UMNO Kelantan Digesa Bergerak Sebagai Satu Pasukan – Mustapa

 
 
JELI, 10 Jun – Semua pemimpin dan anggota Umno di Kelantan perlu mengutamakan kepentingan parti dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.
Ketika memberi peringatan itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan mereka perlu menghindari unsur mensabotaj parti atau 'cah keting' jika tidak menjadi calon kerana tindakan itu boleh menjurus kepada kekalahan BN.
 
"Kita harus bersikap terbuka dan ketepikan kepentingan diri. Sesiapa sahaja yang diputuskan pucuk pimpinan parti sebagai calon, kita kena akur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perayaan Hari Guru Ke-41 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Bunga di sini, hari ini.
Semalam, veteran Umno Kelantan yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yakin BN khususnya Umno mempunyai peluang baik untuk merampas kembali Kelantan daripada PAS dengan syarat unsur 'cah keting' yang menjadi amalan golongan yang kecewa, dibuang sepenuhnya.
Mustapa berkata setakat ini tiada keputusan muktamad berhubung calon tetapi pemimpin dan anggota Umno Kelantan perlu bersedia untuk memberi sepenuh sokongan kepada sesiapa yang dipilih pucuk pimpinan parti.
 
Terdahulu, semasa berucap pada majlis itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata warga pendidik memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi cemerlang yang menjadi penentu kepada kejayaan negara.
Beliau berkata jasa dan pengorbanan guru adalah besar dan mereka terbukti mampu menggerakkan agenda pendidikan negara dengan berkesan sehingga kejayaan Malaysia menjadi contoh kepada negara lain.
 
Pada majlis itu, empat bekas pendidik dinobat sebagai Tokoh Guru Negeri Kelantan 2012 dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan sijil.
Mereka ialah bekas Ketua Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan Abdul Razak Mat Saat, bekas Pengetua Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra Wan Hamzah Wan Daud, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kota Mohd Nawawi Min dan Penolong Kanan Hal Ehwal Sekolah Menengah Kebangsaan Jelawat Zaharah Abd Rahim.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...