UMNO Online - “Mangsa Ribut Di Tujuh Kampung Di Kijal Dapat Pembelaan” plus 9 more |
- Mangsa Ribut Di Tujuh Kampung Di Kijal Dapat Pembelaan
- GEMPAR!! Tiada Perbicaraan Tentang Kapal Selam Scorpene di Perancis
- Hakikat 20 Perkara Hanya Memorandum Bukan Perjanjian
- PM Sedia Pertimbangkang Untuk Beri BR1M Pusingan Kedua
- Aksi ‘Bertam Nite’ : Pas Boleh Hentam Mufti Tapi Tidak Kepada Anwar, PKR
- Gabungan NGO Gesa Jangan Malu-malu Dedah Kabinet Bayangan
- BN Sudah Tunaikan Semua Janji Dalam Belanjawan 2012 – Najib
- Pas Terdesak Putar Belit Sedekah Amal Jariah Untuk Siapakan Lebuh Raya
- Liow Layak Dapat “WWW 15″ Secara Percuma – JPJ
- Kesan DAP Tumpu Projek Mewah Tanah Orang Melayu Tinggal Kurang 23 Peratus
Mangsa Ribut Di Tujuh Kampung Di Kijal Dapat Pembelaan Posted: 08 Jun 2012 05:28 AM PDT KEMAMAN, 8 Jun – Penantian 92 mangsa ribut di tujuh kampung di Kijal yang menanggung kerugian berikutan bencana alam itu pada 25 Mei lepas terubat apabila kerajaan negeri Terengganu hari ini tampil menghulurkan bantuan meringankan beban mereka. Bantuan tersebut meliputi membaik pulih rumah yang rosak serta membina tiga rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang setiap seunit bernilai RM33,000 bagi menggantikan tiga rumah mangsa yang ranap teruk dalam kejadian itu. Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Said berkata setakat ini 84 rumah telah siap dibaik pulih sementara lima lagi masih dalam proses baik pulih. “Kerja-kerja pembinaan rumah PPRT pula dijangka akan dimulakan minggu depan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Ribut dan Penyerahan Baucer Bantu Niaga di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Anak Dara, dekat sini hari ini. Bagaimanapun beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman berkata nilai keseluruhan bantuan yang disalurkan setakat ini masih lagi belum dapat dianggarkan. Pada majlis berkenaan itu, setiap keluarga mangsa turut menerima bantuan berjumlah RM15,000 daripada Agrobank Terengganu dan RM30,000 daripada Petronas Wilayah Timur. Agrobank tampil memberikan sumbangan berupa bantuan wang tunai dan pembiayaan membaik pulih rumah yang rosak teruk membabitkan pemberian sebanyak RM1,000 kepada SK Bukit Anak Dara yang turut rosak dilanda ribut, RM500 untuk setiap mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan RM250 untuk mangsa yang mengalami kerosakan sederhana. Bagi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata sementara mangsa yang mengalami kerosakan rumah minimum menerima RM100 selain semua mangsa terlibat turut diberikan bantuan dalam bentuk barang keperluan dapur. Menurutnya, Agrobank berharap bantuan tersebut dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung mangsa ribut yang kebanyakan terdiri daripada golongan petani dan nelayan yang merupakan antara kumpulan sasar institusi perbankan mereka. Semasa kejadian ribut dan puting beliung yang menyerang tujuh kampung di daerah ini dua minggu lalu, Kampung Bukit Anak Dara menjadi kawasan yang paling teruk terjejas apabila 34 rumah rosak teruk diikuti dengan enam kampung lain iaitu Kampung Tengah, Kampung Darat, Kampung Titian Berayun, Kampung Ibai Penunjuk, Kampung Che Wan dan Kampung Teluk Kalong. Dalam perkembangan lain pada majlis berkenaan, seramai 106 penduduk kawasan Kijal menerima baucer bantu niaga agar penerima dapat memanfaatkan bantuan dalam bentuk peralatan yang diberikan untuk menambah pendapatan keluarga masing-masing. |
GEMPAR!! Tiada Perbicaraan Tentang Kapal Selam Scorpene di Perancis Posted: 08 Jun 2012 05:21 AM PDT Isu kapal selam scorpene yang ditimbulkan oleh SUARAM a.k.a pembangkang, telah berlanjutan sejak aduan dibuat mengenainya di mahkamah Perancis pada November 2009. Secara ringkasnya, SUARAM telah menuduh bahawa syarikat pembuat iaitu DCNS dari Perancis telah membayar rasuah sejumlah EURO114 juta kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd dari Malaysia dengan kerjasama seorang model dari Mongolia, Altantuya Sharibuu, yang kemudiannya dibunuh kejam kerana meminta bahagiannya. Menurut kenyataan Pengarah SUARAM, Dr. Kua Kia Soong, "SUARAM percaya terdapat sesuatu yang lebih besar di sebalik pembunuhan Altantuya dan ianya ialah persoalan tentang sekurang-kurangnya RM500 million komisen di atas RM7 billion pembelian kapal selam scorpene." Secara tidak langsung, namun jelas lagi terang, Dr. Kua menuduh bahawa kerajaan atau Perdana Menteri terlibat dalam rasuah dan juga pembunuhan. SUARAM juga membuat beberapa kenyataan lanjutan dan berterusan membayangkan bahawa kes ini kini sedang dibicarakan di mahkamah Perancis. Malah, SUARAM juga menyeru sumbangan rakyat Malaysia untuk membantu mereka menanggung kos kes ini di mahkamah Perancis. Untuk itu, SUARAM mengadakan majlis makan malam dengan jualan meja semahal RM10,000 – pastinya, untuk menutup jejak bahawa mereka didalangi dan ditaja oleh sesuatu pihak untuk menipu. Tidak dapat dipastikan berapa kerat rakyat Malaysia yang telah menyumbang kepada SUARAM untuk memanjangkan fitnah tersebut. Kita tidak yakin ada rakyat yang sebegitu bodoh untuk menaja SUARAM 'makan-angin' ke Perancis. Tetapi, jika ada yang telah menyumbang, inilah disarankan agar mereka mendesak SUARAM disiasat dan diaudit untuk mendapatkan kembali wang mereka. Ini kerana, sumber-sumber terkini memaklumkan bahawa kes kapal selam scorpene ini, pada hakikatnya tidak pun dibawa ke mahkamah Perancis. Mengikut undang-undang Perancis, sistem kehakimannya membolehkan hakim menyiasat atau menyelidik sesuatu kes secara bebas. Hakim juga boleh menyoal saksi, orang yang disyaki dan mengarahkan siasatan bagi mengumpul fakta dan bukti. Dimaklumkan juga bahawa dalam kes kontrak penjualan kapal selam yang ditandatangani oleh DCN dengan Pakistan dan Taiwan, keraguan yang berbangkit ialah bahawa rasuah yang berlaku adalah melibatkan DCN dengan parti politik Perancis. Hakikatnya, Pejabat Pendakwaraya Paris ada melakukan siasatan berkenaan penjualan kapal selam yang membabitkan DCN dengan negara-negara lain termasuk Malaysia dan tumpuan siasatan mereka adalah antara DCN dengan ahli-ahli atau parti politik Perancis. Aduan SUARAM telah diambilkira dalam skop siasatan ini. Justeru, apa yang digambarkan oleh SUARAM bahawa kerajaan Malaysia telah diheret ke mahkamah Perancis dan Perdana Menteri kita akan disapina adalah bohong sama sekali. Isu pembelian scorpene oleh Malaysia tidak pernah dibawa ke mahkamah dan segala kenyataan akhbar dan taklimat oleh SUARAM mengenainya adalah berdasarkan penipuan semata-mata. Seharusnya, isu rasuah scorpene ini tidak timbul langsung memandangkan penafian dan penjelasan terperinci secara berfakta telah pun dibuat berkali-kali di parlimen. Selain itu, Dato' Seri Najib sendiri telah bersumpah sebanyak 4 kali menyatakan tidak mengenali Altantuya dan alibinya serta Datin Seri Rosmah pada waktu kejadian juga amat kukuh sekali. Malah, penyebar fitnah tersebut, iaitu Raja Petra Kamaruddin (RPK) juga telah tampil membuat pengakuan bahawa dia hanya mereka-reka cerita. Namun, SUARAM tetap tegar untuk memainkan isu yang tidak ada ini seolah-olah begitu terdesak sekali untuk memburukkan kerajaan. Kita berkata demikian, kerana jika tujuan mereka bukan untuk memburukkan kerajaan, mereka sewajarnya tidak berbuat bising dan menunggu sahaja perbicaraan selesai. Bagaimanapun kini kita faham masalah SUARAM yang tidak boleh duduk diam, iaitu kerana kes tersebut tidak dibicarakan pun! Tujuan SUARAM menipu tidak sukar untuk dibaca kerana SUARAM dan pembangkang merupakan satu entiti yang sama. Memandangkan jangkahayat pembangkang hanya bergantung kepada kehebatan mereka menipu maka mereka melihat tiada salahnya mengambil risiko jika penipuan mereka dikantoikan dalam isu scorpene ini, kerana yakin penyokong-penyokong tegar mereka tetap akan percaya apa saja – sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya selesai. Dengan pilihanraya semakin hampir, scorpene adalah satu-satunya isu yang mampu digunakan untuk terus mengelirukan pengundi agar meragui kepimpinan Dato' Seri Najib. isuhot.com |
Hakikat 20 Perkara Hanya Memorandum Bukan Perjanjian Posted: 08 Jun 2012 05:11 AM PDT Pada 25 Mei lepas, saya diundang merasmikan Bengkel Cyber Troopers Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah di sebuah hotel di Kota Kinabalu. Seperti biasa, saya berucap tanpa menggunakan teks. Topik bengkel berkaitan langkah menangani cabaran dunia siber. Luas dan umum sifatnya. Dalam ucapan selama kira-kira 30 minit itu, saya menyentuh banyak perkara. Antaranya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing. Slogan `Sabah for Sabahan’ yang dicanangkan pembangkang. Perjanjian 20 Perkara. Juga saya sentuh mengenai pembangunan. Saya katakan, semua isu itu perlu diberi perhatian oleh generasi muda. Lebih penting, ia perlu diperjelaskan kepada rakyat. Supaya rakyat tidak keliru atau dikelirukan oleh pihak pembangkang. Esoknya, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris mengambil isu 20 Perkara sebagai tajuk utama di muka hadapan. Terkejut juga saya bila melihatnya. Sebab seingat saya, saya cuma menyentuh hal itu secara sepintas lalu, kira-kira lima minit. Saya mendapatkan akhbar lain. Ternyata tiada satu pun tulis mengenai 20 Perkara. Akhbar lain mengambil topik politik biasa dan isu pembangunan. Di situlah bermulanya polemik dan kontroversi. Akhbar yang sama menyiarkan reaksi dan susulan, komen dan ulasan pelbagai pihak. Semuanya menghentam saya secara peribadi. Saya mengingati kembali ucapan saya. Saya langsung tidak menyentuh soal `kesahihan’ 20 Perkara sebagaimana yang tergambar dalam laporan akhbar itu. Saya berucap dalam Bahasa Melayu, tetapi apabila ditulis dalam Bahasa Inggeris, ia barangkali dibuat berasaskan persepsi wartawan yang menulis, yang kemudian dirumuskan mengikut kefahaman editor ketika membuat tajuknya. Sebab itulah, tajuk yang dibuat tidak sama dengan isi yang ditulis dalam laporan tersebut. Saya memahami kebebasan media dalam konteks sistem demokrasi. Sebab itu, saya tidak membuat penafian atau menyalahkan sesiapa. Dua hari selepas itu, saya sekadar membuat penjelasan menerusi Bernama mengenai kedudukan dokumen 20 Perkara itu, setelah membaca bermacam-macam komen negatif mengenainya, yang semuanya bersifat emosi dan peribadi. Di dalam penjelasan itu, saya nyatakan bahawa penjelasan sebenar berhubung dokumen 20 Perkara bagi melindungi Sabah berikutan pembentukan Malaysia perlu dibuat bagi mengelak parti pembangkang memperalatkannya untuk kepentingan politik. Soal kesahihan sebenarnya tidak berbangkit kerana pada hakikatnya, 20 Perkara itu hanya memorandum dan bukan perjanjian yang ditandatangani. Dan ada antara perkara tersebut yang telah pun dimasukkan ke dalam dokumen perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Negara. Secara peribadi, saya menerima dan menghormati segala pandangan dan komen yang diberikan. Tapi apa yang boleh saya katakan bahawa sebahagian besar komen tersebut bersifat emosional dan peribadi, bukan bersandarkan fakta atau prinsip perundangan. Dalam isu serius seperti 20 Perkara ini, kita tidak seharusnya tenggelam dalam emosi sehingga lupa apa sebenarnya yang diungkapkan. Saya berasa agak sedih juga sebab ulasan-ulasan yang diberikan kebelakangan ini sudah terkeluar daripada topik asal, sehinggakan ada yang meminta saya memohon maaf, malah ada yang mendesak saya meletakkan jawatan. Itu semua tidak masuk akal, dan didorong elemen politik. Jika diamati penjelasan yang saya telah berikan bahawa soal kesahihan 20 Perkara tidak pernah berbangkit, maka komen atau ulasan hendaknya tidak berulang-ulang mengenai `kesahihan’ lagi. Lebih penting, komen seharusnya lebih fokus dan mereka yang mengulas hendaklah memahami bahawa dokumen 20 Perkara itu bukannya perjanjian, cuma memorandum. Di sini elok barangkali saya ringkaskan terjemahan saya mengenai apa yang disebut dalam dokumen 20 Perkara. Terjemahan saya ini mungkin dipersetujui ataupun tidak oleh pembaca. Ini adalah perkara biasa dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan kebebasan memberi pandangan sesuai dengan sistem demokrasi. Saya hormati sebarang terjemahan dan mungkin kita boleh “bersetuju untuk tidak bersetuju.” Pada saya secara umum, Perkara 20 merupakan memorandum yang dibentangkan oleh pakatan parti-parti politik utama Sabah kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee) yang telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan merangka draf Perlembagaan baru untuk Persekutuan Malaysia yang baru dengan mengambil kira perlindungan dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak. Memorandum 20 Perkara ini merupakan perlindungan perlembagaan yang paling minima yang Pakatan parti-parti politik Sabah mahukan. Wakil-wakil Sarawak juga telah bentangkan Perkara 18 mereka untuk tujuan yang sama. Saya mendapati Jawatankuasa IGC sudah menggabungkan atau memasukkan perlindungan-perlindungan Perkara 20 dan 18 ini bila mereka membuat pindaan-pindaan relevan terhadap Perlembagaan Malaya ketika itu. Semua pindaan-pindaan perlembagaan ini boleh dilihat di dalam Bab 3 Laporan Jawatankuasa IGC ini. Dari sisi undang-undang, saya rasakan Perkara 20 sebagai memorandum perkara-perkara minima untuk perlindungan khas Sabah di dalam Perlembagaan bukanlah dokumen undang-undang yang boleh mengikat atau berkuasa. Ianya cuma relevan untuk menjadi bahan rujukan apabila Mahkamah tidak boleh menafsirkan Perlembagaan Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia secara tepat. Artikel 8 dalam Perjanjian Malaysia pula teramat penting kerana ia mewajibkan Kerajaan Malaya, Sabah dan Sarawak untuk mengambil langkah-langkah perundangan ataupun eksekutif untuk merealisasikan pengesyoran Bab 3 Laporan IGC (Lampiran A dan B) sekiranya ia tidak dilindungi atau didapati dalam Perlembagaan Malaysia. Oleh itu, sekiranya salah satu Perkara 20 tidak diambil kira oleh Jawatankuasa IGC dan tidak tertulis di dalam pengesyoran Bab 3 Laporan IGC, maka Perkara 20 tidak lagi relevan ke tahap itu. Hak-hak yang termaktub di dalam Perkara 20 bergantung kepada Laporan IGC yang menjadi sumber asas untuk Perjanjian Malaysia dan seterusnya Perlembagaan Malaysia. Sebagai contoh, salah satu Perkara 20 yang tidak direkodkan ke dalam Laporan IGC merupakan Perkara No. 3 yang mengharuskan setiap pindaan terhadap Perlembagaan Sabah perlu mendapat persetujuan rakyat (melalui referendum). Namun ini tidak dilihat di dalam Laporan IGC. Maka dengan itu, Perkara 3 ini tidak lagi relevan untuk masa sekarang. Kita seharusnya mengkaji Bab 3 dari Laporan IGC untuk mengenal pasti pengesyoran mana yang belum lagi dikuatkuasakan untuk melindungi hak dan kedudukan Sabah dalam Malaysia. Dan bukannya menguatkuasakan Perkara 20 kerana ia bukannya dokumen undang-undang yang relevan untuk masa kini. Datuk Seri Salleh Said (Penulis adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah) |
PM Sedia Pertimbangkang Untuk Beri BR1M Pusingan Kedua Posted: 08 Jun 2012 04:19 AM PDT KULIM, 8 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sedang mempertimbangkan cadangan untuk meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pusingan kedua. “Saya sedang pikiaq (fikir), pikiaq,” katanya kepada lebih 30,000 pengunjung pada Program Jelajah Janji Ditepati di Taman Teknologi Tinggi Kulim di sini hari ini. Katanya BR1M adalah antara janji yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat dalam usaha mengurangkan beban rakyat. Najib berkata kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang boleh menjamin perkara-perkara yang penting kepada rakyat seperti keamanan, kestabilan dan keharmonian. “Hari ini saya tengok ramai yang berhimpun tetapi polis yang ada `happy’ (gembira) je. Takde rasa cemas, takde pun nak guna `shield’ (pelindung). Depa (mereka) sana, mereka buat huru hara, kacau bilau dan serang polis. Bolehkah sandarkan harapan kepada mereka (pembangkang) untuk menjaga negara,” katanya. Katanya rakyat Malaysia tidak sukakan suasana hura-hara kerana negara ini merupakan sebuah negara yang makmur dan bukan seperti negara-negara yang berlaku revolusi Arab atau ‘Arab Spring’. Najib berkata Malaysia mampu mencapai kadar pertumbuhan yang baik dan gaji penjawat awam dinaikkan berikutan pentadbiran BN yang cekap sedangkan penjawat awam di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, bukan sahaja gaji tidak dinaikkan malah ada yang terpaksa dipotong gaji mereka. Najib berkata ada pemimpin tertentu menggunakan fatwa ulama terkenal Yusuf Al Qaradawi bahawa kerajaan yang zalim wajib digulingkan, tetapi fatwa itu sebenarnya untuk Mesir dan Libya dan bukan untuk Bahrain, Qatar, Arab Saudi dan Malaysia atau negara-negara lain. “Hanya untuk dua negara itu sahaja. Di Malaysia kita bukan kerajaan zalim. ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pun dah takde. Kini ada undang-undang perhimpunan aman. “Sesiapa pun boleh boleh berhimpun asalkan aman. Pembangkang pun boleh buat,” katanya. |
Aksi ‘Bertam Nite’ : Pas Boleh Hentam Mufti Tapi Tidak Kepada Anwar, PKR Posted: 08 Jun 2012 04:13 AM PDT KUALA LUMPUR 8 Jun – 'Bertam nite' yang menyajikan aksi panas dilihat bakal menjadi satu lagi episod tutup mulut bagi pemimpin utama Pas sepertimana peristiwa sokongan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Israel yang disiarkan di dalam Wall Street Journal (WSJ) pada satu ketika dahulu. Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, Ustaz Hj Afandi Yusof berkata sesuatu yang tidak pelik dan umpama menunggu 'kucing bertanduk' jika ianya berhubungkait dengan Anwar, Pas akan kelu dan sepi. Menurut beliau jika ada sekalipun ianya mungkin hanya sekadar melepaskan batuk ditangga dalam usaha menujukkan kepada umum konon-kononnya mereka tidak setuju dengan perkara tersebut. “Tetapi percayalah teguran berkenaan penuh berlapik dan bukannya segarang dengan hentaman dan kutukan terhadap mana-mana pihak lain khususnya musuh pilitik mereka iaitu UMNO. “Bila terkena batang hidung rakan sekutu mereka sendiri pandai pula cari alasan yang bermacam-macam. Tengok sajalah isu Anwar dan Isarel… Sehingga ke hari ini difahamkan Majlis Syura Ulama masih lagi belum ada pendirian yang konsisten. “Jadi apa yang saya nampak dalam isu Bertam Nite ini tidak mustahillah ianya bakal menjadi satu lipatan sejarah kedua bagi Pas. Hendak ditelan mati bapak, diluah mati emak. Begitulah yang boleh kita andaikan," katanya kepada UMNO-Online di sini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan program anjuran PKR di Bertam yang mana program berkenaan yang dipanggil Bertam Nite dikatakan turut menyajikan persembahan artis wanita yang menjolok mata. Ustaz Afandi yang juga Ketua Pemuda UMNO Rantau Panjang seterusnya menimbulkan kehairanan dengan sikap Pas yang hanya nampak kesalahan pihak lain tetapi menikus bila terkena batang hidung rakan-rakan mereka sendiri. “Bila 'time' menghentam kerajaan,tak ingat dunia… mufti dan sebagainya jadi bahan mainan mereka..Inilah yang tidak sepatutnya berlaku. Jadi kepada rakyat, ianya wajar dijadikan satu penilaian bermakna untuk renungan bersama," katanya. -MediaUMNO |
Gabungan NGO Gesa Jangan Malu-malu Dedah Kabinet Bayangan Posted: 08 Jun 2012 03:24 AM PDT KUALA LUMPUR, 8 Jun – Desakan-desakan penulis blog, termasuk beberapa pemimpin BN dan NGO yang meminta supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kabinet bayangan sehingga kini dipandang sepi termasuklah dengan para pemimpin Pakatan Pembangkang yang lain. Tindakan Pakatan Pembangkang itu sebenarnya mula menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan masyarakat awam, yang juga menaruh harapan agar Pakatan Pembangkang mendedahkan senarai kabinet bayangan itu agar masyarakat boleh membuat penilaian terhadap kepimpinan yang disenaraikan oleh Pakatan Pembangkang. Menurut Setiausaha Gabungan NGO Malaysia, Ramli Jurit, para pemimpin dalam Pakatan Pembangkang tidak berani memberikan kenyataan tentang isu kabinet bayangan ini kerana sehingga hari ini mereka tidak mempunyai satu perjanjian yang sah untuk menyimpulkan satu matlamat bersama antara ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Pembangkang. "Mereka ini saya ibratakan seperti orang yang sedang berkesedudukan. Kalau dalam bahasa biasanya, berkesedudukan ini adalah orang yang tinggal bersama tanpa sebarang ikatan yang sah. Begitulah ibaratnya Pakatan Pembangkang. Mereka duduk bersama, ketawa bersama berbual bersama tetapi antara mereka tidak ada satu perjanjian yang sah. "Sebab itu, masing-masing tidak mahu memberikan komen tentang kabinet bayangan ini kerana ketiga-tiga parti ini mempunyai hala tuju dan matlamat yang berlainan. Bagi saya, sebelum bercita-cita untuk memerintah negara, Pakatan Pembangkang sepatutnya mengadakan perjanjian bersama yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Pembangkang dalam menentukan hala tuju dan matlamat mereka," katanya kepada UMNO Online di sini hari ini. Ini jelas berbeza dengan BN yang secara rasminya mengikat perjanjian yang sah dan dipersetujui bersama di antara parti-parti komponen yang bergabung di bawah patung BN. Sebab itu katanya, pemimpin Pakatan Pembangkang tidak berani bersuara tentang kabinet bayangan ini, kerana sehingga hari ini mereka tidak ada sebarang perjanjian supaya ketiga-tiga parti itu tidak hanya mahu menegakkan ideologi parti masing-masing, sebaliknya mengikut ketetapan bersama yang telah ditetapkan di dalam perjanjian atau ikatan yang dibuat bersama. "Jelas di sini mereka cuba untuk memperbodohkan rakyat di negara ini. Mereka sepatutnya sudah ada satu perjanjian bersama yang sah. Takkan bila dah menang, baru nak buat perjanjian bersama? “Sekiranya ini berlaku, ia akan menimbulkan masalah yang lebih teruk dan huru hara kerana ada kemungkinan di mana berlakunya perebutan jawatan di antara ketiga-tiga parti ini yang bakal merosakkan keharmonian dan keamanan negara," tegas beliau. Manakala menurut Presiden Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris Malaysia), Datuk Malik Ranting, Pakatan Pembangkang seharusnya tidak perlu untuk bersegan silu mendedahkan senarai kabinet bayangan mereka itu. "Kita sebagai rakyat di negara ini, mahu tengok juga siapa bakal-bakal pemimpin yang bakal-bakal menjadi menteri di kementerian dan portfolio. Barulah rakyat boleh menilai, sejauh manakah kredibiliti pemimpin-pemimpin yang dipilih untuk menerajui pentadbiran di negara ini. Mengapa mereka perlu takut dan berdiam diri tentang isu ini. "Sekiranya para pemimpin Pakatan Pembangkang benar-benar ikhlas untuk membela rakyat sepertimana dakwaan mereka itu, maka dedahkanlah senarai kabinet bayangan mereka itu kepada rakyat secara umumnya," jelas beliau. -MediaUMNO |
BN Sudah Tunaikan Semua Janji Dalam Belanjawan 2012 – Najib Posted: 08 Jun 2012 03:05 AM PDT KULIM, 8 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan telah menunaikan semua janji yang dibuat dalam Belanjawan 2012 bagi membuktikan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang mengotakan janji yang dibuat. Perdana Menteri berkata BN yakin akan dapat membuat lebih banyak perubahan kepada negara ini dan kerana itu mereka memerlukan mandat yang lebih besar pada pilihan raya umum kelak. “Kerajaan mahukan mandat penuh, bukan sipi-sipi. Kita nakkan kemenangan besar untuk jamin kejayaan yang lebih baik untuk negara kita yang tercinta ini,” katanya ketika melancarkan program Jelajah Janji Ditepati di Kulim Hi-Tech Park di sini hari ini. Beliau berkata tempoh tiga tahun sejak beliau menjadi Perdana Menteri hanyalah permulaan kepada transformasi yang lebih besar yang akan dilakukan oleh BN terhadap negara dan rakyat ini. “Kita akan bekerja lebih kuat. Di Kedah kita banyak idea, kita tidak lupakan Kedah walaupun Kedah kini dikuasai pembangkang. Orang Kedah sendiri mahukan banyak perubahan,” katanya. Perdana Menteri berkata ikatan yang kuat antara kerajaan dan rakyat bukanlah kerana perasaan membuta tuli atau sikap taksub kepada pemimpin tetapi berdasarkan kepada kemampuan kerajaan untuk menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat. Katanya BN sebagai kerajaan bertanggungjawab telah berjanji untuk mengurangkan beban rakyat dan itulah yang ditunaikan kerajaan. “Kita janji beri BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kita beri. Janji nak beri RM100 kepada pelajar sekolah kita beri. Begitu juga Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia. Bila banjir kita beri tilam, dapur. “Prinsip BN kata dikota. Mereka (Pembangkang) kata diauta. Depa tak buat apa yang dijanjikan. Di Kedah, dalam pilihan raya umum dulu kalau menang ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ tetapi kini mana nikmatnya dan apa yang orang Kedah dapat. “Depa janji tak dikota jadi auta. Bagi rakyat Kedah, jika mereka mahukan lebih banyak pembaharuan mereka perlu mulakan dengan politik pada pilihan raya umum nanti,” katanya. Beliau berkata bagi, BN masih banyak yang perlu dibuat dan rakyat diminta yakin dengan BN kerana BN adalah contoh terbaik kerajaan yang berjaya memajukan negara dan rakyat. |
