Orang Melayu paling ramai tidak daftar mengundi! Pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof itu sebenarnya bukan satu kejutan besar kerana situasi itu telah diketahui umum selama ini.Sememangnya orang Melayu memandang remeh pendaftaran mengundi mahupun hak mengundi pada pilihan raya kerana masih dibuai mimpi siang bahawa bumi yang dipijak ini akan kekal di tangan mereka hingga ke anak cucu.
Masih ramai daripada 3.7 juta orang Melayu yang layak mengundi enggan melihat apa yang berlaku di negara jiran ke utara dan selatan Semenanjung, di mana orang Melayu setempat bagaikan pendatang di tanah tumpah darah mereka sendiri.Apabila hilangnya kuasa politik dan tiada kemampuan ekonomi, maka Melayu di negara jiran hanya menumpang mencari makan daripada 'tuan tanah baru', seperti mana penduduk pribumi di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan banyak lagi negara yang dijadikan koloni penjajah dari Barat.
Walaupun negara ini belum tergadai, namun telah jelas ada negeri, kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah 'diambil alih' akibat kealpaan orang Melayu yang tidak mahu mendaftar mahupun mengundi.Melayu dan bumiputera yang menjadi majoriti melebihi 60 peratus penduduk negara ini sepatutnya dengan mudah menentukan hala tuju politik Malaysia.Tetapi, akibat mengambil mudah proses pendaftaran dan mengundi, kaum minoriti yang sedar akan hak mereka selaku pengundi mampu menguasai kawasan yang majoriti penduduknya orang Melayu.
Ditambah pula perpecahan antara orang Melayu sendiri, maka semakin banyak kawasan yang majoriti penduduknya Melayu akan dikuasai orang bukan Melayu dalam pilihan raya, sejajar dengan sistem demokrasi yang melihat kepada jumlah undi dan bukannya kaum majoriti.'Jatuhnya' sesuatu kawasan Melayu itu kepada bukan Melayu akan mengundang kesan berangkai di peringkat DUN, Parlimen, negeri dan akhirnya negara.
Lihat sahaja bandar-bandar besar kini politiknya sudah dikuasai bukan Melayu sedangkan tidak kurang jumlah Melayu dan bumiputera yang tinggal dan bekerja di sana. Orang Melayu pula kelihatan hanya memegang kawasan kampung dan pedalaman.Jelas lagi nyata, bumi yang dipijak tidak semestinya kekal milik Melayu jika terus dibuai mimpi siang hari dan tidak menjalankan tanggungjawab mereka.
Bagi tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, sikap mengambil mudah urusan mendaftar dan mengundi ini merugikan bangsa sendiri terutamanya sekarang di mana ramai yang tidak faham negara boleh jatuh ke tangan bukan Melayu."Saya tidak faham kenapa sikap begitu masih berterusan dalam kalangan orang Melayu sedangkan anak-anak orang bukan Melayu di luar negara sanggup balik semata-mata untuk mengundi."Mereka tahu susahnya mendapat hak mengundi sementara orang kita terus pandang remeh dan tidak mengambil berat pentingnya satu undi kepada bangsa dan negara," katanya.
Menurut beliau, golongan yang 'tidak kisah' ini tidak dapat melihat kesan tindakan mereka kepada negara terutamanya yang akan ditanggung generasi berikutnya kelak.Jelasnya, melihat kepada pakatan tiga parti pembangkang menunjukkan pengaruh kuasa dan kerusi lebih dipegang bukan Melayu terutamanya kini dengan ada sebilangan Melayu sendiri yang menyokong DAP."DAP cukup condong kepada sistem pemerintahan republik.
Jika mereka menjadi ketua atau mempengaruhi kerajaan baru jika pembangkang menang, parti-parti Melayu yang lemah akan digunakan untuk kawal negara."Singapura mungkin dibawa masuk kembali bagi mengurangkan majoriti Melayu, tiada lagi Raja-Raja, Perlembagaan dipinda, Islam bukan lagi agama rasmi dan habislah ketuanan Melayu dan maruah diri kita," tegasnya.
