House PK

House PK


WEI, ROSMAH MANSOR KENA SIASAT DI BUKIT AMAN SELAMA ENAM JAM LER!!!

Posted: 16 Dec 2013 12:07 AM PST


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang 
Sesungguhnya fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh. Gejalanya amat menakutkan, lagi merosakkan.

Pembaca yang amat dikasihi;

Tibalah masanya saya sebagai seorang insan, dengan rendah hati ingin menjawab segala fitnah dan tohmahan yang telah dihamburkan kepada saya selama ini. Adalah wajar untuk saya membersihkan nama saya, maruah suami tercinta dan seterusnya kepimpinan negara agar fitnah ini tidak terus terpalit hingga menyebabkan saudara saudari tersalah anggap.

Alhamdulillah, anak-anak boleh terima walaupun ada ketikanya mereka sedih dengan fitnah yang keterlaluan. Anak-anak saya cuba melihat kebaikan dan kemurniaan majoriti masyarakat, bukan minoriti yang sentiasa ada tanggapan negatif.

Apabila saya bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara dan bersoal-jawab tentang fitnah-fitnah tersebut, mereka boleh menerima penjelasan daripada saya. Penjelasan secara 'face to face' itu sangat berkesan. Cuma, mereka hairan, terkejut dan bertanya mengapa tidak ada orang jawab bagi pihak saya. Saya mana ada pegawai, saya isteri Perdana Menteri bukan Perdana Menteri.

Justeru, saya akan memberikan sendiri jawapan setiap persoalan yang timbul supaya masyarakat dapat menilai kebenarannya. Sikap mendiamkan diri dalam hal ini umpama 'membunuh diri sendiri'.

Pertama: Isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu, 19 Oktober 2006

Saya difitnah telah bersama membunuh mendiang pada tarikh kejadian. Nauzubillah. Bagaimana saya mahu membunuh orang sedangkan cicak jatuh di depan mata pun saya melompat lari. Saya juga takut gelap. Apa lagi saya nak mendaki bukit di tempat yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan itu. Tidak ada daya upaya saya berbuat begitu

Pada tarikh itu juga saya dan Leftenan Kolonel Norhayati Hassan berada di dalam Majlis Berbuka Puasa Dan Penyampaian Bantuan Hari Raya Kepada Anak-Anak Yatim Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Apabila saya difitnah dan media menyiarkannya, saya tidak diberikan kekebalan. Mungkin ramai orang yang tidak tahu bahawa saya disoal siasat di Bukit Aman selama enam jam gara-gara fitnah itu.

Kedua: Cincin berlian berharga RM24 Juta

Saya berani bersumpah, cincin itu tidak ada di tangan saya. Memang cincin itu masuk (melalui kastam) untuk dilihat oleh Maira Nazarbayev yang pada ketika itu berada di rumah saya bagi persiapan majlis pertunangan anaknya dengan anak saya. Beliau adalah 'regular customer' kepada jewelry Jacob & Co.

Perkara ini telah diterangkan secara lebih lanjut oleh Director of Fine Jewelry Jacob & Co., Philip Nassimi. Berlian berwarna biru kelabu seberat 30.11 karat itu telah dihantar pada 15 April 2011 melalui syarikat penghantaran Malca Amit, New York menggunakan penerbangan House Airway, no bil: 1488134 dari ibu pejabat Jacob & Co. di New York ke Kuala Lumpur, Malaysia. Ia sampai pada 16 April 2011.

Setelah dilihat oleh Maira, cincin tersebut dipulangkan dan keluar dari Malaysia melalui pelabuhan Singapura pada 20 April 2011. Ia diuruskan oleh Malca Amit Malaysia dan Singapura. Ia telah dikembalikan ke ibu pejabat Jacob & Co. di New York pada 13 Mei 2011

Ketiga: Berjoli di luar negara
Kebanyakan lawatan saya ke luar negara kerana mengiringi suami menjalankan tugas. Selain itu, saya juga menerima jemputan untuk menyampaikan ucapan oleh negara yang berminat untuk berkongsi apa yang Malaysia lakukan.

Memang kebanyakan negara yang saya dekati ialah negara Dunia Ketiga dan Timur Tengah. Ini kerana negara-negara inilah yang memerlukan pendekatan yang saya katakan tadi. Negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Jepun dan Korea sudah maju dan kaya. Jika mahu berbakti, sudah tentu kita mendekati masyarakat atau negara yang memerlukan idea kita. Kita mahu buat kerja, bukan glamour.

Saya pernah dijemput memberi ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Pertama Mengenai Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) Dalam Pendidikan Ke12 di Riyadh tahun 2011. Saya juga menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Akademi Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Saudi Arabian Islamic Foundation for Giftedness and Creativity (Mawhiba).

Bagi saya ini adalah pengiktirafan terhadap wanita Islam yang mempunyai pandangan sederhana tetapi moden dan pada masa yang sama tidak melanggar adab kesopanan wanita Timur. Untuk seorang wanita diterima di kalangan pemimpin-pemimpin dunia lelaki terutamnya di Timur Tengah bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi mereka sering memandang rendah kepada wanita.

Apabila wanita Islam mempunyai buah fikiran yang boleh dikongsi bersama dan buah fikiran itu sememangnya untuk manfaat rakyat maka mereka memberi penghargaan dengan cara menjemput kita ke negara mereka untuk menyampaikan ucapan. Masakan saya sempat untuk berjoli? Lagipun, saya tidak minat berjoli.

Keempat: Pembaziran Projek Permata

Sejarah membuktikan bangsa yang tiada pendidikan akan terus ditindas. Saya percaya orang yang mempunyai pendidikan akan lebih berjaya. Sebagai anak bekas guru, saya faham tentang bagaimana pendidikan berfungsi untuk membentuk keperibadian manusia. Pendidikan harus bermula daripada awal. Justeru, saya mencadangkan penubuhan Permata.

Ini idea baru. Tidak apalah, kalau idea baru memang agak sukar diterima oleh semua orang kerana mereka tidak memahami apa sebernarnya yang ingin kita sampaikan.

Satu lagi masalah ialah sikap penyokong politik yang taksub, kita yang tidak dapat membezakan kerja kemasyarakatan dengan politik. Semuanya mereka satukan. Agak malang apabila kerja-kerja kemasyarakatan seperti Permata dijadikan motif politik.

Saya tidak faham mengapa orang mempertikaikan tentang Permata sedangkan program tersebut adalah untuk kebaikan generasi akan datang. Ada yang marah-marah apabila kerajaan mengumumkan bajet yang besar untuk Permata sedangkan tidak ada satu sen pun duit itu masuk ke poket saya.

Kelima: Bergaya dengan perhiasan mewah
Seperti kebanyakan isteri pemimpin, saya juga mengiringi suami ke beberapa negara kerana urusan negara. Ada juga yang menjemput saya atas kapasiti sebagai isteri Perdana Menteri. Mereka mahu saya memberi ucaptama tentang pengalaman masyarakat Malaysia terutama yang berkaitan wanita dan pendidikan awal kanak-kanak.

Apabila saya ke negara tersebut, mereka menyambut kami dengan mesra sebagaimana kita melayan mereka apabila mereka ke negara kita. Itulah adab sopan melayan tetamu. Sebagai meraikan kehadiran tetamu, kebiasaannya mereka memberikan cenderamata sebagai kenang-kenangan. Antara cenderamata tersebut termasuklah cincin, jam, perhiasan diri dan sebagainya. Ada yang diberi itu mahal harganya dan ditempah khas.

Apabila orang memberi kita sesuatu, sudah tentu tidak manis untuk menolaknya. Kita mesti menjaga hati mereka apatah lagi kita adalah tetamu. Bagaimana perasaan kita apabila pemberian kita ditolak orang lain? Tentu kita akan tertanya-tanya dengan pelbagai soalan dan merasa kecil hati. Dan, apabila telah diberi, saya pun memakainya. Tak kan nak simpan saja dalam peti besi sedangkan barang-barang yang diberikan itu dengan ikhlas, cantik dan sesuai untuk digunakan. Adalah satu pembaziran jika ia di simpan 'kaku' dalam kotak simpanan.

Saya sedar ramai mata yang memerhati setiap apa yang saya lakukan dan setiap apa yang saya pakai. Itu hak mereka. Saya tidak boleh menghalang. Tetapi, malangnya mereka ini bukan saja memerhati malah memfitnah saya dengan perkara-perkara yang tidak masuk akal.

Pendek kata, saya tidak mampu memuaskan hati setiap orang. Yang penting, saya percaya pada apa yang saya lakukan

Keenam: Isu 'First Lady'
Bagi saya gelaran First Lady tidak menimbulkan sebarang masalah. Misalnya dalam penganjuran Sidang Kemuncak Wanita Pertama, peserta yang dijemput adalah isteri-isteri kepada Presiden, Perdana Menteri atau apa saja gelaran yang diberi kepada pemimpin tertinggi (yang menguruskan pentadbiran negara).
Mereka adalah First Lady atau Wanita Pertama dalam konteks suami yang diberi tanggungjawab serta dipilih rakyat untuk mentadbir Negara. Saya tidak fikir ia sesuatu yang perlu dipertikaikan.

Kita di Malaysia ada institusi Diraja sebagai ketua negara iaitu yang di-Pertuan Agong manakala ketua kerajaan ialah Perdana Menteri. Mirip British yang mana Queen adalah ketua negara manakala Perdana Menteri adalah ketua kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya.

Bagi sesetengah negara seperti Amerika dan Perancis, ketua kerajaan dan negara adalah Presiden, maka isteri Presiden adalah Wanita Pertama.

Sekiranya kita menggelar Permaisuri Agong sebagai First Lady atau Wanita Pertama bererti kita telah 'downgrade' status baginda. Kedudukan baginda permaisuri adalah yang kedua selepas Yang Dipertuan Agong. Ini satu kedudukan khas yang diiktiraf dalam perlembagaan kita.

Saya rasa dalam soal ini ramai yang faham. Cuma mungkin ada sesetengah yang sengaja mempertikaikan dan cuba menjadikan ia sebagai isu.

Ketujuh: Isu menjadi Perdana Menteri Keenam
Mana mungkin? Saya hanya mahu menjadi isteri kepada Najib Tun Razak. Kalau dia orang biasa pun, saya akan bersama dia. Kalau dia jadi Perdana Menteri itu adalah tanggungjawab dan rezeki yang telah tertulis di Loh Mahfuz. Saya tetap akan berada di sisi dia selagi Allah memanjangkan jodoh antara kami.

Saya rasa pandangan salah ini muncul disebabkan serangan politik. Sudah pasti mereka mempunyai agenda politik tersendiri. Oleh kerana saya paling dekat kepada Datuk Seri Najib, maka saya menjadi sasaran. Oleh kerana saya sentiasa bersama Datuk Seri Najib di mana saja, maka saya dianggap sebagai orang yang menentukan semua polisi negara sama seperti kuasa Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib kata, sebenarnya mereka itu mahu mengenakan beliau tetapi sasaran yang paling tepat adalah mengenakan saya dulu. Mereka tak dapat suami, mereka pergi kepada isteri sebab saya tak boleh nak mempertahankan diri.

Orang yang memfitnah saya dan Datuk Seri Najib ada agenda. Mereka mahu tempat Datuk Seri Najib. Bagi saya senang, tak salah setiap orang ada cita-cita. Tapi, caranya kena betul. Jangan sampai menganiaya dan memfitnah orang. Itu salah dan tidak ada etika. Agama juga membenci perbuatan itu.
Pembaca yang amat dikasihi;

Saya tidak pandai menyusun ayat indah untuk menjawab semua fitnah ini. Apa yang lahir, adalah terlintas dari rasa sanubari seorang insan yang dianiaya oleh pihak tertentu.

Saya serahkan kepada Allah. Kalau mereka insaf, syukur Alhamdulillah. Saya sentiasa memaafkan. Tak apalah mereka memfitnah saya, Tuhan akan beri yang baik kepada saya. Ingat zaman nabi dulu, bila orang kutuk baginda, baginda beri pisang kepada orang itu.

Semoga Allah memberkati para pembaca semua.

Sekian daripada saya,

Rosmah Mansor

APA ADA PADA PEMANDU, TERAJU, NKRA, IDRIS JALA DAN OMAR ONG?

Posted: 15 Dec 2013 08:47 PM PST


Dalam keadaan biasa, bila transformasi negara dilakukan, maka penambahbaikan dibuat. Kesan yang lebih baik dinikmati dan rakyat akan hidup lebih selesa dengan wang lebih untuk melabur, disimpan dan ditabung. Rakyat juga mempunyai lebih banyak masa untuk bersama-sama keluarga dan tidak lagi terbeban dengan melakukan lebih kerja bagi menyeimbangkan desakan ekonomi yang menjerut. Bila transformasi ekonomi pula dibuat, maka rakyat akan menikmati ekonomi yang lebih tenang, peluang pekerjaan yang lebih banyak dengan persaingan tangga gaji antara syarikat-syarikat ditawarkan, dan pada masa yang sama, harga barangan turut turun pada penawaran yang lebih dan pelbagai.

Perdana Menteri dan UMNO telah membuat dasar yang baik untuk tujuan tersebut. Pelbagai entiti diwujudkan demi memastikan kelestarian ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Pelbagai program turut diumumkan untuk tujuan tersebut termasuklah pelbagai jenis pemberian dan 'tongkat sakti' seperti BR1M, dan sebagainya.

Namun, dasar yang baik apabila melibatkan jerung, naga, harimau, biawak dan buaya lapar, akhirnya boleh bertukar menjadi dasar yang membunuh rakyat. Apatah lagi jerung, naga, harimau, biawak dan buaya lapar itu pula diberikan kuasa serta tidak dikawal.

Perdana Menteri dan UMNO amat bergantung kepada undi dan kepercayaan para penyokong. Tanpa undi dan kepercayaan para penyokong, Perdana Menteri sekarang tidak akan jadi Perdana Menteri dan UMNO tidak akan jadi Kerajaan. Biarpun pada masa yang sama, tanggungjawab yang lebih berat ialah memberikan kesaksamaan kepada rakyat tanpa mengira parti yang disokong, agama yang dianuti atau bangsa atau suku kaum mahupun budaya dan bahasa pertuturan, untuk meneruskan kelestarian, undi dan kepercayaan merupakan perkara paling utama.

Malangnya, apa yang kita lihat sekarang, pengaruh buruk konsultan, penasihat mahupun ketua-ketua entiti yang terdiri daripada jerung, naga, harimau, biawak dan buaya lapar telah membuatkan Perdana Menteri dan UMNO dilihat sebagai KUASA DI DALAM KONDOM.

Entiti-entiti atau badan-badan yang diwujudkan seperti PEMANDU, TERAJU atau KHAZANAH dan sebagainya, tidak menambahbaikkan negara ini. Sebaliknya rakyat mengalami kesan tekanan terutama dari segi ekonomi yang amat parah. Entiti-entiti tersebut bertindak memberikan sokongan atau pelindung kepada lintah-lintah darat yang lebih kecil seperti orang tengah, pemborong dan pembekal keperluan asas untuk memerah rakyat.

Sekarang, rakyat melihat UMNO sebagai pelindung kepada lintah-lintah darat ini. Orang melihat Perdana Menteri tidak berupaya mengatasi kehebatan dan kelicikan jerung, naga, harimau, biawak dan buaya lapar yang diletakkan dalam entiti-entiti ini. Sepertimana juga orang ramai melihat badan-badan yang menguasai pengurusan zakat, menjadikan zakat sebagai pendapatan dan keuntungan, kemudian memperniagakan zakat secara langsung atau tidak langsung, sedangkan pada masa yang sama, asnaf miskin dan fakir terus terabai dan bertambah ramai.

Keadaan perlu dibetulkan semula. Kerajaan yang dikuasai oleh UMNO sekarang, perlu kembali meletakkan keutamaan kepada rakyat, bukannya menyebelahi jerung, naga, harimau, biawak dan buaya lapar yang sedang bermaharajalela memeras rakyat menerusi PROGRAM MENAIKKAN HARGA seperti yang sedang dialami sekarang. UMNO tidak boleh bergantung kepada pemberian tongkat sakti seperti BR1M dan sebagainya, sebaliknya UMNO perlu berjuang mengekang tamak haloba seperti sekarang.

Tidak dapat dinafikan, kenaikan harga melibatkan barangan, keperluan asas dan perkhidmatan sedang berlaku di seluruh dunia. Ada negara yang telah pun bangkrap kerana tidak dapat mengekang, mengawalselia dan menguruskan kenaikan tersebut sehingga menyebabkan inflasi memuncak dan akhirnya rakyat tiada satu sen pun di dalam kocek untuk berbelanja. Namun sekiranya menaikkan harga seperti yang Malaysia lakukan, negara juga akan muflis kerana rakyat tidak dapat berbelanja. Aliran tunai domestik tersekat dan selepas ini rakyat hanya mampu memandang beras dan roti tetapi tidak mampu membeli atau memakannya.

Ini pendapat seduit aku, Parpukari. Aku bukan seorang ahli ekonomi atau pakar kewangan tapi kemarahan rakyat yang aku tengok sekarang, merupakan petanda buruk kepada kerajaan selagi kerajaan terus menggunakan khidmat jerung, naga, harimau, biawak dan buaya lapar yang berupa PEMANDU, TERAJU, NKRA, Idris Jala dan Omar Ong.
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...