Pas Terdesak Putar Belit Sedekah Amal Jariah Untuk Siapakan Lebuh Raya Posted: 08 Jun 2012 02:56 AM PDT KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kegagalan Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pentadbiran Pas dengan Menteri Besarnya adalah Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melaksanakan projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer sehingga meminta derma daripada rakyat atas konsep sedekah dan amal jariah adalah sesuatu yang tidak wajar. Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub menyelar konsep sedemikian dan menganggap bahawa ia adalah umpama mimpi di siang hari yang ditimbulkan oleh Pas lantaran menyedari bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir. "Secara logiknya, dalam kiraan kasar rakyat Kelantan adalah seramai 1.5 juta orang dan sekiranya Nik Aziz beria-ia mahukan amal jariah dari setiap rakyat negeri Kelantan maka setiap seorang daripada mereka perlulah memberi sumbangan sebanyak RM2,000 bagi mendapatkan keseluruhan jumlah kos pembinaannya yang bernilai lebih 1.8 bilion," katanya kepada UMNO-online hari ini. Terang beliau, kos 1.8 bilion tersebut adalah nilai anggaran yang dibuat beberapa tahun dulu maka sudah tentulah pada harga semasa hari ini kosnya sudah bertambah sekali ganda atau lebih dari itu yang tentunya jumlah 'amal jariah' yang perlu disedekahkan oleh rakyat Kelantan juga adalah bertambah. "Ini adalah cerita karut yang dilakukan oleh Pas dalam menyimpang atau mengelirukan fahaman rakyat khususnya di Kelantan kononnya rakyat Kelantan membuka peluang kepada rakyatnya memberi sumbangan untuk bersama-sama melakukan amal jariah. "Jika difikirkan, selama lebih 20 tahun mentadbir Kelantan, berapa banyak masjid yang telah dibina dengan sedekah dan amal jariah oleh kerajaan negeri sendiri?" Kelmarin, dilaporkan seramai 400 ahli badan bukan kerajaan (NGO) menyertai demonstrasi sukarelawan ‘Tukar Acu Test Sepenggal’ atas dasar protes terhadap projek pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) di bawah Kerajaan Negeri yang menggunakan wang rakyat dengan turut membawa peralatan seperti kereta sorong, cangkul, penyodok dan penyapu sampah sebagai sindiran terhadap kerajaan negeri. Lantaran itu, Ketua Penerangan Pas, Dr Mohd Fadhli Hassan telah menyifatkan kumpulan tersebut sebagai golongan yang tidak memahami dosa dan pahala. "Mereka cuba kelirukan rakyat dengan bercakap soal kerohanian, sebut tentang dosa pahala, sedekah dan amal jariah apabila apa yang dilakukan oleh pihak selain daripada mereka sedangkan bagaimana pula dengan tindakan ahli-ahli Pas termasuklah Nik Aziz yang mengakui sendiri memberi sumbangan kepada orang-orang yang terlibat dalam perhimpunan haram Bersih 3 yang mana ia terang-terangan melakukan kekacauan dan mengundang kerosakan kepada negara? "Yang mana lebih berdosa antara demonstrasi aman yang dibuat oleh NGO menentang Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan wang rakyat dan menuntut pelaksanaan janji-janji untuk pembangunan dengan demonstrasi Bersih 3 yang bukan saja menyebabkan huru-hara, kepincangan ekonomi dan juga kecederaan serta kerosakan pelbagai kemudahan awam. Fatwa mana yang membolehkan wujudnya dosa untuk NGO ini dan dapat pahala untuk Bersih 3 yang berniat melakukan rusuhan," tegasnya lagi. Katanya, kegagalan kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas melaksanakan pembangunan telah ditutup dengan taktik politik jahat mereka. "Pas yang bukan saja memperalatkan rakyat tetapi mempergunakan agama Islam dengan memutarbelit fatwa untuk kepentingan peribadi dan agenda politik mereka menjelang PRU ke-13." – MediaUMNO |
Liow Layak Dapat “WWW 15″ Secara Percuma – JPJ Posted: 08 Jun 2012 02:25 AM PDT KUALA LUMPUR, 8 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menjelaskan bahawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai layak mendapatkan nombor pendaftaran ‘WWW 15′ secara percuma untuk kenderaan rasminya, sesuai dengan kelayakan yang diberi kepadanya oleh kerajaan. Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata seseorang berjawatan menteri layak untuk mendapatkan nombor pendaftaran secara percuma untuk kenderaan rasminya. Liow juga mempunyai pilihan sama ada membayar dengan harga tertinggi yang ditawarkan iaitu RM24,200 untuk mendapatkan nombor pendaftaran itu atau menolak kedua-dua tawaran tersebut jika tidak berminat, katanya. Solah berkata JPJ menerima permohonan untuk mendapatkan nombor ‘WWW 15′ daripada Liow untuk kegunaan kenderaan rasmi melalui surat permohonan bertarikh 14 Mei 2012, iaitu pada hari terakhir nombor pendaftaran ‘WWW’ dibuka untuk bidaan. Katanya Jawatankuasa Penilai Tempahan Nombor Pendaftaran Siri ‘WWW’ seterusnya memutuskan bahawa nombor pendaftaran itu ditawarkan kepada Liow dengan harga tertinggi iaitu RM24,200. Beliau berkata JPJ juga memaparkan nama pembida berjaya kepada umum selaras dengan prinsip ketelusan yang diamalkan dalam pengurusan tempahan nombor pendaftaran. “Ia juga kerana bidaan telah dibuat oleh orang ramai, sudah tentu mereka ingin tahu siapa yang memenangi nombor yang dibida. Pemenang bagi siri-siri sebelum ini juga kita paparkan,” katanya. |
Kesan DAP Tumpu Projek Mewah Tanah Orang Melayu Tinggal Kurang 23 Peratus Posted: 08 Jun 2012 02:18 AM PDT PULAU PINANG, 8 Jun – Tanah hak milik orang Melayu di Pulau Pinang kini hanya tinggal kurang dari 23 peratus berbanding lebih 60 peratus beberapa tahun lalu apabila ramai dikalangan orang Melayu yang menjual tanah mereka kepada pemaju hartanah ekoran tawaran harga tinggi yang ditawarkan kepada mereka. Perkara ini didedahkan oleh Ketua UMNO Bahagian Tanjong, Datuk Ahmad Ibnihajar yang mendakwa kini, ramai orang Melayu telah menjual tanah-tanah mereka di kawasan Balik Pulau dan kini projek pembinaan rumah mewah di tanah-tanah Melayu yang terjual itu sedang rancak dijalankan. "Perkara ini memang amat membimbangkan. Apatah lagi, rumah-rumah yang mereka (Kerajaan DAP) bina hari ini, berharga ratusan ribu malah ada yang mencecah jutaan ringgit. “Sudah tentu, rakyat di negeri Pulau Pinang, terutama golongan sederhana khususnya orang-orang Melayu tidak akan mampu untuk membeli rumah-rumah tersebut. Bahkan, peniaga-peniaga yang terdiri dari kaum Cina di Pulau Pinang sendiri tidak mampu untuk membeli rumah-rumah berkenaan," jelas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini. Tambahnya lagi, rumah-rumah mewah tersebut kebanyakkan dijual kepada orang-orang luar seperti warga dari Singapura dan Hong Kong, untuk dijadikan sebagai rumah kedua bagi warga negara dari luar tersebut. Apa yang beliau kesalkan, setakat ini kerajaan DAP yang mendakwa sebagai sebuah kerajaan yang prihatin kepada rakyat, tidak menumpukan perhatian untuk membina rumah-rumah kos rendah untuk rakyat berpendapatan sederhana di negeri tersebut. "Saya lihat Penang Development Corporation (PDC) yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membina rumah kos rendah ini pun sudah mula lari dari tujuan asalnya. Manakala, bukit-bukit di sekitar kawasan Balik Pulau juga sudah mula ditarah untuk dibina kondominium yang berharga ratusan ringgit," jelasnya. Tambahnya, antara kawasan-kawasan bukit yang kini sedang ditarah untuk projek pembinaan rumah-rumah mewah adalah di sekitar kawasan Teluk Bahang dan Batu Feringgi. Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad mendedahkan bahawa orang Melayu yang memiliki tanah di kawasan ini kini dihujani tawaran supaya mereka menjualnya kepada sebuah syarikat pemaju swasta untuk dibangunkan "Sehingga kini, orang-orang Melayu masih ada yang menjual tanah mereka kepada pemaju, biarpun kita sudah menasihati mereka agar tidak gelap mata dalam hal ini. Masakan tidak, kini harga tanah di Pulau Pinang boleh mencecah RM 40 sekaki. "Kita hanya mampu menasihati mereka,agar tidak gelap mata dengan tawaran harga yang tinggi yangdiberikan oleh pemaju, tetapi jika mereka mahu juga menjual tanah pusaka hak milik mereka itu, kita tak boleh nak buat apa-apa," jelasnya. -MediaUMNO |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment