UMNO Online - “Perdana Menteri Lancar Skim-Skim Persaraan Swasta” plus 9 more |
- Perdana Menteri Lancar Skim-Skim Persaraan Swasta
- Air Dah Mula Dicatu, Selangor Bakal Setaraf Kelantan
- Program Gerak Mesra BN Bakri Untuk Semua Golongan
- Pas Main Tipu, Depan Kata ‘Benci’ Tapi Belakang Sapu Saham Felda
- Tanah Bawah Air : Kerajaan Selangor, DAP Sah Menipu
- DAP Guna Angka Untuk Putar Belit Pembohongan Isu Rumah Kos Rendah
- Campurtangan Politik Di Masjid – GAPS Rayu Kepada Sultan Selangor
- DAUN Desak MP dan Kumpulan Anti Lynas Mohon Maaf
- BN Kedah Rangka Manifesto Ikut Keperluan Rakyat – Ahmad Bashah
- Beli Aset Melebihi Harga Pasaran Semasa – Rakyat Selangor Mahu Penjelasan
Perdana Menteri Lancar Skim-Skim Persaraan Swasta Posted: 18 Jul 2012 06:30 AM PDT KUALA LUMPUR, 18 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan penubuhan skim-skim persaraan swasta, satu langkah yang amat signifikan kerana ia menyediakan pekerja dan mereka yang bekerja sendiri dengan platform tambahan untuk menabung bagi menyara persaraan mereka. Set pertama skim-skim itu terdiri daripada 24 dana oleh beberapa penyedia skim persaraan swasta yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan tersedia untuk ditawarkan kepada orang ramai mulai September dan bulan-bulan seterusnya. Skim persaraan swasta (PRS) ialah skim simpanan atau tabungan persaraan sukarela yang distrukturkan oleh para penyedia dana sektor swasta yang berlesen dan diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti. “PRS menawarkan peluang untuk rakyat. Dalam kes individu, PRS boleh menyediakan persekitaran untuk individu mengukuhkan dana persaraan bagi pergerakan kerjaya, sementara untuk majikan, PRS boleh digunakan sebagai alat untuk mengekalkan dan menarik bakat,” kata Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan ketika berucap melancarkan skim itu di sini. “Saya menggesa agar majikan menimbang menggunakan PRS untuk menawarkan pakej ganjaran atau pulangan yang menarik dalam bentuk sumbangan yang tinggi kepada faedah persaraan pekerja mereka dan pada masa yang sama memberikan pekerja mereka kebebasan untuk membuat keputusan jenis skim yang ingin mereka sertai,” tambah beliau. Najib berkata perkembangan industri pencen swasta mempunyai potensi untuk mengubah wajah landskap persaraan di Malaysia dengan meningkatkan dan menambah perlindungan berdasarkan sukarela kepada semua sektor pasaran buruh, termasuk yang bekerja sendiri dan membolehkan rakyat Malaysia mendapat tabungan tambahan dan mencukupi apabila mereka bersara. Bagi menggalakkan penyertaan dalam PRS, Najib berkata langkah-langkah percukaian dalam Belanjawan Persekutuan tahun lepas telahpun diumumkan. Ini termasuklah pelepasan cukai persendirian sehingga RM3,000 manakala majikan diberikan potongan cukai ke atas caruman yang dibuat kepada PRS bagi pihak pekerja mereka, di atas daripada kadar yang diwajibkan dan sehingga 19 peratus gaji pekerja. Malaysia pada masa ini dirahmati dengan populasi muda dengan usia purata rakyatnya adalah sekitar 26 tahun. “Dengan meningkatnya jangka hayat untuk kedua-dua lelaki dan wanita, purata jangkaan hayat Malaysia ketika dilahirkan dijangka meningkat kepada 80 tahun – dalam kata lain, generasi akan datang akan mempunyai lebih 20 tahun untuk terus hidup selepas persaraan. “Mesejnya amat jelas: Rakyat Malaysia sebagai pengguna mesti berusaha keras untuk menabung/berjimat,” kata beliau. “Apa yang benar-benar saya inginkan ialah memastikan setiap seorang dewasa yang produktif, malah, generasi masa depan Malaysia selepas mereka, akan mempunyai tabungan dan aset kewangan yang mencukupi bagi membolehkan mereka benar-benar menikmati alam persaraan mereka,” kata Najib. Dalam membina asas yang kukuh untuk masa depan, Najib berkata, ini seharusnya menjadi matlamat penting yang bukan sahaja kerajaan, tetapi semua rakyat Malaysia, mesti cita-citakan. Beliau berkata, sebagai tambahan kepada skim KWSP yang diwajibkan dan pelbagai skim sektor awam, kerajaan juga telah meneruskan inisiatif berkaitan yang lain, termasuk cadangan untuk menaikkan usia persaraan ke 60 tahun. “Sebuah negara yang berpendapatan tinggi mesti mempunyai rangka kerja social yang kukuh dan mampan bagi memastikan tabungan/simpanan persaraan yang mencukupi. Ini melibatkan penyertaan sektor awam dan swasta bagi memastikan negara bersedia bagi berhadapan dengan cabaran populasi tua di masa hadapan,” kata beliau. Wawasan 2020, menurut Najib, bukan semata-mata untuk mencapai sasaran pertumbuhan KDNK ataupun meningkatkan pendapatan per kapita Malaysia kerana ia juga mengenai meningkatkan kualiti hidup rakyat. “Seiring dengan perkembangan ekonomi menerusi usaha dan ikhtiar kita semua – kerajaan, sektor swasta dan rakyat, kita juga mahu memastikan kemampanan cara hidup dan kemakmuran yang negara nikmati. “Inilah tanggungjawab yang kerajaan tidak pandang ringan dan ia adalah aspek dalaman pelbagai program transformasi kita,” kata bleiau. Turut hadir pada majlis pelancaran ini ialah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Mohamad Hanadzlah, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Ranjit Ajit Singh dan Pengerusi Bursa Malaysia Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah. Pada masa yang sama, Pentadbir Pencen Swasta, komponen akhir rangka kerja Skim Persaraan Swasta, turut dilancarkan. |
Air Dah Mula Dicatu, Selangor Bakal Setaraf Kelantan Posted: 18 Jul 2012 03:44 AM PDT Salah menyalah, menunding 1 jari kepada pihak lain (4 jari kepada diri sendiri) memang sudah jadi amalan biasa kerajaan Pakatan haram yang diterajui PKR di Selangor. Dalam isu krisis air yang mula melanda inipun begitu juga. Dia yang mentadbir air, kepada SYABAS dan kerajaan BN dihalakan kesalahan. Kita sebenarnya dah muak, dah bosan dengan pendekatan yang sedemikian rupa. Sibuk nak menunding jari salah pihak mana, sementara rakyat juga yang sengsara sebab air sudah mula dicatu. Khabarnya semua pejabat telah diarahkan untuk menyediakan baldi sebagi persedian menghadapi krisis air. Naya. Khalid arahkan pencacainya guna gambar empangan penuh (entah dari tahun bila) untuk menggambarkan bekalan air mentah cukup, yang salah sekarang ialah SYABAS kerana sabotaj proses merawat air sehingga boleh diminum. Tidak cukup dengan itu dimasukkan juga kononnya hujan hari-hari di Selangor tapi air masih tidak ada. Inilah jenis bodoh yang dipupuk oleh Pakatan haram ini diminda penyokong masing-masing yang kebetulan dari jenis manusia gred ketiga. Hujan memang hujanlah tapi orang bukan minum air hujan, orang minum air paip. Hujan banyak mana pun kalau tak sampai ke kawasan tadahan, tak guna juga. Samalah macam Kelantan, hujan dan bah besar kerap tapi masalah air 22 tahun dah, selesai tak juga. Ini logik yang semua orang tahu tapi dah dipesongkan perhatiannya oleh kerajaan Khalid. Kita pun tahu sungai-sungai di Selangor dah teruk tercemar, tidak boleh digunakan untuk merawat air bagi orang minum. Justeru, air hujan yang penuh dalam sungai inipun sudah tidak boleh dirawat lagi dah kerana mengandungi logam berat, tercemar. Yang diperlukan sekarang ialah bekalan air mentah dari sumber yang tidak tercemar, iaitu dari sungai Pahang. Tapi dengan penangguhan projek Langat 2, air dari sungai Pahang tak boleh disalur untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan di Selangor. Siapa yang menghalang? PKRlah siapa lagi. Kerajaan persekutuan (sebut UMNO) dah peruntukkan RM 8 billion untuk projek tersebut, tapi kerajaan negeri bagi macam-macam halangan, kononnya tidak perlu tergesa-gesa, bekalan cukup, tarif naik dan sebagainya. (Yang sebetul dia nak kontraktor yang dapat projek RM 8 billion itu terdiri daripada anak syarikat kerajaan negeri, senang dia nak sapu percentage). Dia gebang saja air cukup sampai 2019, kutip entah mana punya konsultan dan bentangkan penemuan. Bila sekarang dah mula ada masalah, kepada SYABAS juga dihalakan kesalahan. Yang dia taknak rakyat Selangor tahu, 30% saham dalam SYABAS adalah dimiliki oleh kerajaan Selangor sendiri. Takkanlah sebagai pemegang saham terbesar, kerajaan negeri tidak ada akses kepada maklumat sebenar mengenai krisis air yang sedang dialami sekarang? Tak logik. Lagi satu, buat laporan polis dan bawa kes ke Mahkamah kalau betul ada bukti SYABAS yang sabotaj!!! Menyalak kepada yang tak faham buat apa? Sekarang ini khabarnya Khalid nak ambil alih SYABAS, percayalah masalah tak akan selesai sebab puncanya pada bekalan air mentah, bukan pada pihak yang merawat air (SYABAS). SYABAS tau apa? Ada air yang boleh dirawat, dia rawat dan salur pada rakyat, takdak air nak rawat dan salur apa jadahnya? Sekarang ni juga banyak istilah kerajaan Khalid guna untuk support alasannya menyalahkan SYABAS, NRWlah apalah, apa Khalid ingat rakyat peduli istilah tu semua? Yang depa tahu, pusing pili, air keluar ke tidak, itu saja. Tak keluar, 1) apa masalah, 2) mana punca masalah, 3) macam mana boleh selesai? Jawapan, no 1 – Pakatan, no 2 – Pakatan no 3 – buang Pakatan. Maka dalam pilihanraya akan datang, beraraklah rakyat mengundi BN, mencampakkan kerajaan haprak Pakatan haram ini ke longkang. Tak payah lama, seminggu cukup. mykmu.net |
Program Gerak Mesra BN Bakri Untuk Semua Golongan Posted: 18 Jul 2012 03:41 AM PDT BAKRI 18 Julai – Aktiviti kemasyarakatan dan sosial menjadi tumpuan kepada Gerak Mesra BN untuk mendekati rakyat di samping menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Parlimen Bakri. Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bakri, Datuk Mazlan Sabari berkata sambutan terhadap apa jua program yang dianjurkan oleh Gerak Mesra BN amat memberansangkan berdasarkan kepada pembabitan masyarakat dan penduduk setempat. "Apa yang program atau aktiviti yang dianjurkan oleh kami, pembabitan orang ramai adalah amat mengalakkan, ia bukan sahaja tertumpu kepada program berbentuk sosial malah program kebajikan juga disertai ramai orang. "Bagi kami penyertaan orang ramai dan masyarakat setempat adalah menjadi keutamaan, tidak guna kita melakukannya jika tiada pembabitan daripada masyarakat setempat, jika itu berlaku motif dan tujuan kami tidak tercapai," katanya di majlis gotong royong membersikan Surau Kampung Parit Kemin, Air Hitam di kawasan DUN Bukit Naning. Menurutnya, program yang dianjurkan oleh Gerak Mesra BN dilaksanakan secara menyeluruh yang turut membabitkan semua golongan masyarakat tanpa mengira peringkat umur, kaum atau fahaman agama masing-masing. "Selain acara sukan dan riadah dianjurkan untuk golongan muda, program kemasyarakatan dan kebajikan turut diberikan penekanan kepada mereka, apa yang dilakukan ini adalah untuk menepis tanggapan masyarakat bahawa golongan muda kurang berminat terhadap aktiviti sedemikian. "Sambutan golongan muda dan belia terhadapn program sebegini amat memberansangkan, ini terbukti melalui pembabitan mereka dalam kerja amal seperti gotong royong memberisih surau dan tempat ibadat," katanya. Mazlan berkata, selain itu Gerak Mesra BN juga turut menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan termasuk membina sebuah rumah untuk keluarga yang kurang berkemampuan. |
Pas Main Tipu, Depan Kata ‘Benci’ Tapi Belakang Sapu Saham Felda Posted: 18 Jul 2012 03:29 AM PDT KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pakatan pembangkang khususnya kepimpinan Pas yang menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah telah bertindak memalukan diri sendiri dan lebih teruk lagi menipu rakyat demi keuntungan ekoran daripada tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) membeli saham Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVH). Aktivis politik tempatan, Datuk Osman Abdul menganggap kepimpinan Pas tentunya mahu menyembunyikan aib sendiri biarpun ia dikatakan adalah berpunca daripada kegagalan pegawai PKNK dalam memahami keputusan politik dan parti. "Perbadanan itu membeli 500,000 unit saham FGVH dan ia bukanlah satu jumlah yang kecil maka tentunya ia bukan dilakukan secara sembunyi atau tanpa pengetahuan daripada ahli lembaga pengarah yang dipengerusikan oleh Menteri Besarnya sendiri, Datuk Seri Azizan Razak yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah. "Dengan ini maka mustahillah bahawa pembelian tersebut berlaku akibat kegagalan memahami keputusan politik sedangkan telah jelas dan kerajaan Pusat mengatakan bahawa penyenaraian FGVH akan beri keuntungan kepada para peneroka dan rakyat Malaysia," jelasnya kepada UMNO-Online. Ujarnya, dalam hasrat untuk mendapatkan keuntungan, dilihat bahawa kepimpinan Pas dan kerajaan Negeri Kedah 'berpandangan jauh' iaitu sanggup mengenepikan pendapat politik yang amat berbeza. "Secara zahirnya mereka tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH malah menjadi pelopor kepada Himpunan Oren atas alasan untuk menyelamatkan Felda tetapi dalam diam-diam mereka membeli unit saham dalam jumlah yang sangat banyak dan tentunya mereka yakin ia sangat menguntungkan. "Biarpun kepimpinan Pas mengatakan akan menjual unit saham tersebut secara berperingkat tetapi apa yang pasti mereka telah membuat untung dengan jumlah yang banyak. "Bayangkanlah jika satu unit saham mempunyai untung 30 sen maka berapa banyak keuntungan yang telah mereka dapat dengan pembelian setengah juta unit saham tersebut sedangkan pada masyarakat awam mereka membantah habis-habisan dengan membuat pelbagai tuduhan kepada kerajaan. Sekarang, mereka jilat balik apa yang dah diludah." Dalam hal ini beliau turut menempelak Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang juga Ahli Jawatankuasa Pas ekoran tindakannya yang keterlaluan terhadap Felda dan anggota peneroka sendiri. "Apa yang dilakukan oleh kepimpinan Pas amat memalukan apatah lagi mereka sendiri dalam diam membeli unit saham tersebut dan tentunya ia akan disembunyikan jika tidak didedahkan tetapi manakan bangkai gajah boleh disorokkan. "Selepas apa yang berlaku, patutnya ANAK membersihkan semula tuduhan-tuduhan yang dilemparkan pada kerajaan Barisan Nasional (BN) malah sepatutnya mereka menyokong usaha kerajaan dari sudut ekonomi yang mahu menambahkan pendapatan warga Felda tanpa membabitkan unsur politik pun," tegasnya lagi. Himpunan Oren yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur Sabtu lalu menunjukkan provokasi pakatan pembangkang untuk memburukkan Felda dan penyenaraian FGVH di bawah peruntukan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang ditawarkan kepada Bumiputera tetapi kemudiannya Ketua Eksekutif PKNK, Datuk Abdul Rahman Ibrahim mengesahkan perbadanan itu membeli 500,000 unit saham FGVH yang secara tidak langsung memberi tamparan kepada pakatan pembangkang. – MediaUMNO |
Tanah Bawah Air : Kerajaan Selangor, DAP Sah Menipu Posted: 18 Jul 2012 02:43 AM PDT Dalam cuba mempertahankan tindakan kerajaan Selangor membeli tanah milik Talam yang 80% daripadanya berada di bawah air, Menteri Besar Khalid Ibrahim dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua telah menipu rakyat Malaysia dan Selangor khasnya dengan mendakwa Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti telah membuat penilaian mengenai harga tanah tersebut. Pendek kata DAP dan kerajaan negeri Selangor cuba mempertahankan keputusan pembelian tanah yang lerlebih harga dan tidak mendatangkan keuntungan itu dengan cuba menjual nama Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti. Gambaran yang cuba diberikan, pembelian itu adalah sah kerana telah diberi penilaian oleh pihak yang sepatutnya. Bagaimanapun semuanya berubah pada 12 Julai lepas apabila Trinity Corporation Berhad (nama lamaTalam Corporation Berhad) mengeluarkan notis kepada Bursa Saham bahawa kenyataan Khalid Ibrahim dan Tony Pua yang merujuk Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti sebagai pihak yang menilai dan memberi kelulusan kepada pembelian tanah di Bestari Jaya itu adalah TIDAK BENAR. Rujukan boleh dilihat di http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/1010201 Ini seterusnya menimbulkan persoalan mengenai kredebiliti kedua-dua pemimpin tersebut yang berani menipu rakyat dalam mempertahankan tindakan tidak beretika yang dilakukan mereka, semata-mata untuk menutup kecurangan dalam pentadbiran kerana membelanjakan wang rakyat Selangor dengan sewenang-wenangnya untuk tujuan yang tidak selari dengan kepentingan rakyat. Kita perlu ingat, sebelum 2008, Talam Corporation yang berhutang dengan kerajaan Selangor, tetapi apabila kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri selepas itu, sebaliknya pula yang berlaku – kerajaan negeri pulak berhutang untuk menyelesaikan masalah hutang Talam dengan tindakan Menteri Besar Incorporated (MBI) membeli hutang-hutang Talam dengan beberapa anak syarikat kerajaan negeri bernilai RM 392 juta. Itu baru yang tunai, urus niaga lain melibatkan pemindahan aset hartanah bernilai RM 676 juta yang antaranya melibatkan pembelian tanah yang dijadikan isu sekarang inilah. Dan sementara Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor cuba meyakinkan rakyat Selangor bahawa pengurusan hutang tersebut adalah mengikut peraturan yang sebetulnya, kita dikejutkan dengan kenyataan dari Talam sendiri bahawa proses penentuan harga tanah itu tidak melibatkan penilaian dan kelulusan oleh pihak ketiga (Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti) seperti didakwa Khalid & Tony Pua. Jadi bolehkah kita mengatakan disini bahawa BENARLAH dakwaan ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong bahawa tanah di Bestari Jaya itu dibeli kerajaan Selangor dari Talam, RM 42 juta lebih mahal dari harga pasaran? Penulis tidak nampak mengapa tidak boleh. Walaupun dalam sidang media yang diadakan sebelumnya, kedua mereka bercakap tentang banyak perkara tapi setelah diringkaskan, alasan Khalid Ibrahim dan Tony Phua dalam mempertahankan urusniaga itu hanya satu – penilaian harga tanah telah mendapat kelulusan Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti, yang mana sudah terbukti tidak benar sekarang. Itu menjadikan dalam tempoh dua minggu ini saja, Pakatan Rakyat 'tertangkap dengan seluar tersingkap ke bawah' sebanyak dua kali. Kali pertama kerana 'menjual' nama Bursa Saham dan Suruhanjaya Sekuriti untuk menjustikasikan pembelian tanah dibawah air, kali kedua apabila semalam portal berita pro mereka Free Malaysia Today (FMT) secara terbuka mengaku menulis fakta yang salah berkenaan Lynas Corporation Berhad – fakta yang digunapakai oleh 100% penyokong Pakatan Rakyat dalam mempertahankan tindakan menentang pembinaan Lynas di Malaysia. Kesimpulannya, memang banyak yang tidak kena dengan pengurusan wang rakyat Selangor dibawah pimpinan Pakatan Rakyat. Duduk ditempat paling di atas, sudah tentulah bagaimana syarikat seperti Talam yang berhutang dengan kerajaan Selangor sebelum Mac 2008, boleh mempengaruhi kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih hutang-hutang tersebut sehingga rakyat Selangor pula yang tak pasal-pasal terpaksa menanggung akibat dari 'kepintaran' Khalid Ibrahim. Dan itu baru satu, dihadapan ini ada lebih banyak isu besar dan penting yang menunggu, antaranya air. Mr Beruang Biru |
DAP Guna Angka Untuk Putar Belit Pembohongan Isu Rumah Kos Rendah Posted: 18 Jul 2012 02:20 AM PDT PULAU PINANG, 18 Julai – Isu rumah kos rendah di Pulau Pinang semakin hari semakin terus menjadi tanda tanya. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula seakan cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan membuat kenyataan yang mengelirukan dan tanpa fakta. Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Ir.Shaik Hussein Mydin turut melahirkan rasa kesal terhadap isu ini. Katanya, bukan hanya Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan cuba memanipulasi isu ini malah Setiausaha Politiknya, Zairi Khir Johari turut mengeluarkan kenyataan yang ternyata satu pembohongan. "Saya kesal dengan kenyataan Zairil menerusi sepucuk surat yang dikirimkan kepada Portal Malaysiakini bertajuk ‘Soi Lek’s Penang Housing issue ‘perverted logic’. Dalam surat tersebut dinyatakan bahawa sejak berkuasa pada tahun 2008, kerajaan negeri DAP telah membina 3,806 unit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah melalui perbadanan Pembangunan Pulau Pinang(PDC). "Kenyataan ini adalah satu pembohongan Zairil untuk mempertahankan bosnya Guan Eng dalam isu pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah di Pulau Pinang.Kenyataan dalam akhbar Buletin Mutiara pula menyatakan bahawa 1,1596 unit rumah kos rendah dan sederhana telah dibina oleh PDC. "Jelas terbukti,kenyataan Zairil adalah pembohongan untuk mengelirukan rakyat sama seperti bosnya. Kenyataan tersebut berbeza pula dengan kenyataan Zairil bahawa hanya 3,806 unit dibina oleh PDC sejak 2008. Jadi yang mana satu betul. Apa yang kita tahu memang tiadapun rumah kos rendah dibina oleh Kerajaan Negeri," ujarnya kepada UMNO-Online. Pembohongan Zairil ini disokong pula dengan kenyataan akhbar oleh Guan Eng baru-baru ini yang menyatakan bahawa sebanyak 3,806 unit rumah kos rendah telah dibina yang merangkumi 1,194 dibina oleh kerajaan dan 2,612 dibina oleh swasta. Bagi rumah kos sederhana rendah pula sebanyak 7,790 telah dibina di mana 2,227 dibina oleh kerajaan dan 5563 dibina oleh swasta. Persoalannya tambah Shaik Hussein, ada beberapa perkara yang perlu dijawab oleh Zairil Khir Johari berkenaan kenyataannya dan juga kenyataan Guan Eng. Jangan hanya pandai bercakap tetapi faktanya tiada. "Perkara yang perlu dijawab oleh Zairil mahupun Guan Eng adalah syarikat swasta manakah yang membina rumah kos rendah tersebut? Adakah ianya hanya PDC sahaja? Bagaimana pula dengan bilangannya yang tidak sampai 3,806? Bilakah pelan kebenaran merancang diluluskan untuk ke semua 3,806 unit tersebut? “Bukankah kebanyakannya diluluskan sebelum Mac 2008 yang bermaksud bahawa ianya telah diusahakan oleh kerajaan BN dan bukannya kerajaan DAP seperti yang didakwa”, soal beliau. Justeru beliau menggesa Zairil mahupun Guan Eng agar tidak terus mengamalkan sikap kaki belit dan pembohong semata-mata untuk kelirukan rakyat. “Mereka ingat taktik bermain dengan angka boleh menyakinkan rakyat negeri ini? Rakyat negeri ini tahu keadaan sebenar kerana sehingga sekarang tempat di mana rumah kos rendha dan sederhana yang dikatakan itu telah dibina tidak dapat ditunjukkan. "Ternyata kerajaan Negeri DAP amat licik dalam proses pembohongan mereka untuk mengelirukan rakyat. Pemuda UMNO Pulau Pinang yakin Zairil dan Guan Eng akan terus bermain dengan angka untuk memutarbelitkan fakta sebenar bahawa tiada rumah kos rendah hasil inisiatif kerajaan negeri DAP sejak 2008," katanya lagi. – MediaUMNO |
Campurtangan Politik Di Masjid – GAPS Rayu Kepada Sultan Selangor Posted: 18 Jul 2012 02:02 AM PDT SHAH ALAM, 18 Julai – Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata rakyat negeri ini terkejut dan kecewa dengan campurtangan politik dalam pentadbiran masjid di negeri Selangor yang berlaku tanpa batasan lewat beberapa tahun kebelakangan ini. Malah tegas beliau terdapat YB yang bukan Islam dibenarkan "bertazkirah" dan menyampaikan bantuan zakat dalam masjid dan bagaimana ustaz yang tidak mempunyai tauliah JAIS dibenarkan menyampaikan pengajian dan menggunakan korum yang ada untuk berkias soal politik. "Kita juga pernah melihat bagaimana kawasan masjid digunakan oleh YB yang bukan Islam untuk bersenam "terkinja-kinja" di khalayak yang bukan muhrim. Kita juga mendengar bagaimana wang dan harta masjid diselewengkan, disalahgunakan dan dihabiskan untuk kepentingan puak tertentu. “Yang terbaru, banyak rintihan rakyat kedengaran mengenai campurtangan politik dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Masjid. Pemilihan tersebut dilaksanakan secara tidak telus, pincang, tidak demokratik dan diselewengkan. Namun malangnya penyelewengan dan kepincangan ini diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Adakah JAIS juga sudah dikuasai parti politik tertentu?," ujarnya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Tuanku Sultan Selangor, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam di sini, hari ini. Tambahnya, antara aduan rakyat adalah senarai lantikan ahli jawatankuasa baru masjid yang bertentangan dengan keputusan undian yang telah dibuat. Jelas beliau lagi semua berjalan lancar dan perlantikan dibuat secara telus tetapi senarai yang diumumkan JAIS berlainan dengan apa yang diputuskan dalam pemilihan. “Dalam masa yang sama, mereka yang terpilih adalah dari kalangan individu yang tewas dalam pemilihan yang dijalankan. Senarai yang dikeluarkan JAIS itu berlainan – misalnya rakyat sebulat suara pilih imam satu tetapi tiba-tiba dia tiada dalam senarai yang JAIS umumkan. Terdapat juga Nazir yang ditukarkan menjadi imam dua. "Rakyat tak faham mengapa ini boleh terjadi. Kami tak kisah dengan siapa yang dah dipilih cuma kesal dengan tindakan JAIS dan mengharapkan mereka mendengar suara kami. Rakyat telah menyerahkan memorandum bantahan kepada JAIS namun sehingga kini belum menerima sebarang jawapan berhubung perkara itu. “Lantikan baru ahli jawatankuasa masjid ada campur tangan politik. Sangat mengejutkan ahli kariah turut tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perubahan lantikan baru sebaliknya wakil JAIS hanya mengumumkannya sebelum solat Jumaat," tambahnya. Oleh yang demikian, GAPS mewakili rakyat negeri Selangor ingin mengadu dan merayu kepada Tuanku Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor Darul Ehsan. "Kami ingin memohon Tuanku Sultan Selangor mengarahkan JAIS mengantung jawatan semua Jawatankuasa masjid yang baru dan memanjangkan tauliah perlantikan Jawatankuasa masjid yang lama selama 6 bulan”, ujarnya. “JAIS juga harus mengadakan semula pemilihan semua Jawatankuasa masjid di Negeri Selangor dalam tempoh 6 bulan. Bagi memastikan pemilihan dapat dijalankan dengan telus dan adil sebuah Jawatankuasa Peringkat Negeri Selangor wajar dibentuk dengan diketuai oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mengurus, memantau dan menyelia setiap pemilihan Jawatankuasa masjid dan surau. “Kita juga meminta agar pihak JAIS memastikan mimbar jumaat, pengajian, kuliah, tazkirah atau program Masjid dan surau tidak digunakan sebagai medan politik samada dalam bulan Ramadhan atau bulan-bulan yang lain," ujarnya yang juga Mantan Ketua AMK Selangor. -MediaUMNO |
DAUN Desak MP dan Kumpulan Anti Lynas Mohon Maaf Posted: 18 Jul 2012 01:34 AM PDT KUANTAN, 18 Julai – Gabungan Badan-badan bukan kerajaan Pahang Mendokong Agenda Nasional (DAUN) pada Rabu mendesak Anggota Parlimen Kuantan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh dan kumpulan anti Lynas supaya memohon maaf secara terbuka berhubung pelbagai dakwaan buruk terhadap syarikat berkenaan sebelum ini. Menurut Penyelaras DAUN Wan Emril Nizam, permohonan maaf itu juga perlu dibuat secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya penduduk Kuantan berikutan tindakan mereka memberikan fakta salah dan melemparkan pelbagai dakwaan buruk berhubung pembinaan kilang itu. “Tindakan Fuziah dan kumpulan anti Lynas selama ini ialah memburuk-burukkan kilang berkenaan serta mewujudkan rasa takut di kalangan rakyat terutamanya penduduk Kuantan berhubung pembinaan kilang itu,” katanya kepada Bernama di sini, Rabu. Pada Rabu, Free Malaysia Today, di laman webnya, www.freemalaysiatoday.com, Mtoday News Sdn Bhd memohon maaf terhadap artikel-artikel yang diterbitkannya sebelum ini yang mendakwa kilang Lynas mungkin tidak selamat untuk orang ramai. Lynas Corporation Limited, telah menerima publisiti buruk selama lebih setahun dari pelbagai pihak terutamanya parti pembangkang yang dilihat mempolitikkan isu pembinaan kilang itu. “Kami mendesak Fuziah memohon maaf seperti mana tindakan portal Free Malaysia Today yang mengakui kesilapan (artikel) mereka dengan pembohongan fakta tanpa asas saintifik. “DAUN mendapat maklum balas dari masyarakat berdasarkan program turun padang yang dianjurkan, mereka sudah jemu dengan modal politik murahan dan pembohongan yang dijaja oleh kumpulan anti Lynas yang didominasi kaum tertentu yang cenderung kepada DAP,” katanya yang juga merupakan Pensyarah Kanan Undang-Undang di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS). Pada 25 Jun lepas, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Lynas telah membentangkan hasil laporannya di Dewan Rakyat dan mengesyorkan supaya Lesen Pengendalian Sementara (TOL) dikeluarkan bagi membolehkan kilang Lynas beroperasi. Laporan itu turut mengesyorkan kilang berkenaan boleh memproses bahan mentah secara berperingkat dan terhad serta dikawal selia secara berterusan oleh agensi penguatkuasa. |
BN Kedah Rangka Manifesto Ikut Keperluan Rakyat – Ahmad Bashah Posted: 18 Jul 2012 01:29 AM PDT ALOR SETAR, 18 Julai – Barisan Nasional (BN) Kedah sedang merangka manifesto untuk pilihan raya umum akan datang yang berdasarkan keperluan rakyat, kata Pengerusinya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah. Beliau berkata satu jawatankuasa di peringkat negeri telah diwujud terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan persekutuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan mengenai manifesto itu. “Manifesto ini bukan boleh tulis seronok-seronok saja. Sebab itu kita duduk dan fikir apa yang patut kita masukkan bagi merangkumi keseluruhan keperluan rakyat dan perbincangan itu sudah di peringkat akhir. “Kita akan masukkan banyak benda (dalam manifesto), antaranya ialah membina rumah kos rendah kepada rakyat, pendidikan, tebatan banjir dan semua keperluan lain untuk kesejahteraan rakyat Kedah,” katanya selepas merasmikan Pasar Tani PraRamadan di Taman Wira Mergong di sini, Rabu. Sementara itu, mengenai jawapan bertulis kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada Isnin lepas bahawa kerajaan negeri tidak membina rumah kos rendah kerana tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, Ahmad Bashah berkata alasan itu tidak boleh diterima. “Takkan kerajaan negeri tidak ada peruntukan langsung. Mereka boleh membuat pinjaman untuk membina rumah kos rendah kerana ia adalah keperluan rakyat dan permintaannya sangat tinggi,” katanya. |
Beli Aset Melebihi Harga Pasaran Semasa – Rakyat Selangor Mahu Penjelasan Posted: 18 Jul 2012 01:01 AM PDT KUALA LUMPUR 18 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini menyelar sikap kerajaan negeri Selangor yang tidak mahu menjelaskan isu pembelian aset Talam Corporation yang didakwa dibeli dengan harga yang melebihi harga pasaran semasa. Menurut beliau, biarpun isu ini sudah dua kali diutarakan oleh BN Selangor, namun tiada sebarang penjelasan atau tindakan yang diambil oleh kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi memperjelaskan perkara ini. "Rakyat Selangor mahu tahu, mengapa kerajaan Selangor membuat transaksi pembelian yang berlebihan dari harga pasaran. Sebagai contoh, tanah UNISEL yang berkeluasan 400 hektar, dibeli oleh kerajaan negeri Selangor dengan jumlah RM 181 juta, sedangkan penilaian yang telah dibuat harga semasanya hanyalah berjumlah RM 139 juta sahaja. "Jadi lebihan belian yang telah dilakukan oleh kerajaan Selangor adalah berjumlah RM42 juta. Persoalannya, ke manakah pergi 42 juta lebihan itu? Ini yang rakyat Selangor mahu tahu. Mengapa tanah tersebut dibeli lebih dari harga pasaran dan ke mana duit itu pergi?," tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini. Begitu juga dengan satu transaksi pembelian tanah di Danau Putra. Jelas beliau, tanah tersebut mempunyai empat plot dan tiga plot telah dibeli oleh kerajaan negeri dengan harga sebanyak RM15 sekaki, manakala satu plot lagi telah dilelong oleh kerajaan. "Harga plot tanah itu telah dilelong oleh bank itu hanya sebanyak RM5 sekaki mengikut harga pasaran semasa. Ini bermakna, ada lebihan pembelian sebanyak RM10 sekaki bagi tiga plot tanah yang telah dibeli oleh kerajaan Selangor. Dan inilah yang rakyat Selangor mahu tahu, mengapa tanah-tanah tersebut dibeli oleh kerajaan, yang menggunakan wang rakyat dengan harga yang lebih tinggi dari harga pasaran semasa?," ujarnya lagi. Selain itu juga tambah beliau, UNISEL kini terhutang beratus juta berdasarkan laporan audit lengkap yang telah dilakukan terhadap institusi pengajian tersebut. "Ini tidak pernah berlaku semasa Selangor d ibawah pentadbiran BN. Di sini jelas, ada kepincangan di dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga menyebabkan UNISEL terpaksa menanggung hutang beratus juta. Ini juga merupakan salah satu isu yang sepatutnya diberi penjelasan oleh kerajaan kepada rakyat di negeri ini. "Bahkan, Yayasan Selangor yang dulunya mempunyai skim pinjaman kepada anak-anak Selangor yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran, kini sudah menghentikan skim pinjaman tersebut sejak Selangor berada di bawah penguasaan Pakatan Pembangkang. "Jelas rakyat Selangor kehilangan banyak kemudahan selepas Pakatan Pembangkang memerintah. Perkara ini tidak patut berlaku dan ia tidak akan berlaku sekiranya Selangor masih di bawah pentadbiran BN," akhiri beliau. -MediaUMNO |
You are subscribed to email updates from UMNO Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!
Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.
No comments:
Post a Comment