UMNO Online - “Kerjasama Pembangkang Bersifat Sementara – Tun Mahathir” plus 9 more

UMNO Online - “Kerjasama Pembangkang Bersifat Sementara – Tun Mahathir” plus 9 more

Link to UMNO Online

Kerjasama Pembangkang Bersifat Sementara – Tun Mahathir

Posted: 02 Nov 2012 05:28 AM PDT

KHARTOUM (Sudan), 2 Nov -  Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerjasama pakatan pembangkang bersifat sementara dan sekadar mahu memenangi pilihan raya umum.

Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kerjasama yang rapat selama 55 tahun dan persefahaman, beliau berkata dalam pakatan pembangkang itu sendiri sebenarnya tiada persetujuan dan tiada perancangan masa depan.

“Kita harus ingat pakatan bukan gabungan. Pakatan adalah perjanjian secara tidak bertulis yang mahu bekerjasama melawan BN, itu sahaja,” katanya mengingatkan sesetengah pihak yang dilaporkan berhasrat memberi peluang kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang kerana menganggap mereka seperti “BN”.

Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas menyampaikan syarahan umum kepada kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada pelajar universiti, ahli akademik dan ahli korporat serata Sudan pada Khamis, Dr Mahathir berkata pembangkang tidak mempunyai agenda pembangunan negara, jauh sekali mahu menjaga kepentingan rakyat.

“Yang dijanji nak naik 20 peratus royalti kepada kerajaan negeri. Jadi, negeri-negeri lain yang tiada minyak akan kerugian dan ini bermakna negeri yang ada minyak sahaja boleh dibangunkan.

“Sekarang ini pun, dengan lima peratus (royalti) yang kita (kerajaan) bayar, mereka begitu kaya sekali, jauh lebih kaya daripada negeri-negeri lain,” kata beliau.

Mengulas mengenai “kabinet bayangan” pakatan pembangkang yang dikatakan masih kabur, Perdana Menteri Malaysia keempat itu berkata ia perkara biasa.

“Mereka mempunyai cita-cita untuk memerintah Malaysia. Justeru itu, mereka perlu bentuk apa yang dipanggil sebagai kabinet bayangan tapi dia bayang sahajalah.

“Mereka sukar untuk memilih pemimpin kerana masing-masing hendak jadi pemimpin. (Ketua Pembangkang Datuk Seri) Anwar Ibrahim ingat dia akan menjadi perdana menteri tetapi orang lain pun ada cita-cita besar juga,” katanya.

Beliau berkata dengan menjanjikan untuk mengadakan 10 hingga 15 jawatan timbalan perdana menteri dalam kabinet bayangan hanyalah sekadar umpan bagi parti-parti pembangkang untuk bekerjasama.

Sebuah akhbar asing baru-baru ini melaporkan kepentingan Anwar dalam kabinet bayangan masih kabur, disebalik telah beberapa kali menyatakan hasratnya itu sejak pilihan raya umum 2008.

Menurut laporan itu, model kabinet bayangan, yang biasanya terdapat di Britain dan Australia, membariskan menteri Kabinet masing-masing dan memainkan peranan untuk mengkritik kerajaan sedia ada dan dasar-dasarnya, dan pada masa yang sama menawarkan cadangan penyelesaian.

Dr Mahathir yang tiba di Khartoum pada Rabu, terdahulu merasmikan Forum Perdagangan dan Pelaburan Malaysia Sudan di sini.

Beliau berlepas ke Oman hari ini.

Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti Hanya ‘Gimik Politik’ – Shahrizat

Posted: 02 Nov 2012 05:25 AM PDT

GEORGE TOWN, 2 Nov – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan langkah kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan rang undang-undang antilompat parti sebagai gimik dan sandiwara politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beliau berkata sebenarnya ia merupakan cubaan Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk menimbulkan sesuatu isu.

“Itu semua gempak politik, sandiwara Guan Eng…dia cari macam-macam isu… nak mempopularkan diri dia sendiri,” katanya selepas melawat rumah ibu tunggal, M. Sithalachemy, 57, di Sungai Ara, dekat sini, Jumaat.

Semalam, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan rang undang-undang ‘Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012′ bertujuan membanteras amalan melompat parti untuk mendapatkan habuan.

Rang undang-undang itu memperuntukkan seseorang anggota dewan yang telah dipilih sebagai calon sesebuah parti politik hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi anggota parti politik tersebut atas apa-apa juga sebab.

Shahrizat berkata tindakan itu juga jelas menunjukkan Lim sudah hilang keyakinan terhadap anggota parti pakatan pembangkang dan pentadbirannya.

“Dia takut orang belah (tinggalkan) parti dia, konco-konco dia lari. Sebab itu dia nak kunci dari sekarang. Saya nak persoalkan nawaitu Guan Eng adakah ini betul-betul proses demokrasi atau dia betul-betul takut habis,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat menggesa semua jentera pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) untuk turun padang membantu rakyat miskin terutamanya di negeri-negeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang.

Beliau berkata maklum balas yang diterimanya menunjukkan ramai golongan miskin dan kurang berkemampuan di negeri-negeri berkenaan tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri.

Katanya, jentera Wanita BN perlu pergi dari rumah ke rumah untuk memberi bantuan kepada golongan berkenaan.

Terdahulu, Shahrizat menyampaikan sumbangan RM1,000 dan barangan keperluan asas kepada Sithalachemy yang menjalani pembedahan akibat masalah urat dua bulan lepas.

Isu Saham Genting Sanyen, Tol Kesas – Rakyat Terus Kena Tipu Pembangkang !!

Posted: 02 Nov 2012 04:06 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Nov –  Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Datuk Mohd Bushro Mat Johor menyifatkan penasihat ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai manusia yang sentiasa “cakap tak serupa bikin, paku dulang paku serpih” kerana membangkitkan isu penjana tenaga bebas (IPP) dan tol lebuh raya, tetapi pada masa sama mereka mempunyai kepentingan dalam syarikat terlibat dalam kedua-dua aktiviti itu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata walaupun kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang sering mengkritik tindakan kerajaan Persekutuan dalam isu IPP dan tol, namun ia masih mempunyai kepentingan dalam IPP generasi pertama, syarikat Genting Sanyen (Malaysia) Sdn Bhd dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

Menurut beliau, sekiranya Anwar benar-benar telus dalam segala perkataan dan perbuatannya, beliau yang kini menjadi penasihat ekonomi kerajaan Selangor sepatutnya memberikan nasihat kepada kerajaan PKR Selangor agar menjual saham sebanyak 25 peratus yang dimiliki oleh kerajaan negeri di dalam syarikat Genting Sanyen dan sebanyak 20 peratus dalam Lebuhraya Kesas.

"Bagi saya, sikap Anwar ini bagaikan pepatah, paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.  Segala tohmahan dan tuduhan Anwar terhadap BN ini merupakan satu teknik dan tektik politik beliau. Apa saja isu yang timbul di Selangor hari ini, beliau sedaya upaya akan cuba menuding jari kepada BN untuk memperlihatkan kepada rakyat, bahawa ini semua adalah salah UMNO dan BN.

"Apa yang jelas, inilah cara permainan politik Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya. Mereka ini sedaya upaya untuk menutup segala kesalahan mereka dengan mencari salah pihak lain. Bukan dalam isu ini saja, tetapi banyak lagi isu lain yang secara terang-terang berlaku akibat kesilapan mereka, tetapi diputar belitkan seolah-olah semuanya adalah kerana kesilapan dan kesalahan BN," ujarnya kepada UMNO Online di sini hari ini.

Jelasnya lagi, jika benar ada berlakunya kesilapan dan kesalahan ketika BN memerintah, Anwar sebagai penasihat ekonomi dan PKR sepatutnya bertindak membetulkan segala kesilapan tersebut, dan bukannya hanya pandai berkata-kata dan berterusan menyalahkan UMNO dan BN tanpa melakukan apa-apa tindakan untuk memperbaiki keadaan.

"Tetapi itulah sikap ketua Pembangkang, yang menjadi cerminan dan ikutan kepada kepimpinan Pakatan Pembangkang yang lain. Mereka lebih gemar mencari salah dan silap orang lain, biarpun kesalahan tersebut berlaku kerana kesilapan mereka sendiri.

"Hari ini di Selangor, kita lihat tidak banyak perubahan yang berlaku. Kerajaan PKR dilihat hanya meneruskan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini. Malah tidak ada sebarang pembaharuan yang dilakukan oleh mereka yang konon-kononnya mendakwa pemerintahan mereka lebih baik dari BN," ujarnya lagi.

Namun, apa yang ketara hari ini menurt beliau ialah sikap berlebihan dalam berpolitik begitu menyerlah di dalam pentadbiran kerajaan PKR di Selangor hari ini, sehingga ia membantutkan segala usaha untuk memberikan kemudahan serta membela nasib rakyat di negeri ini.

"Terlalu banyak isu-isu rakyat yang sepatutnya boleh ditangani, tetapi tertangguh kerana sikap lebih gemar berpolitik kerajaan negeri. Isu loji air di Langat, isu pembinaan UITM di Hulu Selangor dan beberapa isu lain lagi yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat Selangor dari pelbagai sudut, tertangguh akibat sikap suka bermain politik oleh kepimpinan kerajaan negeri.

“Apa yang jelas, kerajaan PKR hari ini hanyalah lebih mementingkan survival politik mereka daripada memikirkan pembangunan dan kemudahan di Selangor untuk manfaat bersama rakyat di negeri ini," akhiri beliau.  -MediaUMNO

Empat Kerusi ‘Selamat’ Untuk Wan Azizah Tandingi Di Selangor

Posted: 02 Nov 2012 03:38 AM PDT

Sememangnya Allah Taala benar-benar telah memberikan petunjuk kepada umat manusia di Malaysia tentang belang sebenar Anwar Ibrahim dan para pemimpin Pakatan Rakyat.

Di tengah-tengah teriakan mereka kononnya, UMNO dan Barisan Nasional mengamalkan polisi kuasa sebagai harta turun temurun, akhirnya yang dibuktikan gila kuasa satu keluarga adalah pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat, terutama sekali Anwar Ibrahim dan ahli-ahli keluarganya.

Ironinya, Anwar kalau berceramah, mulutnya tidak pernah lekang daripada menyebut tentang Najib Abdul Razak. Baginya, Najib Abdul Razak adalah pengamal kronisme dan nepotisme ulung di negara. Dan itulah juga yang diceritakannya kepada sesiapa sahaja yang sudi menadah telinga mendengar cerita bohongnya.

Hakikatnya, yang mengamalkan nepotisme adalah Anwar Ibrahim sendiri. Apa-apa sahaja yang dikatakannya kepada orang lain, sebenarnya merujuk kepada dirinya sendiri.

Siapa yang tidak tahu tentang kedudukan ahli-ahli keluarganya, yang diketuai oleh bapanya dalam beberapa syarikat korporat seperti IOI ketika Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Siapa yang tidak tahu tentang pemilikan puluhan juta saham oleh saudara-saudara lelakinya walaupun sebelum dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, mereka hanyalah kawanan marhein yang salah seorang daripada mereka, tinggal di Taman Melur, Ampang dan terpaksa meminjam duit daripada kawan untuk membeli setin susu buat anak kecilnya.

Namun setelah Anwar Ibrahim mendapat kuasa, secara sekelip mata sahaja, saudara-saudara lelakinya menjadi tersangat kaya. Bahkan, orang di sekelilingnya seperti Kamaruddin Jaafar, Kamaruddin Mohd Nor, Rahim Ghouse dan sebagainya, muncul sebagai pemilik wang yang berjumlah ratusan juta ringgit dalam tempoh satu malam sahaja.

Projek-projek besar termasuklah pembinaan Plaza Rakyat yang masih tidak siap sampai sekarang, KL Central, LRT dan sebagainya, diboloti oleh konco-konco Anwar Ibrahim.

Malangnya, para penyokong Anwar Ibrahim tidak pernah mahu percaya dengan kenyataan berkenaan kerana bagi mereka, Anwar Ibrahim adalah seorang penentang rasuah dan nepotisme serta kronisme yang tulen.

Walhal, dialah kepala penyangak paling besar dan cukup terkenal ketika dia hendak merampas jawatan Timbalan Presiden UMNO dari tangan Allahyarham Tun Abdul Ghaffar Baba dengan DEMAM PINK-FORMnya.

Kalau dengar Anwar Ibrahim mengutuk Rosmah Mansor, tahi telinga yang keras pun boleh bertukar menjadi cair dan meleleh ke dagu. Para penyokongnya turut mengangguk-angguk dan membenarkan apa-apa sahaja yang dikatakan oleh Anwar Ibrahim terhadap Rosmah Mansor.

Malangnya, pada masa yang sama, Rosmah Mansor tidak langsung menunjukkan tanda-tanda atau minat untuk bertanding dalam pilihanraya. Bahkan, dia sekadar menyokong suaminya, Najib Abdul Razak selaku seorang isteri dan tidak lebih daripada itu.

Berbeza pula dengan Wan Azizah Wan Ismail, isteri yang dikahwini oleh Anwar Ibrahim secara sulit dan tidak berwalikan bapanya meskipun Wan Ismail masih hidup sampai ke hari ini. Wan Azizah kerap kali ditonjolkan sebagai seorang isteri solehah yang amat patuh dengan kehendak suaminya. Bahkan Wan Azizah juga dikatakan sebagai ikon seorang muslimah dengan tudung yang menutup rambutnya.

Yang tidak diceritakan ialah, Wan Azizah sama naik dengan lakinya, si peliwat tua itu. Wanita berkenaan telah pun menzahirkan hasratnya untuk bertanding di Selangor.

Hasratnya itu pula disambut baik oleh PKR Selangor menerusi kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie yang dikatakan bakal berpindah ke Bagan Serai, Perak pada PRU13 akan datang.

Menurut Shuhaimi, empat kerusi telah dikenalpasti untuk ditandingi oleh Wan Azizah dan keempat-empat kerusi berkenaan merupakan tempat paling selamat buat Wan Azizah.

Barangkali keempat-empat kerusi yang diperuntukkan oleh Selangor itu sebenarnya adalah untuk SELURUH KELUARGA BESAR ANWAR IBRAHIM, termasuklah dua orang anak perempuannya yang bakal menjadi calon pilihanraya PKR selain Nurul Izzah yang sekarang ini menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Kalau itu dikatakan, kelayakan dan bukan nepotisme, tak tahu lah apa lagi istilah yang terbaik boleh digunapakai. Di sebalik kecaman dan tohmahan dilemparkan kepada para pemimpin UMNO, Allah Taala telah pun membuka satu demi satu aib Anwar Ibrahim dan ahli-ahli keluarganya.

Sampai bila sebenarnya Anwar Ibrahim mahu melawan Allah Taala dengan terus menipu untuk melindungi amalan korupnya?

sel13.com

Bangkai Skandal Lembah Sireh Jauh Lebih Busuk Dari Bangkai Lembu NFC

Posted: 02 Nov 2012 03:33 AM PDT

Lebih kurang seminggu dua kebelakangan ini, Kerajaan Pas Kelantan kelihatannya tak senang duduk, masing-masing semacam kehangatan dan keresahan lebih daripada biasa.

Ramai pemimpin utama negeri bermula dari Exco-Exco hinggalah Timbalan Menteri Besar dan Menteri Besar sendiri yang terpaksa tampil ke depan untuk memperjelaskan isu skandal Lembah Sireh.

Penjelasan yang keluar dari mulut masing-masing ada pelbagai versi, ada yang mengatakan projek tersebut tidak merugikan, projek itu mungkin gagal, ada yang kata cuma kurang berjaya, kononnya pula bermasalah dengan soal tebus guna tanah dan itu ini segala macam aneka alasan.

Satu yang pasti, kesemua mereka sedaya upaya cuba menggambarkan Projek Pembangunan & Pengindahan Tebing Sungai Kelantan (PTSK) di Lembah Sireh, Kota Bharu yang kosnya dianggarkan sekitar RM2 bilion itu bebas daripada skandal, penyelewengan dan salah guna guasa mahupun rasuah.

Hakikatnya projek pembangunan di Lembah Sireh itu sehingga kini hanya 5 peratus saja yang berjaya disiapkan sebagaimana diakui sendiri oleh Exco Kerajaan Pas Kelantan, Takiyuddin Hassan.

Itupun hanya melibatkan projek komersial termasuklah pembinaan sebuah Pasaraya Besar Tesco, lot-lot kedai dan beberapa pembangunan lain yang tidakpun berbaloi dengan nilai tanah seluas 716.8 ekar (286.72 hektar) yang sudah menjadi hakmilik syarikat Liziz Standaco Sdn Bhd.

Manakala pembinaan komponen utama yang membabitkan kepentingan orang ramai seperti Jambatan Baru Palekbang (RM150 juta), sebuah masjid (RM20 juta) dan Stadium Tertutup Wanita (RM25 juta) hingga kini satu pun gagal untuk dibina.

Sedangkan kesemua komponen ini sepatutnya sudah siap sejak tahun 2007 lagi. Mentang-mentanglah kesemua pembinaan komponen di atas tidak menguntungkan poket para kroni maka sengaja diabaikan konon atas alasan harga bahan mentah telah meningkat naik.

Kalau setakat lewat disiapkan boleh tahan lagi, sekurang-kurangnya rakyat tahu tanah seluas 716.8 ekar yang sudah menjadi hakmilik Liziz Standaco itu tidaklah sia-sia kerana projek tetap berjalan.

Masalah sekarang tanah sudah tergadai bertukar milik tapi projek pembangunan sebagai komponen utama yang nilainya hampir setara dengan nilai tanah berharga RM318.29 juta itu waima satu tiang dan batang besi pun tak kelihatan.

Masalah sekarang tanah sudah tergadai bertukar milik tapi projek pembangunan sebagai komponen utama yang nilainya hampir setara dengan nilai tanah berharga RM318.29 juta itu waima satu tiang dan batang besi pun tak kelihatan

Malah Jambatan Berkembar Sultan Yahya Petra yang pada asalnya termasuk dalam komponen tersebut yang patut dibina dan disiapkan oleh kerajaan Pas Kelantan melalui syarikat swasta yang dilantiknya itu pun tak termampu dibuat, akhirnya Kerajaan Pusat juga yang kena tolong binakan.

Bila Kerajaan Pusat dah tolong bina bermakna berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 8 Julai 2003 yang turut dihadiri oleh Nik Aziz selaku MB Kelantan, maka Liziz Standaco sebagai pemaju projek perlu membayar wang sekurang-kurangnya RM90 kepada Kerajaan Negeri. Di manakah wang tersebut itu sekarang?

Satu perkara lagi yang cukup meragukan kenapa tanah yang ditafsirkan bernilai RM318.29 juta itu diberi kebenaran untuk dipindah hak milik kepada syarikat swasta itu, sedangkan sepatutnya ia hanya dilakukan selepas keseluruhan projek pembangunan siap dilaksanakan.

Nilai RM318.29 juta jauh lebih besar dari isu NFC yang diberi pinjaman RM250 juta untuk projek ternak lembu skala besar.

Jika isu NFC begitu kecoh dipersoalkan sedangkan syarikat tersebut tetap wajib membayar pinjaman mengikut jadual, kenapa pula dalam skandal Lembah Sireh yang melebihi angka RM300 juta melibatkan pemindahan hakmilik tanah tanpa mengikut prosedur mahu dibiarkan saja?

Apabila keseluruhan projek Lembah Sireh ini diakui kurang berjaya atau dengan kata mudah telah gagal berjalan mengikut jadual, manakala hakmilik tanah sudah tergadai, maka jelaslah memang wujud unsur penyelewengan ataupun berlaku salahguna kuasa yang serius.

Jika segala jawatankuasa kerja teknikal benar-benar melaksanakan tanggungjawab mereka memantau projek ini sepertimana yang didakwa oleh pemimpin Kerajaan Pas Kelantan, maka sewajarnya tidak akan timbul isu tanah bertukar milik tanpa prosedur dan syarikat swasta itu pula akan patuh membina kesemua komponen yang wajib dibina oleh mereka.

Seseorang mesti mengambil tanggungjawab diatas kegagalan Kerajaan Pas Kelantan memantau perjalanan projek Lembah Sireh ini.

Tanah hakmilik negeri yang merupakan amanah rakyat kepada Kerajaan Pas Kelantan sudah bertukar milik manakala para petani yang dulu bercucuk tanam mencari rezeki di tebing Sungai Kelantan sudah dihambat keluar.

Serban dan jubah yang sering dipakai oleh pemimpin Pas Kelantan bukannya jawapan konkrit untuk menutup penyelewengan yang telah berlaku.

Kini masanya rakyat menuntut pihak berkuasa segera mengambil tindakan dan mengheret si penyangak ke muka pengadilan.

Mr Beruang Biru

Perhimpunan Orang Melayu Sebelum ‘Perang Besar’ Bermula

Posted: 02 Nov 2012 02:35 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Nov. – Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada penghujung bulan ini tentunya akan menjadi tumpuan dengan kehadiran anggota perwakilan dalam keadaan penuh bersemangat untuk berjuang dan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ir. Idris Haron melihat bahawa persidangan ini adalah perkumpulan yang sangat bermakna bagi orang-orang Melayu melalui pertubuhan politik UMNO sebelum berdepan 'perang besar'.

"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh perwakilan UMNO yang bakal hadir ke Perhimpunan Agung UMNO dan saya yakin kehadiran perwakilan kali ini merupakan kehadiran yang bersemangat kerana pastinya ini adalah persidangan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-13," katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya perang besar yang dimaksudkan adalah PRU-13 iaitu UMNO bersama-sama BN akan menentang pakatan pembangkang dan mempertahankan kerajaan yang ada hari ini.

"Para perwakilan akan menunggu ucapan dasar daripada YAB Presiden parti dan akan menunggu juga buah fikiran daripada wakil-wakil pembahas yang akan berhujah kerana inilah peluang untuk bertukar-tukar fikiran bagaimana memantapkan jentera parti ke arah PRU ke-13 serta memastikan kesinambungan parti sebagai pilihan utama."

Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu, para perwakilan dalam persidangan ini akan meletakkan UMNO sebagai platform atau pelantar bagi berdepan PRU.

"Saya yakin dan percaya ucapan dasar akan mengukuhkan semangat ahli-ahli parti supaya mencari persamaan dan memperkecilkan perbezaan.

"Persamaan adalah untuk menang besar dalam PRU ke-13 manakala mengecilkan perbezaan ialah apabila kita bersatu padu, bersatu fikiran, bersatu hati dan bersatu tekad dengan menerima siapa juga bakal calon-calon yang mewakili parti UMNO akan kita isytihar sebagai winnable candidate," katanya.

Tambah beliau, calon bagi UMNO akan disokong dengan mengatasi kepentingan peribadi, keluarga atau kumpulan tertentu.

"Semua calon-calon yang ditentukan oleh kepimpinan parti adalah calon yang akan dipastikan berjaya dalam PRU.

"Selamat datang, selamat berhimpun dan selamat bekerja kuat untuk menjamin kesinambungan kekuatan agama, bangsa dan negara." - MediaUMNO

Khalid Ibrahim MB Terbaik Pakatan – Lawak Terhebat Untuk Tahun Ini

Posted: 02 Nov 2012 01:19 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Entah apa yang tidak kena dengan Menteri Besar Selangor, tiba-tiba Anwar Ibrahim mengumumkan Khalid Ibrahim sebagai MB terbaik pakatan. Pengumuman ini boleh ditafsirkan sebagai talian hayat untuk Khalid tatkala prestasi MB dilanyak teruk oleh Azmin Ali dan kumpulannya dengan menjadikan Faekah Hussin, Setiausaha Politik MB sebagai kambing hitam.

Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, pengkurniaan ini juga bertentangan dengan pandangan umum betapa teruk sebenarnya pentadbiran Selangor di bawah regim Pakatan PKR, DAP dan Pas selama hampir 5 tahun ini.

"Selain itu, pengumuman Anwar ini juga mengecilkan hati pemimpin Pas kerana sumbangan Nik Aziz selama 22 tahun sebagai Menteri Besar langsung tidak dihargai atau diiktiraf oleh Anwar. Nampaknya sangat Pas sekadar menjadi alat dan kuda tunggangan Anwar, PKR dan DAP.

“Terdapat lebih dari 10 isu utama kegagalan regim pakatan di Selangor. Penyelewengan yang paling besar adalah skandal Talamgate yang melibatkan transaksi hampir RM 1 Billion. Penduduk Selangor juga berhadapan dengan krisis air yang semakin hampir, terbaru Empangan Air Sungai Selangor semakin kering dan sekarang hanya mencatat jumlah simpanan air sebanyak 52 peratus, merosot sebanyak 48 peratus.

“Skandal pasir Selangor, Skandal PKNS, Yayasan Selangor, UNISEL jelas menampakkan rasuah sebenarkan bermaharajalela di Selangor. Kegagalan pengurusan sampah di Selangor juga semakin ketara apabila ada kontraktor sampah yang enggan menyewa lori kompak sampah milik GLC Selangor kerana harga sewaaan yang mahal," ujarnya mengulas pengiktirafan Menteri Besar Pakatan Terbaik oleh Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Tambahnya, pertambahan rumah-rumah urut juga sangat menjolok mata di Selangor sekarang.

“Tahniah kepada Anwar, Khalid dan Ronnie kerana disebut oleh rakyat sebagai pelopor industri seks dan rumah urut di Selangor. Geran Selangorku RM300 juta yang dipegang erat oleh MB juga semakin ketara dipertikaikan oleh rakyat. Laporan Ketua Audit Negara sendiri menyatakan bagaimana TAWAS yang dibiayai oleh MBI Incorporated itu telah gagal kerana tidak diurus dengan sempurna.

"Yang paling tidak cerdik adalah apabila MB sebut yang janji-janji dalam manifesto pakatan Selangor 2008 bukan lah satu perjanjian, yang demikian ianya tidak perlu ditepati!”, katanya.

Muktakhir ini tegas beliau lagi skandal bas mewah Khalid Ibrahim, siapa yang sebenarnya membiayai pembelian bas mewah bernilai RM900 ribu masih lagi menjadi misteri namun GAPS penuh yakin jawapannya sudah ada di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Pengumuman Anwar ini tidak lebih dari lawak jenaka terhebat untuk tahun ini," ujarnya yang juga mantan Ketua AMK Negeri Selangor. -MediaUMNO

Guan Eng Diberi 24 Jam Kalau Tidak Mahu Dilabel Lemah, Tiada Intergriti

Posted: 02 Nov 2012 12:18 AM PDT

GEORGE TOWN, 2 Nov – Wakil rakyat pembangkang Pulau Pinang hari ini mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng mengemukakan jawapan bagi kesemua soalan lisan dan bertulis dalam tempoh 24 jam.

Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar Shah berkata Ketua Menteri hanya menjawab satu daripada 30 soalan yang dikemukakannya.

Beliau berkata semua transkrip jawapan sepatutnya diletakkan di atas meja setiap wakil rakyat selepas soalan lisan dibacakan, dan kegagalan berbuat demikian menunjukkan pengurusan kerajaan negeri tidak cekap.

“Minggu depan sudah ada sesi perbahasan. Kami perlu maklumat dalam jawapan itu, takkanlah kita nak berbahas secara rambang kerana ini akan menjejaskan kualiti debat,” katanya kepada pemberita.

Arif berkata jika Ketua Menteri tidak mengemukakan jawapan dalam tempoh yang ditetapkan, ini bermakna beliau mengaku kerajaan negeri lemah dan tiada integriti.

Jangan Percaya Fitnah Pembangkang Yang Tidak Nampak Kebaikan BN

Posted: 02 Nov 2012 12:14 AM PDT

KOTA KINABALU, 2 Nov – Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah yang juga Ketua Wanita UMNO Sepanggar, Datuk Jainab Ahmad membidas sikap pemimpin pembangkang yang lebih gemar menyebar fitnah bagi memburukkan kerajaan meskipun mereka sedar pencapaian kerajaan sedia ada cukup membanggakan.

Beliau berkata parti pembangkang kini kelihatan seolah-olah tidak dapat membezakan “apakah yang baik dan tidak baik” khususnya yang dilakukan atau dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Setiap hari mereka menjaja keburukan dan kelemahan kerajaan kepada rakyat bagi menanam kebencian sedangkan kerajaan BN bersungguh-sungguh menolong dan memperbaiki kehidupan rakyat.

“Keadaan ini amat mengecewakan kerana ketika kerajaan BN bekerja keras membela nasib rakyat, pembangkang pula bekerja keras memutar belit fakta untuk menfitnah kerajaan,” katanya ketika berucap sempena Program Salam Sayang Wanita UMNO Sepanggar di Sepanggar di  sini hari ini.

Jainab berkata parti pembangkang hanya pandai mengkritik tetapi pada masa yang sama gagal membawa idea baharu untuk membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dalam semua aspek termasuk aspek ekonomi dan sosial.

Beliau berkata Buku Jingga yang diketengahkan oleh pakatan pembangkang hanya bersifat retorik “kerana bukan sahaja tidak logik tetapi juga boleh membawa musibah kerana negara”.

Sehubungan itu, Jainab mengajak rakyat Sabah bersatu dalam BN dan menolak pembangkang pada pilihan raya umum yang akan datang kerana kerajaan BN berupaya memperjuangkan nasib mereka.

SPR Pamer Rang Daftar Pemilih Tambahan Bagi Suku Tahun Ketiga 2012

Posted: 02 Nov 2012 12:03 AM PDT

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Rang Daftar Pemilih Tambahan (Rang DPT) Suku Tahun Ketiga 2012, yang menyenaraikan 135,214 permohonan pendaftaran pemilih baru dan pertukaran alamat pusat mengundi, kini dipamer di 948 lokasi seluruh negara sehingga 6 November ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata permohonan pendaftaran itu melibatkan 106,168 pendaftaran pemilih baru dan 29,046 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih sedia ada yang berdaftar dengan SPR.

Beliau berkata setiap permohonan akan melalui 148 tapisan termasuk semakan maklumat peribadi seperti kewarganegaraan, umur kelayakan dan kelayakan untuk menjadi pengundi tidak hadir sebelum dimasukkan ke dalam data Rang DPT itu.

“Jika sesuatu permohonan itu tidak melepasi tapisan tersebut, borang permohonan tidak akan didatakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kamaruddin berkata SPR akan membuat semakan lanjut jika terdapat keraguan bagi memastikan hanya permohon yang layak didatakan ke dalam sistem pendaftaran pemilih.

SPR, katanya, menggalakkan pemilih berdaftar dalam satu-satu bahagian pilihan raya menyemak dan membuat bantahan ke atas kemasukan nama dalam Rang DPT itu dengan alasan tertentu seperti tidak bermastautin di alamat yang dipohon.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa pihak, terutama parti politik, yang mendakwa SPR mendaftarkan pemilih sewenang-wenangnya termasuk mendaftarkan orang yang bukan warganegara sebagai pemilih.

Kamaruddin berkata bantahan boleh dibuat dengan mengisi Borang C, dan seorang pembantah boleh membantah tidak melebihi 20 orang.

Borang itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada hari bekerja dalam tempoh Rang DPT itu dipamerkan.

“Bantahan tersebut hendaklah berasas dan bukan dengan niat ingin menafikan hak warganegara untuk mendaftar sebagai pemilih atau memperlekeh peranan SPR dalam urusan pendaftaran pemilih,” katanya.

Bantahan juga boleh dikemuka atas sebab pemohon tidak bermastatutin di dalam bahagian pilihan raya tersebut, pemohon bukan warganegara Malaysia dan pemohon telah meninggal dunia.

Kamaruddin berkata setiap bantahan yang diterima SPR akan melalui proses siasatan awam yang dikendalikan Pendaftar Pemilih Negeri masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata SPR menggalakkan pemilih berdaftar yang telah bertukar alamat bermastautin agar memohon untuk menukar alamat pusat mengundi.

“Mereka hendaklah terlebih dahulu menukar alamat bermastautin di kad pengenalan dengan Jabatan Pendaftaran Negara, dan selepas itu bolehlah memohon menukar alamat pusat mengundi di kaunter SPR atau pejabat pos,” katanya.

SPR juga menggalakkan pemilih supaya menyemak maklumat pendaftaran mereka.

“Semakan boleh dibuat melalui laman web SPR di laman web SPR di www.spr.gov.my, menghubungi talian 03-8885 6565, sistem pesanan ringkas (sms) dengan menaip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO.KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 atau hadir ke kaunter SPR di ibu pejabat SPR Putrajaya, ataupun di pejabat pilihan raya negeri masing-masing,” katanya.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...