tun faisal dot com |
#PemilihanUMNO - Barisan Transformasi @NajibRazak atau barisan cai ? Posted: 21 Oct 2013 08:58 PM PDT Terima kasih kepada 19,963 perwakilan yang mengundi saya daripada 19 bahagian. 1. Ada wartawan menelefon saya kerana merasakan barisan Majlis Tertinggi yang ada tidak ada wow faktor dan tidak mencerminkan perubahan di dalam UMNO. 2. Saya nyatakan dia merasakan begitu kerana persepsi. Persepsi itu tidak begitu tepat. 3. Justifikasi saya, pertama, dalam MT sebenarnya ada golongan muda dan muka baru. 3 daripada 4 wakil Pergerakan Pemuda dipilih oleh perwakilan, iaitu Datuk Razali Ibrahim, Datuk Seri Reezal Merican dan Datuk Sohaimi Shahadan. Salah seorang lagi muka baru yang diminati rakyat adalah Datuk Rahman Dahlan. Maksudnya perwakilan tidak menolak orang muda muka baru di dalam Majlis Tertinggi. Cuma mungkin jumlahnya tidak ramai maka persepsi orang menyatakan UMNO menolak orang muda dan muka baru. Tapi itu hanya persepsi. 4. Dalam kes Naib Presiden, tidak wajar mendakwa UMNO tidak berubah hanya kerana lebih banyak bahagian di seluruh negara yang masih mahu mengekalkan 3 Naib Presiden yang telah teruji. Umum wajar mengakui hakikat bahawa demokrasi begitu diraikan di dalam UMNO apabila pemimpin muka baru, Datuk Mukhriz Mahathir mendapat sambutan yang luar biasa. Bezanya cuma lebih banyak bahagian yang mahukan tiga penyandang kekal sebagai Naib Presiden. 5. Kedua, persepsi itu terbina sebab mungkin kerana dia melihat balik-balik muka menteri itu dan ini serta timbalan menteri yang sama tersenarai. Dia mungkin sudah terlalu biasa dengan muka Menteri dan Timbalan Menteri ini sehingga merasakan balik-balik muka yang sama tersenarai. 6. Dan, ketiga, saya katakan kepada wartawan itu, saya yakin dia berpandangan bahawa MT itu masih muka yang sama dan tidak berubah kerana masih ada beberapa personaliti yang tidak diminatinya tetap terpilih di dalam MT. Sebab itu dia rasa begitu. Apa yang saya katakan itu, diakuinya. Sekali lagi ini hanya persepsi. 7. Cuma dalam pemilihan kali ini, ramai yang mengakui akan kepentingan cai dalam menentukan pemilihan MT dan Exco Sayap. Oleh kerana ramai yang terlalu sibuk dengan pemilihan bahagian dan memberi tumpuan kepada pemilihan bahagian, apabila tiba waktu untuk memilih anggota MT, ramai perwakilan yang hanya akan memilih berdasarkan cai yang diberi lebih-lebih lagi kerana terlalu ramai yang bertanding di peringkat MT yang masih belum mereka kenali. Paling tidak pun mereka akan menukar beberapa nama di dalam cai untuk memasukkan pemimpin yang mereka minati dan selebihnya mereka akan mengikuti cai. 8. Saya sendiri akui, melainkan di Putrajaya, di mana majoriti perwakilan mengenali saya, di 18 bahagian lain, saya juga menerima undi kerana nama saya tersenarai di dalam cai. Saya tidak menerima undi juga kerana cai. Dalam banayak bahagian, termasuk di Putrajaya, jika nama tidak tersenarai di dalam cai bahagian, nama besar dan Timbalan Menteri pun akan tertinggal dari dipilih oleh perwakilan. 9. Ini pemilihan pertama dengan jumlah perwakilan seramai 146,000 orang. Ini juga pertama kali, UMNO menggunakan sistem terbuka, tanpa pencalonan, yang membolehkan begitu ramai pemimpin menawarkan diri. Ini juga kali pertama, ramai perwakilan di peringkat cawangan merasa `kuasa' untuk memilih. Jangan harapkan semuanya akan begitu lancar dan sempurna. Perubahan dan transformasi sedang mengambil tempat di dalam UMNO. Cuma jangan mengharapkan perubahan total kerana perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata. "Rome was not built in one day" dan Al-Quran juga menyebut bahawa alam ini diciptakan dalam masa 6 hari atas hikmah yang tersendiri. 10. Cai ataupun bukan cai, apapun 146,000 perwakilan dari 191 bahagian, termasuk di peringkat cawangan telah membuat pilihan. Maka 25 orang ahli Majlis Tertinggi dan 3 Naib Presiden memikul amanah 146,000 perwakilan yang mewakili hasrat 3 juta ahli UMNO, termasuklah di peringkat cawangan. Mereka bukan lagi sekadar mendapat mandat 2,800 orang perwakilan di PWTC yang keputusan mereka boleh membelakangi akar umbi jika terlalu kuat faktor tolak dan tarik di saat akhir pemilihan di PWTC. 11. Pada waktu yang sama, 146,000 perwakilan ini, termasuk saya juga perlu bertanggung jawab kerana ini pilihan kita semua. Tidak boleh lagi mengatakan ini pilihan 2,800 perwakilan yang ada kalanya mengkhianati kehendak akar umbi akibat gelap mata dan hilang ingatan semasa di PWTC. Kalau betul pilihan mereka ini, maka mereka harus bersyukur kerana telah menunaikan amanah memilih pemimpin yang baik untuk mengukuhkan parti. Jika pemimpin parti ini lemah, malas dan tidak berfungsi, maka 146,000 ini juga mesti memikul tanggung jawab kerana tersalah memilih pemimpin mereka di peringkat pusat. 12. Begitu juga lah keadaannya di bahagian-bahagian dan negeri-negeri. Orang dari bahagian lain tidak mampu mengubah keputusan perwakilan di bahagian. Jika bahagian anda gagal berhadapan dengan rakyat dan pembangkang dalam PRU14, bukan salah orang lain, tetapi salah perwakilan bahagian tersebut, kerana terus menerus memilih mereka yang gagal. 13. Pemilihan sudah selesai, masa untuk buat kerja. Mereka yang menang kena segera buat kerja dan yang kalah kena turut serta. Ujian pertama di Sg Limau. Anggota MT, Anggota Jawatankuasa Sayap Pusat, Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua Cawangan, Ketua Sayap Bahagian dan ketua sayap cawangan, jangan terus khayal dengan keseronokan memenangi jawatan. Ini masa untuk membuktikan kita ini berbaloi dipilih oleh perwakilan. Bagi yang terpilih tetapi tidak pernah ada pengalaman turun bekerja dalam Pilihan Raya Kecil, inilah masa untuk anda belajar dan mengumpul pengalaman sebelum PRU14. 14. Terima kasih kepada 19,963 perwakilan yang mengundi saya dari 19 bahagian. Seperti yang saya ikrarkan, menang atau kalah, perjuangan tetap diteruskan. |
You are subscribed to email updates from tun faisal dot com To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment