Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, manifesto pakatan pembangkang membuktikan mereka hanya tahu menabur janji, tetapi tidak tahu mentadbir.

Bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memastikan sumber pendapatan stabil dan tidak berbelanja melebihi kemampuan atau negara boleh muflis.
Katanya, jika semua benda dimansuhkan seperti dalam manifesto 'janji populis' pembangkang, perbelanjaan negara akan melebihi pendapatan dan akan merugikan rakyat.


"Ini manifesto orang tak tahu (tadbir) kerajaan. Kerajaan perlu ada wang dan perlu kuatkuasakan undang-undang. Kalau semua punca pendapatan termasuk cukai pendapatan, tol dan sebagainya kita hapuskan, pendapatan kerajaan akan berkurangan.

"Sebaliknya, kita nak belanja lebih untuk buat jalan, selenggara jalan, sekolah dan sebagainya dan belanja kerajaan akan meningkat. Inilah yang berlaku kepada Greece dan Amerika Syarikat.

"Mereka belanja lebih daripada pendapatan, akhirnya negara akan bankrap dan rakyat akan menderita," katanya kepada BH selepas sesi rakaman video Persatuan Malim Pelabuhan Malaysia (MHAPA) sempena majlis makan malam pemakaian pangkat 'Master Foreign Going' kepada Dr Mahathir di Yayasan Al Bukhary, di sini semalam.

Manifesto pakatan pembangkang antara lain menjanjikan penurunan harga minyak, menghapuskan tol, memberikan pendidikan percuma, menurunkan tarif air dan elektrik dan pelbagai lagi janji yang disifatkan penganalisis ekonomi boleh membawa negara muflis jika dilaksanakan sepenuhnya.
"Kerajaan diharap tidak mengikut cara ini sebab bagi mereka (pembangkang), kalah tak apa, kalau menang mereka kata manifesto bukan janji seperti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor). Mereka hanya akan dapat kuasa dan rosakkan negara," kata Dr Mahathir.