UMNO Online - “Polis Latih Pengawal Keselamatan Pusat Membeli-Belah” plus 9 more

UMNO Online - “Polis Latih Pengawal Keselamatan Pusat Membeli-Belah” plus 9 more

Link to UMNO Online

Polis Latih Pengawal Keselamatan Pusat Membeli-Belah

Posted: 16 Jul 2012 04:26 AM PDT

PUTRAJAYA, 16 Julai – Lebih 25,000 pengawal keselamatan di pusat membeli-belah di seluruh negara akan menerima latihan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha kerajaan menangani kes jenayah di premis berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata modul latihan akan dibangun secepat mungkin berdasarkan modul latihan polis dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Pada masa ini tiga pusat beli-belah sudah menyatakan komitmen untuk menyertai program itu, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan pemimpin tertinggi PDRM, pemilik pusat beli-belah dan pihak berkepentingan, di sini, Isnin.

“Saya perlu tahu siapa yang mahu bekerja dengan kami kerana program ini bukan suatu yang boleh dipaksa kepada semua pemilik pusat beli-belah, justeru saya akan mendedahkan mereka yang mahu bekerja dengan kita dan mereka yang tidak.

“Biar orang awam putuskan kerana sudahlah meminta polis melakukan itu dan ini, tetapi bagaimana pula dengan tanggungjawab mereka dan dalam konteks ini kami tidak minta mereka mengupah lebih ramai pengawal tetapi untuk sertai latihan,” katanya. Hishammuddin turut menafikan langkah itu diambil kerana kadar jenayah yang tinggi, sebaliknya lebih kepada meyakinkan rakyat bahawa kementerian serius dalam menangani segala kes jenayah yang berlaku.

“Indeks jenayah ada untuk tatapan semua tetapi jika orang ramai berasa tidak cukup selamat kita mungkin terpaksa menurunkan lagi indeks itu.

“Beri kami masa dan kami akan buktikan kepada masyarakat bahawa indeks itu adalah seperti yang kami umumkan,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berhubung kadar jenayah, Hishammuddin berkata beliau menerimanya dengan hati terbuka serta mengalu-alukan pandangan dan idea Musa dalam menangani kes jenayah di negara ini.

Malaysia Sasar Pendapatan RM6 Bilion Daripada Pelajar Antarabangsa Menjelang 2020

Posted: 16 Jul 2012 04:25 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Pengajian Tinggi menyasarkan meraih pendapatan lebih RM6 bilion daripada 200,000 pelajar antarabangsa yang diunjurkan mengikuti pengajian di negara ini menjelang 2020.

Menteri berkenaan Datuk Seri Khaled Nordin berkata unjuran pendapatan itu dibuat berdasarkan purata pendapatan RM30,000 daripada setiap pelajar.

Beliau yakin sasaran itu boleh dicapai berikutan kejayaan Malaysia meletakkan dirinya sebagai negara yang stabil, selamat dan boleh dikatakan murah bagi pelajar luar negara untuk mengikuti pengajian.

“Oleh kerana kini Malaysia menjadi destinasi popular bagi pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran, maka semakin banyak universiti ternama dari seluruh dunia berminat membuka kampus cawangan di sini dengan kerjasama universiti dan kolej Malaysia.

“Diiktiraf sebagai destinasi utama bagi universiti asing, dengan 25 permohonan diterima untuk membuka kampus di sini, membuktikan bahawa minat terhadap sektor pendidikan tinggi di negara ini semakin melonjak dan melihat kepada senario positif ini, kerajaan menjangka menerima lebih banyak permohonan,” katanya.

Khaled berkata demikian pada majlis perasmian Vinayaka Missions International University College dari India di sini Isnin. 

Pas Kaki Temberang, Guna Tipu Muslihat Untuk Rampas Saham Peneroka

Posted: 16 Jul 2012 04:21 AM PDT

Tidak cukup dengan mengerahkan penganut-penganutnya untuk membuat kerja sia-sia menyertai Himpunan Oren, tetapi Pas juga melakukannya dengan menipu peneroka hidup-hidup.

Mana tidaknya, dalam berarak, berdemo dan berniaga menjual baju oren, hijau dan sebagainya konon memohon agar saham FGV digantung, tetapi puak-puak Pas sendiri kelam kabut menyambar saham FGV.

Ini terbukti apabila kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas telah mengesahkan pemilikan 500,000 saham FGVH yang diperuntukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang ditawarkan kepada Bumiputera.

Ini disahkan sendiri oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Datuk Abdul Rahman Ibrahim.

PKNK pada awalnya memohon 1 juta unit tetapi MITI hanya meluluskan separuh sahaja.  PKNK telah melanggan saham tersebut dengan harga RM4.55 seunit dan melabur sejumlah RM 2,275,000.

Malah, PKNK juga telah mendapat keuntungan kasar sebanyak RM47,500 apabila menjual 50,000 unit pada harga RM5.50 seunit.

Kita terima alasan PKNK bahawa pemilikan saham tersebut tidak ada kena mengena dengan politik kerana PKNK pastinya melihat kepada keuntungan.  Dalam ertikata lain, penyenaraian itu membawa kebaikan iaitu keuntungan kepada banyak pihak.

Tetapi, kita merasa hairan dengan pendirian PKNK ini kerana PKNK adalah sebuah organisasi di bawah pengurusan kerajaan Pas dan pastinya wajib bertindak selaras dengan aspirasi dan perjuangan Pas.

Dengan mengambil pendirian berbeza, kita tertanya-tanya, apakah ini menunjukkan kerajaan Pas Kedah tidak bersetuju dengan Pas Pusat sekali lagi?

Selama ini, kepimpinan Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah sering dikritik sebagai 'berlainan arah' dengan Pas Pusat sehingga terpaksa diwujudkan Jawatankuasa Pemandu untuk 'memandu' Ustaz Azizan.

Kali ini, susah-susah Pas mengerahkan ahli agar menyertai Himpunan Oren tetapi Ustaz Azizan pula membiarkan PKNK bertindak sebaliknya dengan membeli saham yang ditentang oleh Himpunan Oren.

Apakah ini masalah pendirian yang berbeza antara Pas Pusat dengan Pas Kedah ataupun apakah ini bukti bahawa Pas secara keseluruhannya menerima baik penyenaraian FGVH dan Himpunan Oren hanyalah gimik politik murahan?

Mungkinkah ada dari kalangan para pemimpin Pas yang sengaja ingin menipu peneroka agar melepaskan pemilikan saham mereka sementara pemimpin Pas sendiri berebut-rebut membelinya?

Mungkinkah ada dari kalangan para pemimpin Pas yang sengaja ingin menipu peneroka agar melepaskan pemilikan saham mereka sementara pemimpin Pas sendiri berebut-rebut membelinya?

Kita percaya, Pas sedia maklum bahawa penyenaraian itu adalah satu keputusan yang tepat dan Pas juga tahu bahawa Himpunan Oren tidak akan membawa apa-apa perubahan iaitu penyenaraian tidak boleh ditarik balik dan saham tidak boleh digantung.

Oleh itu, tindakan PKNK membeli saham FGVH adalah tindakan yang pastinya direstui oleh Pas Pusat walaupun tidak secara nyata.

Nampaknya, para peserta Himpunan Oren telah benar-benar terpedaya oleh permainan politik Pas.  Nasib baik himpunan tersebut tidak bertukar ganas sepertimana BERSIH 3.0 jika tidak mereka mungkin tercedera atau kehilangan nyawa kerana sesuatu yang sia-sia.

Begitupun, Pas hanya berjaya menipu segelintir peneroka dan penganutnya sahaja iaitu dalam jumlah tidak sampai 5,000 orang pun berbanding sasaran 20,000 orang untuk menyertai himpunan tersebut.

Mungkin ramai dari penganut Pas sendiri sudah dapat membaca kelicikan pemimpin-pemimpin mereka dan tidak sanggup lagi membodohkan diri berpanas dan mungkin berhujan, berarak membawa memorandum yang tidak memberi manfaat kepada sesiapa.

Kerana itu, penganut-penganut Pas hanya menyambut dingin arahan kerahan rasmi bertulis untuk menyertai himpunan tersebut.

Entah bila parti Pas ini akan berhenti menipu rakyat dan mula bekerja.

Pilihanraya semakin hampir, tetapi Pas masih tidak serik menggunakan strategi politik jahat lagi murahan yang akhirnya memakan diri sendiri.

Mr Beruang Biru

Berhenti Guna Nama Felda Untuk Acara Politik Pas

Posted: 16 Jul 2012 04:09 AM PDT

Puak Pas ini betul tak tahu malu tau.  Dia gebang dan war-warkan acara konon nak membela peneroka Felda, tapi penyudahnya ia penuh dengan ahli-ahli Pas dan laung-laungan yang hanya menjurus kepada politik Pas serta Pakatan haram yang disertai mereka.

Khabarnya, poster pasal hudud dan reformasi pun ada lebih banyak dari poster pasal Pas nak bela nasib peneroka Felda.

Penulis tak tahulah, apa yang tak kena dengan macai Pas.  Tidak ada agenda sendirikah yang nak diperjuangkan sehingga terpaksa menggunakan nama Felda untuk memanjangkan hayat politik yang tak berapa nak panjang ni?

Kita dah kata lama dah, Felda, NFC, Altantunya dan segala macam pembohongan yang dipromosikan pakatan haram termasuk Pas ini hanyalah sebab, sebab untuk menunjuk perasaan dan menyatakan tidak puas hati kepada kerajaan BN yang memerintah.

Dalam isu Felda ini begitu juga, penulis yakin, tidak ada sekelumit rasa simpati dan kesedaran tentang hak-hak peneroka yang ada dalam setiap hati penyokong Pas yang berhimpun semalam, sekelumit pun tak ada.

Mereka pakai baju oren sebab itu yang tuk guru suruh, mereka datang tengah panas sebab itu yang tuk guru arah.  Malah kalau nak juga disebutkan disini, mereka cerai bini sesuka hati dan angkat pedang samurai di JPM (salah pejabat) pun sebab termakan hasutan tuk guru.

Itu saja, otak sendiri ada tapi diguna untuk fikir benda-benda lain, bab politik, apa kata tok guru sajalah.

Eksploitasi Kanak-Kanak

Tapi tanpa sedar semua ini hanya menyerlahkan  kebodohan sendiri.  Nik Aziz, Hadi Awang, Mustapha Ali (tukang kerah) dan Anwar Ibrahim sendiri senang lenang entah di mana, yang penyokong (bodoh-bodoh ni) duk tengah jalan memperjuangkan peneroka Felda dikala peneroka sendiri pun tak sertai perhimpunan haram itu.

Tak malu ke?  Orang yang konon-konon diperjuangkan pun rileks saja duduk rumah bersenang-senang dengan anak bini, atau ikut kebiasaan orang Felda dulu-dulu, bersenang-senang dengan bini untuk buat anak (anak orang Felda jarang yang kurang dari 3 orang)?

Yang awak dapat apa?  Adalah kot dapat duit poket Nik Aziz atau Azizan Razak bagi, tapi apa faedahnya?

Begitulah bebalnya orang Pas ni kalau tuan-tuan nak tahu, dijadikan otak untuk diguna, otak tuk guru yang tak berapa nak betul itu juga yang diikutnya.

Nasib baik penulis dilahirkan, dibesarkan dan dituakan di kalangan orang UMNO, tak le jadi bodoh macam orang Pas.

Parah….

mykmu.net

Himpunan Oren Sekadar Pesta Kutip Duit

Posted: 16 Jul 2012 04:05 AM PDT

Salam… Hiruk piruk Pas mempertikaikan penyenaraian FGVH di Bursa Saham nampaknya akan sampai ke penghujungnya, apabila Himpunan Oren yang dianjurkan Sabtu lalu hanya menarik penyertaan segelintir peneroka sahaja.

Sehingga perhimpunan bersurai pada jam 4 petang dianggarkan hanya sekitar 2,000 orang sahaja yang sanggup membazirkan masa mereka ‘menjayakan’ program tersebut.

Jangkaan awal penganjur mahu menghimpunkan lebih 20,000 peneroka nyata tidak kesampaian sebaliknya lebih 90% peserta perhimpunan terdiri daripada ahli dan penyokong Pas yang langsung tiada sangkut paut dengan peneroka FELDA.

Segelintir peneroka yang hadir di perhimpunan tersebut pula rata-ratanya adalah penyokong setia Pas sejak sekian lama yang mengambil langkah songsang membantah penyenaraian FGVH di BSKL atas dasar menurut saja segala arahan pimpinan Pas.

Sebagaimana sudah menjadi resam Pas, apabila mereka menghulur tangan kanan konon mahu membantu menyelesaikan sesuatu masalah di masa yang sama tangan kiri mereka pula akan sibuk meraba-raba poket seluar orang yang mahu dibantunya.

Propaganda Pas yang mendakwa penyenaraian FGVH akan merugikan peneroka, hakikatnya seumpama cerita sang bomoh miang yang menakutkan mangsanya dengan kisah santau yang kemudian mengambil kesempatan mencabul kehormatan sambil menikmati wang ringgit upah pemberian ‘pesakitnya’.

Inilah yang terjadi di Himpunan Oren apabila propaganda Pas mahu menyelamatkan peneroka FELDA akhirnya di kemuncak himpunan, para peserta dan peneroka pula yang diminta berkorban wang ringgit.

Pemimpin Pas pula tanpa rasa bersalah terus memukul gendang propaganda sambil mengira masa bila pula mahu dibuat himpunan serupa supaya pesta mengutip duit dapat terus dilakukan.

Akhirnya, tatkala majoriti peneroka lain sedang meraih sedikit demi sedikit keuntungan hasil pelaburan dalam bursa saham, segelintir rakan mereka yang menyertai himpunan oren terpaksa pula berputih mata mengalami kerugian segera dari segi masa dan wang ringgit gara-gara terpengaruh propaganda ‘pakar pelaburan’ yang pernah menjahanamkan KOHILAL.

Muhaymeen Murtadza, Jengka

PM Jemput Rakyat Kemuka Idea, Input Mengenai Bajet 2013 Secara Online

Posted: 16 Jul 2012 03:26 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak mempelawa rakyat Malaysia menyumbang idea, berkongsi cadangan dan pendapat mereka mengenai Bajet 2013 secara online bermula hari ini sehingga 29 Julai.

Perdana Menteri berkata platform itu merupakan peluang bagi semua rakyat Malaysia mengemukakan idea dan input mereka untuk pertimbangan Kementerian Kewangan.

Orang ramai boleh menyuarakan pendapat mereka dengan mengklik bahagian yang disediakan pada entri terbaharu blog beliau www.1malaysia.com.my yang bertajuk  ’Bajet 2013: Saya Hargai Cadangan Anda’.

“Pada 28 Sept akan datang, saya akan membentangkan Bajet Negara untuk tahun 2013 bagi pihak kerajaan persekutuan selaku menteri kewangan. Pada saya, adalah penting agar rakyat diberikan peluang untuk menyuarakan cadangan dan pendapat mereka tentang cara terbaik untuk bawa negara kita ini ke hadapan di pentas dunia dari segi sosial dan ekonomi.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya amat berharap agar dapat menerima idea-idea baharu yang bernas serta penyelesaian yang berpotensi daripada rakyat Malaysia,” kata Najib dalam blog beliau hari ini.

Perdana Menteri berkata platform itu akan memberi tumpuan terhadap beberapa topik iaitu kos sara hidup, keselamatan awam, harga hartanah, peranan belia dalam kreativiti dan juga isu-isu yang mempengaruhi kehidupan rakyat.

“Pada masa ini, kurang daripada 10 peratus rakyat Malaysia yang membayar cukai. Oleh itu cabaran utama bagi kita adalah untuk memperluas dan mengubah sumber pendapatan negara bagi memastikan defisit bajet dikekalkan pada paras boleh urus agar perbelanjaan tidak melebihi kemampuan kita,” katanya.

Untuk mencapai matlamat ini, beliau berkata kerajaan perlu memberikan tumpuan terhadap perangsangan pelaburan dalam negeri serta menarik pelaburan asing melalui Program Transformasi Ekonomi.

“Kita sudah pun membuat permulaan yang kukuh di mana LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) tahun lalu telah mengumpul sebanyak RM110 bilion hasil, dan ini  membolehkan kita membiayai perkhidmatan-perkhidmatan utama bagi kebajikan rakyat seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan baucar buku.

“Bagi mengekalkan momentum ini, kita perlukan semua rakyat Malaysia untuk menyumbang idea mereka, dan oleh itu saya ingin menjemput anda semua untuk turut serta dalam perbincangan Bajet 2013 ini,” katanya.

Kegagalan Perhimpunan Oren Bukti Rakyat, Warga Felda Tolak Agenda Pembangkang

Posted: 16 Jul 2012 03:15 AM PDT

KUALA LUMPUR,  16 Julai – Perhimpunan oren yang diadakan pada 14 Julai 2012 di Masjid Wilayah Persekutuan disifatkan gagal kerana hanya lebih 2,000 orang sahaja yang hadir berbanding sasaran kehadiran yang dijangkakan lebih 20,00 ribu peserta.

Menurut   Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin jelas dan nyata bahawa perhimpunan oren yang dikatakan sebagai protes warga Felda itu tidak menggambarkan suara warga Felda sebenarnya kerana amat sedikit jumlah bilangan warga Felda yang hadir pada perhimpunan tersebut.

"Malah lebih menyedihkan, sebahagian besar yang hadir dalam perhimpunan tersebut tidak ada kena mengena dengan Felda. Ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa perhimpunan oren tajaan pembangkang ini ternyata gagal untuk menghasut warga Felda.

"Ini disebabkan,  ke semua warga Felda sedar tindakan kerajaan menyenaraikan Felda ke bursa saham merupakan satu tindakan yang tepat,  demi untuk kepentingan warga Felda secara keseluruhannya," ujar beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Selain itu, kegagalan perhimpunan oren ini juga dilihat beliau sebagai petanda bahawa rakyat kini menolak segala agenda dan muslihat politik pakatan Pembangkang yang tidak habis-habis cuba untuk mencemarkan imej kerajaan di mata rakyat.

"Apa yang saya lihat hari ini, semakin hari semakin ramai yang yakin dengan kemampuan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib memacu pembangunan serta membela nasib rakyat. Ini terbukti apabila setiap kali program  Datuk Seri Najib turun padang, puluhan ribu rakyat akan bersama-sama dengan beliau.

" Kehadiran puluhan ribu rakyat setempat itu sudah cukup untuk membuktikan sokongan rakyat terhadap BN semakin meningkat. Itu baru program setempat dan bukannya program nasional," ujar beliau penuh yakin.

Tambahnya lagi, beliau yakin bahawa sokongan rakyat akan terus bertambah sekiranya PRU 13 ini lewat diadakan kerana ini adalah peluang kepada kerajaan BN untuk terus mengadakan program-program yang memberi manfaat kepada rakyat di negara ini.

"Datuk Seri Najib baru sahaja tiga tahun mengambil alih pemerintahan negara, namun kita boleh tengok macam-macam program untuk rakyat telah dilaksanakan oleh kerajaan. Berbanding dengan kerajaan pimpinan Pakatan Pembangkang yang sudah hampir memerintah, namun tidak ada apa yang dilakukan oleh mereka untuk rakyat.

"Bahkan, untuk memenuhi janji-janji pilihanraya pun mereka tidak mampu untuk laksanakan. Jadi di sini jelas, Pakatan Pembangkang hanya lebih suka berpolitik dengan menyemai kebencian terhadap kerajaan daripada memikirkan bagaimana untuk memberi khidmat kepada rakyat seperti mana yang mereka janjikan sebelum ini," akhiri beliau. -MediaUMNO

Bertanding 80 Kerusi Hanya Gimik Politik, Pas Cuba Main Acah-acah Ayam

Posted: 16 Jul 2012 02:59 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Hasrat Pas untuk menjadi tulang belakang kepada pentadbiran negara jika pakatan pembangkang menguasai kerajaan pusat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang adalah satu gimik politik bagi meletakkan kononnya parti tersebut lebih dominan berbanding sekutunya iaitu DAP dan PKR sendiri.

Penganalisis politik tempatan, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein melihat 'keberanian' Pas menyuarakan hasrat untuk menambah jumlah kerusi yang akan ditandinginya sehingga 80 kerusi diibaratkan seperti menangguk di air keruh.

"Persoalannya mengapa baru hari ini Pas berani bersuara dan bukan sejak dari awal lagi? Ini kerana mereka telah mencongak kononnya merekalah yang akan menggantikan peranan PKR setelah pelbagai masalah dalaman yang terlondeh di kalangan kepimpinan PKR sendiri," katanya kepada UMNO-Online di sini.

Jelasnya, kerana itu jugalah Pas berani meletakkan sasaran untuk bertanding sehingga 80 kerusi biarpun hakikatnya ia tidak mungkin akan menjadi nyata.

"Saya percaya sekiranya Pas mahu meletakkan lebih sasaran untuk bertanding dalam PRU akan datang, maka mereka akan berdepan dengan masalah bukan saja dari anggotanya tetapi juga dari sekutu pakatan pembangkang sendiri.

"Setakat bercakap mahu letak kerusi lebih bolehlah tapi untuk melaksanakannya belum tentu lagi kerana PKR mahupun DAP sendiri tidak mungkin berdiam diri walaupun sebenarnya mereka ini memasang angan-angan yang tinggi."

Sebelum ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi parti tersebut mungkin meningkat sehingga 80 berbanding 66 kerusi dalam pilihan raya umum lalu.

"Dalam diam, selama ini Pas juga berangan untuk menguasai negara sebagai kuasa dominan dan menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan apabila pelbagai masalah dalaman terbongkar membabitkan kepimpinan DAP dan PKR maka Pas serta-merta mula perasan bahawa mereka mampu menguasai pakatan terbabit.

"Jadi sahlah bahawa justifikasi melebihkan kuasa daripada segala-galanya amat terselah dalam Pas sehinggakan mereka sanggup saling memijak sekutu sendiri untuk bangkit dan bersuara," katanya lagi.

Jelas beliau yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Pas boleh bercakap malah meletakkan calon-calonnya untuk berdepan PRU nanti tetapi belum tentu apa yang dilakukan oleh mereka dipersetujui oleh PKR dan DAP.

"Siapa pun boleh bercakap nak bertanding di mana atau berapa banyak kerusi tetapi biarlah berpijak pada hakikat kerana jika PRU lalu pun Pas yang bertanding 66 kerusi hanya mampu menang 23 saja sedangkan PKR dan DAP masih kekal sebagai parti pendahulu yang mempunyai lebih banyak kerusi.

"Pas bercakap tak berpijak di bumi nyata sedangkan dalam angka pun mereka tewas dengan PKR dan DAP apatah lagi untuk menyuarakan dan memasang angan-angan menjadi Perdana Menteri."

Tegasnya lagi, jika benar sekalipun Pas akan bertanding dengan jumlah tersebut maka ia akan berdepan masalah dari segi kelayakan calonnya kerana mereka sendiri menghadapi krisis dalaman sebagaimana di Kedah yang tidak ada penyatuan malah masing-masing membayangkan mahu jadi Menteri Besar untuk musim akan datang.

Pada pilihan raya umum ke-12, Pas bertanding di 66 kerusi Parlimen dan menang 23 daripadanya, lebih kecil berbanding DAP dan PKR masing-masing bertanding di 47 dan 97 kerusi di mana DAP menang di 28 kawasan dan PKR pula 31 kerusi. - MediaUMNO

Politik Kebencian Bakal Musnahkan Masa Depan Rakyat, Negara

Posted: 16 Jul 2012 02:42 AM PDT

LENGGONG, 16 Julai – Nampaknya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008  doktrin politik kebencian melampau sudah jelas ketara meresapi segelintir rakyat di negara ini.  Inilah kesan dari pendekatan politik yang diamalkan pakatan pembangkang yang menyemai perasan benci kepada pemimpin-pemimpin negara termasuk agensi-agensi  kerajaan terutama pihak berkuasa.

Terbaru amukan seorang lelaki di Kompleks Perdana Menteri yang dilakukan kononnya atas nama jihad membuktikan pendekatan politik kebencian ini sebenarnya tidak memberi sebarang keuntungan dan manfaat kepada negara mahu pun masyarakat sekeliling.

Banyak contoh yang boleh diperkatakan kesan daripada politik kebencian ini di antaranya adalah keganasan yang berlaku dalam perhimpunan Bersih, tindakan seorang imam membaling selipar kepada hakim di dalam mahkamah, sikap berani rakyat mengutuk dan membenci polis yang selama ini menjaga keamanan negara dan bagaimana beraninya rakyat apabila mencemuh dan menghina Institusi Raja dan sebagainya.

Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong,  Datuk Shamsul Anuar Nasarah turut melahirkan rasa kebimbangannya apabila ada pihak tertentu yang begitu ghairah membawa budaya politik tidak baik ini kerana ianya boleh merosakkan keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini.

"Sebagai pemimpin, kita seharusnya bertanggungjawab dalam memastikan imej parti kekal baik dan menghormati budaya kehidupan masyarakat yang terdapat di negara ini. Namun malangnya, ada pemimpin dan parti yang sanggup membelakangkan banyak perkara semata-mata kerana kepentingan kedudukan, pangkat dan kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa merosakkan keharmonian dan keamanan negara ini.

"Negara kita adalah sebuah negara yang istimewa kerana kita hidup berbilang bangsa penuh harmoni dan aman. Oleh itu, amatlah penting untuk kita terus menjaga keharmonian ini.

“Apa yang saya kesalkan apabila pembangkang cuba merosakkan keharmonian ini . Pentas-pentas ceramah mereka penuh dengan tuduhan fitnah dengan tujuan menanam rasa kebencian di kalangan rakyat semata-mata ingin berkuasa. Cara mereka ini amat merbahaya kerana ia akan mendorong individu tertentu untuk melakukan perkara yang tidak diingini seperti kejadian amuk di Komplek JPM baru-baru ini ," ujarnya kepada UMNO-Online.

Tegas beliau akibat rasa taksub kepada guru dan pemimpin yang menyebarkan rasa kebencian telah menyebabkan rakyat sanggup menggadai nyawa kononnnya atas nama jihad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya berkata  disebabkan rasa benci yang disemai jugalah maka terjadinya perhimpunan ganas Bersih 1, 2 dan 3 yang jelas melanggar undang-undang Negara.

"Perkataan seperti kerajaan zalim, kerajaan menindas, kerajaan kuku besi berserta dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan ternyata bertujuan untuk menyemai perasaan marah dan benci rakyat.  Sepatutnya sebagai parti politik, mereka harus matang dan bertanggungjawab dalam setiap kata-kata yang dilafazkan.

“Kalau nak berkempen pun banyak lagi cara yang boleh digunakan. Negara ini adalah negara kita bersama.  Tiada gunanya kita berkuasa jika negara huru hara.  Hakikatnya untuk membina sebuah negara yang aman. harmoni dan maju bukanlah sesuatu yang mudah.  Percayalah sekali negara huru hara kita akan mengambil masa yang panjang untuk membinanya semula”, ujarnya.

Justeru beliau menyeru rakyat agar berfikir dengan bijak dan matang serta jangan mudah terpengaruh dengan dakyah atau agenda pihak-pihak tertentu yang sanggup melakukan apa saja untuk mengejar kuasa. – MediaUMNO

Pakatan Pembangkang Hanya Juara Pacak Bendera

Posted: 16 Jul 2012 02:09 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Azeez Abdul Rhim menyifatkan Pakatan Pembangkang hanyalah sebuah parti yang hanya menjadi juara dalam memacakkan tiang-tiang bendera, berbanding BN yang merupakan  sebuah parti yang telah berjaya memacakkan infrastrutur dan pembangunan dalam tanahair untuk dinikmati oleh semua rakyat di negara ini.

Menurut beliau, ini bukanlah satu omong kosong kerana ianya telah terbukti hari ini bahawa BN telah berjaya membina peluang-peluang pekerjaan serta kemajuan dan kemodenan di negara ini dengan kesungguhan kepimpinan BN dalam memberikan khidmat mereka kepada rakyat.

"Bagi saya, kalau bab pacak bendera, Pakatan Pembangkang memang juara. Tetapi berbeza dengan UMNO. Walaupun tidak jadi juara pacak bendera, tetapi kita telah jadi juara memacak pokok getah yang sehingga ke hari ini masih dapat dijadikan sumber pendapatan rakyat di negara ini.

"Begitu juga pacak pokok sawit, pacak rumah untuk rakyat, itu semua kerja UMNO dan BN. Tapi kalau bab pacak bendera, kita serah pada pembangkanglah," ujar beliau sini ketika berucap merasmikan persidangan Pemuda UMNO Bahagian Subang di sini baru-baru ini.

Justeru  itu, beliau turut mempertikaikan janji-janji kerajaan PKR Selangor yang sehingga ke hari ini tidak sampai 30 peratus yang telah terlaksana sepertimana yang pihak Pakatan Pembangkang janjikan ketika PRU sebelum ini.

"Mana dia janji-janji pembangkang? Berapa peratus yang telah mereka tunaikan? Ingat tak lagi, satu peristiwa di mana rakyat kita diculik oleh Abu Sayyaf. Lelaki itu adalah warga Subang. Tapi siapa yang berusaha keras menyelamatkan lelaki itu kalau tidak UMNO? Mana Sivarasa yang sebagai Ahli Parlimen Subang? Kenapa beliau tak tolong?

"Sebab itu saya tegaskan sekali lagi, Pakatan Pembangkang hanyalah juara pacak bendera. Mereka tidak tahu untuk berkhidmat pada rakyat. Apa yang mereka mahu hanyalah kuasa. Tidak seperti UMNO. Biarpun ada kelemahan di sana sini, namun keikhlasan dan perjuangan UMNO dalam membela rakyat saya rasa tidak dapat dipertikaikan," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta agar ahli-ahli Pemuda UMNO terus bersatu kukuh sebagai tulang belakang BN. Katanya, pemuda UMNO hari ini khususnya, dan umat Melayu amnya sudah tidak mampu lagi untuk berpecah.

"Pemuda UMNO perlu bersatu. Elakkan dari sebarang pecah belah. Kita perlu ambil iktibar, bahawa 70 peratus daripada punca-punca kita kecundang di beberapa buah negeri dalam PRU lepas adalah disebabkan faktor ini. Berpecah belah tidak akan menjadikan kita semakin kuat.

"UMNO merupakan sebuah parti yang sudah lama berkhidmat untuk rakyat, khususnya pada rakyat Selangor. Sebelum PRU 12, Selangor tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang.  Dan saya yakin, sekiranya Pemuda UMNO bersatu, ikhlas dan tidak mementingkan diri sendiri, kejayaan dan kemenangan adalah milik UMNO dan BN di Selangor.

"Dan anggaplah kemenangan dan kejayaan BN di Selangor kelak InsyaAllah,  sebagai satu hadiah kepada PM kita, Datuk Seri Najib yang juga sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor," tegas beliau. -MediaUMNO

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...