahu penduduk, mereka mengatakan pihak penceroboh akan membalas dendam dengan membakar kampung ini (Kampung Simunul) jadi saya beritahu mereka jangan cepat percaya berita sebegitu, kerana saya sentiasa berhubung dengan pihak polis," katanya.


Ramli yang menjadi ketua kampung itu sejak tujuh tahun lepas, berkata tiada paksaan untuk penduduk kampung meninggalkan kediaman mereka, kerana ia merupakan hak individu.

Beliau optimis pasukan keselamatan negara mampu mengawal keadaan, dan menambah, keadaan kampung kembali tenang namun masih diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di bawah pengawasan polis.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...