UMNO Online - “BERSIH 3.0 : Sokongan Pengundi Cina Terhadap PR Merosot 50 Peratus” plus 9 more | |
- BERSIH 3.0 : Sokongan Pengundi Cina Terhadap PR Merosot 50 Peratus
- Keputusan Lakukan Ibadah Haji Terletak Atas Pilihan Sendiri – Muhyiddin
- Program 1Azam Berkesan Basmi Kemiskinan – Perdana Menteri
- KP1M Bantu Bawa Balik Anak Malaysia Yang Terkandas Di New Zealand – Azeez
- Delegasi Parti Komunis China Tiba Di Malaysia Perkukuh Hubungan
- Penduduk Kesal Tindakan K’jaan P.Pinang Benarkan Pembinaan Bangunan Pencakar Langit
- 47,769 Orang Lepaskan Status Warganegara Sejak 2002 – Hishammuddin
- Anwar Dicabar Gesa Kerajaan Tubuh Suruhanjaya Siasatan DiRaja
- Kerajaan Tidak Sekat Sistem Komunikasi Semasa Perhimpunan 28 April – Rais
- Rakyat Diminta Nilai Hasil Pembangunan Kerajaan
| BERSIH 3.0 : Sokongan Pengundi Cina Terhadap PR Merosot 50 Peratus Posted: 14 Jun 2012 06:21 AM PDT Kita semua tahu, political surveys adalah makanan pemimpin PKR. Mereka sentiasa bercakap berasaskan survey. Antara pemimpin PKR yang paling cekap dalam buat kerja-kerja political surveying ini adalah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Ramai yang tahu. Malahan, apa yang berlaku pada PRU12 yang lalu – memang seperti yang dijangkakan oleh survey yang dibuat oleh Dr Mansor Othman. Salah satu survey yang baru sahaja dilengkapkan oleh pihak neutral – namun turut diketahui oleh Dr Mansor adalah : sejauh mana kesan sokongan pengundi Cina di Selangor (15 kawasan Parlimen) yang dibuat selepas Bersih 3.0. Apa yang sampai kepada telinga Dr Mansor memang mengerikan Jawatankuasa Strategik PKR. Mereka cukup takut dengan survey bebas yang baru dilaksanakan ini. Antara kesimpulan yang diperoleh adalah seperti berikut:- Sokongan pengundi Cina di 15 kawasan Parlimen di Selangor kepada Pakatan Rakyat merosot 50 %! Penambahan pengundi Cina di atas pagar yang sangat ketara. Penurunan sokongan pengundi Cina kepada BN sebanyak 2 %. Memang menurut Dr Mansor angka ini masih selamat kepada PR – tapi bagaimana Bersih 3.0 telah meranapkan sokongan pengundi Cina kepada PR? Ini yang menjadi tanda-tanya di kalangan strategis PKR. Mereka pelik kerana ini tidak sepatutnya berlaku. Sepatutnya, pasca Bersih 3.0, sokongan akan meningkat lebih tinggi. Namun, ianya tidak berlaku begitu. Ada beberapa alasan yang dirasakan mungkin boleh menerangkan situasi in i:- Orang Cina menyokong Bersih 3.0 (setelah melihat orang Melayu ramai sewaktu Bersih 2.0). Namun sokongan mereka kepada Bersih dan bukannya kepada PR; Mereka terasa dipermainkan dengan sikap pemimpin PR yang menggunakan mereka untuk kepentingan politik. Fear syndrome – di kalangan pengundi Cina melihat kemungkinan buruk berlaku jika emilih PR (tidak stabil). Kerjasama tidak ikhlas; Serangan kepada integriti Anwar, Azmin dan pemimpin PR lain semakin menghasilkan kesan; Integriti pemimpin Cina seperti Lim Guan Eng sendiri diragui; Kenyataan Anwar bahawa mereka hanya yakin menang dengan 10 kerusi menakutkan pengundi Cina. Tidak mahu apa yang berlaku di Indonesia akan berlaku di Malaysia. Hakikatnya, BN pun tidak menang pengundi Cina selepas Bersih 3.0. Semakin menurun. Tetapi tidak sebesar PR. Apa jadi kalau BN mampu memberikan jaminan stabiliti kepada pengundi Cina. Yang duduk atas pagar pun akan balik kepada BN. Jangan lupa dengan faktor Tun Mahathir. Semasa 2008, Mahathir tidak bersama dengan pimpinan kerajaan. Kali ini, YA. Ada impak? Dr Mansor sendiri mengakui faktor Dr Mahathir mempunyai 'kesan' kepada pengundi. anwaraidc.com |
| Keputusan Lakukan Ibadah Haji Terletak Atas Pilihan Sendiri – Muhyiddin Posted: 14 Jun 2012 05:24 AM PDT KUALA LUMPUR, 14 Jun - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata umat Islam, khususnya anggota Pas, yang berkemampuan untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, tidak perlu mengambil kira bila pilihan raya umum ke-13 akan diadakan. Beliau berkata Rukun Islam kelima itu adalah kewajipan yang ditentukan ke atas umat Islam yang berkemampuan dan mereka yang berpeluang untuk menunaikan ibadah itu akan pergi sekiranya mereka tidak mengutamakan kepentingan politik daripada tuntutan agama. “Pertimbangan untuk membuat pilihan pergi haji atau tidak terletak pada pilihan individu itu sendiri, bukan pertimbangan Mursyidul Am Pas, anggota Pas, saya atau Perdana Menteri. “Adalah tidak wajar kalau sampai giliran, seperti mengikut Tabung Haji, tetapi hanya kerana pilihan raya yang mereka sendiri tidak tahu bila tapi hanya dengar cakap Nik Aziz (Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) supaya jangan pergi, jadi dia tak pergi…mana yang lebih afdal,” katanya kepada pemberita selepas majlis “Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri” di sini, Khamis. Muhyiddin mengulas mengenai permintaan Pas menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi jaminan supaya pilihan raya umum ke-13 akan datang, tidak akan diadakan ketika musim haji tahun ini. Muhyiddin berkata keputusan tarikh pilihan raya terletak atas pertimbangan dan kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mesti mengambil kira kepentingan rakyat dan negara. “Perdana Menteri perlu mengambil kira semua perkara dan situasi yang memenuhi soal kekuatan kerajaan, soal sokongan rakyat dan faktor-faktor lain,” katanya. Justeru itu, beliau sekali lagi mengulangi kenyataannya supaya umat Islam membuat pertimbangan sendiri mengenai kewajipan mereka menunaikan haji tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Mengulas mengenai dakwaan bahawa pembangkang mampu menguasai lebih 100 kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang, Muhyiddin berkata pembangkang sengaja mencetuskan ‘perang saraf’ untuk mempengaruhi rakyat. Muhyiddin, yang juga Pengarah Pilihan Raya Umum ke-13 BN berkata setiap parti politik mempunyai strategi tersendiri untuk memdapatkan sokongan rakyat. |
| Program 1Azam Berkesan Basmi Kemiskinan – Perdana Menteri Posted: 14 Jun 2012 05:16 AM PDT KUALA LUMPUR, 14 Jun - Penyertaan 80,579 rakyat Malaysia dalam program 1Azam menunjukkan keberkesanannya sebagai usaha strategik kerajaan untuk membasmi kemiskinan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata program yang dimulakan pada 2010 itu menyasarkan penyertaan golongan berpendapatan rendah daripada semua kaum termasuk India, Orang Asli dan Bumiputera. “Daripada jumlah itu, 3,280 peserta adalah kaum India, 59 peserta etnik Orang Asli dan 390 Bumiputera minoriti,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) pada persidangan Dewan Rakyat, Khamis. Chong ingin tahu program yang disasarkan untuk membasmi kemiskinan kaum-kaum berkenaan. Najib yang memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kementerian menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat membelanjakan RM1.35 bilion sebagai bantuan kebajikan kepada 473,928 penerima seluruh negara. “Jumlah itu termasuk 52,022 orang kaum India, 1,396 Orang Asli dan 2,323 golongan minoriti,” katanya. Menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah), Najib berkata selaku menteri bertanggungjawab ke atas kementerian itu, beliau amat komited dalam memastikan pembangunan sosial bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi negara. “Tanggungjawab memimpin kementerian ini membolehkan saya melaksanakan lebih banyak inisiatif yang memberi faedah terus kepada golongan yang memerlukan di peringkat akar umbi. “Saya berharap semua agensi kerajaan lain dan pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan, sektor korporat, ahli akademik dan anggota masyarakat, dapat berganding bahu bersama saya untuk meningkatkan kemajuan dan kesejahteraan sosial rakyat Malaysia,” katanya. |
