CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


[VIDEO] Lagak Gengster TETAK Hingga PUTUS TANGAN di Batang Kali

Posted: 05 Jul 2013 08:18 PM PDT


BATANG KALI - Umpama babak dalam drama gengster apabila sekumpulan tiga lelaki memegang parang sambil mengejar mangsa dan menetaknya beberapa kali sehingga rebah.

Mangsa yang pada awalnya cedera di kepala, masih mampu berlari dan cuba menyelamatkan diri, namun tiga lelaki terbabit terus mengejar dan menetak badan serta tangan mangsa hingga tidak berdaya.

Penjenayah tidak bertopeng itu hanya beredar setelah melihat mangsanya terbaring dan tidak mampu berdiri lagi.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Diana, 24, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang itu bermula di sebuah tempat cuci kereta dan berakhir di kawasan stesen minyak.

"Saya nampak dia berlari dari belakang stesen minyak dan dikejar tiga lelaki berparang.

"Dua kali dia jatuh ditetak, kemudian dia bangun ditetak lagi, sampailah dekat tepi jalan itu, dia tumbang dan terus kena cincang," katanya berhampiran tempat kejadian, malam kelmarin.

Seorang lagi saksi dikenali sebagai Adib, 19, berkata, kekecohan bermula dari sebuah tempat cuci kereta di sebelah stesen minyak sebelum mangsa dilihat berlari dengan berlumuran darah dan cedera di kepala.

Menurutnya, situasi ketika itu agak tegang dan menakutkan sehingga semua pelanggan yang mengisi minyak tidak mampu berbuat apa-apa kerana bimbang dicederakan.

"Memang macam drama gengster, orang yang melihat kejadian itu hanya diam tanpa buat apa-apa. Sampailah lelaki itu terbaring di hujung sana, tiga penjenayah berparang tadi terus menetak tangan kirinya sampai putus," katanya.

Adib berkata, mangsa yang hanya memakai baju T lengan pendek dan seluar pendek berkemungkinan menunggang motosikal sebelum diserang kerana terdapat sarung tangan pada tangan kiri mangsa yang putus.

Kenalan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kanna, 36, berkata, mangsa merupakan seorang penarik kereta dan tinggal di Taman Wawasan di sini.

Katanya, sebelum kejadian, dia ada ternampak dua kenderaan mencurigakan menggunakan cermin gelap dan bernombor pendaftaran Melaka, singgah di sebuah restoran berdekatan.

"Tidak pasti sama ada mereka ada kaitan dengan kejadian tersebut atau tidak. Tapi, kejadian itu berlaku selepas saya lihat kenderaan mencurigakan. Jadi, mungkin ada kaitan. Tapi saya lupa nombor pendaftarannya," katanya.


Sementara itu,  Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mangsa, N Sangar, 33, berasal dari Bandar Utama Batang Kali, selain mempunyai sebuah kedai mencuci kereta di sini dan kedai makan di
Hulu Yam.

"Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal kes, Balai Polis Batang Kali menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan dekat sebuah stesen minyak.

Katanya, pemanggil itu memberitahu seorang lelaki ditetak dengan parang sehingga putus pergelangan tangan kiri dan luka di bahagian kepala.

"Bertindak atas maklumat tersebut, anggota polis ke tempat kejadian dan mangsa yang parah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).

"Bagaimanapun, lebih kurang jam 6.55 petang, pihak hospital memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat pendarahan di kepala dan bahagian badan," katanya.

[DAYUSKAH UMAT ISLAM MALAYSIA?] Syarikat Swasta di Cyberjaya AJAK Eksekutif Melayu-Islam KE GEREJA

Posted: 05 Jul 2013 08:16 AM PDT

DR MASHITAH IBRAHIM
SEBUAH syarikat telekomunikasi swasta asing yang berpangkalan di Cyberjaya diketahui mengajak dan menggalak beberapa eksekutif Melayu-Islam ke gereja. Walaupun berat hati dan tidak rela, mereka berasa begitu tertekan kerana bimbang ada implikasi ke atas karier jika tidak mengikut kehendak majikan. Perkara ini telah berlarutan sekian lama. Sehinggalah, ada seorang yang berani membuat laporan kepada jabatan sumber manusia syarikat tersebut dan juga kepada Jabatan Agama Islam Selangor.  Seterusnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis USJ, Petaling Jaya pada 16 Mac 2012.

Apabila pihak majikan menyedari kes ini, mereka mengenal pasti staf yang telah membuat laporan-laporan tersebut lalu beliau dibuang kerja. Kes ini dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh bekas Ahli Parlimen kawasan Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali pada 4 April 2012. Saya kurang pasti bagaimana syarikat tersebut, Jais atau pihak polis mengendalikan kes ini atau apa kesudahannya.

Beberapa hari lalu, timbul pula berita perihal pengalaman wanita Melayu-Islam yang dipaksa membuka tudung dan memakai skirt sebagai syarat diterima bekerja di sebuah syarikat rangkaian foto bukan Islam. Sebelum ini pun, kita pernah mendengar atau membaca pengalaman orang Melayu-Islam yang tidak diterima bekerja kerana tidak boleh berbahasa Mandarin atau mengalami kesukaran di tempat bekerja kerana tidak dibenarkan bersolat pada waktu solat. Berkaitan hal ini, masyarakat Melayu di negara ini umumnya berasa cukup aib dan marah apabila ada pihak yang mempertikai masjid memperdengarkan azan ketika masuk waktu solat, atau mahu diberi kebenaran guna kalimah ALLAH dalam kitab mereka.

Sekali fikir, perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku di Malaysia. Ini bukan negara di mana orang Melayu-Islam adalah minoriti seperti di Singapura, Thailand, Hongkong, Jepun atau Korea. Kes diskriminasi yang teruk biasa kita dengar berlaku ke atas penduduk beragama Islam di banyak negara yang mana bilangan mereka sedikit atau berstatus pendatang. Misalnya di Perancis, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom, kita dengar dan baca bagaimana orang Islam didiskriminasi di tempat tinggal atau tempat kerja kerana pakaian, bahasa dan cara mereka mengamalkan budaya dan agama. Ada yang dicerca, dipulau malah ada yang menjadi mangsa keganasan fizikal. Masjid dibakar atau dirosakkan. Lebih buruk, di Myanmar dan Xinjiang, ribuan orang Islam telah dibunuh atau tercedera kerana diserang dan kediaman mereka dibakar. Ratusan ribu lagi jadi pelarian atau orang tidak bernegara. Dosa mereka adalah kerana dilahirkan sebagai orang Islam di negara bermajoriti Kristian, Buddha, Hindu atau komunis, justeru menjadi minoriti yang tidak diberi pengiktirafan, hak atau diterima sebagai warganegara.

Berbalik kepada isu pokok. Orang Melayu-Islam di negara ini bukanlah jenis yang rasis. Tapi janganlah dicabar maruah mereka. Jagalah sensitiviti agama dan budaya dalam kehidupan bermasyarakat majmuk. Semua faham latar belakang sejarah Malaysia, serta sumbangan rakyat pelbagai kaum dalam perjuangan mencapai dan mengisi kemerdekaan sehingga ke hari ini. Asas kejayaan, perpaduan dan pembangunan masyarakat dan negara adalah konsep perkongsian kuasa dan prinsip demokrasi yang diamalkan pemerintah serta sikap saling menghormati dan kerjasama antara satu sama lain.

Cauvinisme dan sikap rasis yang ditunjukkan apabila mengenakan syarat-syarat tidak munasabah untuk ambil orang Melayu-Islam bekerja bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan, hak kebebasan beragama dan semangat muhibah, malah menghina dan mencabar maruah orang Melayu-Islam. Ibarat ada majikan Melayu-Islam mengenakan syarat mesti fasih berbahasa Melayu, pandai menulis Jawi dan pakai tudung atau baju Melayu terhadap pemohon orang Cina atau India yang beragama Buddha, Kristian atau Hindu.

Ekoran kemarahan dan ketidakpuasan hati di kalangan sebahagian masyarakat Melayu-Islam terhadap sikap cauvinisme dan diskriminasi yang ditunjukkan sesetengah syarikat atau majikan Cina, ada yang menuntut mereka memohon maaf atas kebiadaban dan sikap keterlaluan sebegini serta pemboikotan produk dan perkhidmatan syarikat milik Cina. Tindakan ini tentunya memburukkan lagi keadaan dan menyukarkan usaha kerajaan mencapai penyatuan nasional selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 baru lalu. Namun, elok jugalah jika syarikat dan majikan bukan Islam lebih sensitif dalam hal-hal seperti ini.

[KERAJAAN ISLAM MALAYSIA DAYUS?] Kerajaan Tarik Balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam 2013

Posted: 05 Jul 2013 07:08 AM PDT


KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri pada Jumaat bersetuju untuk menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rang Undang-Rang tersebut dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Jun lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Muhyiddin berkata isu status agama anak dalam kes ibu atau bapa memeluk agama Islam telah dibincangkan secara mendalam oleh Kabinet dengan mengambil kira pandangan dan kebimbangan pelbagai pihak termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Kabinet bersetuju penarikan balik Rang Undang-Undang itu adalah perlu demi memastikan isu penentuan agama anak dalam kes seumpama itu diselesaikan dengan cara yang adil kepada semua," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat Kabinet, Jumaat.

Muhyiddin berkata keputusan untuk menarik balik Rang Undang-Undang itu juga dibuat bagi memberi masa kepada kerajaan dan semua pihak untuk meneliti semula undang-undang tersebut secara holistik.

"Rang undang-undang ini hanya akan dibentangkan semula setelah mendapat persetujuan semua pihak," katanya.

Semua pindaan yang berbangkit daripada penggubalan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 juga akan ditarik balik, katanya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan kerajaan percaya Islam adalah agama yang adil kepada umat manusia, maka isu pertikaian status agama anak perlu diselesaikan secara adil berdasarkan prinsip keadilan dalam Islam.

Fasal (4) Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh "his parent or guardian" (ibu bapa atau penjaga).

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini a/p Rajasingam melawan Saravanan a/l Thangathoray [2008] 2 MLJ 147 telah mentafsirkan perkataan 'parent' sebagai mufrad.

Fasal 107(b) dalam Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 telah digubal berdasarkan peruntukan Fasal (4) Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan dan kes Subashini. - BERNAMA
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...