UMNO Online - “Kerajaan Filipina, MILF Tandatangani Perjanjian Bersejarah” plus 9 more

UMNO Online - “Kerajaan Filipina, MILF Tandatangani Perjanjian Bersejarah” plus 9 more

Link to UMNO Online

Kerajaan Filipina, MILF Tandatangani Perjanjian Bersejarah

Posted: 27 Mar 2014 05:27 AM PDT

MANILA, 27 Mac  - Kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) hari ini membuka lembaran baharu bagi hubungan mereka sebelum ini yang ditandai dengan permusuhan dan sikap saling tidak mempercayai apabila mereka duduk semeja untuk menandatangani Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) bagi membuka jalan ke arah mencari penyelesaian politik di Mindanao.

Perjanjian penuh bersejarah yang diusahakan Malaysia ini berlangsung di perkarangan Istana Malacanang serta turut dihadiri Presiden Filipina Benigno Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

bangsamoro-ceria-aman-perjanjian-tanda-tangan-kerajaan-filipina

Rundingan damai dengan MILF, yang bermula pada 1997, bertujuan menamatkan pemberontakan di wilayah selatan Filipina sejak tahun 1970-an, yang sehingga kini telah meragut lebih 100,000 nyawa.

Malaysia bertindak sebagai pemudah cara pihak ketiga dalam proses damai ini, dengan Kuala Lumpur mula menyertainya pada 2001.

Perjanjian damai GPH-MILF bermatlamat mewujudkan satu entiti politik berperintahan sendiri dikenali sebagai Bangsamoro, yang akan mempunyai lebih banyak kuasa politik dan ekonomi.

Entiti baharu ini akan menggantikan Wilayah Autonomi Islam Mindanao, sejajar dengan Undang-undang Asas Bangsamoro, yang akan diluluskan Kongres Filipina dan disahkan penduduk terbabit.

Ketika mengalu-alukan penandatanganan perjanjian itu, Najib berkata Malaysia akan terus membantu meningkatkan kemajuan Bangsamoro dalam usahanya untuk mewujudkan institusi, mengukuhkan pendidikan dan menambah baik sektor pertanian.

"Dua tahun lepas, saya berjanji kepada Presiden Aquino bahawa Malaysia akan terus memberi bantuan dari segi pembangunan. Janji ini terpakai selagi ia diperlukan. Malaysia akan terus menjadi rakan ke arah perdamaian.

Beliau berkata Malaysia bangga kerana dapat memainkan peranannya dalam proses damai Filipina-MILF, yang membantu mengukuhkan lagi ikatan kepercayaan antara Malaysia dan GPH.

"Apa yang kami inginkan hanyalah keamanan dan kemakmuran saudara kami di Bangsamoro dan Filipina.

"Sambil kita mengharapkan masa depan lebih cerah untuk Bangsamoro, saya berikrar Malaysia akan terus memberi sokongannya. Kami akan terus memainkan peranan kami sebagai pemudah cara pihak ketiga dan terus berusaha melalui Pasukan Pemantauan Antarabangsa di Mindanao," katanya.

Najib yakin GPH akan terus bekerjasama dengan MILF dalam menyediakan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro kerana sokongan semua pihak adalah penting sekiranya mereka ingin melihat ia diluluskan Kongres Filipina dan dalam pungutan suara di Bangsamoro.

Katanya CAB bersejarah itu menjamin hak rakyat Bangsamoro dan kedaulatan Filipina.

“Kami berharap rakyat Bangsamoro akan bekerjasama dengan kerajaan Filipina dan MILF untuk menjamin kejayaannya.

Najib menggesa semua pihak supaya menghayati semangat dan kandungan perjanjian itu bagi memastikan wujudnya sikap hormat terhadap agama dan mengamalkan prinsip membenci keganasan.

“Kita patut menghormati hak asasi manusia, menjunjung tinggi keluhuran undang-undang dan mengamalkan kesederhanaan. Hanya melalui penyelesaian yang dicapai secara rundingan, keamanan berkekalan boleh dinikmati. Dan hanya tadbir urus yang baik sahajalah yang boleh menjamin tercapainya cita-cita bersama kita: melihat Bangsamoro yang kuat dan makmur,” kata beliau.

Najib menyifatkan penandatanganan perjanjian itu sebagai peristiwa bersejarah tentang keberanian dan yakin ia akan mengubah sejarah negara mereka.

“Dengan menyertai proses damai, MILF telah membalas kepercayaan yang diberi kepadanya oleh rakyat. Dengan berunding secara penuh keikhlasan, kerajaan Filipina mengesahkan hak Bangsamoro untuk menentukan nasib sendiri.

“Perpaduan tidak boleh dicapai dalam tempoh semalaman. Selepas bertahun-tahun, tidak terdapat jalan pintas mengenainya. Banyak lagi usaha perlu dilakukan dan akan terdapat halangan dalam melaksanakannya. Tetapi, komitmen terhadap keamanan – komitmen yang dapat saya lihat wujud di dalam dewan ini hari ini – tidak sepatutnya luntur,” kata beliau.

najib-aquino-perjanjian-mou-aman-bangsamoro-manila-filipina

Najib memuji usaha luar biasa yang dilakukan hingga membolehkan perjanjian  itu ditandatangani, dengan kedua-dua pihak bekerja sepenuh hati untuk memastikan rakyat Bangsamoro dapat menikmati dividen keamanan yang tidak terhitung jumlahnya.

Sementara itu, beliau juga menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan negara jiran, termasuk Filipina dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang hilang sejak 8 Mac.

“Kehilangan 239 orang yang menaiki Penerbangan MH370 amat menyedihkan …dalam menghadapi detik-detik sukar ini, kami mendapat kekuatan daripada bantuan dan ihsan negara-negara sahabat,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Aquino berkata rakyat Filipina akan terhutang budi selama-lamanya kepada Malaysia dan kehadiran Malaysia member sinar kepada setiap peringkat perjanjian damai itu.

Ketika menzahirkan penghargaannya kepada semua negara yang terlibat menjadikan perjanjian damai itu suatu kenyataan, beliau berkata sesungguhnya, Malaysia, di bawah kepimpinan Najib, telah memainkan peranan penting.

“Kita sama-sama menunjukkan suatu contoh kepada seluruh dunia. Perjanjian ini menjadi bukti bahawa kepercayaan dan kesungguhan mampu menggerakkan sifat kemanusiaan ke tahap lebih jauh.

“Ia menunjukkan betapa kejujuran, perasaan muhibbah merupakan alat paling berkesan untuk menamatkan konflik, ia membuktikan bahawa usaha mencari kesepakatan pasti membawa hasil yang tidak terhitung banyaknya,” kata beliau.

Aquino berkata Pihak Berkuasa Transisi Bangsamoro akan ditubuhkan menjelang 2015 untuk berfungsi sebagai kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya diadakan pada 2016.

Dokumen CAB 12 perkara itu ditandatangani pengerusi panel perdamaian MILF Mohagher Iqbal bagi pihak MILF dan ketua panel perdamaian Filipina Miriam Coronel-Ferel bagi pihak kerajaan Filipina.

Upacara menandatangani perjanjian itu disaksikan Najib dan Aquino.

Antara MH370 Dan Jam Omega : Siapa Sebenarnya Gagal Urus Pencarian?

Posted: 27 Mar 2014 05:19 AM PDT

Dalam keghairahan Anwar berkempen di Balingian, beliau telah mempolitikkan isu MH370. Semua lapisan rakyat mendoakan agar MH370 dapat dijumpai secepat mungkin dan akhirnya dapat memberi kelegaan kepada keluarga mangsa yang masih tertanya-tanya akan nasib yang menimpa keluarga mereka.

Namun bagi Anwar dan pakatan pembangkang mereka hanya pentingkan agenda peribadi yang cenderung kepada memburukkan dan menghasut rakyat bencikan kerajaan.

Anwar Ibrahim cuba menghasut dengan menggunakan fakta bahawa sistem radar Malaysia  berupaya mengesan penerbangan kapalterbang  dari Semenanjung Malaysia hingga ke Lautan Hindi.

anwar-hilang-jam-omega-you-u-ulang-i-saman-berang-wartawan-media

Kononnya negara terlalu lewat bertindak terhadap krisis MH370 dengan menyembunyikan fakta. Anwar mendakwa bahawa semasa beliau menjadi Menteri Kewangan,  negara telah membuat pembelian Sistem Radar Marconi. Kononnya sistem tersebut sepatutnya boleh mengesan pergerakan kapalterbang  apabila ia membuat pusingan  yang tersasar daripada laluan asal ke Beijing.

Pada 13 April 2000,  New Straits Times telah melaporkan bahawa sebuah syarikat Itali iaitu Alenia-Marconi Systems telah diberikan kontrak pada tahun1994 untuk membekalkan  primary dan secondary radar kepada Malaysia's Department of Civil Aviation (DCA).Pada waktu itu negara mempunyai 5 radar primary dan 7 radar secondary di Kuching, Kota Kinabalu, Johor, Subang, Langkawi , Labuan and Sepang Airports.

Anwar yang cukup licik telah menyalahkan kerajaan Malaysia sepenuhnya. Sikap beliau yang telah banyak kali memburukkan dan menfitnah negara telah dengan rasmi nya meletakkan diri beliau sebagai pengkhianat negara.

Fitnah demi fitnah yang telah ditabur oleh Anwar dalam media antarabangsa amat tidak boleh diterima. Maka kita menyeru kerajaan mengambil langkah menyaman Anwar terhadap segala fitnah jahat berterusan yang merupakan "CARA ANWAR IBRAHIM".

Apa yang Anwar tidak tahu bahawa wujudnya  dua jenis radar iaitu  radar utama atau Primary radar yang dikendalikan pihak tentera dan radar Sekunder, yang dikendalikan Jabatan Penerbangan Awam.

Berikut penjelasan penganalisis kejuruteraan penerbangan, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Pesawat itu hilang daripada radar berkemungkinan pesawat itu terbang rendah pada paras bawah 500 kaki dari aras laut. Ada dua jenis radar yang digunakan iaitu radar pengawasan utama dan radar pengawasan sekunder.

Radar pengawasan utama mengukur hanya jangkauan dan arah kompas dengan mengesan isyarat kelip pada skrin. Radar pengawasan sekunder pula sebaliknya tidak hanya mengesan maklumat yang sama tetapi boleh mengesan maklumat lain seperti paras ketinggian penerbangan dan identiti pesawat.

Biarpun terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik, kedudukan pesawat itu masih boleh dikesan sekiranya ia terhempas kerana dilengkapi dengan sistem lampu suar tanda lokasi (emergency locator beacon) yang akan mengeluarkan isyarat apabila terhempas.

Tambahan pula Amerika Syarikat (AS) juga percaya penutupan dua sistem komunikasi dalam pesawat Malaysia Airlines MH370 yang berlaku secara berasingan, memberi petunjuk ia adalah tindakan yang disengajakan, lapor ABC News.

Mereka percaya sistem laporan data ditutup pada 1.07 pagi sementara transponder dipadamkan pada 1.21 pagi pada Sabtu, ketika pesawat yang membawa 239 penumpang itu hilang daripada skrin radar. Ini menunjukkan ia mungkin tindakan yang disengajakan. Transponder itu adalah peralatan yang menyampaikan lokasi dan altitud. Ia  bukan kemalangan atau kerosakan, yang menyebabkan pesawat itu hilang dari langit.

Dalam keadaan kerajaan mendapat bantuan dari seluruh dunia dari segi maklumat dan bantuan aset pencarian MH370, Anwar masih sangka beliau lebih bijak dan cekap dari semua orang di seluruh dunia dalam menangani isu kehilangan MH370.

Hakikatnya beliau bersama Wan Azizah sendiri tidak mampu menangani isu kehilangan jam omega yang pernah dituduh oleh pihak tertentu ditinggalkan dibilik semasa adengan terlarang.

Sampai ke hari ini jam omega masih lagi "missing in action". Namun seperti biasa manusia munafik seperti Anwar Ibrahim masih mendabik dada seolah-olah beliau lebih layak menangani pencarian MH370 sedangkan pencarian jam omega pun gagal.

(Artikel Ini Dipetik Dari Sumber mykmu.net)

Tragedi MH370 Tidak Jejas Nama Baik Malaysia Pada Penganjuran Sukan F1 – Khairy

Posted: 27 Mar 2014 05:14 AM PDT

KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Penganjuran sukan permotoran Formula Satu (F1) yang akan berlangsung mulai esok di Sepang tidak akan menjejaskan nama baik Malaysia walaupun ia dijangka berlangsung dalam keadaan suram berikutan tragedi kehilangan Malaysia Airlines MH370.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata masyarakat dunia telah sedia maklum yang Malaysia masih lagi berkabung memperingati tragedy menyayat hati itu.

“Walaupun tanpa penganjuran konsert dan acara sampingan lain, kita yakin perlumbaan yang akan bermula Jumaat ini tetap menjadi perhatian peminat sukan permotoran itu,” katanya pada majlis santai minum petang bersama Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Nerus di sini hari ini.

Khairy sebelum ini meminta semua penganjur acara sukan menghormati tragedy kehilangan MH370 dengan mengadakan majlis secara sederhana.

Katanya acara sukan utama yang dirancang sebelum ini seperti kejohanan golf Piala EurAsia yang berlangsung selama tiga hari di Glenmarie Golf and Country Club serta Anugerah Dunia Sukan Laureus berjalan seperti biasa.

BN Akan Kotakan Janjinya Kepada Rakyat : Adenan

Posted: 27 Mar 2014 04:35 AM PDT

MUKAH, 27 Mac -  Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat dan tidak akan lari daripadanya.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem memberikan jaminan itu sebelum menyampaikan 246 hakmilik tanah di Kampung Sesok di sini hari ini.

adenan-satim-yossibnosh-balo-muhyiddin-balingian-sarawak-calon-bn

Beliau juga berada di sana berkempen untuk calon BN, Yussibnoh Balo yang berhadapan calon Parti Keadilan Rakyat Abdul Jalil Bujang pada pilihan raya kecil (PRK) Balingian Ahad ini.

PRK Balingian diadakan selepas penyandangnya Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga bekas Ketua Menteri melepaskan kerusinya untuk menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak.

“BN tidak seperti pembangkang yang membuat bermacam-macam janji kepada rakyat tetapi tidak berupaya mengotakannya”, katanya.

Adenan berkata : “Walaupun kami belum menunaikannya 100 peratus, kami akan terus mengotakannya tidak hanya semasa musim pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata Abdul Taib telah berjanji untuk menukarkan status tanah penduduk-penduduk di sana daripada lesen menduduki sementara kepada hakmilik tanah semasa beliau menjadi wakil rakyat mereka.

“Hari ini kami menunaikan sebahagian daripada janji beliau.  Kami berharap akan menunaikan yang terakhir penghujung tahun ini,” katanya.

“Tolong sokong Yussibnosh calon kami.  Satu undi untuknya adalah satu undi untuk pembangunan dan kemajuan berterusan sementara satu undi untuk calon pembangkang adalah satu undi yang sia-sia.”

Terdahulu, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dalam ucapannya setakat ini sebanyak 44,860 hakmilik tanah untuk kampung tradisi di 282 kawasan di seluruh negeri telah diberikan.

Beliau berkata ini termasuk 7,261 hakmilik tanah untuk 41 kampung tradisi di Bahagian Mukah.

Mengenai inisiatif kerajaan mengukur kawasan Tanah Hak Adat Pribumi (NCR), beliau berkata ia telah telah dan sedang dilakukan di 418 kawasan di seluruh negeri melibatkan kawasan seluas 700,000 hektar.

Beliau berkata setakat ini seluas 369,000 hektar di 267 kawasan telah diukur dan untuk tahun ini sasarannya adalah 150,000 hektar.

Skim MyHome Dilaksanakan 1 April

Posted: 27 Mar 2014 04:15 AM PDT

PUTRAJAYA, 27 Mac – Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) yang menawarkan insentif sehingga RM30,000 kepada pembeli rumah dan pemaju swasta akan mula dilaksanakan pada 1 April, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata skim itu melibatkan peruntukan RM300 juta bagi membina 10,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara.

“Bagi memastikan skim itu dilaksanakan dengan jayanya, kementerian akan melaksanakan penilaian ke atas pemaju perumahan yang akan menyertai skim berkenaan. Kita mahu pastikan hanya pemaju layak dan mempunyai rekod baik sahaja dipilih,” katanya selepas majlis pelancaran skim itu di sini hari ini.

Beliau berkata pemilihan pemaju akan dilaksanakan melalui jawatankuasa Pemilihan Projek Myhome KPKT.

Sementara itu, pembeli pula katanya, mestilah warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas; pembelian adalah untuk rumah pertama dan dihadkan satu unit rumah kepada setiap isi rumah; dan pendapatan isi rumah antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi MyHome 1 dan RM4,001 hingga RM6,000 bagi MyHome 2.

Abdul Rahman berkata MyHome 1 menawarkan harga jualan rumah antara RM80,000 hingga RM120,000 manakala di Sabah dan Sarawak menawarkan harga antara RM90,000 hingga RM120,000.

“MyHome 2 pula menawarkan harga jualan antara RM120,001 hingga RM200,000, di Sabah dan Sarawak menawarkan harga RM120,001 hingga RM200,000,” katanya.

Pemaju dan pembeli yang berminat serta memenuhi syarat kelayakan boleh memohon dengan memuat turun borang permohonan menerusi laman web Jabatan Perumahan Negara di http://ehome.kpkt.gov.my atau di pejabat Setiausaha Negeri di seluruh negara mulai tarikh sama.

Skim MyHome diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat pada 25 Okt tahun lepas.

Kewajaran, Perjuangan Sah Bangsamoro Diiktiraf

Posted: 27 Mar 2014 04:09 AM PDT

MANILA, 27 Mac  - Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB) yang penuh bersejarah, ditandatangani di sini pada Khamis, yang member pengiktirafan terhadap kewajaran dan perjuangan sah rakyat Bangsamoro serta hasrat mereka untuk menentukan masa depan politik melalui satu proses demokratik yang akan menjamin identiti dan kemakmuran mereka.

Selain memberi kuasa berpemerintahan sendiri yang bermakna kepada Bangsamoro, perjanjian damai yang diusahakan Malaysia ini juga menyaksikan berakhirnya permusuhan bersenjata antara kerajaan Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

najib-aquino-perjanjian-mou-aman-bangsamoro-manila-filipina

“Ia akan membuka laluan ke arah mencapai penyelesaian politik secara rundingan berkaitan Persoalan Bangsamoro, dan dengan itu menamatkan konflik bersenjata antara GPH dan MILF, serta memupuk keamanan dan kestabilan di rantau dunia sebelah sini,” demikian antara kata-kata yang terkandung dalam dokumen lima muka surat mengenai usaha untuk mencapai keamanan di selatan Filipina itu.

Menurut dokumen itu lagi, pihak yang menandatangani perjanjian itu komited untuk melindungi dan meningkatkan hak rakyat Bangsamoro serta penduduk lain di Bangsamoro berhubung maruah manusia; merapatkan jurang ketidakadilan sosial, ekonomi dan politik; dan memperbetulkan ketidakadilan sejarah yang dilakukan terhadap Bangsamoro selama ini.

Ditandatangani dengan disaksikan Presiden Filipina Benigno Simeon Aquino III dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Malacanang, perjanjian damai ini juga menjurus ke arah pemansuhan ketidaksamaan ekuiti budaya melalui modaliti yang dipersetujui bagi mengagihkan secara sama rata kekayaan dan kuasa politik demi kebaikan bersama.

“Pihak berkenaan mengiktiraf identiti dan kilanan sah Bangsamoro. Pada waktu yang sama, mereka juga mengukuhkan komitmen untuk saling menghormati identity satu sama lain dan kesaksamaan harga diri setiap orang dalam komuniti politik,” kata CAB itu.

GPH dan MILF berikrar untuk berusaha ke arah pelaksanaan sepenuhnya CAB berkenaan hingga membawa kepada tertubuhnya Pihak Berkuasa Transisi Bangsamoro dan kerajaan Bangsamoro.