| KP1M Bantu Bawa Balik Anak Malaysia Yang Terkandas Di New Zealand – Azeez Posted: 14 Jun 2012 05:01 AM PDT KUALA LUMPUR, 14 Jun – Penantian seorang ayah untuk menemui dua orang anaknya yang dilarikan isterinya balik ke negara asal di New Zealand sejak 2004 bakal berakhir apabila Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan dan berusaha membawa Muhammad Syayden Ingham,12 dan Muhammad Jamey alano Ingham, 9 dalam masa terdekat. Ia dinyatakan Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim pada sidang media berhubung kes itu pagi tadi berkata, satu pertemuan akan diadakan antara beliau dan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia David Pine, Isnin ini. Abdul Azeez berkata, pihaknya akan memulakan rundingan untuk membawa pulang dua beradik itu dan pada peringkat awal, KP1M akan menyediakan pasport untuk Mariam yang akan ikut serta ke New Zealand bagi membawa pulang cucunya. "Kelab sudah pun menghubungi Pesuruhjaya Tinggi kita di sana untuk membantu proses membawa pulang mereka pertengahan minggu depan. Kita jangkakan ia tidak menghadapi masalah kerana mereka adalah warga negara kita. Jadi kemungkinan tiada kerenah birokrasi," katanya. Hanafi Salleh, 36, seorang nelayan dari Tanjung Agas, Muar, Johor hidup tidak keruan kerana terlalu merindui anak kesayangannya dan sanggup melakukan apa saja untuk membawa pulang mereka termasuk meminta bantuan daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu majlis di Muar April lalu. Hanafi berkata, kesabarannya selama ini untuk kembali bersama dua anaknya itu akhirnya menjadi kenyataan selepas bertemu dengan Abdul Azeez petang kelmarin dan KP1M juga bersetuju untuk membawa pulang permata hatinya yang kini di bawah jagaan Nelson Site Child Youth and Family, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat negara itu. Menceritakan saat hiba kehilangan anaknya itu, Hanafi berkata, kedua-dua mereka dilarikan isterinya waktu itu, Nurul Junaidah Joanne Abdullah, 25 ke negara berkenaan pada 2004 ketika dia sedang bertugas di Eropah bersama sebuah syarikat perkapalan. Katanya, menerusi perbualan dengan isterinya di telefon, dan wanita itu memaklumkan bahawa dia membawa anak mereka ke Christchurch di sana dan akan pulang ke Malaysia semula namun tidak berbuat demikian seperti dijanjikan. Pada Oktober tahun lalu, dia terkejut apabila menerima surat daripada anaknya berserta gambar yang dikirimkan dari New Zealand selepas mereka berada di bawah jagaan agensi itu dan apa yang mengharukan, salah seorang daripada anaknya turut melukis gambar kapal, dipercayai merujuk kepada pekerjaannya. "Saya nekad untuk mencelah berjumpa Tan Sri Muhyiddin dan mengadu mengenai masalah ini dan dia terus meminta saya menghubungi Datuk Azeez untuk mendapatkan bantuan. "Hari ini saya bagai tak percaya apabila KP1M akan membawa pulang permata hati saya. Kedua-dua anak saya itu akan dihantar ke sekolah agama atau pusat tahfiz untuk mereka mendalami ilmu agama. Kepulangan mereka adalah hadiah hari bapa dan hari raya untuk saya," katanya yang turut ditemani ibunya, Mariam Khairi, 65. -MediaUMNO |
| Delegasi Parti Komunis China Tiba Di Malaysia Perkukuh Hubungan Posted: 14 Jun 2012 04:52 AM PDT SEPANG, 14 Jun – Anggota jawatankuasa tetap biro politik jawatankuasa pusat Parti Komunis China (CPC), He Guoqiang tiba di sini untuk lawatan kerja empat hari. Ketibaan He, yang juga setiausaha suruhanjaya pusat bagi pemantauan disiplin CPC bersama anggota delegasinya, disambut Duta Besar China ke Malaysia Chai Xi dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh. Ab Rauf berkata ketibaan He adalah atas jemputan kerajaan Malaysia dan UMNO untuk memperkukuh hubungan kepimpinan antara kedua-dua parti dan negara. “Malah peminjaman sepasang beruang panda dari kerajaan China juga adalah simbolik persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya sebelum ketibaan He di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini hari ini. Sepanjang lawatan ke Malaysia, He dijadual membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Selain itu beliau juga dijangka menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara China dan Malaysia untuk meminjam sepasang beruang panda yang akan ditempatkan di Taman Wetland di Putrajaya. |
| Penduduk Kesal Tindakan K’jaan P.Pinang Benarkan Pembinaan Bangunan Pencakar Langit Posted: 14 Jun 2012 03:11 AM PDT GEORGE TOWN, 14 Jun – Penduduk Pulau Pinang kesal dengan tindakan kerajaan negeri menyesakkan persekitaran negeri ini dengan pembinaan bangunan pencakar langit terutama kondo mewah setinggi 40 tingkat. Ketua Biro Kerajaan Tempatan Parti Gerakan Pulau Pinang, Teh Leong Meng berkata pihaknya banyak menerima aduan orang ramai yang melahirkan rasa terkejut kerana kediaman mereka kini diapit bangunan pencakar langit. Katanya pembangunan baru yang membabitkan kondo mewah setinggi 30 tingkat dan 40 tingkat berlaku berikutan garis panduan baru peningkatan ketumpatan untuk bangunan pencakar langit oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Beberapa kawasan yang menjadi tumpuan pembinaan bangunan pencakar langit ialah Pykett Avenue di Georgetown dengan 32 tingkat, Jalan Cantonment dan Solok Moulmein di Pulau Tikus, masing-masing dengan 30 tingkat dan 27 tingkat. Teh berkata kerajaan negeri membatalkan satu set dasar perumahan yang digunakan oleh kerajaan sebelum ini selama 27 tahun dan membenarkan peningkatan ketumpatan. Ketumpatan bangunan pencakar langit meningkat dalam dua cara iaitu daripada 30 unit setiap 0.4 hektar kepada 87 unit dan 30 unit setiap 0.4 hektar kepada 120 unit yang membabitkan rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah. Ini bermakna ketinggian bangunan meningkat tiga atau empat kali berbanding dasar perumahan sebelum ini, contohnya bangunan lapan tingkat kini menjadi 32 tingkat. Teh berkata kerajaan negeri telah meluluskan dan melaksanakan satu set garis panduan baru itu pada 28 Jun, 2010 tanpa pengumuman awam dan hanya sesetengah pihak sahaja dimaklumkan. “Sekarang rakyat Pulau Pinang terkejut melihat bangunan setinggi 30 tingkat dan 40 tingkat telah dibina di mana-mana di pulau ini dan ia akan berterusan kerana cadangan pemaju sebelum ini telah diluluskan kerajaan negeri. “Ia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mendapatkan pelan bangunan yang diluluskan sebelum ia boleh memulakan pembinaan. Sekarang masalah timbul berikutan garis panduan baru itu,” katanya. Teh berkata peningkatan ketumpatan bangunan pencakar langit tidak seharusnya dilaksanakan kerana kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa untuk memperbaiki sistem pengangkutan sejak empat tahun lalu. “Dalam jangka panjang, garis panduan baru itu akan menjadikan kesesakan lalu lintas mimpi ngeri bagi rakyat Pulau Pinang kerana kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya. Teh berkata garis panduan baru itu juga akan menjejaskan kualiti hidup rakyat kerana kawasan pantai yang indah dan bukit-bukau hilang dari pandangan. Katanya kerajaan negeri didesak supaya membatalkan dasar baru itu dan harus memberi penjelasan tindakan kerajaan negeri pakatan pembangang itu membelanjakan RM3.5 juta untuk draf pelan tempatan pada 2008 tetapi tidak melaksanakannya. Kerajaan negeri seharusnya mewartakan satu pelan tempatan yang menyeluruh untuk melindungi kepentingan rakyat Pulau Pinang, katanya. |
| 47,769 Orang Lepaskan Status Warganegara Sejak 2002 – Hishammuddin Posted: 14 Jun 2012 03:05 AM PDT KUALA LUMPUR, 14 Jun – Seramai 47,769 rakyat negara ini melepaskan taraf kewarganegaraan mereka sejak 2002 hingga Mei lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata daripada jumlah itu, 40,624 melepaskan status kerakyatan Malaysia untuk menjadi warga Singapura, Australia (1,906), Brunei (1,350), Amerika Syarikat (724) dan Taiwan (711). Sebab utama mereka berbuat demikian adalah kerana telah memperoleh kewarganegaraan negara lain melalui perkahwinan, dan usaha mengurangkannya adalah di luar bidang kuasa kementerian, katanya dalam jawapan bertulis kepada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) pada sidang Dewan Rakyat hari ini. Er ingin tahu jumlah rakyat Malaysia yang telah melepaskan kewarganegaraan sejak 2002 hingga 2012 serta tindakan kementerian untuk mengurangkannya. Hishammuddin berkata kementerian juga menerima 74,092 permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia antara 2008 dan Mei 2012. Beliau berkata penganugerahan status kerakyatan kepada penduduk yang bertaraf Pemastautin Tetap, Bukan Warganegara atau warga asing dipertimbang berdasarkan syarat dan kelayakan yang termaktub dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan. “Setiap permohonan yang diterima akan diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira faktor-faktor lain berkaitan pembangunan, kesejahteraan dan keselamatan negara,” katanya. |
| Anwar Dicabar Gesa Kerajaan Tubuh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Posted: 14 Jun 2012 03:04 AM PDT KUALA LUMPUR, 14 Jun – Umumnya, tindakan saman dan pakatan pembangkang seperti tidak dapat dipisahkan. Ini kerana, sekiranya timbul sebarang isu yang tidak menyebelahi mereka, maka sudah pasti tindakan sedemikian akan diambil. Namun apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdiam diri dan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pendedahan yang dibuat oleh Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid berkenaan dakwaan pemilikin 20 akaun induk bernilai RM3 bilion milik Anwar, ianya mula menjadi satu tanda tanya di kalangan rakyat. Menurut Mursyidul Am Kumpulan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) Zahid Md Arip, terdapat tiga cara untuk Anwar menafikan sekaligus membersihkan namanya iaitu saman Datuk Murad, buka pintu seluas-luasnya untuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini dan mencabar Kerajaan Malaysia untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja. Spekulasi mula timbul adakah perkara ini benar kerana Anwar seakan tidak berani mengambil tindakan saman untuk menafikan pendedahan ini. Persoalan demi persoalan mula kedengaran dari mana Ahli Parlimen Permatang Pauh ini mempunyai wang sebanyak itu. Sekiranya disemak latar belakang Anwar, dia bukanlah seorang ahli perniagaan yang mampu memiliki jumlah wang sebanyak itu. Lebih musykil, perkara ini terjadi ketika Anwar menjawat jawatan Timbalan Perana Menteri. "Sekiranya Anwar tidak berani melakukan salah satu dari hal ini, maka terbuktilah Anwar seorang pengecut. Sekaligus membuktikan bahawa Datuk Murad bercakap benar. Saya sendiri menggesa Anwar Ibrahim agar mendesak Kerajaan Malaysia menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja. "Melalui cara ini, ianya akan membersihkan nama Anwar Ibrahim. Sekarangkan dah dekat Pilihan Raya Umum (PRU). Jadi ambillah peluang ini untuk menidakkan dakwaan Datuk Murad. Kenapa dia nak terus berdiam diri dan tak ambil tindakan. Rakyat ternanti-nanti penafiannya. Bukan penafian melalui ceramah dan cakap kosong, tetapi melalui tindakan yang akan menyokong penafiannya itu," ujarnya kepada UMNO-Online. Jelasnya lagi, dakwaan yang dibuat oleh Datuk Murad ini bukanlah satu perkara yang remeh. Ianya melibatkan maruah Anwar dan juga Bank Negara sendiri. Amat pelik apabila perkara besar sebegini yang mencalarkan lagi imej Anwar hanya dibiarkan tanpa sebarang tindakan dari tuan punya badan. Sekiranya Anwar benar-benar mahu pentadbiran yang telus dan adil, dia harus berani mendedahkan perkara ini untuk disiasat. – MediaUMNO |
