CELAH GELEGAR

CELAH GELEGAR


[TERKINI] Penduduk pukul penceroboh bersenjata M16 hingga mati

Posted: 03 Mar 2013 02:42 AM PST




SEMPORNA — Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi.

Bagaimanapun sehingga kini polis belum memberi pengesahan tentang identiti lelaki itu.

Dalam insiden 7 pagi hari ini, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang Lama, Semporna di sini.

Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata, selepas melepaskan tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa 'saya yang menembak polis malam tadi'.

"Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu kawasan lapang," katanya yang turut berkumpul bersama penduduk di dalam keadaan ketakutan.

Abdul Hani berkata, penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.

Beliau berkata, lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung itu.

Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah.

Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain.

Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit.

Cubaan untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Mohd. Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.— BERNAMA

Analisis: Pencerobohan Lahad Datu Oleh ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’

Posted: 03 Mar 2013 01:06 AM PST

1. Siapakah Yang Menceroboh?
Kumpulan penceroboh yang dikenali sebagai 'Tentera DiRaja Kesultanan Sulu' (The Royal Sulu Sultanate Army)1 datang dari Selatan Filipina dan dianggarkan terdiri daripada kira-kira 200-400 orang, dengan 20-100 orang daripada mereka bersenjata2. Kumpulan ini diketuai oleh 'Raja Muda' Agbimuddin Kiram, adik kepada 'mantan sultan' Jamalul Kiram III dan 'sultan' Ismael Kiram II.3 4 Jamalul Kiram III pernah bertanding untuk jawatan senator dalam pilihanraya Filipina.
tenterasultan

2. Adakah Kumpulan Penceroboh Ini Mewakili Kesultanan Sulu?
Tidak.
Ini kerana kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986. Kini terdapat dua pihak utama yang mengaku sebagai Sultan Sulu:
Pertama, Muedzul Lail Tan Kiram, anak kepada Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf kerajaan Filipina, Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram. Beliau dilantik sebagai Raja Muda pada hari penabalan bapa beliau sebagai sultan.
Kedua, Ismael Kiram II, abang kepada ketua penceroboh, 'Raja Muda' Agbimuddin Kiram.
mahakuttah
Majlis penabalan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram sebagai Sultan Sulu pada 1974. Kelihatan sedang berjalan ialah anak beliau, Muedzul Lail Tan Kiram, yang ditabalkan sebagai Raja Muda. Kumpulan penceroboh ialah pengikut Ismael Kiram II, yang tidak pernah ditabalkan sebagai Sultan Sulu yang diiktiraf oleh kerajaan Filipina.

3. Apakah Tujuan Kumpulan Penceroboh?
'Mantan sultan' Jamalul Kiram III menyatakan bahawa kumpulan ini ingin menjadikan Sabah sebagai 'rumah' mereka:
"Mengapa kami harus meninggalkan rumah kami sendiri? Hakikatnya mereka (rakyat Malaysia) membayar sewa (kepada kami). Pengikut kami akan tinggal di Lahad Datu, Sabah. Tiada siapa akan dihantar pulang ke Filipina. Sabah ialah rumah kami".2

4. Adakah Filipina Pernah Membuat Tuntutan Terhadap Sabah?
Ya.
Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah kerana menganggap Kesultanan Sulu, yang pernah berpusat di Filipina, memiliki hak ke atas Sabah.
Setiausaha Kehakiman, Kementerian Luar dan Pejabat Presiden Filipina kini telah diarahkan untuk melakukan kajian mengenai tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah.5

5. Adakah Malaysia Boleh Membuat Tuntutan Terhadap Wilayah Milik Filipina Sekiranya Kesultanan Sulu Menjadikan Sabah Sebagai Pusat Pentadbiran?
Sabah tidak pernah menjadi pusat Kesultanan Sulu.
Malah, Sabah dianggap kurang penting oleh Kesultanan Sulu sehinggakan ia diserah kepada British North Borneo Company pada 22 Januari 1878.
Pusat Kesultanan Sulu terletak di Maimbung, Jolo.
maimbung
Istana Sultan di pusat pentadbirannya di Maimbung, Jolo. 'Kesultanan Sulu' tidak memiliki apa-apa kuasa politik di Jolo tetapi mahu menuntut kuasa politik di Sabah.

6. Adakah Pihak Di Malaysia Yang Menyokong Tuntutan Kesultanan Sulu Ke Atas Sabah?
Wakil The Manila Times di Mindanao, Al Jacinto, melaporkan bahawa pencerobohan 'Tentera DiRaja Kesultanan Sulu' berlaku ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua Pakatan Rakyat, mencadangkan agar Sabah diberikan kuasa autonomi.6
manila
The Manila Times melaporkan bahawa pencerobohan 'Tentera DiRaja Kesultanan Sulu' berlaku ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar Sabah diberikan kuasa autonomi.
ABS-CBN News melaporkan bahawa kumpulan penceroboh tersebut telah dijemput oleh seorang ahli politik pembangkang:
A Philippine military officer interviewed by Reuters also said the men were followers of the heirs of the Sultan of Sulu – an island group off the southern Philippines – who had been invited to Sabah by a Malaysian opposition politician to discuss land issues.7
(Seorang pegawai tentera Filipina yang ditemuramah Reuters juga berkata bahawa kumpulan tersebut merupakan pengikut kepada waris Sultan Sulu – sebuah kepulauan di selatan Filipina – yang diundang ke Sabah oleh seorang ahli politik pembangkang Malaysia untuk membincangkan isu tanah.)
abs
ABS-CBN News melaporkan seorang pegawai tentera Filipina memberitahu Reuters bahawa kumpulan penceroboh telah diundang seorang ahli politik pembangkang.
The Star melaporkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ditanya samada laporan yang mengatakan bahawa pihak pembangkang menjemput kumpulan penceroboh tersebut ke Sabah adalah benar, menjawab:
Who is the one who gave it?8
(Siapa yang beri?)

7. Benarkah Malaysia Membayar Sewa Kepada Filipina Untuk Sabah?
Tidak.
Malaysia membayar 'cession money' sebanyak USD5,000 setiap tahun kepada waris Sultan Sulu.
'Cession money' ialah bayaran penyerahan, dan bukan bayaran sewa. Selain Sabah, terdapat wilayah-wilayah lain di dunia yang diserahkan (ceded) dengan bayaran, contohnya:
1. Louisiana, diserah oleh Perancis kepada Amerika Syarikat dengan bayaran berjumlah USD15 juta, atau kurang USD0.03 seekar.
2. Alaska, diserah oleh Russia kepada Amerika Syarikat dengan bayaran USD7.2 juta, atau USD0.02 seekar.
cession

8. Apakah Wilayah Yang Menjadi Hak Kesultanan Sulu?
Royal House of Sulu9, laman web rasmi Muedzul Lail Tan Kiram, mendakwa bahawa wilayah-wilayah yang menjadi hak Kesultanan Sulu termasuklah Jolo, Palawan, Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina, selain Sabah dan Pulau Balambangan di Malaysia. Kepulauan Spratly juga didakwa di bawah hak Kesultanan Sulu.
Jolo, Basilan dan Tawi-Tawi sekarang berada di dalam wilayah pentadbiran Filipina yang dinamakan ARMM (Autonomous Region in Muslim Mindanao – Wilayah Autonomi Muslim Mindanao). ARMM dicadang untuk digantikan dengan wilayah autonomi baru yang dikenali sebagai Bangsamoro.

9. Adakah Filipina Mengiktiraf Kesultanan Sulu?
Tidak.
Kali terakhir kerajaan Filipina mengiktiraf Sultan Sulu ialah pada 24 Mei 1974 apabila Presiden Filipina ketika itu, Ferdinand Marcos, mengeluarkan Memorandum Order No. 427 yang menabalkan Mohd. Mahakuttah A. Kiram sebagai sultan.
Sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram, kerajaan Filipina tidak pernah lagi mengiktiraf mana-mana individu sebagai Sultan Sulu.
427
Memorandum Order No. 427 ialah bukti terakhir kerajaan Filipina mengiktiraf Kesultanan Sulu. Tiada sebarang memorandum dikeluarkan untuk mana-mana individu yang mengaku 'sultan' selepas itu. Filipina tidak mengiktiraf Kesultanan Sulu tetapi pernah menuntut wilayah yang kononnya masih menjadi hak Kesultanan Sulu.

10. Adakah Ini Bermakna Filipina Memanipulasi Kesultanan Sulu Untuk Menuntut Sabah?
Filipina dilaporkan pernah memulakan 'Operation Merdeka' pada 1967, satu operasi ketenteraan untuk melatih pasukan komando daripada etnik Tausug dan Sama yang beragama Islam bagi menimbulkan ketidakstabilan dan kacau-bilau di Sabah.
Namun, sebaik sahaja mengetahui matlamat sebenar operasi ini ialah untuk memerangi kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam, pelatih-pelatih etnik Tausug dan Sama ini telah menuntut agar dihantar pulang. Walau bagaimanapun, Pasukan Bersenjata Filipina (AFP – Armed Forces of the Philippines) dikatakan telah menembak mati para pelatih ini. Dilaporkan seramai 11-64 orang telah mati ditembak. Kejadian ini dikenali sebagai Jabidah Massacre (Pembunuhan Jabidah) atau Corregidor Massacre (Pembunuhan Corregidor).
William Larousse10, Michael Leifer11, Andrew T. H. Tan12 dan Alfred W. McCoy13 adalah antara para penulis yang telah melaporkan kejadian ini.

11. Apakah Peluang Filipina Untuk Menuntut Sabah Sekiranya Kes Ini Dibawa Ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)?
Tipis.
Pertama, kerana waris Sultan Sulu telah menerima 'cession money' sehingga ke hari ini. Ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.
Kedua, kerana Kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.
Geran yang dijadikan sumber konflik telah ditandatangani oleh Sultan Sulu, Sultan Jamalul A'lam dengan Gustavus Baron de Overbeck serta Alfred Dent, yang mewakili British North Borneo Company, pada 22 Januari 1878.
Ketiga, geran yang ditandatangani antara British North Borneo Company dan Kesultanan Sulu itu telah diatasi oleh Protokol Madrid 1885.
Sepanyol, yang menguasai wilayah-wilayah Kesultanan Sulu ketika itu, telah menandatangani perjanjian dengan Jerman dan Great Britain pada 7 Mac 1885 untuk melepaskan segala tuntutan terhadap kedaulatan Sabah:
Article 3
The Spanish Government relinquishes as far as regards the British Government, all claim of sovereignty over the territories of the continent of Borneo which belong, or which have belonged in the past, to the Sultan of Sulu (Jolo), including therein the neighboring islands of Balambangan, Banguey and Malawali, as well as all those islands lying within a zone of three marine leagues along the coasts and which form part of the territories administered by the Company styled the 'British North Borneo Company'.
(Kerajaan Sepanyol melepaskan kepada Kerajaan British, semua tuntutan kedaulatan ke atas wilayah-wilayah benua Borneo yang dimiliki, atau yang telah dimiliki pada masa lampau, oleh Sultan Sulu (Jolo), termasuk pulau-pulau Balambangan, Banguey dan Malawali yang berhampiran, dan semua pulau-pulau yang berada di dalam zon tiga liga marin di sepanjang pesisir pantai dan membentuk sebahagian wilayah yang ditadbir oleh Syarikat yang digelar 'British North Borneo Company'.)14
Keempat, Kesultanan Sulu dianggap telah tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915, yang menyerahkan segala kuasa politik beliau kepada Amerika Syarikat.
Kelima, kerajaan Malaysia telah mengambil tanggungjawab untuk membangunkan prasarana bagi kemudahan para penduduk Sabah sejak 1963 tanpa bantahan Kesultanan Sulu mahupun kerajaan Filipina. Ini membuktikan pemilikan dan pentadbiran yang aman secara berterusan oleh kerajaan Malaysia ke atas Sabah. Mengikut dasar effectivites yang diambil kira oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ – International Court of Justice), Malaysia boleh dianugerahkan hak ke atas Sabah, sepertimana yang pernah diberikan kepada kerajaan Malaysia dalam kes Ligitan-Sipadan.
Keenam, laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan pada 1 Ogos 1962 mendapati bahawa 1/3 penduduk Sabah dan Sarawak menyokong kuat pembentukan Malaysia, 1/3 lagi menyokong projek Malaysia dengan syarat hak mereka dilindungi, manakala kumpulan 1/3 yang terakhir terbahagi antara mereka yang mahukan kemerdekaan dan mereka yang mahukan pentadbiran British diteruskan.
Ketujuh, Setiausaha Agung PBB, U Thant, telah melaporkan pada 1963 bahawa penduduk Sabah "ingin menamatkan status kebergantungan mereka dan merealisasikan kemerdekaan mereka melalui penyekutuan yang dipilih secara bebas dengan bangsa lain dalam rantau mereka" ("wish to bring their dependent status to an end and to realize their independence through freely chosen association with other peoples in their region").15
Kelapan, jika Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Sabah adalah milik mereka, maka adalah konsisten bagi Kesultanan Sulu untuk tidak sahaja membuat tuntutan terhadap Sabah semata-mata, malah juga menuntut dan menguasai pusat pentadbiran mereka sendiri di Jolo, selain wilayah Palawan, Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina yang juga mereka dakwa merupakan milik mereka.
Walau bagaimanapun, Kesultanan Sulu tidak memiliki apa-apa kuasa politik terhadap wilayah-wilayah yang terletak di Filipina ini.


1. "Sulu sultan's army stakes Sabah claim," philstar.com, 16 Februari, 2013, http://www.philstar.com/headlines/2013/02/16/909400/sulu-sultans-army-stakes-sabah-claim
2. "Pengikut Sultan Sulu Tidak Akan Tinggalkan Lahad Datu," mStar Online, 18 Februari, 2013, http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/2/18/mstar_berita/20130218160807&sec=mstar_berita
3. "Salasilah Hubungan Kesultanan Brunei-Suluk," SMJ-Site, http://www.freewebs.com/julabbi_cairo12/familytree.htm
4. "The true Sultan of Sulu," http://www.fakesulusultans.com/
5. "Gov't to assess Sabah claim," BusinessWorld Online, 21 Februari, 2013, http://www.bworldonline.com/content.php?section=Nation&title=Gov%E2%80%99t-to-assess-Sabah-claim&id=66237
6. "Our Sultan of Sulu and Sabah," The Manila Times Online, 16 Februari, 2013, http://www.manilatimes.net/index.php/opinion/editorials/41591-our-sultan-of-sulu-and-sabah
7. "'Royal Sulu Army' in Malaysia stand-off," ABS-CBNnews.com, 15 Februari, 2013, http://www.abs-cbnnews.com/nation/02/14/13/royal-sulu-army-malaysia-stand
8. "We did not invite Sulu gunmen, says Anwar," The Star Online, 22 Februari, 2013, http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2013/2/22/nation/12745258&sec=nation
9. "Sultan of Sulu," Sultaniyyah Sin Lupah Sughttp://www.royalsultanateofsulu.org/#!sultan-of-sulu
10. William Larousse, A Local Church Living For Dialogue: Muslim-Christian Relations in Mindanao-Sulu (Philippines), Editrice Pontificia Universita Gregoriana, 2001.
11. Michael Leifer, Michael Leifer: selected works on Southeast Asia, Institute of Southeast Asian Studies, 2005.
12. Andrew T. H. Tan, A Handbook of Terrorism and Insurgency in Southeast Asia, Edward Elgar Publishing Limited, 2007.
13. Alfred W. McCoy, Policing America's Empire: The United States, The Philippines, and the Rise of the Surveillance State, The University of Wisconsin Press, 2009.
14. "Case Concerning Sovereignty Over Pulau Ligitan And Pulau Sipadan," International Court of Justice, 17 Disember, 2002, http://www.icj-cij.org/docket/files/102/7714.pdf
15. "Case Concerning Sovereignty Over Pulau Ligitan And Pulau Sipadan," World Court Digest, 23 Oktober, 2001, http://www.mpil.de/ww/en/pub/research/details/publications/institute/wcd.cfm?fuseaction_wcd=aktdat&aktdat=201010200400.cfm
Sumber:Andak

[TERKINI] 5 anggota polis terbunuh di Semporna, 2 penjenayah ditembak mati: KPN

Posted: 02 Mar 2013 09:43 PM PST

LAHAD DATU: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan lima anggota polis terbunuh dalam kejadian tembakan di Semporna dan dua penjenayah ditembak mati ketika serbuan malam tadi.

Sementara itu, polis turut menahan tiga penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, semalam ketika cuba keluar daripada kepungan pihak berkuasa.

Bercakap kepada pemberita di sini pada Ahad, Ismail berkata selain memantau kumpulan penjenayah di Semporna, polis juga turut memburu satu lagi kumpulan bersenjata di Kunak, iaitu kira-kira 70km dari Semporna.

Tambah Ismail, polis turut menahan tiga penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, semalam ketika cuba keluar daripada kepungan pihak berkuasa.

Katanya lagi, penceroboh di Semporna dan Kunak berpakaian seragam tentera.

[VIDEO] Pendedahan iFile "ANWAR, Manusia Pelbagai Wajah""

Posted: 02 Mar 2013 09:15 PM PST

Chua Jui Meng (Pengerusi PKR) TERSILAP MINTA RAKYAT SOKONG BN DALAM PRU13

Posted: 02 Mar 2013 08:15 PM PST

MUAR 2 Mac - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng mungkin masih sayangkan Barisan Nasional (BN) apabila meminta rakyat menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Beliau yang kini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, tersasul meminta orang ramai berbuat demikian ketika berucap dalam Ceramah Perdana Demi Rakyat di pekarangan Pejabat PKR Muar di Taman Seroja, Parit Jawa, malam tadi.

Nyata Jui Meng yang berjuang selama 23 tahun dalam MCA masih dibayangi kebaikan serta jasa BN kepada rakyat sehingga tersasul meminta sokongan diberikan kepada parti pemerintah tersebut.

Di Parlimen Muar, orang India diharap bersama pengundi Cina untuk mengundi Barisan Nasional," katanya sambil disambut sorakan penyokongnya sebelum segera memperbetulkan kenyataan itu dengan mengatakan bukan BN yang dimaksudkan tetapi pakatan pembangkang

Lahad Datu: Jeffrey Kitingan TERLIBAT - Perisikan Filipina

Posted: 02 Mar 2013 06:19 PM PST

Datuk Dr Jeffrey Kitingan
Media Filipina dipetik melaporkan, perisikan Filipina mendapati individu dalam pembangkang sebagai dalang kepada isu di Lahad Datu.

"Pegawai perisikan itu berkata, seorang ahli politik pembangkang yang menjadi sekutu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim telah bertanding untuk jawatan di Sabah. Ahli politik itu adalah salah seorang yang bercakap dengan Kiram.

"Beliau mewakili pembangkang menyokong Kiram untuk menuntut Sabah," lapor Philippine Daily Inquirer, semalam.

Difahamkan, kumpulan bersenjata itu yang diketuai Raja Muda Azzimudie Kiram yang juga adik Sultan Sulu, Jamalul Kiram III didakwa terpedaya janji sekutu Anwar yang menyokong mereka dalam tuntutan ke atas Sabah.

Jawapan Kepada Penyokong PR Yang Pertikai Tentera & PDRM

Posted: 02 Mar 2013 05:55 PM PST


Penyokong PR  telah memberi pelbagai komen yang sangat dangkal dalam Sinar Harian Online dan Malaysiakini seolah-olah mereka buta dan akan mencari apa sahaja alasan untuk mempersalahkan Kerajaan.

Malah ada yang sudah lupa agama apa yang mereka anuti sehingga sanggup memperlekehkan keluarga mangsa yang juga saudara seagama mereka. Terdapat penyokong PR yang menggelarkan polis yang terkorban sebagai anjing Kerajaan.

Antara isu yang dibangkitkan ialah:

Persoalan Kenapa polis tak tentera?



1) jika kita guna tentera dahulu bermakna kita dalam perang dengan Sultan SULU.


2) Juga bermakna kita mengiktiraf Sultan Sulu secara lansung sebagai kerajaan yang sah yang mengistiharkan perang kepada kita.


3)Dan jika ini berlaku ianya akan tertakluk kepada Geneva Convention dan beberapa protocol antarabangsa.




Jika Polis sebagai pemerintah operasi bermakna


1) kita masih anggap mereka itu penjenayah dan penceroboh bukan combatant perang.


2) Polis kita akan menangkap dan menahan (perkatannya untuk polis ialah menahan bukan menawan - Menawan ialah perkataan Tentera ada beza di antara keduanya)


3) Untuk mengelakkan mereka menjadi Tawanan Perang. Cukup sekadar sebagai tahanan penjenayah. Maka tuduahn di Mahkamah Awam boleh di lakukan. Seperti tuduhan yang boleh kita buat di atas lanun Somalia yang kita tahan sedikit masa lalu. Mereka tidak di anggap tawanan perang.


4) Boleh di ektradisikan dengan lebih mudah ke Filipina. Kalau tindakan ketenteraan atau kita anggap perang susah nak bicara dan mana nak tempatkan mereka dan diklasifikasikan mereka ini? Maka jadilah macam kisah CIA dan Black Sitenya untuk WAR on TERROR mereka. Kita kena la buat macam Guantonamo BAy juga. Susah macam tu.


Itu sebab kita mengambil langkah Polis dahulu. Jika tentera ambil alih sudah jadi kes lain.


Jika keadaan tidak boleh di kawal lagi maka LOCAR AREA EMERGENCY (darurat setempat) boleh di isytiharkan


Ianya seperti darurat waktu ribut banjir New Orleans dahulu- tentera USA ambil alih bukan lagi polis tempatan)


Dalam keadaan ini bermakna bukan satu negara Malaysia darurat dan bukanlah bermakna perang kerajaan Malaysia dan Sultan Sulu. Darurat hanya untuk keselamatan sahaja dan LOCAL AREA SAHAJA. Rasanya bukan seluruh Lahad Datu pun.Hanya kawsan pencerobohannya sahaja. Nampak hati-hatinya dan telitinya Kerajaan dalam hal ini? Menurut langkah satu persatu?


Nota Tambahan. Ingat kes Maunah dahulu? Mula-mula polis. Kemudian Tentera ambil alih. Dan setelah tentera ambil alih tuduhan kepada Mohd Amin (ketua Almaunah)yang membawa hukuman mati ialah tuduhan mengistiharkan perang kepada YAng Di Pertuan Agung. Beliau tidak di tuduh sebagai orang awam iaitu tuduhan Membunuh (i.e; Bunuh polis SB tu). Beliau di tuduh sebagai combatant Perang.




Persoalan sempadan bolos. 
Mereka masuk sikit demi sedikit dengan bot pancung dalam kawasan yang mana sempadan adalah kabur dan menjadi tradisi penduduk tempatan berulang alik. Lagi pun kawasannya luas.


Tiada ada negara dalam dunia yang tidak di tembusi sempadannya. Yang sukar sedikit ialah Israel dan Vatican. Israel sebab temboknya dan Vatican City sebab di dindingnya dan juga di kepung oleh bandar Rom. Hatta USA pun sering di cerobohi sempadannya oleh orang Mexico. Negara China yang terkenal dengan Gerat wallnya sering di cerobohi orang bangsa Mongolia Nomad atau bangsa padang steppe yang berulang-alik (serupa dengan kes Lahad datu - golongan yang tidak mempunyai sempadan).


Hatta Mekah pun pernah di cerobohi oleh bukan Islam. (tidak ada kaitan dengan kes ini sekadar contoh perbandingan bahawa secanggih mana pertahanan pun dengan izinNya bocor juga)




Komen Penting: 

Pasukan yang terlibat bukan unit biasa. Unit komando PDRM ialah attachment a-unit tindakan khas(UTK), attachment b-very able trooper 69(VAT69) dibawah pasukan gerakan khas(PGK). 

UTK lebih menyerupai police SWAT,manakala VAT69 lebih kepada peperangan hutan dan gerila. Komando PGA dikenali sbgai tiger platoon dari 2 Bn PGA..

.komando di bawah ATM adalah gerup gerak khas(GGK) iaitu 21 RGK,22 RGK,11 RGK dari Tentera darat..PASKAL pula dari TLDM..PASKAU dari TUDM..Ia tertakluk dlm majlis keselamatan negara(MKN) arahan NO. 18.. Pihak keselamatan lebih mengetahui apa yang terbaik dan modus operandi. 

Sesetengah orang, baru menang game Counter-Strike ada hati nak mengajar pasukan keselamatan pula.

sumber: GAP

Lagi Polis TERBUNUH: KPN sahkan ada polis maut kes tembakan di Semporna

Posted: 02 Mar 2013 04:46 PM PST

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan ada pegawai dan anggota pasukan keselamatan terkorban dalam kejadian tembak menembak di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, Sabah, jam 7.30 malam tadi.

Sehingga jam 12 tengah malam, beliau bagaimanapun masih belum dapat memberi butiran lanjut mengenai jumlah sebenar anggota pasukan keselamatan yang maut dan cedera kerana masih menunggu laporan penuh daripada ketua setiap pasukan ditugaskan.

"Saya mengesahkan ada kejadian tembak menembak yang berlaku di sekitar Semporna, hingga menyebabkan anggota kita terkorban.

"Kita minta penduduk di kawasan sekitar sentiasa berwaspada dan memaklumkan segera kepada polis sekiranya ada sebarang unsur yang mencurigakan," katanya ketika dihubungi BH malam tadi.

Ismail berkata, pihak polis akan memaklumkan kejadian itu dalam masa terdekat sejurus menerima laporan penuh daripada komander setiap kawasan yang terbabit.

Dalam laman facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, Ismail berkata, kejadian tembak menembak di Kampung Sri Jaya Siminul itu susulan pemeriksaan pihak polis ke atas sebuah premis di kampung berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan itu bertujuan mengesahkan pembabitan pencerobohan di Lahad Datu.

"Setakat ini, polis belum dapat mengesahkan jumlah mereka terbabit dalam kejadian itu.

Bagaimanapun dipercayai mereka yang terbabit tidak lebih 10 orang," katanya.

Najib: Penceroboh KIBAR BENDERA PUTIH untuk perangkap komando

Posted: 02 Mar 2013 04:14 AM PST

PETALING JAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan penceroboh bersenjata telah menggunakan taktik mengibarkan bendera putih (sebagai tanda menyerah diri) untuk memerangkap anggota polis komando VAT 69 dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, semalam.

Perdana Menteri berkata, perkara itu disahkan oleh salah seorang anggota VAT 69 yang terbabit dalam pertempuran di kubu kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari selatan Filipina.

Dalam kejadian tersebut, dua anggota komando polis Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46, terkorban setelah terkena tembakan daripada kumpulan penceroboh itu di kampung tersebut yang terletak kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Dalam insiden itu, tiga lagi anggota keselamatan negara cedera dan 12 anggota kumpulan itu maut.

Najib berkata, beliau dimaklumkan bahawa dua anggota polis yang terbunuh itu telah melihat bendera putih dikibarkan sebelum rakan kumpulan penceroboh itu memerhati gerakan anggota polis itu sebelum melepaskan tembakan.

"Saya tidak menolak kemungkinan itu satu perangkap oleh kumpulan itu dan ia adalah satu taktik pengecut," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota itu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, dekat sini, hari ini.

 Polis Edar Risalah Amaran Kali Kedua Kepada Kumpulan Bersenjata

Polis sekali lagi menggugurkan risalah amaran kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, kira-kira 130 kilometer dari sini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata risalah amaran kali kedua itu yang lebih ringkas dan keras serta ditulis dalam bahasa Inggeris dan Suluk, digugurkan menerusi helikopter pada Sabtu.

"Pada risalah itu ditulis dalam bahasa Inggeris, 'Warning. Lay down your arms. Surrender. Surrender. Surrender.' (Amaran. Letak senjata. Serah diri. Serah diri. Serah diri)," katanya pada sidang media untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai situasi di kampung itu.

Kali pertama polis menggugurkan risalah amaran kepada pasukan penceroboh terbabit ialah pada Rabu lepas.

Hamza juga berkata polis mula bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia hari ini.
Mengenai mayat penceroboh yang ditinggalkan di tempat insiden tembak-menembak semalam, beliau berkata usaha mengeluarkan mayat berkenaan merupakan tugas polis, tetapi satu cara taktikal diperlukan untuk berbuat demikian.

Hamza turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai jumlah anggota pasukan keselamatan yang terkorban dan cedera, selain menegaskan tidak ada perintah berkurung dikeluarkan.

"Saya terpaksa menjelaskan ini (perintah berkurung) kerana masih ramaimenghebahkannya dalam laman sosial dan blog. "Perintah berkurung dikeluarkan oleh saya sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dan saya tidak ada mengeluarkan apa-apa perintah berkurung berikutan insiden semalam," katanya.

Upacara pengebumian jenazah Allahyarham Inspektor Zuklfli Mamat di Tanah Perkuburan Gong Bayor, Terengganu, petang ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang berkenan meluangkan masa bersama keluarga Zulkifli dan Sabarudin serta menyampaikan sumbangan peribadi baginda.

Pesawat Charlie 130 TUDM yang membawa jenazah kedua-dua wira negara tiba dari Tawau pada pukul 12.30 tengah hari dengan disambut dengan perasaan sayu dan hiba oleh anggota keluarga serta mereka yang hadir.

Najib turut mengiringi jenazah ketika diusung keluar dari pesawat ke bilik menunggu untuk diberi penghormatan terakhir.

Kedua-dua jenazah itu kemudian dibawa pulang oleh keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing.

Jenazah Zulkifli diiiringi oleh balunya, Noraziah Noor dan dua anak lelakinya berusia satu dan empat tahun manakala jenazah Sabarudin diiringi oleh oleh balunya, Nurunisa Abu Bakar dan tiga anak mereka iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Jenazah Zulkifli diterbangkan dengan pesawat CN235 TUDM dari Subang ke Pangkalan TUDM Gong Kedak, Besut, Terengganu, sebelum dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Kubang Ikan, Jertih untuk disembayangkan.

Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Bayor, Jertih selepas solat Asar nanti.

Jenazah Sabarudin pula dibawa pulang ke kampungnya di Sungai Lias, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. - Bernama
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...