Najib Di Gua Musang 2012

Najib tunai solat Jumaat bersama rakyat Gua Musang

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dalam lawatan sehari ke Kelantan, menunaikan solat Jumaat bersama rakyat Gua Musang di Masjid Razaleigh di sini, hari ini.

Turut sama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Selesai solat tersebut, Perdana Menteri menyerahkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Imam Mat Razali Md Yunus, bagi pembinaan masjid baru di bandar lama Gua Musang itu.
Dalam ucapan ringkasnya pada majlis itu, Najib berkata, peruntukan untuk membina masjid baru itu bertujuan menggantikan Masjid Razaleigh yang tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah.

Pagi ini, Perdana Menteri merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di padang Pusat Sivik di sini. -

Najib ajak rakyat Kelantan lakukan perubahan besar

MERIAH: Najib ketika hadir pada Karnival Komuniti 1Malaysia di Gua Musang, semalam. — Gambar Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengajak rakyat Kelantan bangkit dalam satu barisan untuk melakukan  perubahan besar terhadap kehidupan dan pembangunan di negeri itu.
Beliau berkata, rakyat Kelantan harus memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk melakukan perubahan tersebut kerana selama ini negeri itu jauh ketinggalan.
“Insya-Allah, beri peluang kepada Barisan Nasional, kita akan buat  perubahan besar, masalah bekalan air bersih boleh selesai dan banyak lagi  masalah boleh kita selesaikan termasuk permintaan mewujudkan lebuh raya,”  katanya ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik, di sini semalam.
Najib berkata, semangat hendakkan perubahan yang besar itu harus bermula dari sekarang, termasuk mereka yang memakai baju warna merah yang sinonim dengan semangat ‘gelombang merah’ yang dicetuskan UMNO Kelantan untuk  merampas negeri tersebut daripada pentadbiran PAS.
“Daripada perhimpunan seperti ini, kita akan mara ke depan, kita tahu  tidak mudah tetapi saya setuju dengan dikir barat tadi, cuba try test  sepenggal, saya yakin perubahan besar akan berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, Najib menyeru rakyat Kelantan berjuang habis-habisan  supaya perubahan besar dapat dilakukan untuk mereka dan negeri tersebut.
Beliau berkata kerajaan pusat yang prihatin dengan nasib rakyat  Kelantan, telah banyak membantu mewujudkan pembangunan untuk mereka.
Di jajahan Gua Musang, Najib berkata kerajaan sudah meluluskan  pembinaan projek perumahan rakyat sebanyak 1,000 unit, selain 350 unit rumah di  bawah projek agropolitan dan peruntukan RM3 juta untuk masyarakat Orang Asli  menanam pokok gaharu.
Sementara itu, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah  semasa berucap pada majlis tersebut meminta kerajaan membina sebuah lebuh raya  bagi memudahkan orang ramai berulang-alik dari Kota Baharu-Kuala Krai-Gua Musang-Bentong-Karak-Kuala Lumpur.
Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu penting bagi mengatasi  masalah kesesakan teruk pada musim perayaan dan cuti  persekolahan memandangkan kira-kira 400,000 rakyat bekerja di luar Kelantan.
Kewujudan lebuh raya sebagaimana yang dibina di negeri pantai barat Semenanjung akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di negeri  ini dan negeri lain di pantai timur, katanya.
Beliau berkata dengan adanya lebuh raya itu, banyak lagi kemudahan  lain boleh diwujudkan termasuk pusat pengajian tinggi memandangkan kawasan hulu Kelantan ini masih mempunyai banyak tanah kosong.
Pada majlis tersebut, Tengku Razaleigh mengimbas kembali sumbangan  pemimpin terdahulu termasuk bapa Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak dalam memajukan kawasan hulu Kelantan dengan menubuhkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) melalui pembukaan tanah rancangan.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin
-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...