PAPA GOMO |
Pelaksanaan PERMATA Pemacu Kemajuan Negara Posted: 23 Oct 2012 08:00 PM PDT Program pendidikan yang berkualiti dipercayai mampu dijadikan sebagai platform yang kukuh dalam usaha menyediakan kanak-kanak di negara ini kearah memacu kemajuan negara. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, program pendidikan tersebut merupakan satu strategi yang boleh dijadikan sebagai persediaan untuk membina modal insan terbaik negara dalam masa sama menghalang unsur negatif dalam memupuk peribadi mulia. Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pusat Penyelidikan Keluarga, Remaja dan Kanak-kanak (FACE) dan Makmal Taska Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak (PERMATA) di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini. Menurut Rosmah, penglibatan FACE dalam menjalankan penyelidikan bukan sahaja tertumpu kepada golongan kanak-kanak namun telah diperluaskan ke peringkat remaja seterusnya keluarga. "Sebelum ini, PERMATA menggunakan khidmat Pusat Penyelidikan Pembangunan Kanak-kanak Kebangsaan (NCDRC) khusus untuk memantau pelaksanaan program perintis Pusat Anak PERMATA Negara. "Oleh itu, saya amat mengalu-alukan kesungguhan dan minat FACE untuk menjalankan penyelidikan berkaitan Program PERMATA Negara dan menjadikan Makmal Taska PERMATA UPM di FACE sebagai makmal contoh bagi program berkenaan," katanya yang juga merupakan Penaung Program PERMATA Negara. Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Naib Canselor UPM, Datuk Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi dan Dekan Fakulti Ekologi Manusia merangkap Penyelaras Pusat Anak PERMATA UPM, Profesor. Madya Dr. Zaid Ahmad. Tambahnya, FACE memperlihatkan peranan yang begitu penting di dalam membangun dan menjalankan penyelidikan secara komprehensif mengenai kanak-kanak, remaja dan keluarga. "Penghasilan penyelidikan (melalui FACE) akan digunapakai sebagai input yang akan membantu meningkatkan kecemerlangan kanak-kanak, remaja serta keluarga," ujarnya. Sehingga kini, seramai 1711 tenaga pendidik telah mengikuti Kursus Pendidik PERMATA Negara, 582 peserta dilatih menerusi Kursus Orientasi, Kursus Ulangkaji Pendidik, Bengkel Pengurusan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Bengkel Pengurusan Murid. Pada majlis yang sama, Rosmah turut melancarkan dua produk penyelidikan FACE iaitu HELP-kids dan buku Panduan Terapi Bermain. Sementara itu, Datuk Ir. Dr. Radin Umar berkata, pihak UPM telah menyediakan tawaran bagi program Diploma Lepasan Ijazah dalam bidang pembangunan serta pembangunan awal kanak-kanak yang setara dengan diploma pendidikan untuk program PERMATA Negara. "Kami (UPM) percaya, dengan penawaran itu, program ini akan berupaya membina kerjaya yang lebih baik bagi pembangunan awal kanak-kanak dalam sektor awam mahupun swasta," katanya. |
Nazri Aziz Cadang Jawatankuasa Khas Bincang Laporan SUHAKAM. Posted: 23 Oct 2012 12:07 AM PDT Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mencadangkan jawatankuasa khas tetap ditubuhkan bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai hak asasi manusia. Beliau berkata dengan adanya jawatankuasa itu, perkara berkaitan hak asasi manusia dalam laporan Suhakam akan dapat diperjuang secara berterusan dan tidak hanya memperuntuk satu hari sahaja untuk membahaskan perkara itu di Parlimen. "Isu hak asasi manusia ini satu isu yang penting. Saya tidak fikir kita boleh ketepikan satu hari untuk bincangkan laporan sahaja, kemudian apa? Mereka (Suhakam) telah menjalankan kerja dan dalam masa satu tahun telah membuat laporan tebal dan hanya dibentangkan, dan itu tidak adil untuk mereka (Suhakam)," katanya ketika menjawab soalan tambahan M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Kulasegaran ingin tahu apa yang boleh dilakukan untuk memberi lebih makna kepada Suhakam serta laporan yang dibuat berhubung perkara hak asasi manusia. Mohamed Nazri berkata seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), jawatankuasa khas tetap mengenai hak asasi manusia itu akan dianggotai beberapa anggota Parlimen dan boleh mengadakan persidangan serentak atau di luar persidangan Dewan Rakyat. "Itu (Jawatankuasa Khas Tetap) lebih bermakna daripada hanya menghebahkannya. Kita bukan berminat untuk menghebahkan sahaja tapi menangani masalah hak asasi manusia dalam negara kita, dan ia boleh dilakukan dengan penubuhan sebuah jawatankuasa tetap," katanya. Sementara itu, Mohamed Nazri berkata kerajaan bersedia menerima cadangan dan kritikan yang membina daripada Suhakam sekiranya ia mempunyai asas untuk kerajaan menghentikan atau meneruskan sesuatu tindakan. "Kerajaan tidak berhajat untuk mengongkong pesuruhjaya kerana kita telah berjanji bahawa mereka (Suhakam) diberikan kebebasan menjalankan tugas mereka," jelasnya. Beliau berkata kerajaan telah memberikan perlindungan mencukupi di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia supaya Suhakam dapat menjalankan tugas dengan baik. Peruntukan itu menyatakan dengan jelas memberikan perlindungan kepada suruhanjaya dan anggotanya daripada sebarang tindakan mahkamah yang melibatkan prosiding sivil atau jenayah pada ketika mereka menjalankan fungsi dan tanggungjawab sebagai anggota suruhanjaya, katanya. Selain itu, Suhakam juga telah diberikan penarafan 'A' oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia di Geneva, kerana tidak menyekat peranan untuk menyiasat dengan sepenuhnya dan mengeluarkan kenyataan yang boleh dikatakan sebagai menegur kerajaan. -KLPOS |
You are subscribed to email updates from PAPA GOMO To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment