CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


[KECOH] Ketua Pas Caw. Guchil TAWAR DIRI Untuk LAWAN Calon PKR di DUN Guchil

Posted: 24 Mar 2013 04:02 PM PDT


KOTA BAHARU: Tindakan seorang anggota PAS yang mahu menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil adalah tindakan yang boleh memecahbelahkan pembangkang, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik Abdul Aziz nyata kecewa dengan tindakan Ketua PAS cawangan Guchil Hulu, Kuala Krai, Muhamad Bustaman Yaacob yang mahu bertanding menentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), di samping calon Barisan Nasional (BN) di DUN itu.

"Kalau orang sini tanding Bebas, DAP jugak akan tanding Bebas kalau dia tak setuju bagi kerusi kepada orang PAS. Kawasan yang diberi kepada PAS tapi DAP tak setuju maka dia bertanding Bebas. Tak jahanam habis.

"Kerusi bagi kepada PAS tapi DAP tak setuju. Apa erti kita berjemaah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pulau Melaka di sini.

Akhbar Sinar Harian pada Ahad melaporkan tindakan Muhamad Bustaman itu kerana tidak puas hati dengan ADUN Guchil ketika ini, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria yang dikatakan gagal menepati semangat Pakatan Rakyat.

Muhamad Bustaman dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas ramai anggota PAS di peringkat akar umbi yang mahukan dia bertanding dalam situasi di DUN itu ketika ini.

Tindakan Muhamad Bustaman itu dilihat sebagai pergolakan gabungan itu terutama di Kelantan yang kini kian serius sehingga PAS dilaporkan akan melakukan Bai'ah (aku janji) agar penyokong parti itu tidak berpaling tadah untuk mengundi selain calon PAS, PKR dan DAP.

Pada pilihan raya umum 2008, Tuan Zamri Ariff menang di DUN Guchil apabila menewaskan calon BN Dr Shamsul Ikhwan Ashaari Azmi dengan majoriti 1,000 undi.

DUN Guchil merupakan satu-satunya kerusi yang dimenangi PKR di Kelantan daripada keseluruhan 45 kerusi DUN.

Sementara itu Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta Minda Pondok yang dianggotai seramai 18 guru pondok di Kelantan yang mendakwa menjadi satu dosa bagi umat Islam mengundi PAS pada pilihan raya umum akan datang, supaya memberi dalil dan hujah yang bernas.

"Saya pun boleh kata jugak haram sokong Umno, wajib sokong PAS. Cakap boleh tapi biar ada hujah. Kalau cakap depan Allah hujah yang boleh diterima," katanya.

Semalam Minda Pondok itu mendakwa adalah berdosa bagi umat Islam memberi undi kepada PAS pada pilihan raya umum itu kerana konsep 'tahaluf siyasi' (muafakat politik) antara PKR dan DAP tidak berpaksikan kepada kehendak Islam terutama dalam perkara membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Anak potong kemaluan bapa sebelum potong kemaluan sendiri

Posted: 24 Mar 2013 05:13 AM PDT


DUNGUN - Akibat terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajari menerusi internet, seorang anak sanggup memotong kemaluan bapanya sebelum bertindak memotong kemaluannya sendiri di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, di sini awal hari ini.
   
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di ibu negara turut bertindak memaksa abang iparnya memotong kemaluan sendiri namun lelaki tersebut berjaya melarikan diri.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata, suspek yang menetap di Balakong, Selangor pada mulanya pulang untuk bercuti bersama keluarganya di kampung sejak minggu lepas.
   
Namun selepas lima hari bercuti di kampung, suspek mengambil keputusan menghubungi ahli keluarganya yang lain untuk berkumpul di rumah tersebut bagi menyampaikan 'amanat' yang mustahak.
   
"Ketika sebahagian ahli keluarga berkumpul sejak petang semalam, suspek mula berkongsi dan berceramah mengenai ajaran sesat yang dipelajarinya dengan mengatakan dunia akan kiamat pada Jumaat.
  
Bagaimanapun suspek tidak memberikan tarikh sebenar hari kiamat seperti yang didakwa berlaku.
   
"Suspek kemudiannya secara tiba-tiba bertindak agresif dengan merotan dan memukul bapanya bagi membuatkan warga emas itu menangis untuk 'mengeluarkan semangat Imam Nawawi' daripada badan bapanya, namun gagal," kata Manoharan ketika ditemui di pejabatnya di sini.
   
Manoharan berkata setelah gagal membuatkan bapa menangis, suspek meminta sebilah pisau dari abang iparnya sebelum meluru masuk ke bilik tidur bapanya dan bertindak memotong kemaluan bapanya sebelum memotong kemaluannya sendiri.
   
Akibat kejadian itu, suspek dan mangsa yang berusia 67 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat mengalami pendarahan yang banyak.
   
Beliau berkata suspek dan mangsa kini masih berada dalam keadaan kritikal dan pihak hospital sedang berusaha untuk menyambung semula kemaluan dua beranak itu yang terputus.
   
"Justeru, kita percaya suspek terpengaruh dengan ilmu sesat yang dipelajari menerusi internet hasil siasatan yang dijalankan," katanya.
 
Kes disiasat di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
   
Sementara itu, isteri suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Suzi, 33, berkata suaminya mula menunjukkan perubahan sejak dua bulan lalu.
   
Namun beliau tidak mengsyaki sesuatu yang pelik dan hanya menyangka suaminya ingin berubah dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
   
"Suami telah balik ke kampung sejak lima hari lalu dan dia ada mengajak saya pulang namun saya kata tidak dapat pulang bersamanya kerana anak masih bersekolah.
   
"Saya tiba di kampung suami kira-kira pukul 5 pagi tadi dan terkejut ketika sampai ahli keluarga menyuruh segera ke Hospital Dungun sebelum mendapati suami dan ayah mertua saya cedera," katanya ketika ditemui di hospital.

Ahad 24 Mac [Sabah diceroboh]: 4 mayat rakyat asing ditemui, seorang askar cedera

Posted: 24 Mar 2013 05:01 AM PDT


Tan Sri Datuk Zulkifeli Mohd Zin bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (kanan) ketika mengadakan sidang media di Lahad Datu, hari ini

LAHAD DATU -  Empat mayat dipercayai rakyat asing ditemui di dalam sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu selepas pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas militan semasa operasi penggeledahan di kampung itu, hari ini.
Pertempuran pada pukul 9.15 pagi itu turut menyebabkan seorang anggota tentera cedera di paha kanan akibat terkena tembakan musuh, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Beliau berkata, insiden itu berlaku selepas pasukan keselamatan menjejaki dua musuh yang memasuki sebuah rumah berhampiran dan berlaku tembak menembak sehingga mencederakan anggota itu.
"Berlaku beberapa minit pertempuran di situ, dan semasa pertempuran pasukan keselamatan mendapati seorang musuh telah lari dari rumah itu menghala ke sebuah rumah di sebelah sebelum bertindak membakar rumah berkenaan.
"Pasukan keselamatan kemudiannya melepaskan tembakan bagi membersihkan rumah yang mula-mula dimasuki dua pengganas itu sebelum memasukinya dan menjumpai empat orang mati ditembak," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16 di sini hari ini.
Zulkifeli berkata, mayat itu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan. Tiada pengenalan diri ditemui.
Beliau berkata, hasil penggeledahan, pasukan keselamatan menemui seorang lagi kanak-kanak lelaki yang cedera, juga tiada pengenalan diri dan dia diterbangkan ke Hospital Sandakan untuk rawatan.
Pasukan keselamatan turut menemui sejumlah bekalan makanan yang dipercayai dikumpul di rumah berkenaan, katanya.
Zulkifeli berkata, kesemua mayat itu dibawa keluar dari lokasi pertempuran, menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dikeluarkan sehingga kini 42.
Beliau berkata, militan pengganas yang semakin terdesak kini bergerak dalam kumpulan kecil dan mengaplikasikan 'Small Unit Tactic', iaitu cuba mendatangkan seberapa banyak mungkin kecederaan kepada pasukan keselamatan yang menjejaki pergerakan mereka.
"Daripada pertempuran yang dialami, kami dapati Modus Operandi musuh ialah apabila bertempur mereka akan membawa pasukan keselamatan ke satu kawasan di mana penembak tepat mereka dapat melepaskan tembakan.
"Selepas bertempur di situ, mereka kemudiannya berundur dan memasuki kawasan rumah yang telah dikenal pasti untuk bertahan dan bertempur semula sebelum bertindak membakar rumah itu dan rumah berdekatan sekiranya tidak lagi mampu bertahan," katanya.
Beliau berkata, taktik melengahkan pergerakan anggota keselamatan itu diteruskan dengan militan berundur ke kawasan paya berdekatan yang telah dikenal pasti sebelum menggempur pasukan keselamatan yang menghampirinya.
Zulkifeli yang yakin semua penembak tepat musuh berjaya ditembak mati dalam pertempuran sebelum 20 Mac, berkata taktik yang diguna musuh sekarang ini memerlukan pasukan keselamatan lebih berhati-hati.
"Sejak pertempuran pada 20 Mac pasukan keselamatan tidak lagi mendapat tentangan daripada penembak tepat musuh dan kami yakin kumpulan 'sniper' pengganas telah dapat ditewaskan kerana kebelakangan ini tidak ada lagi ancaman daripada kumpulan penembak tepat itu," katanya
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...