400,000 rakyat Kelantan yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan masih tidak mampu membeli rumah

KOTA BHARU - Kajian Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan mengenai 400,000 rakyat Kelantan yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan masih tidak mampu membeli rumah dianggap sebagai sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh  berkata, pada masa yang sama, ia membuktikan kegagalan kerajaan PAS Kelantan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat.
 
"Ini kajian yang semestinya tepat oleh Rehda dan tidak boleh dinafikan kerajaan Kelantan. Ini sesuatu kajian yang serius.
"Ini bukti bagaimana kerajaan Kelantan telah gagal untuk menyediakan rumah mampu milik dan keadaan ini sangat mendukacitakan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Malam Pra Graduan Sesi Mei-Oktober 2011 Universiti Teknologi Mara cawangan Kelantan di sini malam kelmarin.
 
Sebelum ini, Pengerusi Rehda Kelantan, Datuk Sekarnor Che Omar dilaporkan berkata, perkara itu berlaku berikutan faktor kos pembinaan yang tinggi menyebabkan pemaju-pemaju di Kelantan dikatakan tidak dapat menyediakan rumah mampu milik dan hanya membina rumah berkenaan mencecah harga RM150,000 ke atas.
 
Sekarnor berkata, disebabkan itu rumah berkenaan tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Mengulas lanjut, Mohd. Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, rakyat perlu menilai sendiri masalah itu kerana jumlah yang dinyatakan oleh Rehda itu begitu tinggi dan sekiranya ia berterusan sebahagian besar rakyat Kelantan tidak mampu membeli rumah sendiri pada masa depan.
 
Mengenai masalah lebih 100 penduduk di Kampung Lorong Minyak Gas yang diarahkan berpindah, beliau berkata, perjumpaan akan diadakan dalam masa terdekat.
 
"Saya sedih mereka akan kehilangan tempat tinggal," katanya.
Minggu lalu, penduduk terbabit berhimpun membantah tindakan kerajaan negeri yang didakwa mahu mengambil tanah mereka di tebing Sungai Kelantan bagi tujuan projek pembangunan.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...