Tambahnya, tidak mustahil juga Perdana Menteri kelak bukan orang Melayu mahupun Islam seperti mana pernah dijadikan ikrar di Pulau Pinang dan disebut bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew."Mungkin ramai tidak percaya ini semua boleh berlaku tapi lihat sahaja situasi kini! Sudah ada orang Melayu sendiri yang sokong cadangan Perdana Menteri bukan Melayu.
Oleh itu, jangan ambil mudah kesan setiap undi milik orang Melayu. Sebelum terkena, sedarlah sikit agar tidak menyesal di kemudian hari," ujarnya.
Ibrahim turut mengaitkan sokongan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rejim Israel akan menentukan corak pemerintahan negara kelak jika pembangkang menang dan Singapura kembali menyertai Malaysia.
"Singapura mempunyai pengaruh Israel yang kuat termasuk kuasa tenteranya. Jika mereka kembali di bawah pimpinan pembangkang, orang Yahudi juga akan ada pengaruh ke atas negara kita kelak."Jika ketika itu Melayu mahu memberontak, 'polis dunia' akan sekat dengan alasan 'undian adil telah dibuat melalui pilihan raya', maka mati kataklah kita," jelasnya.
Selain itu, beliau turut menegur usaha UMNO terutama di peringkat cawangan yang dilihat kurang menumpukan masa dan usaha dalam menarik golongan muda mendaftar dan mengundi."Mungkin maklumat yang saya terima ini kurang tepat tetapi cawangan-cawang UMNO kurang atau tidak bergerak sekuat parti pembangkang dalam menarik pendaftaran dan undi orang muda.
Jentera cawangan tentu tahu anak siapa belum mendaftar dalam kawasan mereka. Berbeza dengan apa saya lihat di Subang di mana sekumpulan anak muda bukan Melayu membuka meja pendaftaran dan orang Cina paling ramai mendaftar," katanya.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula melihat masalah tersebut mungkin bermula dari sekolah atau universiti yang tidak menerapkan pentingnya mendaftar dan mengundi."Masalah utama mungkin tidak cukup kesedaran di kalangan orang muda selepas meninggalkan alam persekolahan atau universiti.
Selain mengikuti urusan kerja dan pelajaran, orang muda perlu mengikuti perkembangan politik dan tidak boleh melupakan tanggungjawab mereka dengan mendaftar dan mengundi," ujarnya.
Beliau turut menyatakan orang Melayu memang dikenali dengan keghairahan dan semangat berkobar-kobar bila bercakap tentang politik tetapi lain pula jadinya bila waktu menjalankan tanggungjawab masing-masing."Orang Melayu kadang-kadang melebih sampai berpecah belah dan putus saudara akibat politik tapi buatnya lain (daftar pengundi).
"Kita kena beringat dan tidak boleh selama-lamanya dalam zon selesa. Sudahlah berpecah belah, jumlah pengundi Melayu pun kurang, yang tanggung akibatnya generasi akan datang yang meneruskan apa kita ada," jelasnya.
Beliau menegaskan, jika orang Melayu terus tidak ambil peduli peranan dan tanggungjawab dalam menentukan hala tuju dan nasib bangsa, tidak guna lagi menyesal kelak bila apa yang dimiliki lenyap akibat kealpaan mereka sendiri."Orang Melayu perlu berfikiran strategis dalam mengambil peranan politik.
orang dahulu tidak belajar tinggi tapi semangat mereka tinggi dalam menjalankan tanggungjawab mengundi."Tiada alasan lagi untuk orang sekarang terutama golongan muda kerana semua proses pendaftaran pengundi telah dipermudahkan. Jika terus leka, kuasa politik bangsa akan semakin terancam," tegasnya.
-UM
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment