UMNO Online - “Pendedahan RPK: Pakatan Pembangkang Raja Konspirasi Fitnah Pemimpin Negara” plus 9 more

UMNO Online - “Pendedahan RPK: Pakatan Pembangkang Raja Konspirasi Fitnah Pemimpin Negara” plus 9 more

Link to UMNO Online

Pendedahan RPK: Pakatan Pembangkang Raja Konspirasi Fitnah Pemimpin Negara

Posted: 13 Aug 2012 01:09 AM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pendedahan Raja Petra Kamaruddin (RPK) melalui blog Malaysia Today berhubung konspirasi isu fitnah pembunuhan Altantuya yang cuba dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di mana ia turut membabitkan nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan berlakunya konspirasi yang amat dahsyat dalam kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang untuk menjatuhkan imej kerajaan.

Beliau melalui blognya mendakwa wujudnya pakatan tiga serangkai, iaitu Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, seorang peguam dan RPK turut mendakwa bahawa konspirasi tersebut sememangnya diketahui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Puteri UMNO Bahagian Subang, Herni Azura Binti Ghafar, rakyat hari ini sudah mula sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan gaya dan corak kempen politik yang diamalkan oleh pakatan pembangkang.

"Jika benarlah pendedahan Raja Petra Kamaruddin, maka jelaslah corak politik yang diamalkan oleh pakatan pembangkang adalah lebih kepada konspirasi untuk mewujudkan dan menyemarakkan fitnah dalam usaha untuk membunuh karektor seseorang pemimpin.

"Gaya dan pendekatan politik seperti ini amat bahaya dan salah di sisi agama sebab di atas alasan apa sekalipun, kita tidak boleh dan dilarang untuk mengada-adakan cerita yang akhirnya menjadi fitnah terhadap seseorang individu, apatah lagi seorang pemimpin negara kerana kesannya amat besar terhadap keharmonian dan keamanan negara," tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambahnya lagi, sekiranya beginilah cara dan pendekatan politik yang diguna pakai oleh pakatan pembangkang, ia tidak akan mengundang sebarang kebaikan untuk negara bahkan bakal membawa keburukan dan boleh mencetuskan huru-hara.

"Sebab itu fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh. Jika kita rujuk pada sejarah Islam, kita boleh lihat bagaimana kesan fitnah yang dicetuskan oleh orang-orang munafik sehingga membuatkan isteri Rasulullah saw, Saiditina Aisyah berkonfrontasi dengan Saidina Ali sehingga tercetusnya perang Siffin yang melibatkan ribuan umat Islam kehilangan nyawa," jelas beliau.

Justeru itu beliau menyeru semua rakyat di negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan kaum agar menyiasat terlebih dulu sekiranya sampai sebarang berita yang memburuk-burukkan individu tidak kira siapa sekalipun, kerana bimbang ia merupakan fitnah yang boleh menyebabkan kita menyesal kemudian hari. – MediaUMNO

MB Selangor Perlu Letak Jawatan Jika Tak Berjaya Ambil Alih Syabas – Noh Omar

Posted: 13 Aug 2012 01:03 AM PDT

PUTRAJAYA, 13 Ogos – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar meletak jawatan sekiranya tidak berjaya mengambilalih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menjelang September nanti, sepertimana yang beliau janjikan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata sebagai seorang tokoh korporat, Abdul Khalid seharusnya lebih tahu tentang proses pengambilalihan syarikat.

“Kita tunggu dan kita takkan kacau, kita biar dia uruskan. Tapi kalau tak boleh ambil alih juga beliau harus letak jawatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan papan seranta awam atas talian kedua Draf Rang Undang-Undang Kebajikan Haiwan, di pejabatnya di sini, hari ini.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata pada masa yang sama Abdul Khalid juga tidak boleh menghalang projek Loji Rawatan Air Langat 2 daripada diteruskan, kerana sama ada pengambilalihan itu berjaya atau tidak, rakyat Selangor tetap memerlukan bekalan air bersih.

Beliau berkata kerajaan pusat bertolak ansur sebelum ini dengan membelanjakan sejumlah RM600 juta untuk projek-projek mitigasi air di Selangor bagi mengelakkan krisis air, termasuk membina loji Sungai Labu dengan kos RM298 juta untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air di sekitar Sepang.

“Kerajaan negeri masih berfikiran seperti pembangkang dan ini akan merugikan negeri itu sendiri. Mereka sepatutnya berfikir seperti kerajaan yang sentiasa mencari jalan untuk membela nasib rakyat,” katanya.

Mengenai Loji Rawatan Air Langat 2, Noh berkata kerajaan masih akan memohon kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk pembinaan tersebut memandangkan ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan itu.

Beliau berkata permohonan sebelum ini bukannya ditolak MPKj, tetapi ditangguhkan namun tidak diketahui tempoh masanya.

“Pada masa yang sama tender untuk pembinaannya akan dikeluarkan,” katanya.

Mengenai penyaluran air dari Pahang, Noh berkata kerajaan pusat melantik konsultan yang mengambil masa tujuh tahun untuk membuat kajian dan perancangan mengenai cara terbaik untuk mengatasi krisis air di Selangor termasuk dengan cara tersebut.

Beliau berkata ia berbeza dengan kerajaan Selangor yang mengutarakan cadangan terlebih dahulu sebelum melantik konsultan untuk membuat kajian mengenainya.

Harga Ayam Tahun Ini Lebih Murah – Ismail Sabri

Posted: 13 Aug 2012 01:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Harga siling ayam sempena sambutan Aidilfitri tahun ini adalah lebih murah iaitu RM6.80 sekilogram berbanding RM7.20 sekilogram tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata harga itu telah dipersetujui melalui perbincangan bersama persatuan penternak, pemborong dan peruncit berikutan terdapat bekalan yang tinggi.

Ismail Sabri turut berpuas hati kerana terdapat sebahagian besar peniaga dan penjaja menjual ayam lebih murah daripada harga kawalan sehingga RM5.90 sekilogram.

“Harga ini bergantung kepada penawaran dan permintaan. Bila bekalan tinggi harga dapat diturunkan. Harga ayam RM6.80 sekilo adalah paling murah setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan ‘Ihsan Ramadhan dan Aidilfitri’ kepada 517 penduduk Cheras di sini hari ini.

Beliau juga berkata selain ayam, 19 barangan lain turut dipantau sepanjang skim kawalan harga musim perayaan dilaksana mulai semalam sehingga 26 Ogos ini.

Beliau berkata sehingga semalam, sebanyak 5,950 premis perniagaan termasuk di kawasan pedalaman di seluruh negara diperiksa dalam operasi pemantauan harga barang kawalan secara serentak semalam.

Katanya operasi itu melibatkan 2,000 anggota penguat kuasa, 1,600 skuad pemantau, 2,000 anggota dari Persatuan Perlindungan Pengguna Kebangsaan serta 60,000 skuad pengguna dan penghulu.

Mengenai promosi jualan murah sempena Aidilfitri, Ismail Sabri berkata semua pemilik pasar raya diwajibkan menyenarai sekurang-kurangnya 70 peratus barangan atau produk dari premis mereka.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang mengenai jualan murah kerana peniaga juga wajib memberi notis dan senarai barang 14 hari lebih awal sebelum jualan murah diadakan, bagi tujuan pemeriksaan.

Individu yang didapati bersalah mengikut Akta Perihal Dagangan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara, katanya.

JAKIM Jalin Kerjasama Kajian Kefatwaan Dengan Tiga IPTA

Posted: 13 Aug 2012 12:58 AM PDT

PUTRAJAYA, 13 Ogos – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat julung kalinya menjalin kerjasama dalam bidang kajian kefatwaan dengan tiga institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kerjasama itu melibatkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang akan menjalankan kajian dalam bidang; sains dan perubatan, ekonomi dan kewangan, farmaseutikal dan muamalat.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata keperluan penyelidikan berhubung isu kefatwaan dilihat sesuatu yang mendesak ketika ini.

“Kita tidak boleh melihat atau beri respons sahaja sebaliknya memerlukan data dan fakta kajian yang mampan supaya pandangan hukuman yang diberikan menepati, relevan dan difahami semua lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu, di sini hari ini.

Dr Abdul Shukor berkata selain dapat membantu meningkatkan kewibawaan Jawatankuasa Majlis Fatwa MKI, kajian itu juga kelak dapat membantu muzakarah jawatankuasa tersebut dalam membuat penentuan hukum.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa MKI juga berhasrat menjalinkan kerjasama serupa dengan agensi berkaitan di luar negara.

Katanya, buat permulaan lima kajian akan dijalankan, iaitu kuantiti dan stabiliti DNA Babi yang diekstrak daripada daging campuran dan produk diproses menggunakan kaedah kimia iaitu ‘Tindak Balas Rantaian Polimeres Masa Sebenar TaqMan’ bersama UPM.

Kerjasama dengan UTM pula membabitkan kajian mengenai Pengurusan Zakat Asnaf Riqab dan Gharimin: Satu Analisis Kontemporari, katanya.

Tiga kajian lagi dengan USIM melibatkan topik :- Tahap Keterlibatan kepercayaan dan Amalan Masyarakat Islam Terhadap Perkara-Perkara Khurafat Serta Cadangan Penyelesaiannya, Kajian Mengenai Mem’bin dan Mem’binti Anak Tidak Sah Taraf Menurut Perspektif Syarak, Undang-Undang dan Sosial serta Pengurusan Pengagihan Zakat di Malaysia: Kedudukan Bukan Islam Sebagai Penerima Zakat Dan Garis Panduan Pemindahan Dana Zakat.

Kajian memakan masa antara empat bulan hingga setahun, tambah beliau.

Eksplotasi Tema Hari Kebangsaan, Pembangkang Fobia Perkataan ‘Janji’

Posted: 13 Aug 2012 12:46 AM PDT

PARIT, 13 Ogos – Ahli Parlimen Parit, Nizar Zakaria berkata, pembangkang cuba mengeksplotasikan tema hari kebangsaan adalah kerana mereka berasa cemburu dan tercabar malah iri hati dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Katanya, penerimaan rakyat terhadap transformasi-trasnformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri membuatkan pembangkang berasa tergugat. Kerana itulah apabila tema ‘Janji Ditepati’ di pilih sebagai tema hari kebangsaan, pembangkang cuba meracun minda rakyat bahawa tema tersebut berbaur politik.

"Setiap tahun kerajaan mempunyai tema dalam sambutan hari kebangsaan dan tidak ada sesiapa pun mempertikaikannya malah semua orang menjiwai tema yang telah dipilih sebagai harapan dan hasrat kerajaan dalam mengajak rakyat untuk sama-sama menghargai kemerdekaan negara.

"Persoalannya, mengapa tema pada kali ini dipersoalkan oleh pembangkang… Ini adalah kerana mereka cemburu dengan kejayaan Perdana Menteri meraih perhatian dan hati rakyat. Mereka cuba membuat eksplotasi murahan semata-mata kerana kepentingan sempit mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Sebenarnya mereka trauma dengan perkataan 'janji' kerana apa yang kerajaan Barisan Nasional (BN) lakukan dan janjikan semuanya ditunaikan dengan sempurna. Namun mereka hanya pandai berjanji tetapi hakikat sebenar mereka tidak dapat menunaikan apa yang telah dikatakan," ujarnya kepada UMNO-Online.

Nizar yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Parit menambah, pembangkang sedar PRU semakin hampir dan tema yang telah kerajaan pilih sempena hari kebangsaan ini pula menambah rasa tersepit mereka dalam cubaan menambat hati rakyat.

Jelasnya, pembangkang masih berusaha dan terus berharap agar tsunami politik yang terjadi pada tahun 2008 akan berulang pada PRU kali ini. Sebab itu, apa sahaja ruang yang ada untuk merosakkan imej kerajaan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka termasuklah isu tema hari kebangsaan ini.

"Mereka sedar, apa yang terjadi pada PRU 2008 tidak akan berulang lagi kerana Datuk Seri Najib telah berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Namun pembangkang tidak pernah putus asa dan masih cuba merusaha untuk merosakkan imej Perdana Menteri dan kerajaan sendiri.

"Mereka sedar tetapi enggan mengakui bahawa janji kerajaan adalah janji yang boleh digunapakai sedangkan janji mereka hanya untuk mengaburi mata rakyat. Manifesto mereka pada PRU 12 sehingga kini masih terlalu banyak yang tidak tertunai. Kerana itu tema Janji Ditepati membuat mereka 'panas punggung'," ujarnya.

Nizar amat berharap agar rakyat tidak akan mudah terpengaruh dengan agenda jahat pembangkang dalam cubaan mengeksplotasikan tema hari kebangsaan ini. Tema yang telah dipilih oleh kerajaan ini adalah amat bertepatan kerana dalam agama Islam sendiri menegaskan bahawa setiap janji yang telah diungkap haruslah ditunaikan. – MediaUMNO

Hudud & Negara Islam : Pas Terus Jadikan UMNO Sasaran, DAP & Karpal Singh Pula Bagaimana?

Posted: 13 Aug 2012 12:41 AM PDT

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Tindakan pemimpin pembangkang yang menjadikan UMNO sebagai sasaran berhubung kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah, adalah satu lumrah biasa dan bukanlah mengejutkan.

Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Ustaz Hj Mohd Afandi Yusof berkata apa yang menghairankan Pengerusi DAP, Karpal Singh masih lagi menjadi 'sahabat seperjuangan' kepada Pas sedangkan pemimpin tersebut cukup lantang menolak hudud dan negara Islam.

Menurut beliau perkara tersebut menimbullkan seribu satu persoalan kepada masyarakat umum kerana pemimpin Pas seolah-olah tidak berani untuk menegur atau sekurang-kurangnya mempertahankan pendirian mereka apabila berdepan dengan sekutu mereka itu.

"Yang menjadi kelakarnya pula UMNO dijadikan sasaran dalam usaha menutup kegagalan mereka dalam isu tersebut…Takkanlah nak mengampu sampai begitu sekali…Saya percaya pemimpin Pas bukan begitu tetapi tidak tahulah pula dalam keadaan menjelang pilihan raya umum, kemungkinannya ada.

"Inilah yang harus rakyat tengok dan nilai bagaimana hipokritnya pemimpin Pas dalam memperjuangkan apa yang mereka dendangkan di dalam ceramah mereka…Kata nak buat Negara Islam dan Hudud tetapi apabila berdepan Karpal Singh seolah-olah 'no point',” katanya.

Tambah Ustaz Afandi lagi Pas perlu sedar dan tahu segala tindak tanduk mereka telah diketahui umum dan sewajarnya pemimpin pas bermuhasabah dan menilai semula segala apa yang mereka lakukan.

"Tengoklah dalam isu hudud dan Negara Islam ini….Sejauh mana benarnya Pas dan sejauh mana kentalnya Pas dalam memperjuangkan hakikat berkenaan. Cuma yang kita selalu dengar dan tahu sikit-sikit kaitkan UMNO…paling tidak pun kaitkan UMNO…apa lagi kalau itu yang kita selalu dengar.

"Sedangkan saya percaya ramai diluar sana yang ingin tahu dan mendapatkan penjelasan sebenar berhubung perkara tersebut. DAP kata tidak mahu dan Pas pula mahu tetapi tidak nampak pula sejauh mana kemahuan mereka itu. Apa pun  tepuk dada tanya iman,” katanya. – MediaUMNO

1,000 Dari Parlimen Alor Setar Terima Sumbangan Raya 1MDB

Posted: 13 Aug 2012 12:36 AM PDT

ALOR SETAR, 13 Ogos – Sebanyak 1,000 orang kurang berkemampuan dari kawasan Parlimen Alor Setar hari ini menerima bantuan kewangan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sempena Aidilfitri.

Mereka yang terdiri daripada 200 anak yatim, 200 orang kurang upaya, 300 golongan susah serta baki 300 warga emas dan ibu tunggal dipilih dari setiap kampung dari kawasan parlimen itu.

Sumbangan berjumlah antara RM100 dan RM300 itu disampaikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah yang juga Ketua Umno Bahagian Alor Setar Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, di sini.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Ahmad Bashah berkata sumbangan daripada kerajaan pusat berkenaan adalah selaras dengan keprihatinan terhadap golongan kurang bernasib baik dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Saban tahun kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar bagi membantu pelbagai golongan apabila tiba musim perayaan kerana sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kebajikan rakyat yang kurang berkemampuan harus diutamakan,” katanya.

Ahmad Bashah berkata Umno Bahagian Alor Setar sendiri menyalurkan bantuan berbentuk makanan dan kewangan kepada kira-kira 4,000 orang sempena Aidilfitri ini.

“Banyak lagi sumbangan dan kemudahan yang kerajaan nak beri kepada rakyat tapi susah sebab sistem pentadbiran kerajaan negeri tidak selari dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

UMNO, BN Tidak Janji Kosong, Bukan Batu Loncatan Untuk Cita-Cita Peribadi

Posted: 12 Aug 2012 10:45 PM PDT

KIMANIS, 13 Ogos – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah berjanji kosong dan pengumuman berhubung dengan jalan raya Kota Kinabalu-Sindumin merupakan salah satu lagi bukti `Janji Ditepati.'

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata usaha untuk membesarkan jalan tersebut sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat.

"Kita amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan pengumuman Perdana Menteri itu amat jelas membuktikan bahawa UMNO dan BN bukan berjanji kosong," katanya.

Katanya jalan KK-Sindumin ketika ini agak sesak khususnya apabila tiba musim perayaan dan juga musim cuti sekolah apatah lagi jalan itu menjadi penghubung dan ia bukan sahaja digunakan oleh pengguna tempatan tetapi juga daripada Sarawak dan Brunei yang datang ke negeri ini menggunakan kenderaan.

"Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri yang mengumumkan kelulusan bagi memperbesarkan jalan raya KK-Sindumin, inilah yang dikatakan salah satu janji ditepati," katanya lagi.

Beliau menasihatkan rakyat agar tidak perlu lagi merasa keliru dan gusar terhadap komitmen perjuangan BN yang telah terbukti bukan seperti pembangkang yang banyak menabur janji tetapi tidak mampu dan tidak akan menunaikan janji itu.

"Pembangkang hanya tahu berjanji, janji kosong dan hanya tahu menabur pembohongan," katanya lagi.

Sapawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Sipitang berkata, UMNO juga bukan batu loncatan untuk seseorang memenuhi impian.

Katanya apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO memjelaskan mengenai perjuangan sebenar UMNO dan BN. Perjuangan UMNO dan BN adalah perjuangan yang ikhlas untuk rakyat dan bukannya untuk memenuhi impian seseorang.

"Perjuangan ikhlas inilah yang memolehkan kita terus komited dalam memperjuang dan membela nasib rakyat," katanya lagi. – MediaUMNO

BN Will Emerge Victorious In The Next General Election, Says UPKO President

Posted: 12 Aug 2012 10:39 PM PDT

KOTA KINABALU, Aug 13 – United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) president Tan Sri Bernard Dompok has expressed confidence that the ruling Barisan Nasional (BN) will emerge victorious in the upcoming general election, particularly in the Sabah state election.

He said based on the people’s support, Sabah remained a BN stronghold and called on the people, especially the Kadazandusun Murut (KDM) community to stay put in BN for a common good.

“No doubt that BN is strong in Sabah, but it cannot be denied that there will be challenges in the urban and sub-urban areas.

“But I’m confident BN will ultimately emerge victorious in the coming election,” he said during the launching of the Iftar (breaking fast ceremony) and 1Malaysia Ramadan contribution at the Information, Communications and Culture Ministry’s Integrated Complex (KPKK) in Kepayan, near here, last night.

Dompok, who is also Primary Industries and Commodities Minister, also refuted his former Upko deputy president Datuk Wilfred Bumburing’s claims that 40 per cent of the Upko leaders had left to join Pakatan.

“I wish to stress here that only Bumburing, a vice-president of Upko, a permanent chairman and a few leaders including supreme council members left the party,” he said adding the people should not be easily hoodwinked by the opposition which made grand promises to fish for votes.

Yesterday, Upko vice-president Senator Datuk Maijol Mahap formally confirmed his decision to leave the ruling pact at a function held at his house in Kampung Kokobuan in Kota Marudu in the northern part of Sabah.

Maijol is the third BN leader to leave the pact since last month, after Bumburing and Beaufort MP, a former federal deputy minister and Umno supreme council member, Datuk Seri Lajim Ukin.

Meanwhile, Dompok announced a RM10,000 allocation for the Surau located within the compound of the KPKK complex.

“In Sabah, we have managed to extend our fellowship with breaking of fast launched by Muslims and non-Muslim YBs (elected representatives).

“It is clear that other political beliefs are put aside and our humanitarian characteristic surfaces and is evidently clear in ensuring all rakyat is treated alike,” he said.

UMNO Kuala Kedah Semarak 10 Malam Terakhir Ramadan Dengan Program Singgah Sahur

Posted: 12 Aug 2012 10:35 PM PDT

ALOR SETAR, 13 Ogos – Umno bahagian Kuala Kedah melancarkan program ‘Singgah Sahur’ bagi menarik golongan muda untuk menyemarakkan 10 malam terakhir Ramadan bertujuan mencari keberkatan pada bulan mulia ini.

Naib ketua Umno bahagian, Datuk Abdul Mutholib Harun berkata program yang pertama kali dilaksanakan ini juga bertujuan merapatkan silaturahim sesama umat Islam khususnya masyarakat setempat.

Program bermula pukul 11 malam dengan menyalakan pelita minyak tanah di kawasan terpilih, mengunjungi warga emas di rumah mereka untuk menyampaikan sumbangan dan diakhiri dengan tadarus Al-Quran dan bersahur kira-kira pukul 4 pagi.

Malam tadi, beliau mengetuai sekumpulan anggota Skuad Prihatin Umno Kuala Kedah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta badan bukan kerajaan, Pertubuhan Gagasan Parlimen Kuala Kedah (Gagah) menjayakan program itu.

Program bermula dengan pemasangan pelita di kawasan Flat Seberang Perak, mengunjungi 40 buah rumah warga emas dan orang miskin di Kampung Telok Chengai Luar, Kampung Teluk Sungai Ulu dan berakhir dengan tadarus Al-Quran di Kampung Sungai dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, Parlimen Kuala Kedah.

Seorang penerima, Mariam Taib, 84, dari Kampung Teluk Chengai Luar yang tinggal bersama anak perempuan, menantu dan empat cucu gembira menerima kehadiran Abdul Mutholib dan rombongannya.

Bekas ketua kaum ibu pada tahun 60an itu yang sedang uzur bagaimanapun masih mampu melahirkan rasa syukurnya kerana masih diingati dan diziarahi pada bulan mulia ini.

Abdul Mutholib berharap sumbangan wang tunai, kain batik dan kain pelekat serta barang makanan sempena program Singgah Sahur itu dapat membantu golongan susah membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Program sama berlangsung 3 Ogos lepas di Kota Nelayan iaitu penempatan nelayan-nelayan Kuala Kedah manakala pada 7 Ogos di Kampung Tok Sulaiman, Kuala Kedah berjaya menarik ramai golongan muda menyertainya, kata Abdul Mutholib.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...