Kedua-dua pihak juga akan berusaha ke arah penubuhan satu entiti politik baharu Bangsamoro yang akan melindungi hak individu dan kolektif serta menjadi wakil yang benar-benar demokratik bagi penduduk yang bersifat pelbagai.

Mereka juga berhasrat memulihkan secara beransur-ansur kawasan yang sebelum ini terjejas oleh konflik dan menjadikannya komuniti yang aman dan progresif.

Turut disebut dalam perjanjian damai ini ialah penghargaan ikhlas pihak berkenaan kepada kerajaan Malaysia dan Najib kerana sokongan beliau terhadap rundingan damai GPH-MILF dan peranan yang dimainkan Malaysia sebagai pemudah cara pihak ketiga serta ketua misi Pasukan Pemantau Antarabangsa.

Mereka juga memuji Suruhanjaya Transisi Bangsamoro kerana usahanya menyiapkan deraf Undang-undang Asas Bangsamoro.

Penandatangan perjanjian itu ialah Miriam Coronel Ferrer, yang mengetuai panel damai kerajaan dan pengerusi panel MILF Mohagher Iqbal serta anggota panel  masing-masing, di samping pemudah cara Malaysia Tengku Datuk Abdul Ghafar Tengku Mohamed.

Rundingan damai bermula di Filipina pada Januari 1997, diteruskan di bawah naungan kerajaan Malaysia mulai 2001, hingga membawa kepada Perjanjian Rangka Kerja mengenai Bangsamoro pada Oktober 2012 dan siapnya semua dokumen sisipan berkaitan pada Januari 2014.

CAB itu dilengkapi pelbagai perjanjian, garis panduan, terma rujukan dan kenyataan bersama yang ditandatangani dan diperakui oleh GPH dan MILF sepanjang berlangsungnya proses rundingan mulai 1997.

Ini termasuk Perjanjian bagi Penamatan Permusuhan Umum yang ditandatangani pada 18 Julai 1997 di Cagayan de Oro City, Perjanjian mengenai Rangka Kerja Umum bagi Penyambungan Rundingan Damai yang ditandatangani pada 24 Mac 2001 di Kuala Lumpur dan Perjanjian Rangka Kerja mengenai Bangsamoro yang ditandatangani pada 15 Okt 2012 di Manila.

Dokumen lain yang ditandatangani termasuk lampiran mengenai aturan transisi dan modaliti (27 Feb 2013 di Kuala Lumpur), lampiran mengenai penjanaan hasil dan perkongsian kekayaan (13 Julai 2013 di Kuala Lumpur), lampiran mengenai perkongsian kuasa (8 Dis 2013 di Kuala Lumpur) dan lampiran mengenai penormalan (25 Jan 2014 di Kuala Lumpur).

Tambahan mengenai kawasan perairan dan zon kerjasama bersama Bangsamoro pula ditandatangani pada 25 Jan 2014 di Kuala Lumpur.

“Pihak terbabit berikrar akan mengotakan, menghormati dan melaksanakan kesemua perjanjian dan dokumen tambahan yang mereka tandatangani sebelum ini seperti yang dijelaskan dalam perjanjian rangka kerja dan lampirannya,” kata CAB itu.

Tuduhan Mahkamah Tidak Adil Sekadar Skrip Lapuk Anwar

Posted: 27 Mar 2014 03:59 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Tindakan pembangkang terutama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan badan kehakiman negara disifatkan tidak lebih sekadar sebagai pengulangan semula skrip lapuk yang terus diputar apabila keputusan tidak berpihak kepada dirinya.

Menurut bekas Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Nasional, Lokman Noor Adam skrip ini hanyalah ulang tayang yang memualkan  sedangkan pada hakikat dan realitinya, apabila mereka menang banyak kes di mahkamah, tidak pula menuduh mahkamah tidak adil dan sebagainya.

keluarga-isteri-anak-diguna-peralat-awet-rakus-politik-anwar-ibrahim

“Bila Anwar Ibrahim dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat pertama, dan dia dibebaskan dalam kes liwat kedua di peringkat Mahkamah Tinggi, beliau mengatakan bahawa beliau tidak melakukan perbuatan tersebut.

"Tetapi apabila beliau disabitkan di mahkamah yang lebih tinggi, beliau mengatakan bahawa mahkamah tersebut dikawal oleh kerajaan Barisan Nasional, itulah realiti sikap pembangkang di negara ini,” ujarnya

Tambah beliau jika diteliti proseding mahkamah di dalam kes liwat yang kedua, Anwar tidak boleh lari dari sabitan kes ini kerana yang pertamanya, dalam kes ini telah mendedahkan bahawa perbuatan liwat itu memang berlaku.

“Bukan hanya Christopher Leong mengatakan bahawa hukuman ke atas Anwar adalah tidak wajar kerana ianya berlaku secara suka sama suka, tetapi dalam prosiding mahkamah, Karpal Singh selaku Ketua Peguam Anwar sendiri, telah mengatakan bahawa perbuatan liwat itu berlaku, cuba ianya dilakukan secara suka sama suka, maknanya tidak ada paksaan.

"Karpal menggunakan kenyataan ini kerana beliau ketika itu yakin tidak ada peluang untuk Anwar menang ketika perbicaraan berlangsung di peringkat mahkamah tinggi.

"Ketika perbicaan di peringkat mahkamah tinggi, Karpal sendiri melihat tiga orang pakar forensik telah mengesahkan mereka telah menjumpai simen ataupun sperma di dalam rektum Saiful sedalam 4inci,” tambahnya.

Justeru tegasnya inilah permainan politik pemimpin pembangkang yang harus rakyat sedar dan menilai sendiri kewibawaan dan keikhlasan perjuangan Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dalam pakatan pemangkang. -MediaUMNO

BN Sudah Lama Ambil Langkah Kurangkan Beban Rakyat Sarawak – TPM

Posted: 27 Mar 2014 03:10 AM PDT

MUKAH, 27 Mac  - Barisan Nasional sejak awal lagi sudah melaksanakan langkah untuk mengurangkan beban rakyat di Sarawak dalam menghadapi kenaikan kos hidup sebelum pembangkang memainkan isu itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian di sini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM300 juta setahun sebagai subsidi untuk menyerapkan kos pengangkutan yang menjadi antara punca kenaikan harga barangan di kawasan luar bandar negeri ini dan di Sabah.

pehin-taib-mahmud-muhyiddin-tpm-kerajaan-bn

“Sarawak sebuah negeri yang besar, mengangkut barang-barang dari Kuching ke kawasan-kawasan lain (seperti) ke Mukah dan Balingian, ini memerlukan kos tambang yang agak tinggi.

"Oleh sebab itu untuk menentukan barang-barang keperluan di Sabah dan Sarawak ini dapat kita kurangkan, maka kerajaan memberikan subsidi lebih daripada RM300 juta,” katanya.

Berucap melancarkan program inap desa di Kampung Seberang Mukah di sini hari ini, beliau berkata pembangkang yang telah ketandusan modal berkempen semasa PRK Balingian ini sudah mulai memainkan kembali isu kenaikan kos hidup dan menuduh BN sebagai kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan tidak membantu rakyat.

“Nak menuduh kerajaan Barisan Nasional tidak bertanggungjawab dan menyebabkan kos hidup semakin tinggi, ini satu tuduhan melulu,” katanya.

Muhyiddin juga meminta pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian untuk membuktikan PKR telah membuat langkah yang silap untuk bertanding di kawasan itu dengan memberikan kemenangan dengan majoriti lebih besar kepada BN dalam PRK ini.

Katanya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak seharusnya angkuh dengan kemenangan yang diperoleh parti itu dalam PRK Kajang lepas kerana jumlah undi yang mereka peroleh telah merosot berbanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya keputusan PRK Kajang menunjukkan sokongan rakyat terhadap PKR semakin terhakis dan Muhyiddin percaya pengundi di Balingian tidak akan menyokong parti pembangkang berkenaan.

“Kalau di Kajang begitu, kalau di tempat-tempat lain begitu, saya yakin di Balingian kita tidak akan berikan sokongan walau satu undi pun kepada calon PKR,” katanya.

Calon BN, Yussibnosh Balo ditentang calon PKR Abdul Jalil Bujang dalam PRK Balingian ini yang diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb lepas.

Rakyat Di Kedah Diminta Tidak Terpedaya Helah Pembangkang Buat Perhimpunan

Posted: 27 Mar 2014 02:52 AM PDT

CHANGLUN, 27 Mac – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir hari ini membidas pembangkang kerana cuba menghasut rakyat di negeri itu menerusi penganjuran perhimpunan yang dijadualkan 5 April ini.

“Pemimpin depa (pembangkang) nak jelajah Kedah nak lancar reformasi 2.0, konon himpunan derita rakyat, 5 April nak pi (pergi) Baling bagi memperingati ulang tahun insiden Baling (kejadian di Memali).

“Nak mai (datang) cetus kemarahan rakyat pada kerajaan…itu tindakan mudah dan langsung tidak bertanggungjawab, mai kata kat orang (datang mengkritik kerajaan negeri) tapi tak bagi penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Projek Sentuhan Kasih dan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) Laka Selatan dekat sini.

Sehubungan itu Mukhriz menggesa rakyat di Kedah agar tidak terpedaya dengan helah pembangkang yang bukan mahu membantu tetapi hanya bertujuan meraih sokongan politik mereka.

Mukhriz berkata kerajaan menyedari dan mengakui akan peningkatan kos sara hidup, serta mengambil pelbagai pendekatan untuk meringankan beban rakyat termasuk menyediakan rumah dengan harga yang berpatutan.

Mengenai projek di Laka Selatan itu beliau berkata sebanyak 300 buah rumah PGBF akan dibina untuk generasi Felda.

“Saya turut dimaklumkan sebanyak 80 buah unit lagi sedang dibina di Felda Sungai Tiang, Pendang dan ada lagi kawasan-kawasan yang akan dibina bergantung kepada kesesuaian tanah.

“Sekiranya tanah-tanah kosong di Felda tidak sesuai, kerajaan negeri bersedia menilai tanah-tanah negeri berhampiran tanah rancangan Felda untuk dimajukan dengan projek perumahan.

“Ini tandanya kerajaan Barisan Nasional amat prihatin dengan kehendak generasi baharu. Saya difahamkan perancangan Felda adalah untuk membina 720 unit di Kedah,” katanya.

Taklimat MH370 Bagi Anggota Parlimen Pembangkang Selasa Depan

Posted: 27 Mar 2014 02:41 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 Mac  - Kerajaan sedia mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen pembangkang bagi menyampaikan maklumat terperinci berhubung tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH370.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata satu pertemuan telah diatur pada malam Selasa depan antara anggota Parlimen pembangkang dengan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

“Tempoh hari anggota pembangkang ada mengadu kita buat sesi taklimat tak ajak mereka, jadi saya telah atur pertemuan dan semua anggota Parlimen pembangkang dijemput hadir.

“Setakat ini semuanya (anggota Parlimen pembangkang) setuju untuk hadir kecuali Anggota Parlimen Gelang Patah (Lim Kit Siang daripada DAP),” katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Shahidan berkata pertemuan ini membuktikan kerajaan terbuka kepada semua pihak dan tidak menyembunyikan apa-apa maklumat berhubung tragedi MH370 seperti didakwa pembangkang.

Shahidan berkata pada sesi pertemuan itu, pemangku menteri pengangkutan dan wakil daripada pihak terlibat akan menerangkan secara terperinci mengenai tragedi MH370.

“Anggota Parlimen pembangkang pula boleh menghuraikan segala syak wasangka mereka terhadap kerajaan mengenai tragedi itu,” katanya.

Menyentuh tentang keputusan kerajaan yang hanya akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai tragedi MH370 selepas menemui kotak hitam pesawat itu, Shahidan berkata setakat ini kerajaan tetap dengan pendirian itu.

“…kerana selagi kotak hitam tidak ditemui adalah sukar untuk siasatan lanjut dijalankan, dan kita pasti banyak perkara telah dipertimbangkan oleh pemangku menteri pengangkutan sebelum keputusan ini dibuat,” katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis data satelit oleh pengendali satelit Inmarsat dan Air Accident Investigation Branch di UK.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...