UMNO Online - “Urus Pemilihan Parti Pun Gagal, PKR Terbukti Parti Lawak Jenaka” plus 9 more

UMNO Online - “Urus Pemilihan Parti Pun Gagal, PKR Terbukti Parti Lawak Jenaka” plus 9 more

Link to UMNO Online

Urus Pemilihan Parti Pun Gagal, PKR Terbukti Parti Lawak Jenaka

Posted: 24 Jun 2014 06:37 AM PDT

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Mas Ermieyanti Samsudin menyifatkan PKR sebagai sebuah parti lawak apabila pemilihan parti itu tidak habis-habis berdepan dengan kontroversi.

Ujarnya, walaupun sebulan telah berlalu namun pemilihan tersebut masih belum selesai dan terpaksa dilakukan berulang kali.

"Saya berasa agak lucu kerana mereka sering menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak betul, menuding jari ke arah UMNO dan sebagainya namun pemilihan mereka yang kecil ini pun kelam kelibut.

"Bukan main mereka mengecam SPR tetapi lihatlah apa yang terjadi kepada pemilihan mereka sendiri. Mereka sering menggambarkan parti mereka ini hebat, jauh lebih baik dari UMNO tetapi kini rakyat boleh menilai sendiri parti PKR.

"Semuanya kucar-kacir. Parti PKR ibarat sebuah parti lawak jenaka. Segala apa yang terjadi, baling kerusi, rasuah dan sebagainya semua mencerminkan parti itu. Jika pemilihan sebeginipun mereka gagal mentadbir dengan baik, bagaimana mereka mahu mentadbir negara ini sekiranya diberi kuasa. Mereka tidak akan mampu mentadbir negara sebaik Barisan Nasional," ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Mas Ermieyanti, rakyat harus membuka mata dan menilai adakah sebuah parti sebegini yang hendak dijadikan tunjang harapan membela nasib rakyat sedangkan parti tersebut penuh dengan kepura-puraan dan keganasan.

Sebelum itu, Ermieyanti bersama Puteri UMNO Bandar Tun Razak telah melawat dan menyampaikan sumbangan kepada lima beradik yang menjadi yatim piatu apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Loke Yew baru-baru ini.

Dalam lawatan tersebut, Puteri turut menyumbangkan pakaian untuk menyambut hari raya Aidilfitri dan juga barangan keperluan harian selain wang tunai berjumlah RM4,350.

"Wang tunai berjumlah RM3,000 adalah hasil sumbangan rakan-rakan sekelas saya semasa di universiti dan RM1,350 adalah hasil kutipan Puteri Bandar Tun Razak. Kesemua wang ini akan dimasukkan ke dalam akaun SSPN anak-anak ini," ujarnya lagi. – MediaUMNO

Kawasan Pencarian Baharu MH370 Diumum Pada Khamis – Hishammuddin

Posted: 24 Jun 2014 06:32 AM PDT

SEPANG, 24 Jun – Kawasan pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu akan diumumkan pada Khamis, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata pengumuman itu akan dibuat oleh Australia.

“Selepas berbincang dengan rakan sejawatan dari Australia dan China, kami akan mengumumkan kawasan pencarian baharu pada Khamis.

“Ini sesuatu yang telah kami lakukan ketika meninjau dan berbincang dengan pakar-pakar dari seluruh dunia.

“Ia adalah perbincangan dan pengumuman yang akan dibuat dengan persetujuan tiga negara – Australia, China dan Malaysia,” kata beliau.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Terminal klia2 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Penerbangan MH370, bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal yang dalam penerbangan ke Beijing, China, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac, sejam setelah berlepas dari Lapangan terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Gerakan mencari membabitkan pelbagai negara dikerah untuk menjejaki pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila maklumat menyatakan bahawa MH370 telah melencong daripada laluan asal.

Analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir pesawat ialah di tengah-tengah Lautan Hindi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 dipercayai telah “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan memberi jaminan bahawa gerakan mencari pesawat malang MH370 itu akan diteruskan.

“Australia, China dan Malaysia bekerjasama dengan pakar-pakar dan amatlah sukar bagi orang untuk mendakwa bahawa ada konspirasi atau menyembunyikan maklumat daripada pengetahuan umum,” kata beliau.

Mengenai bayangan Najib mengenai rombakan kabinet dengan pelancaran klia2 bakal menjadi majlis rasmi terakhir beliau sebagai pemangku menteri pengangkutan, Hishammuddin berkata beliau sedia menggalas tanggungjawab untuk terus menyelaras pencarian MH370.

Namun begitu, beliau berkata ia bergantung kepada prerogatif perdana menteri.

“Muka saya sinonim dengan MH370. Negara-negara di Timur Tengah menggelar saya sebagai Menteri MH370.

“Kalau diminta untuk terus memantau, menentu hala tuju dan menyelaras (pencarian) MH370, saya sanggup memikul tanggungjawab itu.

Apa Jua Keputusan Mahkamah Tidak Seharusnya Timbul Sebarang Prasangka – Muhyiddin

Posted: 24 Jun 2014 06:29 AM PDT

KUCHING, 24 Julai – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap mana-mana pihak tidak menimbulkan sebarang prasangka dalam apa jua keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah.

Beliau berkata persefahaman baik antara kaum dan agama yang terjalin dalam negara selama ini yang yang berlandaskan kepada perlembagaan serta undang-undang negara dan juga negeri, perlu menjadi pegangan semua.

Menurutnya ia perlu diterima walaupun dalam keadaan yang sukar dan sensitive kerana membabitkan kepentingan semua pihak, semua agama, di samping memastikan tidak timbul isu atau perbalahan yang boleh menjejaskan kerjasama dan perpaduan.

“Saya setuju dengan pandangan ramai dalam perkara ini, kita perlu bergerak ke hadapan, hubungan antara kaum dan agama dalam negara perlu dipertahankan,” katanya dalam satu persidangan media selepas mendengar taklimat BN Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Gereja Roman Katolik untuk menarik balik larangan kerajaan terhadap penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan The Herald versi Bahasa Malaysia.

Bagi Sabah dan Sarawak, Muhyiddin berkata jemaah menteri telah merumuskan satu resolusi 10 perkara yang merupakan jalan sederhana yang terbaik dalam menangani isu berkenaan.

Semasa berucap dalam satu perhimpunan Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah tidak melibatkan amalan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak kerana resolusi 10 perkara yang ditetapkan kerajaan pada tahun 2011 antaranya membenarkan masyarakat Kristian di dua negeri itu terus menggunakan bible versi bahasa Melayu mereka.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem yang turut berada di persidangan media itu ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan berkata: “Ia bukan satu masalah kepada kami”.

Kenaikan Cukai Taksiran DBKL Dihadkan – Tengku Adnan

Posted: 24 Jun 2014 06:27 AM PDT

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kenaikan kadar baharu cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dihadkan kepada hanya 10 peratus bagi unit kediaman dan 25 peratus bagi premis komersial.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika mengumumkan perkara itu, berkata keputusan tersebut merupakan hasil penilaian semula ke atas pegangan unit hartanah di ibu kota yang dilaksana DBKL sejak tahun lepas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ‘Town Hall’ mengenai Penilaian Semula Hartanah di Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan mengehadkan kadar cukai taksiran bagi tahun 2014 dibuat selepas dipersetujui oleh kabinet pada mesyuarat dua minggu lepas.

“Kita mungkin menimbangkan untuk melanjutkan kadar ini untuk tahun depan namun jika ada peningkatan atau penurunan peratusan ia bergantung kepada keadaan semasa dan keupayaan rakyat untuk membayar,” katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan turut mengumumkan sejumlah 57,978 unit rumah kediaman kos rendah dan sederhana sekitar bandar raya Kuala Lumpur kini menikmati pengurangan cukai taksiran dua hingga empat peratus berbanding tahun lepas.

“Pada keseluruhannya sejumlah 166,890 atau 34 peratus unit harta yang sebahagian besarnya kediaman mengalami pengurangan cukai taksiran dibayar, 16,461 atau tiga peratus unit kediaman yang terdiri daripada kediaman kos rendah dan sederhana rendah tiada kenaikan,” katanya.

Beliau berkata dalam masa sama kabinet turut bersetuju untuk memperkenalkan insentif baharu berbentuk pengurangan 10 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar kepada golongan orang kurang upaya (OKU), pesara dan pemilik yang menduduki kediaman mereka sendiri.

“Sehingga tarikh akhir permohonan iaitu pada 31 Mac 2014, sejumlah 17,444 permohonan daripada tiga golongan ini telah diterima dan mana-mana yang masih belum membuat permohonan untuk mendapatkan rebat ini dinasihatkan agar menghubungi DBKL segera,” katanya.

Pada 1 Okt tahun lepas, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengumumkan bahawa DBKL melaksanakan proses penilaian semula cukai taksiran selepas 21 tahun tidak berbuat demikian walaupun nilai hartanah sudah meningkat. Kali terakhir dilaksana ialah pada 1992.

Najib Menasihati Orang Ramai Minum Air Secukupnya

Posted: 24 Jun 2014 06:25 AM PDT

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan orang ramai supaya minum air secukupnya, dan jika boleh, duduk di dalam rumah berikutan jerebu kembali melanda.

“Memandangkan jerebu telah kembali, anda perlu minum air secukupnya dan mengelakkan kegiatan luar yang berat,” katanya dalam tweet beliau hari ini.

Setakat 6 petang ini, laman web Jabatan Alam Sekitar menunjukkan lima kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan Banting di Selangor merekodkan bacaan tertinggi 128.

Kawasan lain yang terlibat termasuk Nilai dengan bacaan IPU pada 105, Pelabuhan Kelang (112), Cheras (101) dan Putrajaya (116)

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel berkata lingkaran asap jerebu sederhana daripada kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia, dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap jerebu ke kawasan tengah pantai barat semenanjung.

Pemuda UMNO Sedia Bantu Kerajaan Jelaskan GST Kepada Golongan Muda – Khairy

Posted: 24 Jun 2014 06:25 AM PDT

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Pemuda UMNO sedia membantu kerajaan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) khususnya dikalangan generasi muda di setiap Parlimen.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata ini memandangkan tahap kesedaran dan juga penerimaan berkenaan perkara tersebut terutamanya maklumat yang betul berada pada tahap yang masih rendah dikalangan generasi muda.

"Jadi kita telah menawarkan kepada kementerian untuk Pemuda UMNO turut serta membantu dalam sesi-sesi penerangan.

"Kita akan buat sesi penerangan khas di setiap kawasan Parlimen khusus untuk generasi muda supaya tahap penerimaan terhadap GST itu dapat ditingkatkan lagi. Insy-Allah sesi berkenaan akan bermula selepas Ramadan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Berhubung Akta Harmoni, Khairy turut memberitahu pergerakan itu akan menghantar memorandum kepada kerajaan berkenaan cadangan-cadangan daripada Pemuda UMNO untuk dipertimbangkan supaya dapat dimasukkan ke dalam Akta tersebut atau draf undang-undang berkenaan.

"Ini kerana kita dapati ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan ada beberapa perkara yang sedia ada dalam Akta Hasutan yang perlu dilindungi dalam Akta Harmoni yang sedang diperingkat perbincangan.

"Contohnya isu-isu yang berkenaan dengan agama, berkenaan dengan kedudukan istimewa bangsa Melayu dan juga Bumiputera Sabah dan Sarawak, kedudukan Raja-Raja dan juga bahasa perlulah mendapat perlindungan dalam akta baru. Perkara ini tidak ada kompromi.

"Maksudnya Akta Hasutan itu selama ini menjadi perisai kepada perkara-perkara yang asas dan sensitif ini dan saya harap dalam akta yang baharu turut diberi perlindungan yang sama.

"Dan ini juga memberi perlindungan kepada semua rakyat Malaysia sebab bukan hanya kita harap ada perlindungan kepada kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan tetapi apa sahaja kenyataan atau tindakan yang menghina mana-mana agama, bangsa mestilah menjadi satu kesalahan dibawah akta yang baharu ini.

"Sebab Akta Harmoni ini adalah untuk memastikan isu sensitif tidak disentuh dan tidak dibangkitkan sebab ini adalah satu kebimbangan Pemuda UMNO bahawa tanpa Akta Hasutan tidak lagi ada perlindungan untuk isu-isu sensitif sepertimana yang saya bangkitkan tadi," katanya. – MediaUMNO

Jentera BN Sarawak Dalam Keadaan Siap Siaga, Kata Muhyiddin

Posted: 24 Jun 2014 03:05 AM PDT

KUCHING, 24 Julai – Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi apa jua perubahan politik dan juga pilihan raya negeri, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya pelbagai isu berkaitan pilihan raya negeri dibincangkan pada sesi taklimat beliau dengan jentera BN Sarawak hari ini, antaranya soal berkaitan projek-projek pembangunan yang dijanjikan buat negeri, pendaftaran pemilih, dan juga tanah adat pribumi (NCR).

Beliau berkata sejak berlalunya pilihan raya negeri Sarawak yang lepas pada 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri telah mengumumkan peruntukan yang menjangkau lebih RM3 bilion bagi pelbagai projek pembangunan untuk dilaksanakan di Sarawak.

“…arahan hari ini adalah supaya segala projek yang diumumkan akan kita laksanakan selaras dengan (konsep) janji ditepati. Kalau ada isu-isu berkaitan tapak, kontraktor dan hal-hal tertentu peringkat negeri, ia akan diselesaikan sebelum pilihan raya negeri akan datang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat berkenaan di sebuah hotel di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain itu beberapa jadual lawatan beliau dan juga Perdana Menteri sudahpun disusun oleh kepimpinan BN Sarawak, bagi membolehkan mereka memantau sendiri masalah-masalah yang dihadapi penduduk kawasan tertentu.

Mengulas prestasi BN dalam menunaikan janji-janjinya di Sarawak, Muhyiddin berkata melihat kepada keadaan sekarang, prestasinya cukup baik, namun apa yang penting adalah segala yang diumumkan itu mesti disempurnakan dalam tempoh sekitar dua tahun akan datang.

Menurutnya banyak projek diumumkan secara berperingkat, pada skala yang pelbagai, dan ia perlu diteliti satu persatu.

Muhyiddin berkata selain itu pada 30 Julai ini, Petronas akan memberikan taklimat terperinci kepada kerajaan negeri berhubung pelbagai projek yang dilaksanakan syarikat berkenaan, termasuk tentang hasil minyak negara, perbelanjaannya dan isu berkaitan.

Merujuk kepada isu parti baharu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) yang ditubuhkan beberapa wakil rakyat Sarawak daripada BN, Muhyiddin berkata perkara itu sudah dibincangkan beliau dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Perdana Menteri sendiri sudah mengambil maklum mengenainya.

“Setakat ini kita serahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri (Sarawak) selaku Pengerusi BN Sarawak (untuk menanganinya), dengan mengambil kira situasi yang sensitif mengenainya.

“Tapi yang penting adalah memastikan bahawa apapun yang timbul nanti tidak akan menjejaskan kedudukan BN,” katanya dan menambah Adenan memerlukan sedikit masa lagi untuk menangani isu berkenaan.

Muhyiddin berkata apa jua formula penyelesaian yang akan diketengahkan Adenan nanti, apa yang penting adalah hasilnya perlu memperkuatkan lagi BN, dan beliau yakin isu itu dapat diselesaikan dengan semangat kerjasama dan persefahaman dalam BN.

Pada 15 Mei lepas, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan mengumumkan beliau keluar parti lalu menyertai Teras, dan turut bersama-sama beliau ialah empat lagi bekas wakil rakyat parti itu yang terdiri daripada Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu) serta Anggota Parlimen Baram Anyie Ngau.

Pada hari yang sama, Datuk Seri Wong Soon Koh, bekas timbalan setiausaha agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut mengumumkan keluar daripada parti itu kerana krisis dalaman dan beliau bersama-sama tiga orang lagi wakil rakyat Dayak SUPP; Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar) dan Johnical Rayong (Engkilili); menyertai Teras.

Muhyiddin yang berada di Sarawak untuk lawatan kerja sehari dijadualkan menghadiri program Sekolah Amanah anjuran Yayasan Amir di SK Tabuan dan sambutan Gawai Dayak di Redeems Centre di Bau, sebelum berlepas pulang ke ibu negara malam ini.

Mansuh Kuasa Eksekutif MAIS, Cubaan Perkecil Kuasa Sultan

Posted: 24 Jun 2014 03:02 AM PDT

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Wajarkah kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menguatkuasakan hal ehwal agama Islam di negeri itu dimansuhkan?

Persoalan ini sudah tentu menimbulkan banyak tanda tanya kepada umat Islam malah menimbulkan kegelisahan apabila kuasa eksekutif MAIS yang berperanan sebagai pentadbir dan pendaulat agama Islam di Selangor ‘dikuburkan’ demi laba politik pihak berkepentingan.

Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa serangan terhadap agama Islam kebelakangan ini merupakan perancangan licik pihak tertentu yang dizahirkan melalui umat Islam sendiri mahupun bukan Islam.

CADANGAN TIDAK MATANG

Pada 17 Jun lepas, empat Anggota Parlimen PAS iaitu Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Hanipa Maidin (Sepang) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) menggesa Kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS.

Cadangan itu bagi memastikan kerajaan Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak lagi perlu menerima arahan daripada MAIS berhubung penguatkuasaan hal ehwal agama Islam di negeri itu, sekali gus mengelakkan kecelaruan pentadbiran kerajaan Selangor.

Mengulas perkara ini, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fadlan Mohd Othman menyifatkan cadangan untuk memansuhkan kuasa eksekutif MAIS adalah sesuatu yang dangkal.

“Mereka yang mahu peranan MAIS dihadkan jelas tidak matang dan ia akan menyebabkan penguatkuasaan hal ehwal agama Islam di Selangor menjadi lemah,” katanya kepada Bernama.

Fadlan menegaskan bahawa dalam soal menguatkuasakan hal ehwal agama Islam, MAIS sebagai satu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah satu badan berkredibiliti dan segala langkah yang dilaksanakannya bertujuan memastikan kemaslahatan umat Islam sentiasa dipelihara.

Adalah tidak wajar dan kurang bijak ‘mencuit’ MAIS kerana badan itu berkait rapat dengan kuasa Sultan, katanya.

MAIS ditubuhkan di bawah Seksyen 5, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1952, mempunyai kuasa-kuasa yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1952 dan tambahan kuasa mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Antara fungsi utama MAIS ialah menasihati Sultan dalam hal ehwal Islam.

PENGHINAAN ATAU DEMOKRASI?

Tidakkah cadangan menghapuskan kuasa eksekutif MAIS ini boleh ditafsirkan sebagai penghinaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah?

Fadlan berkata dalam isu ini, terdapat dua perspektif iaitu melihat cadangan tersebut sebagai satu penghinaan kepada sultan atau pun sebagai hak asasi untuk bersuara oleh mana-mana individu.

“Daripada satu sudut, ia boleh dikatakan sebagai satu penghinaan kepada sultan dan daripada satu sudut pula dalam sebuah negara demokrasi mereka menyatakan ini sebagai kebebasan bersuara.

“Kalau pun boleh dikatakan sebagai kebebasan bersuara, selaku Yang Berhormat mestilah ada etika atau adab. Saya pun tak tahu apa sebab Yang Berhormat daripada PAS hendak mencadangkan perkara yang tidak matang sebegini,” katanya.

Ironinya, PAS Selangor sehingga kini masih belum memutuskan sebarang ketetapan berhubung cadangan empat Anggota Parlimen parti berkenaan.

PERCUBAAN KECIL KUASA SULTAN
Fadlan, yang juga Pengerusi Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), berpendapat gesaan agar kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS sebagai satu usaha untuk memperkecil dan menghakis kuasa sultan dalam hal berkaitan agama Islam.

Beberapa badan pertubuhan kerajaan seperti Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor dan Pertubuhan Pribumi Perkasa membantah cadangan anggota PAS itu.

Mubarak Selangor berpendirian kedua-dua institusi iaitu MAIS dan JAIS, yang diwujudkan bagi mentadbir dan mendaulatkan agama Islam di Selangor, telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu dengan cemerlang.

“Memandangkan agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Sultan Selangor, cadangan ini merupakan satu persendaan dan tentangan terhadap kuasa Baginda dan Raja-Raja Melayu.

Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula menyifatkan tuntutan agar dihapuskan kuasa eksektif MAIS akan membuka ruang kepada bukan Islam untuk campur tangan dalam hal ehwal agama Islam.

Cadangan memansuhkan kuasa eksekutif MAIS itu timbul susulan keputusan MAIS tidak bersetuju memulangkan kira-kira 300 kitab Bible versi Bahasa Melayu setelah dirampas JAIS daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lepas.

Pada 11 Jun, Pejabat Peguam Negara memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan Bible itu, sekali gus menutup kes berkenaan.

Susulan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan JAIS memulangkan semua kitab tersebut kepada BSM.

MAIS, pada 14 Jun, tidak bersetuju dengan arahan kerajaan Selangor itu dan menjelaskan ia adalah di luar bidang kuasa mereka (kerajaan Selangor).

Raja Muda Nasihat Pelajar Tingkatkan Kualiti Diri

Posted: 24 Jun 2014 02:34 AM PDT

KANGAR, 24 Jun – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini menasihatkan golongan pelajar sentiasa berazam untuk meningkatkan kualiti diri bagi menjamin masa depan dan keluarga.

Titah baginda kerajaan menyediakan begitu banyak peluang untuk pelajar menimba ilmu, justeru terpulang kepada kebijaksanaan para pelajar sendiri membuat pilihan menggunakan segala peluang yang ada.

Raja Muda bertitah demikian kepada para pelajar dan warga pendidik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ali Ahmad sempena Program Titian Kasih Mega 2014 di sekolah berkenaan di sini.

“Semua pihak harus sama-sama bertanggungjawab untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini termasuk para guru di samping semangat untuk belajar dalam kalangan pelajar bagi membantu mencapai hasrat kerajaan negeri menjadikan Perlis negeri ilmu,” titah Raja Muda.

Sempena majlis itu, baginda menyempurnakan perasmian menara jam sekolah, kemudian menanam pokok bunga kertas di pekarangan sekolah sebelum melawat pameran hasil kreativiti pelajar sekolah terbabit.

Raja Muda selaku Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) yang merupakan penganjur program itu, berkenan menyampaikan replika cek bernilai RM159,000 kepada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mahmud Hussin untuk membina surau sekolah.

Setiausaha YTSP, Datuk Johari Mohd Darus memberitahu, wang itu disumbangkan oleh tokoh korporat anak tempatan, Datuk Izham Mahmud kepada YTSP bagi pembinaan surau sekolah itu yang boleh memuatkan 300 jemaah pada satu-satu masa.

Ini adalah kali keenam YTSP menganjurkan Program Titian Kasih Mega bagi kawasan Parlimen Kangar dan masih berbaki tiga sekolah menengah lagi dalam kawasan terbabit untuk dihabiskan sebelum akhir tahun ini.

Tahun depan, program itu akan diadakan di kawasan Parlimen Arau sementara Parlimen Padang Besar sudah berakhir tahun lepas.

Guru Perlu Jadi Ejen Perpaduan Nasional

Posted: 24 Jun 2014 02:31 AM PDT

MARAN, 24 Jun – Guru perlu jadi ejen perubahan ke arah mewujudkan perpaduan nasional untuk menjamin kemajuan, keselamatan dan kemakmuran negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata guru perlu sentiasa menjaga imej dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang boleh menjadi model kepada masyarakat.

“Peranan dan tugas seorang guru adalah pemangkin kepada pembangunan negara kerana guru dapat membentuk generasi pemacu kejayaan negara.

“Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah cabaran kepada guru sebagai pelaksana dasar kerajaan dalam memastikan transformasi pendidikan negara mencapai matlamat,” katanya sewaktu merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat Daerah Maran di SMK Tengku Ampuan Afzan Chenor di sini hari ini.

Anggota Parlimen Maran itu turut menasihati guru supaya sentiasa meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam melaksanakan tugas yang kian mencabar yang mana guru perlu peka dan sentiasa bersedia menambah ilmu.

“Guru perlu meletakkan keutamaan pada tahap tertinggi bagi memastikan semua perancangan dalam pelan pembangunan pendidikan berjalan lancar bagi melahirkan rakyat berilmu dan berwawasan,” katanya.

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...