Pas didesak jelas projek Ladang Rakyat

PASIR MAS 16 Feb. - Kerajaan Pas Kelantan didesak segera tampil memberikan penjelasan sebenar tentang isu tanah di negeri ini terutamanya melibatkan projek Ladang Rakyat.Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali berkata, setelah pendedahan demi pendedahan dibuat, rakyat di negeri ini berhak tahu kebenarannya.
 
Beliau berkata, kerajaan Pas perlu menjelaskan bagaimana mereka menguruskan Ladang Rakyat yang kononnya untuk memberikan kesenangan kepada peneroka itu.
Selain itu katanya, rakyat juga masih belum tahu tentang keluasan dan jumlah sebenar peneroka yang terlibat dengan projek itu kerana semua perkara itu harus dijelaskan.
"Apa kita lihat hari ini bukit telah botak manakala banyak tanah diserahkan kepada syarikat luar dan peneroka pula terus dinafikan hak mereka.
 
"Kenapa perlu beri kepada syarikat luar? Selepas pembongkaran dibuat, mereka hanya mengambil balak dan lepas itu tanah dipecah lot dijadikan dusun serta dijual dengan harga tinggi. Dengan itu syarikat telah mengaut keuntungan berjuta-juta manakala peneroka dihalau seperti haiwan dan tidak diberikan pampasan. Ladang dimusnahkan, inikah yang dikatakan ingin membela rakyat?" soalnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Himpunan Bantahan Aman Isu Tanah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong di sini hari ini.
Himpunan yang dianjurkan MTRK itu diadakan bagi membantah salah guna kuasa dan penyelewengan kerajaan Pas Kelantan dalam isu pengambilan tanah di negeri ini.
 
Pada perhimpunan tersebut juga dua individu dari kawasan Hulu Kelantan yang mendakwa tanah mereka dirampas oleh kerajaan Pas Kelantan turut menyampaikan ucapan.
Antaranya, mereka menyeru agar rakyat negeri ini menolak Pas dalam pilihan raya umum nanti sekiranya mahu memastikan tanah di negeri ini tidak bertukar tangan kepada orang luar.
Sementara itu, MTRK turut mendesak kerajaan Pas Kelantan memberikan penjelasan tentang peruntukan RM600 juta yang diberikan Kerajaan Pusat kepada mereka dalam menyelesaikan isu air.
Katanya, sehingga hari ini rakyat masih tidak tahu apakah yang dilakukan oleh kerajaan Pas dengan wang peruntukan tersebut.
"Kita minta kerajaan Pas ini beri penjelasan setelah sekian lama kita tunggu pelbagai bantahan dibuat, memorandum juga telah dihantar, namun mereka masih berdiam diri," katanya.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...