| Kerajaan Tidak Sekat Sistem Komunikasi Semasa Perhimpunan 28 April – Rais Posted: 14 Jun 2012 02:50 AM PDT KUALA LUMPUR, 14 Jun – Dakwaan kerajaan menyekat sistem komunikasi semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas adalah tidak benar, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata sistem komunikasi selular biasanya tidak mempunyai kapasiti untuk menampung keperluan perbualan telefon dan pemindahan data bagi keperluan yang banyak seperti yang berlaku pada perhimpunan itu. “Panggilan terhalang atau blocked call akan berlaku sekiranya terlalu banyak panggilan dibuat pada satu-satu masa yang sama sehingga menyebabkan sel pemancar sedia ada tidak dapat menampung panggilan-panggilan ini. “Apabila sel-sel tersebut telah penuh, sistem akan menolak panggilan-panggilan ini dan menyebabkan panggilan akan terhalang dan tiada panggilan dapat dibuat,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang diedarkan di lobi Parlimen di sini. Fong mahu tahu punca komunikasi menerusi telefon bimbit tergendala semasa perhimpunan itu dan sama ada sengaja disekat untuk memutuskan hubungan komunikasi di antara orang yang berhimpun. Sementara itu, Rais berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 2,789 aduan berkenaan blogger dan portal berita atas talian sejak 2005 hingga Mei lepas. Katanya kementerian dan agensi di bawahnya sentiasa menjalankan program bagi menjelaskan dasar kerajaan untuk mengelakkan kekeliruan yang mungkin timbul akibat maklumat salah yang diketengahkan oleh para penulis blog; serta turut mengambil kira penggunaan media arus perdana dan media baru. SKMM juga menerima 126 aduan berkaitan blogspot, laman sosial Facebook dan Twitter serta laman web sepanjang tahun 2009 hingga 2011, katanya menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu) mengenai jumlah aduan yang diterima SKMM sejak 2005 hingga kini. |
| Rakyat Diminta Nilai Hasil Pembangunan Kerajaan Posted: 14 Jun 2012 02:48 AM PDT KUALA LUMPUR, 14 Jun – Rakyat hendaklah menilai dengan saksama hasil pembangunan yang telah dilaksana dan dirancang kerajaan Barisan Nasional(BN) berbanding tawaran dan janji yang diberikan parti pembangkang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat tidak harus “membuang air di tempayan hanya kerana mendengar bunyi guruh di langit”. Katanya pihak pembangkang hanya pandai membuat tawaran dan janji-janji tidak realistik kepada rakyat, tanpa mengambil kira kedudukan masa depan Negara semata-mata mahu mengambil alih kepimpinan negara. “Mereka hanya suka membuat janji-janji yang tidak munasabah, yang tidak berdasarkan kebijaksanaan dalam mengurus negara kerana sengaja hendak berkuasa. “Dasar kita harus realistik bukan hanya bertujuan meraih undi,” katanya pada pertemuan bersama badan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bandar Tun Razak di sini. Muhyiddin berkata berbanding pembangkang, kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang menpunyai visi realistik untuk membantu mewujudkan masa depan rakyat dan negara yang lebih baik. Membidas cadangan pembangkang untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika berjaya berkuasa kelak, Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan itu tidak realistik selain tidak mengambil kira perancangan masa depan. Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pembangkang membuat cadangan populis sedemikian semata-mata kerana agenda politik untuk mengambil alih Putrajaya. “Kita memerlukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan yang pro-rakyat, yang dapat melihat bagaimana hendak mengurangkan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” kata beliau. Sementara itu, pada majlis "Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri" di Pekan Sungai Besi di sini, Timbalan Perdana Menteri mengajak rakyat berganding bahu dengan kerajaan BN untuk mencapai sasaran menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Beliau berkata walaupun kerajaan telah merangka dan melaksanakan pelbagai strategi terperinci untuk mencapai matlamat itu, ia hanya akan dicapai jika semua lapisan masyarakat terlibat sama dalam menjayakannya. |
| You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment