UMNO Online - “Pemilihan Semula Jawatan PKR Kuala Selangor Kecoh Lagi” plus 3 more

UMNO Online - “Pemilihan Semula Jawatan PKR Kuala Selangor Kecoh Lagi” plus 3 more

Link to UMNO Online

Pemilihan Semula Jawatan PKR Kuala Selangor Kecoh Lagi

Posted: 21 Jun 2014 08:05 AM PDT

pkrtKUALA SELANGOR, 21 Jun – Proses pemilihan semula jawatan dalam PKR Kuala Selangor kecoh seketika apabila calon ketua cabang itu bertikam lidah dengan seorang penyokong calon lain.

Difahamkan, calon ketua cabang berkenaan, S. Manikavasagam menegur tindakan lelaki berkenaan kerana didakwa cuba berkempen di hadapan pintu masuk pusat pendaftaran undi di perkarangan Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Bagaimanapun teguran Manikavasagam itu dikatakan dibalas individu berkenaan sehingga tercetus perang mulut namun kemudiannya dileraikan penyokong lain termasuk anggota jawatankuasa pemilihan parti (JPP) yang sedang bertugas.

Ketika diminta mengulas mengenai insiden tersebut, Manikavasagam berkata ia hanya sedikit salah faham.

“Ada orang tukar-tukar ‘chai’ (kertas nombor calon)… orang luar. Saya akan buat aduan kepada PKR pusat,” katanya ketika ditanya pemberita selepas selesai mengundi.

Pada 15 Mei lepas Manikavasagam dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin PKR selepas digantung keanggotaan daripada parti itu namun arahan berkenaan ditarik balik jawatankuasa tersebut pada 11 Jun lepas.

Tindakan disiplin ke atas Manikavasagam itu berikutan kenyataan bekas anggota Parlimen Kapar tersebut menerusi media yang mendakwa pencabarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar terlibat dalam politik wang semasa pemilihan pertama PKR Cabang Kuala Selangor pada 11 Mei lepas.

Sementara itu di SABAK BERNAM, walaupun pemilihan semula cabang itu yang diadakan di Dewan Sungai Air Tawar, Kampung Datuk Hormat, Sungai Air Tawar, di sini, kelihatan tenang pada mulanya namun ada beberapa penyokong calon cabang berkenaan dilihat menimbulkan suasana ‘panas’.

Seorang anggota yang enggan dikenali berkata pengedaran terlalu banyak senarai nama calon atau kertas ‘chai’ menimbulkan kerumitan sehingga mencetus beberapa pertengkaran kecil.

“Ada juga beberapa anggota yang sudah dilucutkan keahlian daripada PKR, dilihat membantu memancing undi dan menimbulkan kekecohan dengan mengoyakkan gambar calon bertanding.

“Apabila ada penyokong calon berkenaan ternampak kertas itu dikoyakkan, mulalah kecoh kerana mereka tidak berpuas hati,” katanya.

Dalam pada itu, di KUALA LANGAT, JPP cabang berkenaan dilihat mengadakan kawalan ketat di pusat pemilihan semula hari ini bagi mengelakkan berlaku lagi sebarang kekecohan seperti pada pemilihan pertama sebelum ini.

Tinjauan Bernama mendapati wujud sedikit rasa tidak puas hati dalam kalangan anggota PKR berikutan sistem pengundian parti itu dikatakan tidak menyediakan maklumat terperinci mengenai calon yang bertanding menyebabkan mereka tidak tahu siapa calon yang mahu diundi.

Disebabkan perkara itu, pengundi dikatakan terpaksa mengundi tanpa mengetahui nombor calon yang mereka pilih.

Proses pemilihan PKR di Selangor dilakukan semula selepas berlaku kekecohan ketika proses pemilihan pertama pada 11 Mei lalu, yang menyaksikan 11 daripada 22 cabang di negeri itu terpaksa menjalani pemilihan semula.

Selain Sabak Bernam, Kuala Langat dan Kuala Selangor, turut diarahkan mengadakan pemilihan semula adalah cabang Hulu Selangor, Hulu Langat, Selayang dan Kota Raja.-MediaUMNO

Kerajaan Tetapkan Tiga Agenda Pastikan Kebajikan Pekerja Terus Terbela – Najib

Posted: 21 Jun 2014 07:39 AM PDT

MELAKA, 21 Jun – Kerajaan menetapkan tiga agenda bagi memastikan kebajikan pekerja di negara ini terus terbela, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya usaha itu dibuat melalui agenda memantapkan pasaran buruh negara, memperkemas jaringan keselamatan sosial dan mengharmonikan perhubungan perusahaan.

Najib berkata melalui agenda memantapkan pasaran buruh negara, kerajaan memberi tumpuan terhadap aspek berkaitan hak dan kebajikan warga pekerja termasuk penetapan dasar gaji minimum yang telah dikuatkuasakan pada 1 Jan 2013.

“Meskipun menimbulkan pelbagai reaksi, pertumbuhan guna tenaga lebih tinggi dan pemberhentian pekerja yang lebih rendah telah menggambarkan bahawa kebanyakan syarikat berupaya membuat penyesuaian dengan dasar gaji minimum,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Hari Pekerja 2014 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Mohd Khalid Atan.

Najib berkata berdasarkan tinjauan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, gaji purata sektor swasta naik 6.6 peratus pada tahun lepas berbanding enam peratus pada tahun sebelumnya.

“Secara puratanya pekerja kumpulan eksekutif mencatat peratusan gaji sebanyak 6.3 peratus, kekal sepertimana tahun 2012 manakala pekerja bukan eksekutif mencatat kenaikan 6.7 peratus pada tahun 2013 berbanding tahun sebelumnya iaitu 5.8 peratus, sejajar dengan keputusan kerajaan memperkenalkan dasar gaji minimum,” katanya.

Najib berkata melalui agenda memperkemas jaringan keselamatan sosial, ia melibatkan kajian dan semakan semula akta-akta perburuhan secara holistik dengan semua cadangan penambahbaikan dibincang berasaskan semangat tripartisme sehingga suatu persetujuan dapat dicapai oleh semua pihak.

“Suatu sistem perundangan perburuhan yang moden perlulah diwujudkan supaya dapat menjamin perlindungan keselamatan sosial setiap golongan pekerja dan dalam masa sama memberi ruang serta keanjalan yang diperlukan industri untuk berkembang,” katanya.

Najib berkata agenda mengharmonikan perhubungan perusahaan pula merupakan prasyarat kepada pewujudan persekitaran mesra perniagaan yang merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya kesatuan-kesatuan sekerja perlu terus bekerjasama erat dengan pihak majikan bagi mengharmonikan perusahaan di negara ini.

Dalam pada itu, bagi melahirkan pekerja berinovasi menuju negara maju, Najib menggariskan tiga lagi prinsip iaitu budaya kreativiti dan inovasi; nilai tambah dan kompetensi serta permuafakatan kerja tidak dalam silo atau lohong masing-masing sebagai tambahan kepada lima prinsip yang diumumkannya pada Hari Pekerja Penjawat Awam di Kedah pada 1 Mei lepas.

Lima prinsip berkenaan ialah berilmu; kebolehpercayaan; budaya amalan kerja terbaik; semangat patriotik dan budaya keberhasilan berteraskan hasil.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kadar pengangguran negara terus kekal rendah sebanyak 3.1 peratus pada suku pertama tahun ini, suatu kadar yang menunjukkan guna tenaga penuh.

“Prestasi ini adalah jauh lebih baik berbanding negara lain seperti Indonesia sebanyak 5.7 peratus pada Feb 2014 dan Filipina sebanyak 7.5 peratus pada Jan tahun sama,” katanya.

Katanya berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, pasaran kerja di negara ini bagi tahun 2013 juga kekal menggalakkan dengan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 13.65 juta orang berbanding 13.1 juta pada tahun sebelumnya.-MediaUMNO

100 Students Receive Tabung Haji Excellence Awards

Posted: 21 Jun 2014 12:20 AM PDT

KUALA LUMPUR, June 21 – One hundred students who excelled in their Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) and Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) examinations last year received Excellence Awards from the Pilgrims Fund Board (Tabung Haji) today.

They comprised 50 UPSR, 30 PMR and 20 SPM top scorers.  Tabung Haji Group Managing Director and Chief Executive Officer Tan Sri Ismee Ismail said the awards presented to the students, who are also members of TaHa Club, were aimed at inculcating the culture of excellence among students,besides showing support to the government’s aspiration to produce excellent and educated human capital.

“Tabung Haji will remain committed to the development of Muslim community in Malaysia, especially in education,” he said at the presentation ceremony of TaHa Club Excellence Award 2014 at the Tabung Haji headquarters here.

Each student received RM200 (UPSR), RM400 (PMR) or RM500 (SPM), which is credited in their respective Tabung Haji accounts, with accompanying plaque and certificate. -MediaUMNO

Penduduk Chu Badak Diminta Bersikap Rasional, Beri Laluan Kepada Pembangunan

Posted: 21 Jun 2014 12:11 AM PDT

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Penduduk Kampung Chu Badak di Sentul di sini diminta agar bersikap rasional agar pembangunan rumah murah di kawasan itu dapat diteruskan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

datuk-seri-tengku-adnan-tengku-mansor-540x350_400_259_100

Beliau berkata projek perumahan 500 unit itu bakal memberikan manfaat lebih besar serta peluang untuk lebih banyak orang yang tidak berkemampuan untuk tinggal di ibu kota.

“Notis telah dikeluarkan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan dan tanah itu adalah kepunyaan Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“PTG beri tanah itu untuk bangunkan rumah murah dan saya rayu kepada penduduk terutama kepada empat lima orang yang hanya memikirkan tentang diri mereka sendiri. Bila kita bangunkan rumah murah, lagi ramai boleh duduk di situ,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Wilayah PersekutuanBebas Denggi anjuran Yayasan Kesejahteraan Bandar dan Persatuan Penduduk PPR Seri Semarak di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan cuba membantu dari segi pampasan serta unit rumah yang baharu untuk penduduk, namun adalah mustahil untuk melayan tuntutan penduduk yang inginkan lot tanah dengan keluasan yang sama.

Para penduduk di perkampungan yang berusia 50 tahun itu dilapor tetap berkeras untuk tidak meninggalkan kawasan itu bagi memberi laluan kepada projek perumahan.

Dilaporkan sebelum ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1998 telah membuat keputusan bahawa kawasan itu merupakan milik peneroka bandar dan pihak yang berkenaan perlu membayar ganti rugi kepada peneroka itu sekiranya ingin memajukan kawasan tersebut.

Namun Mahkamah Rayuan, pada tahun 2000 dilapor telah membuat keputusan bahawa Kampung Chu Badak merupakan kawasan setinggan dan penduduk kampung hanya dibenarkan mendudukinya sebagai pemegang lesen dengan persetujuan pihak kerajaan negeri.

Status terkini kampung itu dilapor bergantung kepada pendengaran di Mahkamah Tinggi yang dijadual pada 27 Jun ini.

Mengenai program bebas denggi itu, Tengku Adnan berkata kementeriannya terpaksa mengambil pendekatan yang lebih agresif dalam usaha memerangi wabak itu ekoran peningkatan jumlah kes yang lebih ketara berbanding tahun lepas.

Beliau berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan, jumlah keseluruhan kes denggi di Malaysia setakat ini bulan ini telah meningkat dari 12,501 pada 2013 kepada 41,764 kes untuk tempoh yang sama tahun ini dengan kadar kematian meningkat dari 23 kes kepada 82 kes.

Bagi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Tengku Adnan berkata data memperlihatkan kenaikan jumlah kes yang agak ketara iaitu dari 1,021 kepada 3,590 kes setakat ini tahun ini dan jumlah kematian meningkat dari lima kepada lapan orang.-MediaUMNO

-------------------------------------------------------------------------------

Jom berjuang bersama rakan bloggers di Facebook!

Tunjukkan sokongan anda! Sila Like.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...